5 inspirasi menyumbang untuk Palestin

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah yang telah memberikan kita nikmat yang tersangat banyak, tak terkira dan tak mampu untuk dibalas. Dia memberikan kita nikmat hidup, nyawa, pancaindera, akal, keluarga, masa, dan harta…

Terdapat banyak ayat dalam al-Quran yang memperlihatkan bahawa Allah sendiri ingin menguji adakah manusia ini bersyukur dengan nikmatNya. Bagaimana bersyukur ? Banyak caranya, melalui perkataan, perbuatan dan hati.

Oleh kerana Allah jualah yang memberikan segala nikmat yang kita lihat dan tak lihat , maka tidaklah perlu dinilai seseorang hamba itu dengan banyaknya harta dan nikmat, tetapi Allah mahu melihat kesan syukur kita pada nikmat yang diberikanNya itu kepada kita, iaitu antaranya dengan melakukan amal kebajikan.

Sabda Rasulullah s.a.w pula : Sesungguhnya Allah tidak melihat (untuk penilaian) kamu pada rupa dan harta kamu. Sebenarnya Allah melihat kepada hati dan amalan kamu.

Nah… di sini saya ingin menyentuh berkenaan salah satu amal kebajikan yang boleh dijadikan bukti bersyukur itu sendiri, iaitu : bersedekah atau infaq di jalan Allah.

Tahukah anda ? Ya. Saya yakin anda yang membaca tulisan ini telah pun tahu : Pahala bersedekah adalah sangat besar, dan boleh digandakan oleh Allah sehingga 700 kali ganda, seperti dalam firmanNya :

مَّثَلُ الَّذِينَ يُنفِقُونَ أَمْوَالَهُمْ فِي سَبِيلِ اللَّـهِ كَمَثَلِ حَبَّةٍ أَنبَتَتْ سَبْعَ سَنَابِلَ فِي كُلِّ سُنبُلَةٍ مِّائَةُ حَبَّةٍ ۗ وَاللَّـهُ يُضَاعِفُ لِمَن يَشَاءُ ۗ وَاللَّـهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ ﴿٢٦١

 Maksudnya : {{ Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurniaNya, lagi Meliputi ilmu pengetahuanNya.}} – surah al-Baqarah ayat 261

Sedekah itu banyak caranya, ada yang berbentuk perbuatan, ada yang berbentuk harta benda. Sedekah yang berbentuk perbuatan sangat banyak. Sekali lagi, saya anggap anda semua sudah mendengar hadith Kullu Sulama ini :

عَنْ أَبِيْ هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ : قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : كُلُّ سُلاَمَى مِنَ النَّاسِ عَلَيْهِ صَدَقَةٌ، كُلُّ يَوْمٍ تَطْلُعُ فِيْهِ الشَّمْسُ تَعْدِلُ بَيْنَ اثْنَيْنِ صَدَقَةٌ، وَتُعِيْنُ الرَّجُلَ فِي دَابَّتِهِ فَتَحْمِلُهُ عَلَيْهَا أَوْ تَرْفَعُ لَهُ عَلَيْهَا مَتَاعَهُ صَدَقَةٌ وَالْكَلِمَةُ الطَّيِّبَةُ صَدَقَةٌ، وَبِكُلِّ خُطْوَةٍ تَمْشِيْهَا إِلَى الصَّلاَةِ صَدَقَةٌ وَ تُمِيْطُ اْلأَذَى عَنِ الطَّرِيْقِ صَدَقَةٌ [رواه البخاري ومسلم]

Terjemah hadits / ترجمة الحديث :

Daripada Abu Hurairah radhiallahuanhu dia berkata : Rasulullah s.a.w bersabda : (( Setiap anggota tubuh manusia wajib disedekahi, setiap hari di mana matahari terbit lalu engkau berlaku adil terhadap dua orang (yang bertikai) adalah sedekah, engkau menolong seseorang yang berkenderaan  lalu engkau bantu dia untuk naik kenderaannya atau mengangkatkan barangnya adalah sedekah, ucapan yang baik adalah sedekah, setiap langkah ketika engkau berjalan menuju solat adalah sedekah; dan menghilangkan gangguan dari jalan adalah sedekah.))

