Ulama Syafi’iyyah dan nama orang Melayu : Apa kaitannya?

oleh : Kamaruzzaman bin Abd Rahim (Qafmimra)

Melaka

Segala puji bagi Allah yang namaNya adalah nama teragung dan termulia… Lahul asmaa-ul husna….

Selawat dan salam ke atas junjungan besar kita Nabi Muhammad sallAllahu alaihi wasallam, yang memiliki sebaik-baik nama manusia : yang terpuji…

Allah subhanahu wa ta’ala memiliki nama yang amat agung dan indah, yang layak bagi zat-Nya.. tiada siapa yang boleh menamakan dirinya dengan nama-nama Allah, secara amnya.

Nabi Muhammad s.a.w pula menitikberatkan pemilihan nama yang baik dan bermakna baik bagi para sahabatnya , kecil atau besar, lelaki mahupun perempuan. Banyak kita lihat dalam sunnah Nabi s.a.w bahawa baginda telah menukarkan nama-nama para sahabatnya kepada nama yang memberi makna yang baik.

Jika kita lihat di kebanyakan tempat, atau bangsa, yang beragama Islam, apa yang aku dapati ialah mereka menggunakan nama yang ringkas dan pendek. Contohnya : Ahmad, Muhsin, Fuad, Hamad , Fahad, Umar dan lain-lain.

Aku jangkakan , selepas pemerhatianku yang umum selama ini, hanya bangsa Melayu sahaja yang suka meletakkan nama anak lebih daripada satu perkataan. Sebagai contoh : Muhamad Hafiz Syakir bin …. . Lebih-lebih lagi bagi generasi kini.

Selain itu, ada yang suka menggabungkan nama ibu dan bapa anak tersebut, yang kadangkala tidak beri apa-apa makna yang baik.

Trend masa kini -apa yang ku lihat- , ialah memilih paling kurang dua nama baik untuk digabungkan menjadi nama yang UNIK bagi anak itu.

Jika kita lihat pula generasi yang sebelum ini, kebanyakan nama mereka adalah ringkas , dan yang menariknya pada umat Islam di Malaysia ketika itu juga, ialah mereka banyak menamakan anak-anak mereka dengan gelaran-gelaran ulama’ hebat, yang kebanyakannya ku lihat adalah ulama’ bagi mazhab Syafi’i, dan selebihnya pula adalah nama ulama’ lain.

Barangkali, antara faktor utama yang menggalakkan pemilihan nama untuk anak-anak dengan nama ulama’ syafi’iyyah ialah orang Islam di Malaysia majoritinya adalah bermazhab Syafi’i .

Mungkin juga kerana masyarakat masih meghormati para ulama’ , dan mereka ingin anak-anak mereka dinamakan dengan nama para ulama’ yg mereka kenali, maka dipilihlah nama tersebut. Wallahu a’lam.

Nama-nama yang akan ku senaraikan ini adalah antara nama-nama yang banyak digunakan oleh orang Islam, khususnya Melayu di Malaysia. Tak kurang juga di Indonesia dan negara-negara kepulauan Melayu yang lain.

Antara nama yang popular di kalangan orang Melayu Islam ialah seperti Ghazali/Razali, Syafi’i , Nawawi dan Asy’ari.

Tahukah anda ? Nama-nama ini adalah gelaran bagi tokoh-tokoh ulama’ Islam terkemuka.

Mari kita lihat nama-nama tersebut, dan ketahui dari mana datangnya nama itu. Mana tahu nama anda juga rupanya adalah gelaran bagi seorang ulama’. Aku telah sertakan terjemahan/biodata ringkas bagi tokoh ulama’ tersebut, untuk manfaat bersama.

Alwi – Ansari – Asnawi – Asy’ari – Azhari – Azra’i – Baihaqi – Baijuri – Bukhari – Damanhuri – Ghazali – Hanafi – Hanbali – Hasani/Husaini – Jailani – Jamzuri – Jauhari – Junid – Malik – Mawardi – Muslim – Nawawi – Ramli – Rafi’i – Razi – Roslan – Sanusi – Suyuti – Subki – Suhaili – Syarqawi – Syarani – Syazali – Syafi’i – Tirmizi – Zahiri – Zuhri

———————————————

Alwi / Alawi العلوي

‘Alwi atau ‘Alawi adalah gelaran bagi yang berketurunan Sayyidina Ali bin Abi Talib r.a. , justeru daripada kalangan Ahli Bayt Rasulillah s.a.w .

