Teknologi Muhasabah : bagaimana?

Teknologi

Ramai orang berpendapat bahawa teknologi kini akan menyebabkan manusia jadi malas, lebih bodoh, dan banyak penyakit. Apa tidaknya, pada masa kini, kita lihat banyak teknologi yang canggih-canggih telah dicipta, hanya untuk memudahkan pekerjaan manusia, sehinggakan perkara-perkara kecil juga dibantu menggunakan kecanggihan teknologi, hasil rekaan manusia sendiri. Akibatnya, manusia jarang menggunakan tenaganya, malah akalnya!

Kita lihat – sebagai contoh – mesin basuh, mesin pencuci pinggan, blender, dan lain-lain, hatta jamban yang ada pembersih automatik itu, semuanya akan menjadikan manusia malas dan lebih bergantung pada teknologi.

Benar, teknologi jugalah yang membantu manusia untuk menjadi lebih maju ke depan, dan membuat segala urusan dan kerja dengan lebih mudah dan senang. Tak perlu contoh yang sukar, kita lihat sahaja penggunaan kereta, lori dan motosikal, yang banyak faedahnya pada manusia, bagi meringankan beban pengangkutan serta mempercepatkan urusan perjalanan dari satu destinasi ke satu destinasi yang lain.

Begitu juga dengan handphone, komputer, televisyen dan pelbagai lagi peralatan canggih yang lain, semuanya akan memudahkan manusia untuk menyelesaikan tugasan harian, sama ada di pejabat, sekolah, mahupun rumah.

Pernahkah kita terfikir pula, teknologi ini juga boleh dijadikan wacana bermuhasabah bagi diri kita sendiri. Pelik? Apa yang peliknya? Sedangkan dunia ini adalah jambatan ke akhirat, menuju kepada jalan keredhaan Allah di sana kelak.

الدنيا مزرعة الآخرة

Maksudnya : Dunia ini adalah ladang bagi akhirat.

Sudah lama ku ingin menaip tajuk ini, tetapi aku telah membiarkan idea ini bercambah sedikit demi sedikit dalam benak fikiranku, kerana bak kata beberapa pakar penulisan : binalah idea itu sedikit demi sedikit, agar bertambah matang dan bernas.

Mari kita lihat beberapa hasil kecanggihan teknologi manusia ini, benarkah dapat melahirkan keinsafan dan muhasabah pada diri kita ……

Jam loceng

1- Jam loceng = setiap saat yang berlalu , tak kiralah jam digital mahupun analog, setiap saat itu mengingatkan kita bahawa ajal kita semakin hampir. Dan adapun loceng yang ditetapkan bagi satu-satu waktu itu pula, boleh menggambarkan seolah-olah apabila loceng itu berbunyi, seperti ajal sudah tiba…

وَلِكُلِّ أُمَّةٍ أَجَلٌ ۖ فَإِذَا جَاءَ أَجَلُهُمْ لَا يَسْتَأْخِرُونَ سَاعَةً ۖوَلَا يَسْتَقْدِمُونَ

Maksudnya : Dan bagi tiap-tiap umat ada tempoh (yang telah ditetapkan); maka apabila datang tempohnya, tidak dapat mereka dikemudiankan walau sesaatpun, dan tidak dapat pula mereka didahulukan. – Surah al-A’raf ayat 34

2- Kamera pengawasan (CCTV) = pernah seorang naqib usrahku di Kuwait, berkata pada kami , bayangkan jika kamu duduk di sebuah bilik, yang ada CCTV dalamnya, di setiap penjuru, adakah kamu akan melakukan perkara yang tak elok? Bagaimana pula dengan pengawasan Allah padamu, yang baginya segala pengetahuan tentang dirimu zahir dan batin?

3- Cerek biasa/elektrik = seperti mana yang disebut dalam teori sains, molekul yang panas akan naik ke atas, digantikan dengan molekul yang lebih sejuk, begitulah seterusnya yang berlaku dalam cerek tersebut ketika proses memanaskan air. Satu lagi, molekul yang lebih dekat dengan api akan menjadi lebih panas daripada yang jauh dari api , bayangkan pula kalau di dalam neraka, tempat yang paling panas ialah yang paling bawah, di dasarnya.

