Tabung itu menegurku…

“Usah persoal apa yang Allah telah berikan padamu selama ini… Tetapi…Tanyalah dirimu sendiri, apakah yang telah kau korbankan utk Allah selama ini…? ”

Itulah yang terngiang-ngiang dalam benak fikiranku, setelah bermonolog agak lama, tatkala peristiwa itu berlaku. Peristiwa itu berlaku beberapa bulan yang lepas, jika saya tidak silap, berlaku pada bulan Ramadhan.

Pada suatu hari, Jumaat, saya agak terlewat untuk ke masjid bagi menunaikan solat fardhu Jumaat. Ketika itu saya terlewat kerana ada beberapa urusan di pejabat yang terpaksa saya selesaikan, tanpa disedari bahawa waktu solat Jumaat semakin hampir.

Oleh kerana agak lambat, saya mengambil keputusan untuk solat di Surau Taman Jasmin, yang terletak berdekatan dengan pejabatku, Aqsa Syarif Berhad. Surau tersebut adalah salah satu daripada 53 surau solat Jumaat yang diiktiraf oleh JAIS, bawah pentadbiran Pejabat Agama Islam Daerah Hulu Langat. Biasanya, saya solat di Masjid Jame’ Pekan Kajang.

Setibanya saya di surau berkenaan, para jemaah telah pun memenuhi ruang utama untuk solat, jadi saya hanya mendapat tempat yang terbelakang, 3 baris dari baris terakhir. Resam orang yang lewat, maka tidaklah berpeluang untuk meraih pahala yang lebih besar di saf awal, satu tamparan buatku yang terleka…

Sebaik azan Zohor berkumandang, para jemaah beramai-ramai berdiri dan seolah-olah membetulkan saf, tetapi untuk solat sunat Jumaat. Seusai solat sunat, maka seperti biasa, tabung-tabung besi yang kecil dan beroda akan mula “membuka langkahnya” di hadapan setiap jemaah yang ada. Barisan saf yang ku duduki juga tak terkecuali. Namun pada ketika itu, saya hanya membiarkan tabung itu berlalu pergi mencari tangan yang ingin menghulur. Mungkin tak sempat untuk menyediakan wang untuk menjadi infaq hari itu.

Tanpa sebarang rasa, saya menolak tabung itu ke ahli jemaah yang bersebelahan, namun beliau juga menolak ke jemaah yang lain, dan perhatianku tidak lagi ditumpukan pada tabung itu setelah berlalu lebih jauh.

Selang beberapa minit, mungkin lebih kurang 10 minit, tiba-tiba satu lagi tabung beroda meminta izinku untuk berlalu di hadapanku. Kali ini tabung beroda itu adalah tabung yang diperbuat daripada kayu. Namun sekali lagi saya mengizinkan tabung itu berlalu pergi meninggalkanku yang sedang menunggu khatib naik ke atas minbar. Terbit rasa bersalah juga tatkala membiarkan tabung itu berlalu tanpa ku hulurkan sedikit rezeki yang Allah pinjamkan padaku.

Kemudian, khatib naik ke atas minbar, lalu muazzin melaungkan azan, kemudian khutbah dimulakan. Di sinilah berlakunya satu peristiwa yang seolah-olah menjerut tengkukku… walaupun rasa mengantuk juga sedang melingkariku.

Sedang khusyuk saya mendengar khutbah, dengan angguk-angguk tak geleng-geleng, tiba-tiba, satu lagi tabung besi singgah di depanku, seraya itu juga mataku terbuntang luas dan jiwaku seolah-oleh tersentap. Saya kembali segar, dengan tersinggahnya tabung itu yang betul-betul berhenti di hadapanku. saya tergamam sebentar, dan tiba-tiba diriku dihurung perasaan malu, ya… malu… malu pada Allah subhanahu wa ta’ala…

Saya malu kerana merasakan yang Allah telah menegurku dengan menghantar sesuatu yang tidak bernyawa, agar saya kembali merenung sedalamnya tentang diri ini dan hakikat hamba di dunia ini…

