Cerpen : Dakwat dan kertas – Part 1

“Waduh…. capek bangat guwe!….” Faris masuk ke biliknya , keletihan setelah berjalan seja 20 minit tadi dari Surra Co-op.

Co-op , jam’iyyah atau supermarket Surra terletak di daerah Surra, berhadapan dengan Qortubah. Untuk ke sana dari Qortubah, perlu menyeberangi jalan Damascus Street yang memisahkan antara Qortubah dan Surra, kemudian berjalan menuju ke bulatan pertama, kemudian meneruskan lagi perjalanan hingga sampai ke bulatan kedua.

Co-op itu terletak di salah satu blok yang berhadapan dengan bulatan itu.

Kelihatan Amri, kawan sebiliknya dari Indonesia itu sedang nyenyak tidur, mungkin tertidur, kerana ada sebuah buku yang ditinggalkan terbuka di sebelahnya.

Tadi di Surra, Faris membeli sebatang pen buatan Kuwait, dengan harga KD 2.500 , berdakwat biru. Dia memang minat mengumpul pelbagai jenis pen semenjak kecil lagi. Setelah mencuba pen baru itu di mejanya, Faris bersiap-siap untuk tidur. Jam baru menunjukkan pukul 10.30 malam, dan biasanya , pada waktu-waktu begini, para pelajar yang ‘football-mania’ masih lagi bermain bola sepak di padang berdebu Maahad Dini di belakang hostel itu. Kadangkala sehingga 12 malam!

Tetapi malam ini, Faris amat keletihan dek berjalan agak lama tadi. Setelah menukar pakaian, lampu ditutupnya. Kawannya yang terlena itu dibiarkan sahaja. Memang tabiat Amri membaca buku, ketika tidur…..

———————————-

Tengah malam….

Di atas meja Faris.

“Hmm…. Assalamualaikum… saudari… saya Qalam, dari Kuwait. Nama saudari siapa?” Pen buatan Kuwait itu menegur seseorang, atau sesuatu.

“Waalaikumussalam… ahlan… nice to meet you.. Saya Ling, dari China…” pen berdakwat merah itu menjawab, sambil meleretkan senyuman manis.

Qalam mengerutkan dahinya seketika, lalu berkata :

” Masya allah.. awak dari China pun jawab salam saya? Awak Islam ke?”

Kali ini Ling pula mengerutkan dahinya, : “Ye.. alhamdulillah.. saya Islam. Wei shen ma? Kenapa pula? Awak ingat di tanah Arab sahajakah yang Islam?” sinis jawapannya, namun tepat mengena.

“Eh .. tidaklah saudari.. maafkan saya.. janganlah ambil hati dengan soalan saya itu.. Hmm. Ramaikah orang Islam di sana, cik Ling?” Qalam cuba membuka bicara.

“Alhamdulillah… Islam sudah bertapak di China beratus tahun dahulu lamanya. Ini bermakna ramai orang Islam di sana, hampir 39 juta orang tau.. Janganlah orang Arab ingat bahawa hanya di tanah Arab ini sahaja ada orang Islam.. buka mata sikit Qalam… Islam kan untuk semua.. Rasulullah s.a.w. diutuskan kepada seluruh alam..” Ling menjawab dengan panjang lebar. “Oh ye.. panggil saya Ling sahaja dah cukup…” sempat pula beramah, selepas kedengan tadi seperti sedang berhujah dengan nada agak keras. Ling senyum semula.

“Maafkan saya, tetapi saya tak kata pun hanya di sini ada Islam.. kalaupun saya kata, itu tak bermakna semua di tanah Arab ini juga fikir seperti saya.. mohon jangan menghukum keseluruhan perkara hanya dengan sebahagiannya… ” Qalam membalas hujah, tetapi dengan nada biasa, tidak meninggi. Berlagak ‘cool’ di depan perempuan.

Tiba-tiba..

“Ni apa kecoh-kecoh ni Ling? Nak tidur pun tak senang..” Sebatang pen berwarna emas muncul, sambil menggosok-gosok matanya. Nampak elegan, walaupun sudah pudar warna di badannya.

“Oh.. maafkan saya Aji.. ni ada kawan baru di bilik ini.. perkenalkanlah diri sendiri..” Ling mencebik.

Qalam tercengang seketika. Dingin sungguh pen merah ini dengannya.

“Eh awak ni Ling… tak elok dibuat mimik muka begitu, lebih-lebih lagi awak tu perempuan… hormatilah kawan baru ni… ye.. saudara ni dari mana? Namanya siapa?” pen emas itu berbahasa dengan Qalam.

“Saya Qalam, dari Kuwait. Selamat berkenalan..”

“Ahlan wa sahlan wa marhaban ya mulla! … Saya Aji, dari Mali, Republik Mali.. Biasa dengar tak?” Aji menguji Qalam.

“Kalau tak silap, Mali terletak di barat Afrika kan?” Qalam membalas dengan satu fakta pula. Teknik menjawab yang dipanggil : uslub al-hakim..

“Masya allah… bagus kerana awak juga tahu.. jarang benar orang tahu tentang Mali. Oh ya.. Bila awak sampai di sini? Belum pernah lagi saya lihat awak sebelum ini?”