Banyak ulama’ yang disenaraikan dalam kitab-kitab biografi para cendekiawan Islam seperti kitab Siyaru A’laamin Nubalaa’ karangan Imam az-Zahabiy , akan diletakkan gelaran al-‘Alawi Al-Hashimiy , jika asal usul keturunannya adalah dari susur galur Ahlil Bayt.

Ansari الأنصاري

Al-Ansari adalah gelaran bagi orang yang keturunannya datang daripada masyarakat Al-Ansaar di Madinah (Aus dan Khazraj).

Contoh ulama’ yang punya gelaran al-Ansari ialah :

Sheikhul Islam Zakariya bin Muhammad al-Ansori . Beliau wafat pada tahun 926 H.

Beliau adalah seorang ulama’ Syafi’iyah , iaitu bermazhab Syafi’i . Antara kitabnya yang masyhur ialah :

  • Fathul Wahhab syarhu Manhajit Tullab dan Asnal Matolib syarhu Raudhit Tolib (dalam Fiqh Syafi’i)

Asnawi/Isnawi الإسنوي

Contoh ulama’ :

Sheikh Jamaluddin , Abd Rahim bin al-Hasan  Al-Isnawi. Beliau wafat pada tahun 772 H.

Isna adalah satu tempat di Mesir, dan dari situlah digelarkannya al-Isnawi.

Beliau juga adalah seorang ulama’ bermazhab Syafi’i . Antara kitabnya yang masyhur ialah :

  • Tobaqotus Syafi’iyyah dan Nihayatus Suul syarhu Minhajis Wusuli ila ‘Ilmil Usul (usul fiqh)

Asy’ari / Asya’ari / Sya’ari الأشعري

Contoh ulama’ :

Sheikh Abul Hasan, ‘Ali bin Ismail , daripada keturunan sahabat Nabi s.a.w iaitu Abu Musa al-Asy’ari. Asalnya adalah dari Yaman.

Beliau wafat pada tahun 324 H , atau 330 H.

Mazhab al-Asya’irah dinisbahkan ke atasnya. Beliau juga seorang ulama’ bermazhab Syafi’i .

Antara kitabnya yang masyhur ialah :

  • Maqolatul Islamiyyin dan Al-Ibanah ‘an Usulid Diyanah

Azhari / Azahari الأزهري

Gelaran Al-Azhari selalunya diberi kepada lulusan Al-Azhar di Mesir. Sangat ramai ulama’ yang lulus dari al-Azhar.

Ada juga ulama’ pakar bahasa Arab yang keluarganya digelar al-Azhari, contohnya :

Abu Mansur , Muhammad bin Ahmad bin al-Azhar , Al-Azhari. Beliau wafat pada tahun 370 H.

Beliau berasal dari Khurasan (di Iran).

Antara kitabnya yang masyhur adalah :

  • Tahzibul Lughah , sebuah kamus arab yang amat bernilai.

Azra’i / Azrai الأذرعي

Contoh ulama’ :

Sheikh Abul ‘Abbas Syihabud Din, Ahmad bin Hamdan al-Azra’i. Beliau wafat pada tahun 783 H.

Beliau adalah salah seorang ulama’ di negeri Syam (Syria, Jordan, Lubnan dan Palestin) , pernah menjadi Mufti Aleppo (Halab), Syria.

Beliau juga seorang ulama’ bermazhab Syafi’i .

Antara kitabnya yang masyhur ialah :

  • Al-Quut ‘alal Minhaj (fiqh) dan al-Masa-ilul Halabiyyat.

Baihaqi البيهقي

Contoh ulama’ :

Sheikh Ahmad bin al-Husain al-Baihaqi. Beliau wafat pada tahun 458 H.