Adakah saya terlupa bahawa segala nikmat yang ada di dunia ini, dengan rezeki yang telah ku kecapi selama ini, segalanya adalah milik Allah?
Adakah saya terlupa bahawa Allah amat menyukai tangan yang di atas, menghulurkan sumbangan, walaupun sedikit…?
Adakah saya terlupa bahawa hari itu adalah hari Jumaat, yang mana pada hari ini orang Islam sangat digalakkan untuk bersedekah?
Adakah saya terlupa bahawa memberi infaq di jalan Allah itu tidak sekali-kali akan mengurangkan hartaku yang ada, bahkan akan bercambah-cambah, jika tidak di dunia, maka sudah pasti infaq itu akan bercambah-cambah di akhirat kelak ?

Subhanallah… saya sangat terkesan dengan peristiwa yang zahirnya adalah seperti peristiwa yang biasa, tetapi bagiku itu adalah satu teguran rabbani oleh Allah subhanahu wa ta’ala…..

Saya mengajak semua saudaraku di luar sana untuk sama-sama merenung beberapa perkara, moga-moga menjadi pengajaran yang boleh dijadikan pencetus amal yang lebih baik….

 1- Berkorban untuk agama Allah adalah sangat dituntut.

Seperti dalam intro kisah ini tadi, saya telah melontarkan satu peringatan, bahawa seorang hamba Allah itu tidak patut mempersoal apa yang Allah telah berikan padanya, bahkan seharusnya ia bersyukur dan berpada dengan apa sahaja yang Allah telah rezekikannya. Sebaliknya, ia perlu sentiasa bertanya pada diri sendiri, sejauh manakah pengorbanan yang telah dilakukannya untuk Allah, Rasululullah s.a.w. , agama Allah dan umat Islam di seluruh dunia.

Sebanyak manakah masa yang kita telah korbankan untuk menegakkan agama Allah di muka bumi ini ? Adakah kita rasa bahawa kita tak mampu untuk memberikan masa bagi berdakwah pada agama Allah dengan semudah-mudah cara, atau sekurang-kurangnya mengajak seseorang untuk mengingati Allah ?

Sebanyak manakah harta yang beratus-ratus RM, beribu-ribu, malah berjuta-juta yang kita ada itu, telah kita korbankan untuk membantu agama Allah, membantu saudara-saudara seagama kita yang sedang dalam kesusahan… membantu dakwah Islam agar umat Islam dan juga orang bukan Islam memahami apa itu Islam yang sebenarnya….

Berapa kilojoule (kJ) tenaga agaknya yang kita sanggup gunakan untuk menyuruh kepada kebaikan dan melarang sebarang kemungkaran di muka bumi ini ? Atau kita masih berkira-kira dengan Allah, nescaya Allah juga akan berkira dengan kita yang ‘kedekut’ ini…

Adakah kita sanggup mempertaruh nyawa, jiwa dan raga untuk menegakkan kalimah Allah ? Allahu akbar…..

 2- Allah membeli apa yang diberikanNya kepada kita, dengan sesuatu yang lebih BESAR nilainya!!!

Mari kita tadabbur ayat cinta Allah ini, dari surah at-Taubah ayat 111 :

إِنَّ اللَّـهَ اشْتَرَىٰ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ أَنفُسَهُمْ وَأَمْوَالَهُم بِأَنَّ لَهُمُ الْجَنَّةَ ۚيُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِ اللَّـهِ فَيَقْتُلُونَ وَيُقْتَلُونَ ۖ وَعْدًا عَلَيْهِ حَقًّا فِي التَّوْرَاةِ وَالْإِنجِيلِ وَالْقُرْآنِ ۚ وَمَنْ أَوْفَىٰ بِعَهْدِهِ مِنَ اللَّـهِ ۚ فَاسْتَبْشِرُوا بِبَيْعِكُمُ الَّذِي بَايَعْتُم بِهِ ۚ وَذَٰلِكَ هُوَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ ﴿١١١

” Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka dengan (balasan) bahawa mereka akan beroleh Syurga, (disebabkan) mereka berjuang pada jalan Allah maka (di antara) mereka ada yang membunuh dan terbunuh. (Balasan Syurga yang demikian ialah) sebagai janji yang benar yang ditetapkan oleh Allah di dalam (Kitab-kitab) Taurat dan Injil serta Al-Quran; dan siapakah lagi yang lebih menyempurnakan janjinya daripada Allah? Oleh itu, bergembiralah dengan jualan yang kamu jalankan jual-belinya itu, dan (ketahuilah bahawa) jual-beli (yang seperti itu) ialah kemenangan yang besar.”

Sesungguhnya Allah Maha Penyayang kepada hamba-hambaNya. Dia sentiasa memberikan kita apa yang kita perlukan, dan menggantikan apa yang kita ingin kan dengan apa yang kita patut perlukan…. Dia sentiasa membuka peluang untuk kita sentiasa mengingatiNya….

 3- Erti Hari Raya Qurban dalam Islam, punya nilai yang sangat besar di sisi Allah…

Alhamdulillah, hari ini 10 Zulhijjah 1433H, umat Islam di Malaysia, dan negara-negara lain telah meraikan Hari Raya Eid Al-Adha, atau juga dipanggil Hari Raya Qurban.

Pengorbanan atau Qurban telah dilaksanakan sejak Nabi Adam a.s. lagi, tatkala anak-anaknya Qabil dan Habil (atau nama lain yang Allah lebih mengetahui) diminta untuk mengorbankan sedikit harta yang mereka ada untuk Allah, bagi melihat sejauh mana keikhlasan hati setiap daripada mereka.

Banyak lagi bentuk qurban/korban yang telah dilaksanakan oleh para anbiya’ , termasuk korbankan masa, tenaga dan jiwa…

Kisah yang paling kita ingati ialah kisah pengorbanan Nabi Ibrahim a.s dalam beberapa peristiwa, termasuk meninggalkan Hajar dan Ismail a.s. di lembah Mekah, juga peristiwa perintah Allah agar Nabi Ibrahim a.s. mengorbankan nyawa anaknya Ismail a.s. , yang mana akhirnya ditukarkan dengan seekor kibas.

Kita juga pasti telah menghayati betapa banyaknya pengorbanan yang dilakukan oleh nabi junjungan kita, Nabi Muhammad s.a.w . Dengan segala macam tohmahan terhadap Baginda s.a.w , cercaan yang menyakitkan, selain ancaman nyawa baginda s.a.w sendiri. Semuanya telah Baginda s.a.w korbankan untuk mengajar umatnya agar bersedia menurut jejak langkahnya.

Pada musim Raya Qurban ini pula, sudah tentu ramai di kalangan umat Islam di seluruh dunia akan melaksanakan ibadah qurban lembu, kambing dan unta, semata-mata untuk mendapatkan redha Allah serta ganjarannya yang sangat besar di sisi Ilahi.

—————————————————-

Semakin banyak kita berkorban untuk Allah, dengan penuh keikhlasan, insya Allah semakin dekatlah diri kita pada Allah…

Semoga kita sentiasa sedia berkorban untuk menegakkan agama Allah di muka bumi ini, selagi hayat dikandung badan…..

TaqabbalAllahu minna wa minkum…

Selamat Hari Raya Eid Al-Adha kepada seluruh umat Islam…..

Sekian dahulu renungan dariku ini, semoga ada manfaatnya buat para pembaca. Wallahu a’lam.

Qafmimra

Advertisements
This entry was posted in Inspirasiku and tagged , , . Bookmark the permalink.

One Response to Tabung itu menegurku…

  1. sebuah perkongsian yang menarik. menabung merupakan amalan yang amat mulia. tidak semua orang suka bersedekah. bersedekah membuatkan hidup kita lebih tenang kerana hidup kita diberkati Allah.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s