Qalam terjenguk-jenguk lalu menuding jari ke arah Faris yang sedang nyenyak tidur. “Oh… lelaki itulah yang membeli saya di kedai tadi, dari Surra. Tak sangka saya bahawa dia berminat dengan pen-pen mahal seperti saya. Lagi-lagi pula buatan Kuwait, memang jarang didapati…”

“Faris tu memang suka mengumpul pelbagai jenis pen, semata-mata untuk dijadikan koleksinya. Saya juga dahulu pen mahal tau. Buatan Mali, yang mana biasanya harga pen seperti saya ialah tidak kurang daripada KD 4.000 . ” Aji seolah-olah bangga dengan itu.

“Masya allah… mahalnya.. sudah tentu berkualiti tinggi kan.. Saya hanya berharga KD 2.500 , murah sedikit dari awak Aji..” Qalam merendah diri.

Aji membalas : “Walau apa pun, yang penting ialah kualiti pen itu yang patut dilihat, bukannya harga dan asal usul pen itu kan?”

“Betul tu. Tengok sahaja buatan China, walaupun murah, tetapi berkualiti juga , macam saya…” Ling senyum lebar.

Qalam ketawa perlahan. Benar apa yang mereka katakan.

Tak kiralah dari mana jua pen itu diimport, atau setinggi mana pun harganya, yang penting biarlah benar-benar berkualiti dan boleh berkhidmat dengan baik kepada tuannya.

Begitu jugalah dengan kelulusan seseorang, tak kiralah di mana jua dia belajar, di Barat, Timur, di mana jua, jika diri sendiri tidak berkualiti dan tidak dapat menggunakan ilmu yang diberi seadanya , tak perlulah dinilai dengan jauhnya dia belajar , atau mahalnya kos pengajian.

“Baiklah kawan-kawan sekalian. Saya pun dah mengantuk ni.. rasanya , tak ada apa lagi yang nak dibincangkan malam ini kan? Selamat berkenalan Qalam. Selamat malam semua. Assalamualaikum…” Aji meminta diri.

Ling dan Qalam juga sudah beberapa kali menguap.

“Waalaikumussalam…..”

——————————-

Pagi esoknya

Faris hairan bagaimana perkara itu boleh berlaku. tetapi dia masih berdiam diri.

Takkan Amri yang punya angkara?

Faris fikir, lebih baik dia perhatikan dahulu, sekiranya perkara ini berulang lagi, barulah dia akan bertanya kepada teman-teman sebiliknya itu.

Memang pelik.

Bahkan , dalam hatinya dia berkata : dah tak ada tempat lainkah?

bersambung……

————————————————————————–

Inspirasi :

1 – Umat Islam di seluruh dunia kini mencecah 1 biliion orang. Segala puji bagi Allah yang menjadikan Islam untuk semua umat. Rasulullah s.a.w bersabda :

أن النبي صلى الله عليه وسلم قال : أعطيت خمسا ، لم يعطهن أحد قبلي : نصرت بالرعب مسيرة شهر ، وجعلت لي الأرض مسجدا وطهورا ، فأيما رجل من أمتي أدركته الصلاة فليصل ، وأحلت لي المغانم ولم تحل لأحد قبلي ، وأعطيت الشفاعة ، وكان النبي يبعث إلى قومه خاصة ، وبعثت إلى الناس عامة

Aku diberi lima perkara, yang tidak pernah diberi kepada selainku : Aku diberikan kemenangan – dengan ketakutan oleh musuh – sebulan sebelum perang; dijadikan bagiku seluruh tempat di muka bumi ini sebagai masjid – iaitu tempat solat – , maka barangsiapa yang hadir waktu solat di mana jua dia berada, maka solatlah; dihalalkan bagiku harta ghanimah – rampasan perang – sedangkan tidak diberi pada nabi-nabi sebelumku; aku dikurniakan peluang beri syafaat di hari kiamat; dan seorang nabi diutuskan kepada kaumnya sahaja sebelumku, tetapi aku diutuskan ke seluruh manusia… )

Riwayat al-Bukhary, hadis 335 – terjemahan secara makna.

2 – Janganlah menghukum sesuatu itu hanya berdasarkan sebahagiannya sahaja.

3 – Mimik muka dan gerak badan (body language) adalah lebih bahaya dan memberi kesan lebih mendalam daripada berkata-kata, seperti dalam satu kajian oleh pakar-pakar psikologi. Ia dipanggil : komunikasi bukan lisan.

4 – Ilmu itu dinilai dengan pengamalannya. Ilmu tanpa amal adalah seperti pokok yang tak berbuah. Tidak kiralah jauh mana pun menuntut ilmu, tetapi jika tidak diamalkan atau diri tidak berkualiti, maka sia-sialah sahaja.

Advertisements
This entry was posted in Inspirasiku, Karya. Bookmark the permalink.

One Response to Cerpen : Dakwat dan kertas – Part 1

  1. SyahiranMuhd berkata:

    Slm ukhuwwah kawan lamer 🙂

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s