Baihaq adalah satu tempat di Nisabur , Khurasan (di Iran kini) .

Beliau terkenal sebagai seorang yang banyak menyelidik kata-kata dan dalil-dalil yang digunakan oleh Imam asy-Syafi’i.

Beliau adalah seorang ulama’ bermazhab Syafi’i . Antara kitabnya yang masyhur ialah :

  • as-Sunan al-Kubra (popular dengan nama Sunan al-Baihaqi) dan kitab Ma’rifatus Sunan wal Aathar (fiqh perbandingan).

Baijuri / Bajuri / Beijuri / Bijuri الباجوري ، البيجوري

Ramai juga yang dinamakan dengan Baijuri di Malaysia ini rasanya.

Contoh ulama’ :

Sheikh Ibrahim bin Muhammad al-Bajuri/al-Baijuri . Beliau wafat pada tahun 1276 H.

Beliau pernah menjadi Sheikul Azhar.

Beliau juga seorang ulama’ bermazhab Syafi’i . Antara kitabnya yang masyhur ialah :

  • Tuhfatul Murid ‘ala Jauharatit Tauhid (atau Haasyiyah al-Baijuri ‘ala Jauharatit Tauhid  – kitab Aqidah)

Bukhari البخاري

Nama yang popular di kalangan masyarakat Islam Melayu.

Ulama’ yang biasanya dimaksudkan dengan al-Bukhari ialah :

Sheikh Abu ‘Abdillah, Muhammad bin Isma’il Al-Bukhary . Beliau wafat pada tahun 256 H.

Gelaran al-Bukhari datang daripada nama daerah Bukhara , yang mana sekarang ini terletak di Uzbekistan.

Dikatakan beliau adalah bermazhab Syafi’i , ada juga mengatakan beliau adalah bermazhab Hanafi, tetapi ramai ulama’ mengatakan bahawa beliau adalah seorang ulama’ mujtahid , iaitu tidak mengikut pada mana-mana mazhab. Wallahu a’lam.

Kitab karangan beliau yang paling masyhur ialah :

  • Al-Jami’us Sahih (Sohih al-Bukhari) dan al-Adabul Mufrid

Damanhuri الدمنهوري

Contoh ulama’ :

Sheikh Ahmad bin Abdil Mun’im ad-Damanhuri . Beliau wafat pada tahun 1192 H.

Damanhur adalah satu tempat di Mesir. Gelaran ad-Damanhuri diambil darinya.

Beliau pernah menjadi Sheikhul Azhar, pada tahun 1182H .

Beliau adalah bermazhab Syafi’i.

Untuk melihat senarai Sheikhul Azhar turun temurun, sila rujuk laman ini:

http://www.hukam.net/family.php?fam=383

Ghazali / Gazali / Razali / Rosalee / Rozali الغزالي

Nama yang tidak asing lagi bagi umat Islam di seluruh dunia, juga di Malaysia.

Ada dua ulama’ yang popular dengan gelaran al-Ghazali : Imam Abu Hamid Al-Ghazali dan Sheikh Muhammad Al-Ghazali.

Di sini ku beri biodata Imam al-Ghazali :

Sheikh Abu Hamid, Muhammad bin Muhammad al-Ghazali at-Tuusi. Beliau wafat pada tahun 505 H.

At-Tuusi adalah gelaran yang diambil daripada nama daerah Tuus  , sekarang di Iran.

Beliau adalah bermazhab Syafi’i. Antara karangan beliau yang masyhur :

  • Ihyaa’ Ulumid Din , Minhajul ‘Abidin, Bidayatul Hidayah.
  • Al-Mustasfa (ilmu usul fiqh).
  • Al-Basiit, al-Wasiit dan al-Wajiiz (fiqh Syafi’i)

Hanafi الحنفي

Istilah al-Hanafi diambil daripada nama seorang tokoh ulama’ mujtahid , Imam Abu Hanifah. Semua yang mengikut mazhab Imam Abu Hanifah dipanggil Hanafi, atau Hanafiyah jika sekelompok.

Dia adalah Sheikh Abu Hanifah, An-Nu’man bin Thabit. Beliau meninggal dunia pada tahun 150H , tahun yang sama Imam asy-Syafi’i lahir.

