4 persepsi daripada seorang Rasul s.a.w

Bismillahirrahmanirrahim

 Alhamdulillah… selawat dan salam buat junjungan besar kita, Nabi Muhammad  sallAllahu ‘alaihi wa sallam (s.a.w) , serta ahli keluarganya dan para sahabatnya.

Kita sering membuat persepsi masing-masing berkenaan sesuatu perkara. Manusia bebas membuat persepsi mengikut kehendaknya, dan kadangkala persepsinya juga boleh dipengaruhi dengan suasana dan apa yang ada di sekelilingnya.

Dewasa ini, kita banyak membuat persepsi tentang harga diri, kekuatan, kebahagiaan dan sebagainya. Sebagai contoh, ada yang kata : orang yang kuat ialah orang yang mampu mengalahkan lawannya dalam perkelahian. Orang yang bahagia ialah orang yang punya harta yang banyak. Orang yang bijak pula orang yang dapat belajar sehingga PhD. Begitulah seterusnya, persepsi kita dipengaruhi oleh budaya, tingkah laku dan persekitaran kita. 

Persepsi atau tanggapan kita terhadap sesuatu itu pula boleh mempengaruhi keputusan, tindak-tanduk dan pendirian kita. Sebagai contoh, persepsi seorang ayah terhadap calon suami anaknya, kadangkala banyak mempengaruhi keputusannya adakah akan terima calon itu atau tidak untuk anaknya. (Eh… pasal kahwin la pula…)

Bagaimana jika yang membuat persepsi itu ialah Rasulullah s.a.w ? Baginda s.a.w adalah manusia paling berpengaruh di muka bumi ini kerana baginda telah berjaya mengubah persepsi umat sedunia, terhadap agama dan kehidupan.

Aku di sini hanya ingin berkongsi beberapa hadith Nabi s.a.w yang ku rasa terpanggil untuk melihat makna dan mafhumnya tatkala dilihat telah mengubah persepsiku dan umat Islam. Rasulullah s.a.w mengajak kita menilai semua perkara itu dengan neraca agama terlebih dahulu, atau neraca akhirat sebelum dunia. Mari kita lihat hadith-hadith di bawah….

1. Kaya

Rasulullah s.a.w mengajar kita agar memahami apakah maksud kaya yang sebenar. Kaya sebenar bukan kerana harta… tetapi….

عن أبي هريرة رضي الله عنه : عن النبي صلى الله عليه و سلم قال : ” ليس الغنى عن كثرة العرض . ولكن الغنى غنى النفس ”

–          حديث صحيح رواه مسلم – رقم 1051

Mafhumnya :

Daripada Abu Hurairah r.a. , sabda Nabi s.a.w : “Bukanlah kaya itu dengan banyaknya harta benda, tetapi kaya itu adalah kaya jiwa.”

Hadith riwayat Muslim , no. 1051

Kaya jiwa banyak tafsirannya. Antara yang menafsirkannya ialah Imam An-Nawawi rahimahullah (rhm) dalam Syarah Sohih Muslim , katanya :

“Kekayaan yang dipuji (disukai Allah) ialah kaya jiwa, bersifat cukup dan kurangnya keinginan jiwa pada dunia.”

Kadangkala kita lihat orang yang miskin, walaupun tidak banyak harta, namun jiwanya yang kaya dengan sifat mencukupi (qana’ah), redha dan syukur telah menjadikannya lebih bahagia daripada orang yang kaya.

2. Muflis :

عن أبي هريرة رضي الله عنه : أن النبي صلى الله عليه و سلم قال : “أتدرون ما المفلس ؟” قالواالمفلس فينا من لا درهم له ولا متاع . فقال : “إن المفلس من أمتي ، يأتي يوم القيامة بصلاة وصيام وزكاة ، ويأتي قد شتم هذا ، وقذف هذا ، وأكل مال هذا ، وسفك دم هذا ، وضرب هذا . فيعطى هذا من حسناته وهذا من حسناته . فإن فنيت حسناته ، قبل أن يقضى ما عليه ، أخذ من خطاياهم فطرحت عليه . ثم طرح في النار”

حديث صحيح – رواه مسلم – رقم 2581

Mafhumnya :

Daripada Abu Hurairah radiyAllahu ‘anhu (r.a.) berkata , bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda : “Adakah kamu tahu apa itu muflis ?” Mereka (para sahabat) berkata : Muflis itu di kalangan kami ialah orang yang tiada dirham (wang) mahupun sebarang harta.

Lalu Baginda s.a.w. bersabda : “Sesungguhnya orang yang muflis di kalangan umatku, ialah orang yang datang pada hari kiamat nanti dengan pahala solat, puasa dan zakat, dalam masa yang sama dia datang dengan keadaan dirinya telah mencerca (orang) ini, qazaf (orang) ini, ia telah makan harta ini (pula), menumpahkan darah ini (pula), dan memukul ini (orang lain). Maka orang (dianiaya) itu diberi pahala si polan (yang menganiaya) , orang (lain yang dianiaya juga) itu juga diberi pahala si polan. Dan apabila pahala si polan (muflis) itu telah habis, bahkan sebelum dia dihisab pula atas perbuatannya, maka si polan muflis itu akan mengambil pula dosa-dosa orang yang dianiayainya, maka dilemparkan ke atasnya… lalu dia dilemparkan ke neraka!!.. “

Hadith riwayat Muslim, no. 2581.

Bayangkan jika segala amalan yang kita lakukan ini habis diberi sebagai ‘pampasan’ kepada orang yang kita zalimi. Zero! Muflis terus. Kalau muflis di dunia, tak apa lagi kerana masih ada bantuan zakat dan lain-lain, tetapi kalau muflis di akhirat, siapa yang ingin bantu kita kelak???