(Riwayat al-Bukhary dan Muslim)

Sedekah berbentuk harta benda pula sudah dimaklumi caranya. Ada yang diberikan kepada fakir miskin, anak yatim, pelajar dan yang menariknya juga ialah umat Islam sangat prihatin dalam memberikan sedekah untuk saudara-saudaranya di Palestin.

Jangan lupa bahawa harta yang kita sedekahkan itu tidaklah mengurangkan harta kita, bahkan akan berganda-ganda, jika tidak di dunia, di akhirat nanti insya allah….

Selama bertugas di ibu pejabat Aqsa Syarif Berhad (AQSA) , sejak setahun yang lalu, saya dapati bahawa tahap keprihatinan masyarakat Malaysia, yang berada di Malaysia mahupun di luar Malaysia, telah meningkat dari masa ke masa. Saya boleh berkata demikian kerana saya jugalah yang selalu menyambut panggilan telefon di ibu pejabat AQSA, bermaksud saya sentiasa menerima panggilan sama ada berupa soalan tentang cara menyumbang kepada Palestin, atau apa yang boleh disumbangkan, atau makluman minat pemanggil untuk menaja anak yatim Palestin, atau makluman bahawa pemanggil telah memasukkan duit ke akaun AQSA bagi tujuan tabung Palestin.

Ini baru sebahagian dalil, kerana selain di ibu pejabat, para aktivis Aqsa Syarif yang berada di 14 negeri dan 67 daerah seluruh Malaysia itu juga turut menerima pelbagai panggilan dan sumbangan terus daripada masyarakat Malaysia yang amat prihatin terhadap saudara-saudara mereka di Palestin, lebih-lebih lagi di Gaza. Hampir setiap minggu, kami di ibu pejabat akan mendapat makluman dari para aktivis bahawa sejumlah amaun dalam ringgit telah dimasukkan ke akaun AQSA untuk tabung Palestin, hasil kutipan bagi program-program penerangan isu Palestin yang dijalankan.

Saya cukup berbangga dan bersyukur dengan keprihatinan masyarakat Malaysia terhadap isu Palestin. Semoga perkara ini akan berterusan dan meningkat dari masa ke masa, insya Allah.

Pada pandangan saya, masyarakat tidak akan menyumbang jika tidak faham akan situasi dan hakikat perjuangan Palestin dari dulu hingga kini. Masakan tidak seorang makcik telah menyumbangkan sebentuk cincin emas miliknya, untuk Palestin, sebaik sahaja mendengar perkongsian dan penerangan oleh salah seorang aktivis Aqsa Syarif, di suatu daerah. Ini salah satu contoh yang jarang kita dengar, tetapi benar-benar berlaku.

Jadi, apabila masyarakat telah faham mengapa perlu menyumbang kepada Palestin, maka berduyun-duyun, berpusu-pusu, berbilang-bilang dari kalangan masyarakat Malaysia akan menyumbangkan apa yang mereka mampu dan inginkan. Tetapi, ada juga yang masih ragu-ragu untuk menyumbang, bukan kerana tidak faham, mungkin kerana tidak punya ikutan atau contoh inspirasi daripada mana-mana individu atau pihak.

Ada satu pepatah mengatakan : perbuatan seorang di hadapan 1000 orang, lebih banyak kesannya daripada 1000 orang berkata-kata untuk menasihati seseorang.

Maksudnya, untuk mengajak masyarakat menyumbang, kita perlulah menunjukkan contoh dahulu.