Beliaulah salah seorang imam bagi 4 mazhab yang mu’tabar dalam Fiqh Islam.

Antara kitab karangan beliau, atau boleh dikatakan kitab riwayat anak-anak murid beliau ialah :

  • Al-Fiqhul Akbar , riwayat Hammad bin Abi Hanifah , dan al-Fiqhul Akbar dengan riwayat Abi Mutii’ al-Balkhiy

Hanbali / Hambali الحنبلي

Seperti istilah Hanafi, begitu juga dengan istilah al-Hanbali. Gelaran ini diambil daripada nama Imam Mazhab Hanbali, iaitu Imam Ahmad bin Hanbal.

Beliau adalah Imam Ahmad bin Muhammad bin Hanbal, seorang muhaddith/pakar hadith. Beliau meninggal dunia pada tahun 241 H.

Beliau pernah berguru dengan Imam as-Syafi’i.

Beliaulah salah seorang imam bagi 4 mazhab yang mu’tabar dalam Fiqh Islam.

Antara kitab karangan beliau yang masyhur ialah :

  • al-Musnad (Musnad Imam Ahmad – mengandungi lebih 40 ribu hadith Nabi s.a.w. , dengan kepelbagaian darjat hadith, seperti hadith sohih, hasan dan lain-lain ).

Hasani/Husaini الحسني ، الحسيني

Gelaran ini adalah diambil daripada nama cucu Rasulullah s.a.w. , iaitu Sayyidina al-Hasan bin Ali r.a. , dan Sayyidina Husain bin Ali r.a.

Boleh dikatakan setiap ulama’ yang dilihat ada pada gelarannya : al-Hasani atau al-Husaini, maka beliau digolongkan dalam kalangan Ahlil Bayt.

Jailani/Zailani الجيلاني

Nama ini juga popular di kalangan masyarakat Islam di Malaysia.

Daerah Jailan atau Jilaan sekarang ini terletak di Iran.

Ulama’ yang dikaitkan dengan Jilaan ialah Sheikh As-Sayyid Abdul Qadir bin Musa al-Jailani.

Beliau dikenali sebagai seorang tokoh ulama’ yang hebat dalam pelbagai ilmu, khususnya ilmu tasawwuf. Beliau meninggal dunia pada tahun 561 H .

Dikatakan beliau bermazhab Syafi’i , atau Hanbali.

Jamzuri الجمزوري

Tidak disangka bahawa ada juga umat Islam di Malaysia yang dinamakan dengan nama imam hebat ini.

Beliau adalah Sheikh Sulaiman bin Husain bin Muhammad al-Jamzuri.

Gelaran Al-Jamzuri diambil daripada nama tempat asal ayahnya , iaitu daerah Jamzur di Mesir.

Beliau meninggal dunia pada tahun 1198 H.

Beliau adalah seorang ulama’ bermzahab Syafi’i.

Antara kitab karangan beliau yang masyhur ialah :

  • Tuhfatul Atfaal wal Ghilman fi Tajwidil Qur’an (matan ilmu tajwid dalam bentuk sya’ir Arab)

Johari/Jauhari الجوهري

Nama ini juga popular, tetapi adakah masyarakat tahu siapakah ulama’ yang dinamakan al-Jauhari?

Beliau adalah Sheikh Isma’il dan Hammaad al-Jauhari. Beliau meninggal dunia pada tahun 396 H.

Beliau amat arif dalam bidang bahasa Arab, seperti ilmu Nahwu, Sorf dan lain-lain.

Antara kitab karangan beliau yang begitu bernilai ialah :

  • As-Sihaahu fil Lughah (sebuah kamus Arab yang unik dan tinggi nilai bahasanya)

Junid/Joned الجنيد

Nama ini adalah nama seorang tokoh ulama’ hebat, juga ulama’ tasawwuf.

Beliau adalah Sheikh Abul Qasim, al-Junaid bin Muhammad.

Beliau meninggal dunia pada tahun 297 H.

Beliau selalu dijadikan rujukan dalam ilmu tasawwuf.

