Inspirasi dan pengalaman baru

Inspirasi memberikanku motivasi. Pengalaman memberikanku pengertian.
Inspirasi membawaku ke alam fikiran lebih baik. Pengalaman mematangkan pemikiran…

Kedatangan mereka ke mari bukan sia-sia. Datangnya mereka memberikanku pengalaman. Duduk bersama mereka mengajarku pelbagai erti. Pulangnya mereka meninggalkan inspirasi buatku.

Pada Rabu, 28 Oktober yang lepas, tiga orang Profesor dari Universiti Kebangsaan Malaysia telah tiba di Kuwait. Aku , Shahril, Abg Sufillah dan Che Ameir menyambut mereka di airport. Alhamdulillah segalanya berjalan lancar.

Pihak Kuwait University telah memberitahuku bahawa mereka akan menerima ketiga-tiga Prof UKM tersebut sebagai tetamu universiti, dan ini bermakna mereka akan diberi layanan istimewa serta diberi pelbagai kemudahan, termasuk ‘driver’.

Pengalaman 1 – Mengurus kedatangan tetamu akademik

Pengalaman baru bagi aku. Rasanya ini pertama kali aku urus kedatangan tetamu ke Kuwait. Bermula daripada email, fax, panggilan telefon hinggalah berjumpa sendiri dengan Sekretari Dekan Kuliyyah Syari’ah.

Inspirasi : Dapat mempelajari serba sedikit bagaimana mengurus tetamu akademik, dan jika di tanah Arab, seperti Kuwait ini, kita perlu selalu follow-up dengan mereka, agar mereka ambil berat tentang perkara itu.

Pengalaman 2 – Menyambut tetamu di airport

Alhamdulillah, pendek cerita, mereka pun tiba pada 28 Oktober di Kuwait. Mujurlah ada wakil dari Kuwait University juga, kerana mereka yang menyediakan pengangkutan. En Zufli dari Kedutaan Malaysia pun ada membantu dalam urusan visa. Mereka ialah Prof Dr Mohd Nasran Mohamad, Dekan Fakulti Pengajian Islam UKM, Prof Zakaria Stapa, mantan Dekan FPI UKM, dan Prof Madya Dr Zamri Arifin, Ketua Jabatan Pengajian Arab dan Tamadun Islam. Semasa mereka keluar, Dr Zamri awal-awal lagi sudah senyum padaku kerana kami sudah bertemu di UKM tempoh hari. Aku datang dengan Shahril, Abg Sufillah dan Che Ameir.

Inspirasi : Perasaan berdebar pasti ada jika kita ada dalam situasi begini, tetapi aku buat selamba sahaja. Untuk menghormati mereka, aku telah memakai pakaian yg kemas dan segak, agar memberikan ‘first impression’ baik tentang kami semua.

Pengalaman 3 : Menjadi ‘guide’ Prof UKM di Kuliyyah Syari’ah

Pada 29 Oktober, pagi Khamis, mereka telah melawat Kuliyyah Syari’ah di Kaifan. Aku jugalah yang seolah-olah menjadi pemandu arah dan juga jurufoto mereka. Mujurlah hari itu pensyarahku tidak dapat menyampaikan kuliah atas urusan tertentu, senanglah untuk aku mengikut ke mana mereka pergi. Mereka melawat pejabat Kuliyyah , kemudian pejabat Dekan, bilik-bilik para pensyarah yang ada pada pagi itu, makmal komputer Aayan, bilik kuliah ‘distance learning’ yang ada skrin besar dan kamera menghubungkan bilik itu dengan bilik di bangunan khas untuk pelajar perempuan, dan akhirnya ke Maktabah/Perpustakaan Kuliyyah Syari’ah.