Oleh itu, janganlah sekali-kali menzalimi diri sendiri dan orang lain. Kesalahan kita kepada Allah, insya allah diampunkan atas kehendakNya . Tetapi, kesalahan kita kepada orang lain, Allah akan tangguh pengampunanNya selagi orang yang kita zalimi itu belum mengampuni kita.

3. Hebat / Kuat

عن أبي هريرة رضي الله عنه : عن النبي صلى الله عليه و سلم قال : “ ليس الشديد بالصرعة ، إنما الشديد الذي يملك نفسه عند الغضب “

حديث صحيح رواه البخاري – رقم 6114

Mafhumnya :

Daripada Abu Hurairah r.a. , bahawa Rasulullah s.a.w bersabda :

“Bukanlah orang yang hebat / kuat itu orang yang kuat dalam pertarungan. Sebenarnya orang yang hebat/kuat itu itu ialah orang yang mampu menguasai dirinya tatkala marah..”

Hadith riwayat al-Bukhary , no. 6114

Walau sekuat mana pun manusia itu, jika tidak mampu menahan kemarahannya daripada membuak-buak, lalu menukarkan marah itu kepada tingkah laku yang salah, maka orang itu masih belum dikira kuat.

Rasulullah s.a.w mengajar kita agar menjadi orang yang ‘gentleman’ , juga orang yang mampu mengawal diri dalam sebarang situasi sekalipun. Dalam satu hadith yang lain, baginda s.a.w berpesan kepada seorang sahabatnya yang meminta nasihat :

عن أبي هريرة رضي الله عنه : أن رجلا قال للنبي صلى الله عليه وسلم : أوصني ، قال : ” لا تغضب” ، فردد مرارا ، قال : “لا تغضب”

رواه البخاري في صحيحه – حديث رقم 6116

Mafhumnya : Daripada Abu Hurairah r.a. : bahawa telah berkata seorang lelaki kepada Nabi s.a.w. : Nasihatilah aku. Berkata Nabi s.a.w : “Janganlah kamu marah…” maka lelaki itu bertanya lagi beberapa kali, Nabi s.a.w berkata : “Janganlah kamu marah…”

Hadith riwayat al-Bukhary , no. 6116.

4. Bijak (hebat) vs Lemah

Semua manusia ada tafsiran berkenaan ‘bijak’ , berdasarkan persepsi dan kriteria yang ia tetapkan. Perkataan bijak ini juga selalu digunakan dalam iklan-iklan yang cuba melariskan produk-produk sesebuah syarikat , contohya : iklan sabun , “Pilihlah sabun DotDot , pilihan BIJAK !” atau iklan susu anak-anak , “Bijak membeli, anak pun bijak…”.

Masyarakat kini juga sudah biasa menafsirkan bijak pandai sebagai orang yang berpengetahuan luas serta berkelulusan tinggi. Tidak salah pun untuk menggunakan semua itu, tetapi apa tafsiran dan persepsi Rasulullah s.a.w terhadap perkataan ‘bijak’ ini?

Mari kita lihat hadith di bawah ini, perbandingan orang yang bijak dan bodoh (lemah) :

عن أبي يعلى شداد بن أوس رضي الله عنه : أن النبي صلى الله عليه و سلم قال : “الكيس من دان نفسه وعمل لما بعد الموت والعاجز من أتبع نفسه هواها وتمنى على الله “

رواه الترمذي في سننه – حديث رقم 2459

Mafhumnya : Daripada Syaddad bin Aus r.a. , bahawa Nabi s.a.w telah bersabda :

“ Al-Kayyis (orang yang bijak, peka) ialah orang yang sentiasa menghisab dirinya dan beramal untuk kehidupan selepas mati. Dan al-‘Ajiz (orang yang lemah, bodoh) ialah orang yang mengikut hawa nafsunya dan selalu berangan-angan pada (keampunan dan rahmat) Allah “

Hadith riwayat At-Tirmizi, no. 2459 .

Maka orang yang bijak ialah orang yang sentiasa berusaha untuk memperbaiki amalannya dan menghisab diri sendiri adakah semua kewajipan telah tertunai, semua larangan telah dijauhi dan setiap perbuatannya itu ikhlas untuk Allah semata-mata. Ia juga sentiasa bersedia menghadapi mati, kerana sentiasa beramal untuk bekalan sesudah mati.

Menurut Nabi s.a.w juga, orang yang lemah , atau bodoh, ialah orang yang asyik mengikut hawa nafsunya serta selalu mengharap bahawa keampunan Allah akan diraih tanpa berusaha sedayanya.

Itulah antara persepsi Rasulullah s.a.w kepada kehidupan di dunia ini. Segala yang berlaku ditimbang dengan neraca agama Allah, bukan dengan nafsu dan telunjuk dunia.

Demikianlah juga beberapa hadith untuk kita renungi bersama dan fahaminya dengan baik, serta dapat diterjemahkan kepada amalan soleh. Semoga apa yang ku kongsikan ini dapatlah diambil manfaatnya walaupun sedikit.

Maaf atas segala kekurangan, hamba ini bukan ‘alim mahupun pakar dalam memberi peringatan kepada umat manusia. Apa yang baik itu adalah daripada Allah, apa yang tidak baik itu adalah daripada kelemahan diriku sendiri.

Wallahu a’lam.

———————————————————————————

Sumber lafaz hadith dari web : http://www.dorar.net/enc/hadith

=============================================

p/s : Maaf lama dah tidak ku kemaskini blog ini. Sentiasa ‘berperang’ dengan masa yang ada….

Advertisements
This entry was posted in Ideologi. Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s