Malik مالك

Nama ini juga tidak asing bagi masyarakat Islam, termasuk di Malaysia.

Nama ini juga adalah nama bagi seorang tokoh ulama’ hebat di Madinah, sehinggakan beliau digelar sebagai Imam Dar al-Hijrah.

Beliau adalah Imam Malik bin Anas bin Malik al-Ansory . Beliau amat terkenal dalam bidang hadith dan fiqh, malah ramai ulama’ besar telah menjadi anak muridnya. Beliau pernah bertemu dengan beberapa orang Taab’iin seperti Ibn Shihab az-Zuhry dan lain-lain.

Kepadanya Imam Malik dinisbahkan mazhab Maliki.

Beliau meninggal di Madinah pada tahun 179 H.

Antara karangan beliau yang termasyhur adalah :

  • Al-Muwatta’ (sebuah kitab mengumpul hadith-hadith)

Mawardi الماوردي

Ulama’ yang bergelaran al-Mawardi ialah :

Sheikh Abul Hasan, Aqdhol Qudhah (sebaik-baik Hakim) , ‘Ali bin Muhammad bin Habib Al-Mawardi.

Beliau tergolong dalam Ashabil Wujuuh, iaitu peringkat ulama’ yang diambil kira kata-katanya dalan mazhab Syafi’i. Beliau adalah seorang ulama’ bermazhab Syafi’i.

Beliau meninggal dunia pada tahun 450 H.

Antara karangan beliau yang masyhur ialah :

  • Al-Ahkaam as-Sultaniyah (fiqh pemerintahan) , Adabud Dunya wad Din , dan kitab yang amat bernilai, Al-Haawi al-Kabiir (fiqh syafi’i)

Muslim مسلم

Muslim bermaksud seorang yang beragama Islam, atau yang menyerahkan dirinya pada Allah subhanahu wa ta’ala.

Ada juga seorang ulama’ terkenal yang mana kitab karangannya yang mengumpulkan hadith-hadith sohih adalah dianggap kitab paling sahih selepas al-Qur’ran dan Sohih al-Bukhary.

Beliau adalah Imam Muslim bin al-Hajjaaj bin Muslim Al-Qusyairy Al-‘Amiry. Beliau meninggal dunia pada tahun 261 H.

Ada yang berpendapat bahawa beliau adalah bermazhab Syafi’i , ada pula yang mengatakan Hanbali.

Antara kitab karangan beliau yang termasyhur ialah :

  • Sohih Muslim

Nawawi النووي

Nama ini juga tidak asing bagi masyarakat Melayu. Ramai yang bernama Nawawi di Malaysia ini juga.

Sebenarnya gelaran Nawawi adalah diambil daripada nama satu daerah di Syria yang dipanggil Nawa.

Ulama’ yang masyhur dengan panggilan ini adalah :

Sheikh Muhyiddin , Yahya bin Syaraf an-Nawawi. Beliau meninggal dunia pada tahun 676 H.

Beliau bermazhab Syafi’i, lantaran banyak mengarang kitab-kitab dalam fiqh mazhab Syafi’i.

Antara kitab karangan beliau yang termasyhur ialah :

  • Riyadus Solihiin , Al-Arba’uun an-Nawawiyah dan al-Azkaar (himpunan hadith-hadith Nabi s.a.w. )
  • Syarah Sohih Muslim
  • At-Tibyaan fi Aadaabi Hamalatil Qur’aan (adab dan ulum al-Quran)
  • Minhaajut Tolibin , Raudhatut Tolibiin dan al-Majmu’ syarhul Muhazzab (bidang fiqh , khususnya fiqh Syafi’i)
  • Al-Iidhohu fi Manasikil Hajj (fiqh berkaitan haji)

Ramli/Ramlee الرملي

Nama yang cukup popular di kalangan umat Islam di Malaysia.

Tahukah anda bahawa nama ini asalnya adalah satu gelaran bagi seorang ulama’ hebat dalam mazhab Syafi’i ?