Bilik Dekan Kuliyyah Syari'ah

Pelbagai pengalaman aku dapat semasa mengikuti mereka melawat. Semasa di pejabat Dekan, aku dapat mendengar bagaimana dua pihak akademik berbual dan berkenalan di samping menerangkan tentang universiti masing-masing, sungguh profesional. Semasa di perpustakaan, aku dapat lihat bahawa prof2 tersebut minat benar dengan buku, lebih-lebih lagi Prof Zakaria, kerana ku lihat dia meneliti dekat-dekat setiap buku di rak yang dilalui, tetapi sayangnya masa tidak mengizinkan.

Inspirasi : Minat pada buku amat penting dalam pengajian. Jika tak minat, susahlah untuk pegang buku itu untuk belajar. Silap-silap, buku terlepas dari tangan, kerana buka sahaja buku, mata mengantuk, lalu terlelap! Kebetulan, kedatangan mereka di Kuwait tidak sia-sia juga, kerana di Mishref, ada Pameran Antarabangsa Buku Arab yang ke-33 sedang berlangsung, maka aku minta Shahril bawa mereka pada petang itu, selepas berbincang dengan ‘driver’ kereta.

Pengalaman 4 : Menerima kunjungan tetamu akademik di majlis PPMK

Jumaat 30 Oktober pula, Persatuan Pelajar Melayu Kuwait mengadakan Haflah Istiqbal Pelajar-pelajar Baru. Jadi kebetulan pula profesor-profesor tersebut ingin bertemu dengan pelajar Malaysia dan lain-lain, maka aku dan Shahril telah membawa mereka ke majlis tersebut, selepas solat maghrib di Masjid al-Sanad di Qortubah.

Antara pengalaman yang paling mendebarkan aku ialah ketika prof-prof tersebut sedang berucap, timbul pelbagai persoalan di benak fikiranku, antaranya : Nak hantar mereka terus balik ke? Atau nak ajak diorang makan sekali ke? Ada hadiah saguhati ke untuk mereka? dan banyak lagi , yang menyebabkan ku rasa wajahku yang ceria ini sedikit pucat. Kaget! Tambahan pula Shahril dan beberapa rakan lain asyik memanggilku dan bertanya apa perlu dibuat selepas ini. Ini kali pertama kami menjemput tetamu istimewa sebegini, Prof dari UKM…

Prof Mohd Nasran sedang memberikan ucapan

Alhamdulillah, mujurlah Shahril dapat menyelesaikan perkara tersebut – sahabatku seorang ini memang banyak kali dapat menyelesaikan masalah mengejut sebegini, thanks sheikh! – . Aku sungguh kesal kerana tidak teringat langsung untuk memikirkan soal santapan buat tetamu yang ada. Akhirnya, Shahril dan adik-adik yang sedang menyiapkan hidangan makan malam untuk majlis itu berjaya menyiapkan bilik dan hidangan khas untuk para tetamu itu.

Inspirasi : Daripada pengalaman hari itu, aku telah pelajari perkara penting, iaitu apabila ada tetamu dijemput ke majlis sebegini, fikirkan tentang jamuan dan hadiah buat mereka… Dan jangan kaget apabila timbul apa-apa masalah yang luar daripada jangkaan benak fikiran!

Pengalaman 5 : Mengurus lawatan mereka ke hostel Shuwaikh

Alhamdulillah, para pelajar di sini banyak memberi kerjasama padaku, lebih-lebih lagi apabila mereka mendengar bahawa Dekan dari sebuah universiti di Malaysia akan datang. Maka pada petang Sabtu, 31 Oktober itu, Shahril telah membantuku membawa para tetamu akademik tersebut ke surau hostel Shuwaikh, manakala aku menguruskan perkara lain seperti kerusi, iklan tentang perjumpaan itu dan air minuman.

Secara langsungnya, selepas solat maghrib, para tetamu dijemput memberikan ucapan dan nasihat pada para pelajar. Dan sekali lagi aku kesal kerana terlupa hendak beritahu pada para pelajar bahawa ada ucapan yang akan disampaikan dalam bahasa Inggeris kemudian akan diterjemahkan olehku secara spontan ke bahasa Arab. Aku kesal pun kerana aku lihat seorang demi seorang pelajar di surau tersebut keluar dari situ, kerana tidak faham apa yang diucapkan oleh para Profesor itu.

