Dakwah boleh di mana-mana?

Suatu petang, dalam perjalanan pulang ke hostel di Shuwaikh, menaiki bas Nissan Civilian itu, kawan-kawan yang duduk di sebelahku ber’diskusi’ tentang sesuatu. Seperti satu topik yang menarik.

Aku yang duduk di sebelah mereka hanya mendengar dengan tekun hujah-hujah mereka.

Perhatianku lebih tertarik tatkala kawanku , Musa Sana, dari Burkina Faso tiba-tiba bersuara dengan tegas : Aku masih mengatakan bahawa dakwah itu boleh disampaikan di mana-mana.

Kami duduk di bahagian belakang , dan ketika itu tempat duduk di dua baris terbelakang tersebut penuh.

Musa dihujani dengan pelbagai persoalan oleh para pelajar bersebelahannya, yang mana majoritinya ku lihat adalah negatif terhadap kata-kata yang diucapkannya sebentar tadi.

Ada yang kata : Dakwah ada tempatnya…

Ada yang kata : Dakwah tak boleh di semua tempat..

Lebih daripada itu, seorang lagi pelajar menyampuk : takkan di tandas pun kau nak berdakwah?

Musa masih bertegas dengan pendapatnya itu. Seingat aku, dia adalah pelajar major Akidah dan Dakwah, satu pengkhususan yang jarang diambil oleh para pelajar di Kuliyyah Syari’ah.

Ku fikir, mereka tidak mahu menganalisa dahulu kata-kata Musa itu, kerana masing-masing keletihan agaknya.. Petang-petang begini memang selesa untuk tidur, bagi sebahagian besar pelajar di sini. Mujurlah aku tidak tergolong dalam kelompok itu. Kalau tertidur tu, maknanya aku tidur tanpa niat. 🙂

Aku yang sejak tadi hanya berdiam diri dan mendengar sahaja diskusi mereka itu, akhirnya bersuara , berfaktorkan aku ingin berkongsi pendapat dengan mereka, walaupun aku ini bukanlah pandai memberikan pendapat :

Aku setuju dengan pendapat Musa. Dakwah boleh disampaikan di mana-mana, tak kira tempat.

Semua yang di situ berpaling kepadaku, memicing telinga dan memberikan wajah-wajah hairan. Apa yang ingin disampaikan oleh budak ni?

Aku senyum, lalu memandang Musa dan berkata : Dakwah sebenarnya mempunyai skop yang luas. Sehinggakan di dalam tandas sekalipun, kita boleh berdakwah…

Kataku lagi : Jika kamu kata bahawa kita tak boleh baca atau letak apa-apa tulisan ayat al-Quran dan hadith di dalam tandas, aku setuju, tetapi kita boleh letak benda lain kan?

Berdakwah ke arah kebaikan, bukankah itu salah satu cabang dakwah? Lihat contoh tadi, kita boleh letak selain ayat al-Quran, seperti : Kebersihan itu adalah sifat seorang mu’min… dan sebagainya..

Aku ingin berhujah dengan lebih panjang, tetapi nampaknya sampai di situ sahaja diskusi kami… Bas telahpun sampai di hostel, dan itu bermakna para pelajar akan turun dari bas, lalu ke bilik masing-masing…

Apa pun, aku harap mereka faham apa yang ingin ku sampaikan… Moga mereka dapat meluaskan skop pemikiran, lebih-lebih lagi dalam bidang dakwah ini.. Aku bukanlah pandai mana dalam berdakwah, namun bak kata seorang guru : Berikanlah apa yang kamu mampu , tetapi jangan memandai-mandai pula…

————————–

Inspirasi :

Dakwah bermaksud menyeru dan memanggil.

Dakwah juga boleh didefinasikan sebagai jemputan, seperti jemputan ke kenduri kahwin, orang Arab sebut : Da’wah ilal afraah…. atau Da’wah ila walimatil ‘urs..

Selain itu, dakwah juga boleh membawa maksud : doa..  Seperti dalam doa yang berasal daripada suatu hadith :

و من دعوة لا يستجاب لها

bermaksud : ………. dan daripada doa yang tidak dimakbulkan..

Dan yang jelas, makna pertama yang ku sebut tadi adalah yang dimaksudkan di sini..