Saya tidak akan membawa contoh dari diri saya sendiri, tetapi saya akan bawakan 5 kisah inspirasi buat semua untuk menambahkan lagi sumbangan kepada Palestin. Ikuti kisah-kisah inspirasi ini, yang diperolehi daripada beberapa tokoh isu Palestin di Malaysia. Ada kisah berkenaan masyarakat di Malaysia, ada yang dari luar Malaysia… Takbiir!!! Allahu akbar!!!

1- Di YAMAN : Perempuan, menyumbang lembu tuanya untuk Palestin ? Itu je ? (diadaptasi semula)

Kisah ini berlaku selepas solat Jumaat, di sebuah perkampungan di Yaman. Ketika itu, berita tentang kesengsaraan rakyat Gaza yang diserang oleh Zionis telah tersebar luas ke serata kampung itu,

Sikap prihatin mereka terhadap rakyat Palestin di Gaza juga ada pada seorang makcik tua, yang hanya ada seekor lembu tua dan kurus.

Maka pada suatu hari, lepas Jumaat, makcik tua itu dalam ke masjid dan menuggu Imam masjid berkenaan. Apabila imam telah keluar, makcik tua itu menyapa imam lalu berkata bahawa dia ingin menyumbangkan lembu tua dan kurus ini ke Gaza, Palestin.

Imam masjid jadi kaget, kerana tidak terfikir bagaimana ingin menghantar seekor lembu kurus dan tua dari kampung itu ke Palestin.

Maka sebahagian daripada jemaah telah mentertawakan perempuan tua itu kerana disangkakan tiada gunanya menyumbangkan seekor lembu tua kepada Palestin! Sedihlah makcik tua itu kerana apa yang ingin disumbangkannya itu telah ditertawakan.

Tiba-tiba seorang lelaki tampil ke hadapan, lalu mendapatkan makcik tersebut. Katanya : wahai jemaah sekalian! Apa kata kita jual lembu tua ini dengan cara lelongan? Harganya nantilah yang disumbangkan ke Palestin!!

Maka para jemaah pun mula melelong lembu tua tersebut, bermula dengan serendah-rendah harga, sehinggalah mencapai jutaan riyal Yaman!!

Akhirnya, jutaan riyal Yaman telah diserahkan untuk sumbangan Palestin, dan makcik tua pula diberikan sebahagian wang itu untuk perbelanjaan, SERTA DIPULANGKAN SEMULA LEMBU TUANYA TADI!!!

Maha suci Allah yang memudahkan orang yang ikhlas untuk menderma!!

2- Di AUSTRALIA : Jual mainannya untuk sumbangan ke Palestin!!

Kanak-kanak ini tinggal bersama keluarganya di Australia. Beliau adalah berketurunan Arab, dari sebuah keluarga yang mementingkan agama.

Apabila beliau mendengar bahawa akan ada kutipan untuk Palestin, si kecil berusia 7 tahun ini mengumpul semua duit tabungannya, dan menjual banyak alat permainannya semata-mata untuk menyerahkannya bagi kawan-kawan sebaya di Palestin.

Selepas ceramah Dr Hafidzi di Islamic Centre, Hobart, Australia pada pertengahan Mac 2012, Safiah datang kepada Dr Hafidzi untuk menyerahkan semua duit yang telah dikumpulnya.

Hati si kecil tersentuh mendengar tentang penderitaan rakyat Palestin yang telah bermula lebih 60 tahun dahulu, lalu telah menggerakkan akal dan perbuatannya untuk mengumpul sebanyak yang mungkin untuk rakyat seagama dan sebangsa di tanah berkat itu.

Setelah dikira, duit yang diserahkannya daripada tabungan dan hasil jualan mainannya itu didapati berjumlah 57 dollar Australia (AUD). Itu adalah lebih kurang RM 188 ketika itu. Anda rasakan itu adalah sedikit sahaja ? Tidak sama sekali di sisi Allah, insya allah.