Untuk pengetahuan pembaca blog ini, kebanyakan pelajar yang ada di surau ketika itu ialah pelajar Afrika, di mana hanya sebahagian daripada mereka yang faham bahasa Inggeris, sedangkan yang lain hanya faham bahasa Perancis.

Prof Mohd Nasran dan Prof Zakaria bertutur dengan fasih dalam bahasa Inggeris, kemudian aku terjemahkan seberapa yang boleh ke bahasa Arab. Manakala Dr Zamri pula bertutur dalam bahasa Arab.

Banyak juga soalan yang diajukan oleh para pelajar di situ tentang pengajian di Malaysia, ada yang bertanya tentang biasiswa, tempat tinggal, pengajian, bahasa , kos sara hidup dan lain-lain. Mereka nampaknya amat berminat untuk menyambung pengajian di Malaysia. Aku sebagai rakyat Malaysia amat berbangga kerana pelajar-pelajar di sini sentiasa memuji Malaysia.

Selepas solat isyak, Shahril menjemput para tetamu ke biliknya, untuk sedikit jamuan ringan. Mujurlah aku sempat mencari adik-adikku dari Malaysia dan Singapura untuk turut serta dalam perjumpaan ringkas itu. Kami sempat bergambar di ruang lapang tingkat bilik Shahril, dan inilah kali pertama aku bergambar dengan Prof-prof tersebut semenjak menguruskan lawatan mereka!

Bergambar di ruang legar tingkat bilik Shahril

Kemudian Shahril membawa mereka bersiar-siar di bandar Kuwait City, kemudian membawa mereka bertemu dengan Presiden Persatuan Rakyat Malaysia di Kuwait (MAK) , abang Sukri Husin.

Inspirasi : Aku tak lupa bahkan sentiasa peka dan beringat, bahawa yang datang ke Kuwait ini bukan calang-calang orang, jadi mereka akan membuat inferens dan pemerhatian tentang segala aspek di sini, termasuk kami selaku pelajar-pelajar di sini. Jadi aku dapat satu lagi inspirasi bahawa kita perlu sentiasa memberikan ‘impression’ yang baik tentang diri kita pada orang lain, agar pada masa depan, orang itu akan bersangka baik dengan kita.

Pengalaman 6 : Menguruskan lawatan mereka ke Diwaniyah Sheikh Abd Latif al-Munaifi dan Pejabat Jam’iyah Abdullah an-Nouri

Pada pagi Ahad, 1 November, aku membawa mereka ke Diwaniyah Sheikh Abd Latif al-Munaifi, Pengarah Lajnah al-Bu’uth at-Tullabiyyah (Overseas Students Committee) . Seronok mendengar orang-orang hebat seperti mereka semua berbual. Aku hanya menjadi jurufoto dan pengiring mereka di situ. Tidak banyak yang ku bualkan dengan mereka, kerana tidak banyak perkara yang berkaitan denganku.

Apa pun, aku lihat Prof2 tersebut sedikit bingung kerana tidak begitu faham kenapa mereka dibawa ke situ, tetapi sekurang-kurangnya, mereka telah melawat Diwaniyah seorang jutawan Kuwaiti yang amat pemurah seperti Sheikh Abd Latif itu, dan sebenarnya aku juga kurang mengerti apabila pihak Lajnah itu memintaku membawa mereka ke situ, kemudian ke pejabat mereka di daerah al-Qadisiyah.

Mujurlah ada juga sedikit persefahaman yang timbul antara mereka, kerana menurut Dr Mohd Nasran, Jam’iyah/Society tersebut sebenarnya pernah memberi sumbangan pada Fakulti Pengajian Islam di UKM itu, lebih kurang 20 tahun yang lalu, seperti van pengangkutan yang ada lambang Jam’iyah itu, bahkan katanya, Sheikh Abdullah an-Nouri sendiri pernah datang ke situ. Maka mereka ingin kembali memperkukuhkan hubungan antara Jam’iyah dan pihak Fakulti itu dengan adanya lawatan seperti ini.