إِنَّ الْمُنَافِقِينَ فِي الدَّرْكِ الْأَسْفَلِ مِنَ النَّارِ وَلَن تَجِدَ لَهُمْ نَصِيرًا

Maksudnya : Sesungguhnya orang-orang munafik itu ditempatkan pada tingkatan yang terkebawah sekali dari (lapisan-lapisan dalam) neraka. Dan engkau tidak sekali-kali akan mendapat sesiapa pun yang boleh menolong mereka. – Surah an-Nisaa’ ayat 145

Tol

4- Kereta dan tol di lebuh raya = seorang ustaz yang mengajar tasauf di masjid Balai Panjang , Melaka, Ustaz Shaari, pernah menyebut perkara ini, ketika memperkatakan tentang persiapan menuju ke akhirat. Kereta yang kita pandu menuju ke suatu destinasi itu ibarat manusia yang menuju ke akhirat. Kereta perlukan petrol, dan jika perlu, pemandu membawa bekalan duit, makanan, pakaian dan lain-lain, agar cukup untuk sampai ke destinasi yang dituju. Dan di lebuh raya pula ada tol-tol yang secara amnya, setiap kali melalui tol itu , akan berkuranglah bekalan duit pemandu itu.

Manusia di dunia ini juga begitu, dia perlu mencari bekalan secukupnya untuk menuju ke akhirat. Dan apabila tiba di akhirat pula, lebih-lebih lagi pada ketika amalan ditimbang dan meniti titian as-Sirat, manusia akan dinilai dengan iman dan amalannya, dan terpulang pada Allah untuk menentukan adakah dia adalah daripada kalangan ahli syurga atau neraka.

Satu lagi, pasti semua umat manusia inginkan perjalanan yang lancar, maka mereka menggunakan Touch n Go atau SmartTAG terus. Begitu juga di akhirat, ada orang yang dihisab atas setiap perbuatannya, ada yang tidak dihisab langsung. Semoga kita digolongkan dengan mereka yang kurang/tidak dihisab kelak. Aamiin…

5- Speaker PA (contohnya) = pernah sekali itu, di masjid dekat rumahku, kedengaran bunyi berdesing yang sangat kuat , akibat masalah teknikal yang berlaku pada mikrofon di situ. Amat bingit dan menyakitkan telinga. Ketika itu, ku teringat dua perkara : Pertama : Semasa Nabi Ibrahim s.a.w. diperintah oleh Allah agar menyeru manusia sejagat agar menunaikan haji di Baitullah, Allah telah berjanji bahawa Dia lah yang akan menyampaikan seruan itu. Tanpa menggunakan apa-apa peralatan bantuan. Ini menunjukkan kekuasaan Allah menandingi segala yang ada di dunia ini.

Sedangkan speaker belum mampu seperti itu. Kedua : Tiupan sangkakala yang akan dilakukan oleh malaikat Israfil di hari kiamat nanti, merupakan satu lagi fenomena yang belum dapat manusia capai dengan teknologi. Speaker menyampaikan bunyi sejauh yang boleh, menggunakan getaran udara dalam ruangan atmosfera sekeliling kita, tetapi agak terhad bukan?

6- Televisyen = Apabila melihat tv, teringat pula , pada hari akhirat kelak, manusia akan ditayangkan segala amalan yang dilakukannya, di hadapannya, satu per satu. Walau bagaimanapun, cara penayangan itu hanya Allah yang tahu. Namun apa yang penting, tv adalah seolah-olah gambaran bagi penayangan di hadapan manusia itu. Sesungguhnya penayangan amalan-amalan bagi manusia itu boleh dikira sebagai satu azab, seperti yang disebut oleh beberapa ulamak tafsir. Semoga kita semua diampunkan Allah atas segala yang kita lakukan, dan mohon daripadaNya agar kita diberi as-Satr (penutupan aib) daripadaNya.

الله استر عوراتي و آمن روعاتي

Ya Allah kau tutuplah aurat/keaibanku , dan kau amankanlah ketakutanku

7- Seterika = dalam satu ayat al-Quran, Allah mengkhabarkan tentang azab seksaan bagi orang yang tidak mengeluarkan zakatnya, antara azabnya ialah mereka seperti di’seterika’ pada bahagian depan dan belakang badan mereka. Semoga kita semua selamat dari azabNya.. Ya Allah…

8- Pinggan (teknologi juga) = pernah seorang kawan lamaku menulis di blognya http://cikgualim.blogspot.com/:

Andaikan 3 individu berbeza meminjam sebiji pinggan daripada kita.. selang beberapa tempoh masa, individu pertama memulangkan pinggan tersebut dalam keadaan bersih cantik tanpa sebarang kecacatan.. lalu kita pun terus meletakkannya di atas rak pinggan mangkuk seperti keadaan asalnya..