Apabila kita sebut tentang berdakwah, maka kita akan terbayang bahawa itu bermakna seruan ke jalan Allah..

Jadi destinasi terakhir bagi perjalanan dakwah ialah ke arah redha Allah, menyusuri landasan syari’ahNya , berdasarkan panduan yang diberikan oleh Rasul-Nya sallallahu ‘alaihi wasallam, dibimbing oleh para ulama’ yang sentiasa teguh dalam menegakkan Islam..

قُلْ هَٰذِهِ سَبِيلِي أَدْعُو إِلَى اللَّهِ ۚ عَلَىٰ بَصِيرَةٍ أَنَا وَمَنِ اتَّبَعَنِي ۖ وَسُبْحَانَ اللَّهِ وَمَا أَنَا مِنَ الْمُشْرِكِينَ

Maksudnya : Katakanlah: “Inilah jalan (agama)ku, aku dan orang-orang yang mengikutiku mengajak (kamu) kepada Allah dengan hujjah yang nyata, Maha Suci Allah, dan aku tiada termasuk orang-orang yang musyrik”. (108)

Surah Yusuf ayat 108

Sudah semestinya berdakwah ke arah mentauhidkan Allah dan membenarkan Rasulullah s.a.w itu adalah skop paling utama dalam berdakwah. Tetapi tidak pula kita lupa bahawa menyeru ke arah kebaikan dan menegah daripada segala kemungkaran juga adalah sebahagian daripada subjek dalam berdakwah. Tidakkah al-Amr bil ma’ruf dan an-Nahyu ‘anil munkar itu semuanya tidak lain hanya untuk membawa manusia ke jalan Allah?

Jika demikian, setiap orang Mu’min boleh melaksanakan dakwah mengikut kemampuannya, serta mengikut kreativitinya sendiri. Yang penting, tujuannya satu, walaupun pelbagai cara dan bidang.

Selain itu, dakwah , sepertimana yang ku sebut sebelum ini, boleh disampaikan di mana-mana. Bukan hanya di masjid atau surau sahaja.

Sebagai mengulangi contoh tadi, katakan di tandas, apakah yang boleh kita lakukan untuk berdakwah?

Sudah tentu membaca al-Quran bukan sesuatu yang sesuai di situ. Jadi kita gantikan dengan menampal sticker kecil di pintu tandas, atau di sinki, dengan kata-kata seperti : Kebersihan itu sifat orang beriman, atau membazir air itu sifat yang dikeji, atau syukurilah atas segala nikmat yang kita dapat, dan sebagainya.

Anda mesti pernah mendengar suatu kisah yang rasanya amat masyhur – walaupun tidak diketahui kesahihannya – , di mana suatu ketika dahulu, di sebuah negara, kemungkinan Eropah, seorang guru di sebuah pusat pengajian , selalu memperlekehkan seorang pelajar Muslim yang ada dalam kelasnya, kerana pelajar itu seorang Muslim. Pada suatu hari, guru tersebut masuk ke tandas, lalu mendapati pelajar itu sedang membasuh kaki di sinki, yang bagi guru itu, itu satu perbuatan yang akan mencemarkan tempat basuhan muka di tandas itu.

Guru itu bertanya : Apa yang kamu buat ini? Kenapa kamu basuh kaki kamu? Kan ini akan mengotorkan sinki tersebut?

Pelajar itu menjawab : Saya berwuduk , tuan.. Lima kali sehari saya akan berwudhuk. Boleh saya tanya, berapa kalikah masyarakat di sini membasuh muka sehari?

Guru itu menjawab : Mereka basuh muka sekali sahaja setiap hari. Mengapa?

Pelajar itu menjawab : Kami orang Muslim membasuh kaki lima kali sehari, ini bermakna kaki kami lebih bersih daripada muka mereka…

Guru itu terpegun dengan hujah yang diberi, dan dikatakan bahawa guru itu telah memeluk agama Islam, selepas peristiwa di tandas itu.

Itu salah satu contoh berdakwah di tandas, betul tak?