Akhirnya , kami tiba juga di pejabat Jam’iyah Abdullah an-Nouri itu. Perbualan yang ku dengar di bilik Mudir itu adalah hampir sama dengan yang ku dengar di Diwaniyah Al-Munaifi tadi.

Apa pun, Mudir pejabat itu, Khalid al-Badr berjanji akan menghubungi mereka melalui aku jika beliau ingin ke Malaysia nanti, untuk memantapkan lagi persefahaman yang sedang dibina.

Inspirasi : Semasa dalam Pajero menuju ke pejabat Jam’iyah tersebut, Dr Zamri ada berpesan pada Dr Mohd Nasran , bahawa orang Arab amat gemar memuji dan dipuji ketika berbual, lebih-lebih lagi jika ingin mencapai persefahaman. Bagiku, ada betulnya perkara tersebut, bahkan orang Arab (lebih-lebih lagi orang Kuwait) akan sentiasa ingat kebaikan yang kita buat pada mereka suatu ketika dahulu. Tak hairanlah apabila ada kawan lama mereka datang dari negara lain, mereka akan sambut dengan begitu meriah…

Pengalaman 7 : Menghantar Profesor-profesor itu di airport

Pada Ahad malam Isnin, 1 November itu , mereka berangkat ke Malaysia. Pendek cerita, sesampai di airport, mereka masuk ke dalam kawasan check-in Kuwait Airways (kawasan tertutup dan terhad untuk ‘travellers’ sahaja). Sudah pasti mereka akan keluar cepat kerana mereka punyai tiket Business Class.

Aku yang kelaparan ini terus menuju ke tingkat bawah, membeli Burger Zinger KFC, untuk alas perut sementara menunggu mereka siap check-in. Belum sempat aku habis separuh burger, aku tiba-tiba khuatir jikalau mereka sedang menunggu aku. Benar. Mereka sedang menunggu aku di atas, di hadapan pintu keluar kawasan check-in! Malu aku dibuatnya apabila salah seorang daripada mereka mengatakan mereka sudah menunggu lebih kurang 10 minit!

Aku dengan rasa malu dan bersalah, mengajak mereka duduk berehat sebentar di tingkat bawah di mana ada restoran-restoran makanan segera di situ, bersebelahan dengan Balai Ketibaan.

Kami sedang menunggu kawan-kawanku yang lain, yang sedang dalam perjalanan ke situ, untuk menghantar para tetamu pulang. Aku ingat lagi kata-kataku pada prof2 tersebut : kami dah sambut prof hari itu, maka baik juga jika kami menghantar kalian pulang di airport … Aku tak pasti apa reaksi mereka, tetapi yang pastinya mereka tidak berkata apa-apa, kerana sebelum itu mereka kata tak perlu hantar, kerana menyusahkan kami sahaja.

Sementara menunggu kawan-kawanku yang lain, kami duduk di meja makan kawasan medan selera itu. Meja empat segi, maka masing-masing akan menghadap yang di hadapannya. Aku menghadap Prof Zakaria Stapa, profesor yang ku lihat banyak memerhati sekitarnya, tak hairan juga kerana beliau pakar dalam pemikiran dan falsafah. Dr Zamri menghadap Prof Mohd Nasran. Aku sedaya upaya cuba mencari topik yang sesuai untuk dibualkan dengan mereka, dan situasi aku itu tak ubah seperti sedang di’interview’ oleh mereka. Semua memandang padaku tatkala aku bersuara. Hm… berdobar jantung den!

Akhirnya kawan-kawanku tiba juga lebih kurang 20 minit kemudian. Anda bayangkanlah sendiri selama masa tersebut, apa agaknya yang ku bualkan dengan mereka. Sekurang-kurangnya ketibaan kawan-kawanku di situ melegakan hatiku serta wajahku yang ku rasa sejak tadi seperti ditekup ‘facial mask’, lagak bersahaja.