Dialah Sheikh Syamsud Deen, Muhammad bin Ahmad bin Hamzah Ar-Ramliy Al-Misriy , dan beliau juga digelar oleh para ulama’ sebagai as-Syafi’i as-Soghiir, kerana ketinggian ilmu beliau dalam fiqh Syafi’i.

Gelaran ar-Ramli datangnya daripada nama daerah ar-Ramlah di Mesir.

Beliau meninggal dunia pada tahun 1004 H.

Antara karangan beliau yang masyhur ialah :

  • Nihayatul Muhtaaj ila Syarhil Minhaaj (fiqh Syafi’i)
  • Ghaayatul Bayaan syarhu Zubad Ibni Raslaan (fiqh Syafi’i)

Rafi’i / Rafa’ei الرافعي

Seorang sepupuku bernama seperti ini. Ini juga adalah gelaran bagi ulama’ besar dalam fiqh Syafi’i.

Dia adalah Sheikh Abul Qasim , Abdul Karim bin Muhammad bin Abdul Karim ar-Rafi’iy. Nasabnya bersambung hingga kepada sahabat Nabi s.a.w iaitu Rafi’ bin Khudaij.

Beliau bermazhab Syafi’i , dan dianggap salah seorang yang diambil kira pendapatnya dalam fiqh Syafi’i.

Antara kitabnya yang masyhur ialah :

  • Fat-hul ‘Aziz fi Syarhil Wajiiz (atau lebih dikenali sebagai asy-Syarhul Kabiir)

Razi/Radzi الرازي

Gelaran ini pula adalah diambil daripada nama daerah ar-Ray, di Iran.

Ramai yang bergelar Ar-Razi, contoh ulama’ yang terkenal:

Sheikh Abu ‘Abdillah , Ibnul Khatib, Fakhruddin, namanya Muhammad bin ‘Umar bin al-Husain bin al-Hasan Ar-Razi. Beliau daripada keturunan Sayyidina Abu Bakar as-Siddiq.

Beliau meninggal dunia pada tahun 606 H.

Beliau adalah tokoh ulama’ bermazhab Syafi’i.

Antara kitab karangannya yang masyhur ialah :

  • Al-Mahsul fi Usulil Fiqh (usul fiqh)

Roslan رسلان

Nama ini juga banyak digunakan oleh masyarakat Melayu (Islam).

Nama Roslan adalah nama bapa/datuk bagi beberapa ulama’, dan salah seorangnya adalah :

Sheikh Ahmad bin Husain, beliau dikenali dengan gelaran Ibnu Raslaan/Roslaan.

Beliau meninggal dunia pada tahun 844 H.

Beliau adalah ulama bermazhab Syafi’i.

  • Beliau amat terkenal dengan matan fiqhnya yang dinamakan Sofwatuz Zubad, atau juga dikenali sebagai Zubad Ibni Raslaan.

Sanusi السنوسي

As-Sanusi adalah satu qabilah di Maghribi/Morocco.

Contoh ulama’ yang bergelar as-Sanusi :

Sheikh Muhammad bin Yusuf bin ‘Umar bin Syu’aib As-Sanuusi

Beliau meninggal dunia pada tahun 895 H.

Antara karangan beliau yang masyhur ialah :

  • Ummul Baraahiin (atau ‘Aqidatu Ahlit Tauhid)

Sayuti/Suyuti السيوطي

Gelaran as-Suyuuti adalah diambil daripada nama daerah pedalaman Mesir, Asyut.

Ulama’ yang menggunakan gelaran ini ialah :

Sheikh Abul Fadhl Jalaluddin , Abdurrahmaan bin Abi Bakr al-Khudairy as-Suyuuti.

Beliau berasal dari Asyut, Mesir. Beliau meninggal dunia pada tahun 911 H.

Beliau adalah tokoh ulama’ mazhab Syafi’i.

Antara kitab karangan beliau yang masyhur ialah :

  • Al-Asybaahu wan Nazo-ir fi furu’isy Syafi’iyyah (kaedah fiqh mazhab Syafi’i)
  • Al-Itqaan fi ‘Ulumil Qur’aan (ulum qur’an)
  • Tafsir al-Jalaalain (tafsir Quran ini ditulis oleh Jalaluddin al-Mahalli, kemudian diteruskan setelah wafatnya oleh Jalaluddin as-Suyuti)

Subki السبكي

Apabila disebut as-Subki, para ahli fiqh (fuqahaa’) biasanya akan berbicara tentang salah seorang daripada dua ulama’ besar , seorang adalah ayah, seorang lagi anaknya.