Keikhlasannya menyumbang telah meruntun perasaan penceramah dan hadirin yang turut mendengar kisah kanak-kanak ini. Kelembutan hati dan sikap prihatin seperti anak ini bakal meruntuhkan segala tembok besi dan batu yang didirikan oleh penjajah zionis di Palestin. Inilah generasi Salahuddin nanti insya Allah…

Ingatlah bahawa Allah ingin melihat sejauh mana kita bersyukur padaNya, bukan pada banyaknya nikmat yang telah ‘dipinjamkan’ kepada kita.

Semoga Allah menjadikan Safiah seorang pejuang keamanan untuk Palestin dan seluruh umat Islam…. Allahu akbar!!!

3- Di MALAYSIA : Kejar dengan motor untuk beri sumbangan!!!

Kisah ini saya dengar dari salah seorang ahli konvoi Aqsa2Gaza 2010, dengarkannya dan hayatilah kesedaran yang bermula daripada kefahaman.

Pada suatu hari, di satu kawasan perkampungan di sebuah negeri di Malaysia (tak ingat pula negeri mana), seorang penceramah Aqsa Syarif telah dijemput untuk memberikan ceramah perkongsian pengalaman beliau di Gaza.

Dalam ceramahnya, beliau telah menerangkan dengan penuh makna dan penghayatan kepada para jemaah di masjid di kampung tersebut. Setelah ceramah, ramai jemaah yang menyumbang, dengan memasukkan duit ke dalam tabung yang disediakan.

Walau bagaimanapun, seorang daripada ahli jemaah di situ telah pergi kepada aktivis Aqsa Syarif itu, lalu memohon agar beliau menunggunya seketika kerana ingin mengambil duit di rumahnya. Maklumlah, agaknya jarang sekali dia membawa wang ke masjid.

Tetapi pada hari itu, ahli jemaah tersebut bersungguh-sungguh untuk menyumbangkan ke Palestin, kerana sudah faham dan sedar akan tanggungjawabnya terhadap perjuangan membebaskan Masjid Al-Aqsa dan Palestin, tanah pusaka umat Islam.

Setelah penceramah menunggu kehadiran lelaki tadi, dan belum muncul-muncul, akhirnya si penceramah tidak jadi menantinya seorang, lalu bersiap-siap untuk pulang.

Semasa dalam perjalanan pulang dari masjid di kampung tersebut, tidak jauh dari lokasi ceramah, tiba-tiba kelihatan seorang lelaki sedang memecut motosikalnya ke arah kereta aktivis tersebut. Pada mulanya agak pelik kerana difikirkan untuk apa seseorang membawa motosikal dengan laju, seolah-olah mengejar dan meminta agar pemandu memperlahankan kenderaannya.

Rupa-rupanya ahli jemaah yang telah berjanji untuk menyumbang ke Palestin itulah juga yang menunggang motosikal tersebut. Beliau menceritakan bagaimana beliau bergegas pulang ke rumah dan mencari sedikit wang yang ada untuk disumbangkan ke Palestin, melalui Aqsa Syarif.

Aktivis Aqsa Syarif yang terlibat amat terharu dengan kesungguhan lelaki tadi. Subhanallah. Kalau bukan kerana keazaman dan kesedaran yang tinggi terhadap tanggungjawab kepada saudaranya di Palestin, saya yakin mana mungkin beliau sanggup mengejar kereta aktivis Aqsa Syarif yang sedang dalam perjalanan pulang.

Adakah anda ingin mencontohi keikhlasan lelaki ini ?

4- Dari MALAYSIA, ke GAZA : Malu kerana duit sikit sangat nak kirim ke Gaza!!

Kisah ini saya dengar sendiri dari Dr Selamat Aliman, salah seorang ahli Lembaga Pemegang Amanah bagi Aqsa Syarif Berhad. Beliau juga telah 3 kali cuba untuk masuk ke Gaza, akhirnya kali ketiga ini telah membuahkan hasil dan menunaikan impiannya.