Lebih kurang jam 8.20pm, kami semua naik semula ke balai perlepasan, dan aku mengucapkan selamat jalan buat mereka, serta meminta maaf sekiranya ada kekurangan semasa mereka berada di Kuwait ini. Aku ketika itu memang terasa amat hampa dan bersalah kerana tidak dapat memberikan khidmat yang terbaik, namun Dr Zamri menenangkanku dan tidak menyalahkanku sekiranya ada kekurangan.

Di Kuwait International Airport - aku tak sempat menukar kasut..hehe

Profesor-profesor UKM itu memeluk aku , Shahril dan beberapa kawanku yang lain tanda berpisah. Terasa aliran ukhuwwah dan kebapaan tatkala memeluk mereka, lebih daripada hubungan seorang guru dan pelajar. Alhamdulillah, selesai sudah tugasku menguruskan lawatan mereka di sini. Terima kasih kepada Shahril dan semua yang membantu.

Inspirasi : Terima kasih buat profesor-profesor yang melawat ke Kuwait. Kalian banyak memberikanku pengajaran dan inspirasi. Di samping mengajarku berfikir sebagai seorang mahasiswa secara lebih matang. Corak pemikiran pelajar-pelajar yang belajar di Kuwait University seperti kami mungkin sedikit berbeza, kerana perbezaan suasana dan ‘cuaca’, serta mungkin terkesan dengan pemikiran orang Arab.

Apa pun, manusia boleh belajar, diajar dan mengajar. Manusia boleh belajar melalui pengalaman, pengamatan, pemahaman , serta kesalahan yang dilakukan juga. Semoga kita semua sentiasa mempelajari sesuatu yang mengajar kita untuk mengenal diri sendiri, mengenal agama, dan mengenal Allah dan Rasul-Nya.

p/s : Aku tak banyak mengambil gambar mereka dengan kameraku, kerana mereka telah memintaku menggunakan kamera milik mereka. Jadi maaflah jika tak banyak gambar yang ku tunjuk di sini.

Advertisements
This entry was posted in Inspirasiku. Bookmark the permalink.

2 Responses to Inspirasi dan pengalaman baru

  1. Dr. Nasran, FPI UKM berkata:

    Assalamualaikum
    Assalamu’alaikum.
    Saudara Kamarruzaman, Sharil dan pelajar yang lain
    Laman blog saudara ini telah diforwardkan oleh salah seorang staf akademik FPI UKM. Saya dah baca catatan saudara tentang kedatangan delagasi kami dari Fakulti Pengajian Islam (FPI) UKM. Kami rasa amat terharu semua catatan saudara mengenai kedatangan kami adalah positif. Dalam masa yang sama kami sedar kadang kala kami yang dah berumur ni agak cerewet dalam satu-satu hal. Namun saudara dan rakan-rakan dapat menanganinya dengan baik. Saya bagi pihak rakan-rakan mengucapkan terima kasih atas layanan baik selama kami berada di Kuwait. Wassalam

    • qafmimra berkata:

      Waalaikumussalam… terima kasih diucapkan kepada Dr Nasran kerana sudi melawat blog ana yang tak seberapa ini…
      Moga Prof dan rakan-rakan sentiasa dalam lindungan Allah swt.
      Mohon maaf jika ana ada tersalah kata dalam penulisan artikel tersebut, ana tidak ada niat untuk menyentuh perasaan sesiapa..
      Bahkan menjadi penghormatan buat ana untuk bercerita serba sedikit pengalaman dengan Prof-prof sekalian..
      sesungguhnya ana lihat kunjungan antum sebagai pengalaman n inspirasi buat kami semua…
      Terima kasih atas penerangan dan pengajaran yg diberi Prof serta rakan-rakan semasa kunjungan tersebut….

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s