Di bawah ini, ku ingin berkongsi idea dengan para pelawat blog ini, tentang idea-idea berdakwah di pelbagai tempat yang jarang dijadikan tempat berdakwah, dan boleh dipraktikkan juga di negara-negara yang bukan majoritinya adalah Muslim :

1- dalam LRT / MRT / SkyTrain / Metro dan lain-lain : memberi orang tua duduk, tak kira dia Muslim atau tidak; menjauhi daripada duduk bersebelahan dengan wanita bukan muhrim, lebih-lebih lagi yang berpakaian menjolok mata; membaca buku-buku ilmiah atau al-Quran (jika mampu mengelak daripada riya’); berzikir perlahan-lahan; menegur dengan baik jika ada individu yang berkelakuan tidak senonoh (bergantung kepada situasi);

2- di supermarket : tidak memotong baris , dan orang lain ketahui bahawa anda adalah Muslim; sabar jika ada sebarang perkara yang tidak disenangi, lebih-lebih lagi di kaunter pembayaran; mengelak daripada tangan bersentuhan dengan individu berjantina lain, seperti semasa mengambil baki bayaran dll;

3 – di restoran , tak kira berseorangan atau bersama kawan-kawan : membaca doa sebelum makan, dan jika beramai-ramai, lebih efektif; tidak melakukan pembaziran pada makanan dan minuman;

4 – di taman rekreasi untuk berjoging atau picnic : memakai pakaian yang sopan dan menutup aurat, serta minum air dengan keadaan duduk; jika tiba waktu solat, segera menunaikannya jika badan dirasakan bersih, serta ada surau atau masjid yang berdekatan, di samping mengajak rakan-rakan solat berjemaah;

5- dalam kapal terbang : menjaga solat , tidak sanggup meninggalkan solat walaupun keadaan tidak mengizinkan; membaca al-Quran atau buku-buku berfaedah;

6- di rumah sendiri : meletakkan ayat-ayat al-Quran di dinding rumah, serta terjemahannya jika boleh; mengajak tetamu solat di rumah, jika masuk waktu solat; mengelakkan daripada mengumpat orang lain di rumah anda, kerana sesiapa yang mengumpat, dan seorang lagi mendengarnya tanpa menegahnya, seolah-olah orang itu juga mengumpat.. ; memasang tirai bagi menutup bahagian-bahagian rumah yang boleh mendedahkan aurat atau aib penghuni rumah itu;

Cukuplah setakat ini untuk ku kongsikan. Banyak lagi tempat yang boleh disampaikan dakwah , serta banyak lagi cara untuk berdakwah di tempat-tempat yang ku sebut tadi. Jangan lupa, pastikan niat kita adalah betul dalam berdakwah, bukannya untuk menunjuk-nunjuk pula.

Mungkin anda lihat perkara yang ku sebut tadi hanya seperti perkara kecil sahaja, namun kadangkala dengan sekecil-kecil perkara pun ada yang mampu memberi kesan.

Dan method atau usluub yang ku sebut di atas tadi adalah : berdakwah dengan qudwah. (berdakwah dengan teladan)

Kata seorang cendekiawan : Perbuatan seseorang di hadapan seribu orang, lebih berkesan daripada kata-kata seribu orang terhadap seseorang itu…

Aku bukanlah seorang yang bijak berdakwah, tetapi cuma ingin meluahkan idea semata-mata. Wallahu a’lam..

Jika ada salah atau tersilap bahasa, atau kurang tepat dalam penggunaan kata, mohon teguran dan panduan… Terima kasih…

—-

p/s : ada juga aku terbaca dalam satu blog, tentang usaha sebahagian pendakwah yang ingin berdakwah di pusat hiburan seperti disko. Mencabar tu. Perlukan lebih kajian dalam method berdakwah di situ. Tak dapat nak ku komen lebih-lebih, kerana masing-masing ada awlawiyyat dalam pemahamannya. (Fiqh Awlawiyyat = Feqah Keutamaan)

p/s 2 : Antara buku yang bagus untuk dijadikan sumber rujukan : Kitab Ihya’ Ulumid din , bahagian Al-Amr bil Ma’ruf, oleh Imam Abu Hamid Al-Ghazali; Fiqh Awlawiyyat oleh Sheikh Yusuf Al-Qardhawi ; Usulud da’wah oleh Sheikh Abdul Karim Zaidan; dan banyak lagi… wallahu a’lam…

Advertisements
This entry was posted in Inspirasiku. Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s