Dahulu beliau bersama beberapa sahabat seperjuangan berada di sekitar Rafah Crossing, Mesir selepas tamat serangan ke atas Gaza pada tahun 2009. Namun pintu belum dibuka untuknya. Kali kedua ialah ketika menyertai Konvoi Flotilla Pembebasan Mavi Marmara pada tahun 2010, namun masih belum dapat masuk ke Gaza melalui laut, kerana disekat dek askar zionis.

Kali ketiga pula bersama Dr Hafidzi, Abdul Azim dan saya sendiri ke Gaza, dalam satu misi istimewa berkonsepkan audit projek-projek di Gaza. Misi BoT to Gaza, atau dalam nama panjangnya : Misi Board of Trustees of Aqsa Syarif to Gaza telah berjaya memasuki Gaza pada penghujung Januari 2012 yang lalu.

Semasa beliau melakukan persiapan di rumah, sebelum ke Gaza, anak saudaranya, lebih kurang 7 tahun, yang selama ini mengumpul duit untuk dihantar ke Palestin telah meminta ibunya menyerahkan tabung kecilnya kepada Dr Selamat. Kanak-kanak ini begitu gembira mendengar bahawa bapa saudaranya akan ke Gaza, jadi inilah peluang untuk menyampaikan duit simpanannya kepada saudara-saudara di Gaza, Palestin.

Beberapa perkara telah menyentuh hati saya ketika Dr Selamat sendiri yang menceritakan tentang tabung tersebut, kepada anak-anak yatim Palestin yang kami temui di pejabat Islamic Society of Jabalia, antaranya :

  1. Anak kecil tersebut telah lama mula menyimpan wang dalam tabungnya, untuk dihantar ke Palestin.
  2. Wang tersebut adalah dari wang belanjanya ke sekolah. Ini bermakna beliau telah berkorban untuk simpanan dalam tabungnya, khas untuk Palestin. Bayangkanlah berapa belanja anak kecil ke sekolah rendah.
  3. Dengan kerinduan kepada Palestin, si kecil telah melukis peta Palestin pada bahagian luar tabung tersebut.
  4. Yang lebih menyentuh hati saya ialah, apabila Dr Selamat mengira jumlah wang yang ada dalam tabung tersebut, hanya mencapai lebih kurang RM 17 sahaja. Oleh kerana itu, anak kecil itu malu untuk menyerahkannya sendiri kepada bapa saudaranya, Dr Selamat yang akan ke Gaza!

Saya telah menitiskan air mata, namun cepat diseka, ketika menangkap gambar tabung tersebut di bilik mesyuarat yang dipenuhi dengan anak-anak yatim Palestin dan ibu-ibu mereka, kerana mengenang diri sendiri yang tidak dapat menandingi usaha anak kecil tersebut. Sebaik-baik sedekah ialah daripada apa yang kita paling sayangi dan kita benar-benar ikhlas (menurut ayat Al-Quran dan Hadith berkaitan). Allahu akbar!!!

Di manakah kita semua daripada sumbangan seikhlas ini ?

5- Di MALAYSIA : Menangisi penderitaan rakyat Palestin, tabung diserahkan kepada atuk Hafidzi…

Amnan telah lama menabung. Sedikit demi sedikit, akhirnya tabung itu penuh. Apabila ada peluang, Amnan akan menyerahkannya kepada Aqsa Syarif untuk dihantar ke Palestin, untuk membantu rakyatnya meneruskan kehidupan yang serba kekurangan.

Itulah yang dilakukan Amnan setelah melihat sedutan video dari filem dokumentari Tears of Gaza, yang ditayangkan oleh Dr Hafidzi sempena ceramah isu Palestin di Masjid UNITEN.

Ibu dan ayahnya bersyukur dan bangga dengan semangat dan keprihatinan anak mereka terhadap isu Palestin, semenjak kecil.