Individu kedua pula memulangkan pinggan tersebut dlm keadaannya yang masih kotor; tidak berbasuh.. Pinggan tersebut akan kita basuh sehingga bersih, kemudian barulah ianya diletakkan di tempat yg sepatutnya.. Individu ketiga pula memulangkan pinggan tersebut dalam keadaan pecah bersepai.. tidak boleh dibezakan lagi bentuknya antara pinggan mahupun serpihan kaca.. tiada nilainya lagi.. kita tiada pilihan lain selain menghumbankannya ke dlm tong sampah yg hina..

Begitulah jua halnya dgn Allah Taala.. Jika kita kembali kepadaNya dalam keadaan bersih, elok, tanpa kekotoran dosa, maka Allah akan terus meletakkan kita di tempat yang baik dan tempat yg selayaknya bagi kita.. iaitu syurga..

Namun jika kita kembali ke hadratNya dlm keadaan kotor dgn dosa, Allah akan ‘basuh’ kita sebersih-bersihnya di dlm api neraka sebelum memasukkan kita ke dlm syurga.. Tetapi jika kita kembali kepadaNya dlm keadaan yg rosak imannya, sehingga tidak dpt dibezakan antara iman dengan kufur, maka Allah tidak akan teragak2 utk menghumbankan kita ke dlm neraka jahannam yang hina buat selama-lamanya, ibarat pinggan yg pecah; tiada nilai lagi..

9- Komputer = sekarang ini kan zaman ICT , komputer dan internet. Segala maklumat dapat direkod dan disampaikan dengan begitu pantas dan ceka, serta lebih terperinci. Ingatlah pula dengan catatan amalan kita , yang dibuat oleh malaikat Raqib dan ‘Atid di kanan dan kiri kita itu, segala perkara kecil dan besar akan dicatat dalam ‘diari’ tersebut.

وَوُضِعَ الْكِتَابُ فَتَرَى الْمُجْرِمِينَ مُشْفِقِينَ مِمَّا فِيهِ وَيَقُولُونَ يَا وَيْلَتَنَا مَالِ هَـٰذَا الْكِتَابِ لَا يُغَادِرُ صَغِيرَةً وَلَا كَبِيرَةً إِلَّا أَحْصَاهَا ۚ وَوَجَدُوا مَا عَمِلُوا حَاضِرًا ۗ وَلَا يَظْلِمُ رَبُّكَ أَحَدًا

Maksudnya : Dan “Kitab-kitab Amal” juga tetap akan dibentangkan, maka engkau akan melihat orang-orang yang berdosa itu, merasa takut akan apa yang tersurat di dalamnya; dan mereka akan berkata:” Aduhai celakanya kami, mengapa kitab ini demikian keadaannya? Ia tidak meninggalkan yang kecil atau yang besar, melainkan semua dihitungnya!” Dan mereka dapati segala yang mereka kerjakan itu sedia (tertulis di dalamnya); dan (ingatlah) Tuhanmu tidak berlaku zalim kepada seseorangpun. – Surah al-Kahf ayat 49

10- Teknologi nano = Teknologi nano ini adalah antara teknologi terkini yang manusia berjaya cipta setakat ini. Pelbagai perkara dapat dimajukan menggunakan teknologi yang menggunakan kepakaran memanipulasikan struktur terkecil bagi zarah/atom di muka bumi ini. Bayangkan jika sekeping biskut yang kecil di tapak tangan kita, kita hancurkan sehingga menjadi serbuk. Dengan teknologi canggih kini, kita dapat melihat lebih kecil daripada serbuk itu. Maksudnya, banyak sungguh zarah/atom dalam sekeping biskut itu ye? Terfikir pula jika demikian, setiap perbuatan dan yang berhasil daripada perbuatan kita itu akan ditimbang dan dinilai oleh Allah subhanahu wa ta’ala. Ingatlah firman Allah :

فَمَن يَعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ خَيْرًا يَرَهُ ﴿٧﴾ وَمَن يَعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ شَرًّا يَرَهُ

Maksudnya : Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)! (7)Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)! (8) – Surah az-Zalzalah ayat 7-8

Kesimpulannya, kita sebagai hamba Allah di muka bumi ini patut melihat dunia ini dengan segala isinya ini sebagai satu medan untuk mencari bekalan menuju ke Akhirat nanti, serta sebagai satu wacana bagi muhasabah diri kita sentiasa.

Sekian dahulu renungan yang pelik dariku ini, semoga ada manfaatnya buat para pembaca. Wallahu a’lam.

Qafmimra

Advertisements
This entry was posted in Inspirasiku. Bookmark the permalink.

One Response to Teknologi Muhasabah : bagaimana?

  1. zaman dah moden sekarang ni. so banyak teknologi yang maju. kita perlu berhati hati menggunakan teknologi yang ada sekarang ini agar tidak lalai. gunakannya sebaik mungkin untuk kebaikan diri kita

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s