Ayah : Sheikh Taqiyyuddin,  ‘Ali bin ‘Abdil Kaafi bin Tamaam as-Subki, dikenali dengan gelaran Taqiyyuddin as-Subki, atau as-Subki al-Kabir. Gelaran as-Subki diambil daripada nama daerah Subk al-‘Abiid di Mesir.

Beliau meninggal dunia pada tahun 756 H. Beliau adalah ulama’ bermazhab Syafi’i.

  • Antara kitab karangan beliau yang masyhur ialah : Al-Ibtihaaju syarhul Minhaaj (fiqh)

Anak : Sheikh Taajuddiin , ‘Abdul Wahhaab bin ‘Ali bin ‘Abdil Kaafi bin Tamaam as-Subki, dikenali dengan gelaran Taajuddiin as-Subki, atau Ibnus Subki.

Beliau meninggal dunia pada tahun 771 H. Beliau adalah ulama’ bermazhab Syafi’i.

Antara kitab karangan beliau yang masyhur ialah :

  • Tobaqaatusy Syafi’iyyah al-Kubraa dan Jam’ul Jawaami’.

Suhaili السهيلي

Nama ini kadangkala digunakan oleh lelaki, kadang-kadang perempuan.

Contoh ulama’ yang digelar as-Suhaili ialah :

Sheikh Abul Qaasim, Abdurrahman bin Abdullah as-Suhaili.

Beliau meninggal dunia pada tahun 581 H. Beliau bermazhab Maliki.

Antara kitab karangan beliau yang masyhur ialah :

  • Ar-Roudhul Anif , syarahan kitab as-Sirah an-Nabawiyyah oleh Ibnu Hisyam

Syarqawi الشرقاوي

Gelaran asy-Syarqawi datangnya daripada nama daerah asy-Syarqiyyah di Mesir.

Ulama’ yang popular dengan gelaran ini ialah :

Sheikh Abdullah bin Hijaazy bin Ibrahim asy-Syarqaawi . Pernah menjadi Sheikhul Azhar.

Beliau meninggal dunia pada tahun 1227 H.

Beliau bermazhab Syafi’i.

Antara karangan beliau yang masyhur :

  • Haasyiah asy-Syarqaawi ‘alaa Tuhfatit Tullaab (fiqh)

Syarani/Sya’rani الشعراني

Contoh ulama’ :

Sheikh Abul Mawaahib, ‘Abdul Wahhaab bin Ahmad asy-Sya’raani/asy-Sya’raawi.

Beliau berasal dari Saaqiyah Abi Sya’rah di Mesir.

Beliau meninggal dunia pada tahun 973 H.

Antara kitab karangan beliau yang masyhur ialah :

  • al-Ajwibatul Murdhiyyah ‘an A-immatil Fuqahaa-i was Suufiyyah

Syazali/Syazli/Sazali الشاذلي

Contoh ulama’ yang digelar asy-Syaziliy ialah :

Sheikh Abul Hasan, ‘Ali bin Abdullah Asy-Syaazili. Ulama tasauf.

Beliau meninggal dunia pada tahun 656 H.

Antara karangan beliau yang masyhur ialah :

  • as-Sirrul Jaliilu fi Khowaassi [Hasbunallahu wa ni’mal wakiil]

Syafi’i / Syafie الشافعي

Siapa yang tidak pernah mendengar nama Imam Syafi’i? Beliaulah imam mazhab kebanyakan orang Islam di Asia Tenggara, khususnya Malaysia.

Beliau ialah Imam Muhammad bin Idris bin al-‘Abbaas bin ‘Uthman , ibn Syafi’ , dari keturunan Bani al-Muttalib , dari suku kaum Quraisy, digelar asy-Syafi’i daripada nama datuknya Syafi’.