Ada sesetengah kanak-kanak, akan menabung untuk membeli sesuatu yang mereka inginkan, seperti Playstation Portable (PSP), alat permainan atau apa-apa yang kanak-kanak lain inginkan pada umur sebegitu. Namun tidak bagi Amnan. Dia ingin ‘membeli’ saham perjuangan menuntut pembebasan Masjid Al-Aqsa dan Palestin. Dia ingin belikan anak-anak seumur dengannya di Palestin hadiah berupa alatulis, atau apa-apa keperluan mereka seharian. Dia ingin buktikan yang kanak-kanak di sana juga berhak menjalani hidup yang selesa, sepertinya di Malaysia.

Semoga Amnan menjadi salah seorang pejuang keamanan dan kesedaran bagi isu Palestin di Malaysia, dan mungkin di mata dunia. Jazakallahu khairan ya Amnan atas inspirasi yang diberikan kepada kami orang-orang dewasa…..

———————-

Nah.. inilah lima kisah yang memberikan inspirasi kepada saya, dan semestinya semua pembaca artikel ini.

Tindakan yang ikhlas dan bermakna ini tidak akan sia-sia , di dunia, mata manusia, dan di akhirat, pada pandangan Allah.

Sesungguhnya perjuangan membebaskan Al-Aqsa dan Palestin dari cengkaman rapuh zionis ini perlukan insan yang faham, sedar dan yakin bahawa kemenangan dan bantuan Allah itu adalah pasti, tetapi manusia perlu menunaikan tanggungjawabnya terhadap tanah pusaka itu.

Sekiranya bukan generasi kita, atau saya, yang akan dapat membebaskan Baitul Maqdis, Masjid Al-Aqsa dan Palestin suatu hari nanti, maka insya allah kita akan tinggalkan generasi muda dan kanak-kanak seperti ini selepas kita tiada di dunia ini, untuk menyambung perjuangan suci dan mulia ini, seterusnya di tangan mereka segalanya terbebas dan kembali ke tangan umat Islam. Insya Allah… Allahu akbar!!!

Saya akhiri artikel saya dengan hadith Nabi s.a.w :

berkata Maimunah r.ah kepada Rasulullah s.aw. : wahai Rasulullah, berikan kami wasiat/fatwa berkenaan Baitul Maqdis?

Maka baginda s.a.w bersabda : (( Ia adalah tempat Mahsyar dan Kebangkitan. Datanglah kepada Baitul Maqdis, lalu solatlah di sana. ))

Berkata Maimunah : jika aku tidak dapat ke sana, bagaimana pula ?

Jawab Baginda s.a.w : (( Maka kamu HADIAHKANLAH minyak tanah untuk menyalakan pelita dalam Masjid Al-Aqsa (Baitul Maqdis) itu. Kerana barangsiapa yang menghadiahkan minyak bagi pelita/lampu dalamnya, ia adalah seperti orang yang datang ke sana….. ))

– hadith riwayat Al-Haithami (sumber : Dorar.net)

Ayuh segera menyumbang untuk Palestin!!!

————————

p/s : maaf dah 2 bulan tak update, sejak balik dari Gaza lagi. Dah lama nak menulis, tetapi sentiasa tertangguh tujuan ini. Moga saya istiqamah dalam menyampaikan segala yang baik kepada masyarakat. Aamiin…

– Qafmimra –
6 April 2012 – 1.00 pagi, Kajang

Qafmimra

Advertisements
This entry was posted in Inspirasiku. Bookmark the permalink.

2 Responses to 5 inspirasi menyumbang untuk Palestin

  1. farhana berkata:

    izin copy 🙂

  2. sangat menarik cerita ini. sedih dengar keadaan masyarakat di sana. mari la kita bersma sama menolong saudara seagama kita disana.mereka perlukan bantuan kita semua. sanggupkah kita melihat mereka menderita. sumbanglah semampu mungkin

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s