Beliau sangat kuat hafalannya, dan sangat mahir dalam pelbagai bidang selain fiqh, seperti bahasa Arab fasih.

Bahkan semasa beliau mengajar, ramai para ahli bahasa Arab mengikutinya hanya untuk mendengar bahasanya yang fasih.

Beliau lahir pada tahun Imam Abu Hanifah meninggal iaitu tahun 150 H. Beliau meninggal dunia pada tahun 204 H.

Antara karangan beliau yang masyhur ialah :

  • Ar-Risaalah (dikatakan bahawa kitab ini adalah kitab usul fiqh pertama yang dikarang)

Tirmizi/Tarmizi الترمذي

At-Tirmizi adalah gelaran yang diambil daripada nama daerah Tirmiz , yang sekarangnya di Uzbekistan.

Ulama’ yang digelar at-Tirmizi ialah :

Sheikh Abu ‘Iisa , Muhammad bin ‘Iisa bin Surah al-Buughi at-Tirmizi.

Beliau adalah anak murid Imam al-Bukhary.

Beliau meninggal dunia pada tahun 279 H.

Antara kitab karangan beliau yang masyhur ialah :

  • al-Jaami’ul Kabiir (atau Sunan at-Tirmizi)
  • Asy-Syama-ilul Muhammadiyah (kitab yang mengumpul hadith-hadith tentang peribadi Rasulullah s.a.w. )

Zahiri/Zahari الظاهري

Kemungkinan, nama ini diambil daripada gelaran ulama’ bermazhab Zohiriyyah , seperti :

Sheikh Abu Sulaiman, Daud bin ‘Ali bin Khalaf al-Asbahaani az-Zohiriy.

Beliau terkenal dengan mazhabnya yang hanya mengambil kira zohir nas al-Qur’an dan Hadith.

Beliau meninggal dunia pada tahun 270 H.

Zuhri / Zohri الزهري

Gelaran az-Zuhri diambil daripada nama qabilah Bani Zuhrah, dari kaum Quraisy.

Az-Zuhri adalah juga gelaran bagi seorang Taabi’iy (iaitu seseorang yang sempat melihat dan berjumpa dengan sahabat Nabi s.a.w , setelah Nabi s.a.w. wafat).

Beliau ialah Muhammad bin Muslim bin Abdullah bin Syihaab az-Zuhri. Dikenali dengan panggilan Ibnu Syihaab az-Zuhri.

Dikatakan dia adalah antara yang mula-mula menulis hadith-hadith Nabi s.a.w dan juga fiqh para sahabat r.anhum . Beliau banyak meriwayatkan hadith Nabi s.a.w daripada para sahabat baginda s.a.w. .

Imam Abu Dawud (pakar hadith) berkata : jumlah hadith Az-Zuhri ialah 2200 hadith.

Beliau meninggal dunia pada tahun 124 H.

———————————–

sumber rujukan utama :

– Siyaru A’laamin Nubalaa’ oleh Imam Az-Zahabi

– Bahagian terjemahan ulama’ dalam al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyah. Mereka telah meringkaskan terjemahan setiap ulama’, yang bersumberkan buku-buku khusus untuk biodata/terjemahan para alim ulama’ seperti kitab Tobaqaat asy-Syafi’iyyah dan lain-lain.

—————————————————————————————————-

p/s : Tujuan sebenar aku buat artikel ini ialah untuk memberi gambaran bahawa sejak dahulu lagi, umat Islam di Malaysia rata-ratanya adalah bermazhab Syafi’i , dan mereka amat menghormati para ulama’ dahulu kala. Tidak sewenang-wenangnya memperlekehkan sesetengah ulama’ yang lain pula. Cuma ada kalanya apabila mazhab lain dipraktik, ada yang akan jadi hairan . Oleh yang demikian, berhikmahlah dalam menerangkan kepada masyarakat kita di Malaysia ini, jika kita ingin mempraktikkan mazhab selain mazhab Imam Asy-Syafi’i….

Semoga para pembaca mendapat manfaatnya. Insya allah…

31 Oktober 2010

Qafmimra

Advertisements
This entry was posted in Inspirasiku. Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s