Hijab menangis…

Sehelai kain, tak berat dijunjung,
Atas kepala, dilipat, digulung,
Menutup si ikal, mahkota ditudung,
Sopan dipandang, langau tak hurung…

Bahang dan panas tidak diendah,
Janji ditutup, jangan terbuka,
Menjaga aurat, memelihara maruah,
Itulah HIJAB, simbol mulia…

Namun….

Hijab menangis, tak kira masa,
Kerana merintih nasib tuannya,
Ingin menjaga tertib agama,
Apakan daya, tidak upaya..

Di Perancis, bertudung ke sekolah,
Sampai di pintu, ditahan, dilarang,
Katanya HIJAB membawa resah,
Takut rifle , disisip di belakang!

Tidak lupa di Turki pula,
Pesakit dibiar tidak dirawat,
Kerana ibunya berhijab di kepala,
Rawatnya tidak, akhirnya wafat…

Tak kurangnya di Tunisia sana,
Dihalang masuk sekolah, temannya tak apa,
Pegawai sekolah juga jadi ‘jaga’,
Apa cerita? Apa masalahnya?

Tak cukup murid, guru pun kena,
Digantung mengajar, HIJAB sebabnya,
Kerana berhijab di luar kelasnya,
Di Belgium tempatnya, peliknya…

Pasangan Britain juga berangkara,
Suami mencela, isterinya menghina,
Hijab dikatanya simbol hamba,
Mujur Muslimah menang kesnya..

Rupanya komplot masih berleluasa,
Di Kazakhstan, juga sudah bermula,
Menghalang HIJAB dipakai pelajarnya,
Katanya membeza dan lambang agama!

Apa nak jadi…

Ada pula yang bantah hukumnya,
Dikata ini hanya adat bangsa,
Bukan tuntutan agama tercinta,
“Ini hak peribadi saya!”

Quran dah kata, Umat dah sekata,
Bahawa HIJAB itu wajib hukumnya,
Bahkan mengangkat martabat pemakainya,
Wahai Muslimah, mulianya anda…

Elok rupa, manis wajahnya,
Tambah HIJAB, sopan jadinya,
Mengapa pula enggan padanya,
Agaknya biar sampai ke tua?

Sedangkan si mati ditutup kafan,
Tidak berpakaian, namun kafan muliakan,
Apakah tunggu saat kematian,
Baharu ingin disarung tudungan?

Di sana berjuang untuk berHIJAB,
Di sini ingkar, mahu jambul di ‘mata’,
Apakah hati sudah terHIJAB?
Sedarlah wahai sang wanita…

Hijab menangis , merintih nasibnya,
Di sana, menangis kerana dipaksa tanggalkannya,
Di sini menangis kerana tak dipakainya,
Apa nak jadi , tanyalah tuannya….

Maksud-maksud kataku….

Di Perancis, pelajar-pelajar perempuan muslim tidak dibenarkan memakai hijab/tudung semasa di sekolah. Ada pihak takut muslimah itu membawa bom dalam HIJABnya!?

Hijab is my choice

Hijab is my choice

Di Turki, seorang wanita berusia 30-an dibiarkan tanpa menerima rawatan kecemasan di sebuah hospital di Anqarah, selama 6 jam sehingga meninggal dunia. Para doktor enggan merawatnya, dan mengatakan bahawa HIJAB yang dipakai ibunya itulah yang menghalangnya masuk ke hospital tersebut. Pihak keluarganya membuat dakwaan di mahkamah ke atas para doktor di hospital itu, dibantu oleh beberapa badan dan organisasi hak asasi manusia di Turki.
(sumber : Majalah al-Mujtama’ , isu no. 1855, 6-12 June 2009 Year 40)

Di Tunisia, Lajnah ad-Difaa’ ‘anil Muhajjabaat bi Tunis (Biro Mempertahankan Wanita-wanita Berhijab di Tunisia) telah berjaya mengambil beberapa gambar di hadapan pintu salah sebuah sekolah menengah di daerah Aryanah, yang menunjukkan seorang pegawai sekolah itu berdiri di pintu masuk, dan menghalang pelajar-pelajar perempuan yang memakai hijab daripada masuk ke sekolah, sedangkan yang tidak berhijab tidak diganggu. Gambar itu bertarikh 28 Mei 2009.
(sumber : Majalah al-Mujtama’ , isu no. 1856 , 13-19 June 2009 Year 40)

Di Belgium, seorang guru muslimah digantung daripada mengajar di dua sekolah rendah, kerana memakai hijab di luar kelasnya! Kedua-dua sekolah itu terletak di Brussels. Tetapi Mahkamah Tertinggi Belgium membatalkan arahan gantung mengajar yang dikeluarkan oleh kedua-dua sekolah itu terhadap guru tersebut, dan mengatakan bahawa memakai hijab di luar kelas, dalam kawasan sekolah tidak menggangu prestasi guru tersebut!
(sumber : majalah al-Mujtama’ , isu no. 1861 18-24 July 2009 Year 40)

Selepas memakai hijab dilarang di beberapa sekolah kerajaan di Belgium, dan bertambahnya pula bilangan sekolah yang berbuat demikian juga, kumpulan monoriti Muslim di sana bertungkus lumus mengusahakan projek membina sekolah-sekolah khas/swasta mereka sendiri.
(sumber : majalah al-Mujtama’ , isu no. 1871 3-9 October 2009 Year 40)

Pihak keselamatan di Britain baru-baru ini membawa kes sepasang suami isteri British ke mahkamah, dengan tuduhan “provokasi kebencian pada agama” , selepas pasangan itu bertengkar dengan seorang wanita muslimah berhijab, yang sedang makan sarapan di hotel milik pasangan itu. Mereka telah menggunakan kata-kata yang disifatkan menghina, apatah lagi ketika si suami menyifatkan Nabi Muhammad s.a.w. sebagai Raja Perang, manakala si isteri pula menghina wanita muslimah itu dengan mengatakan bahawa HIJAB hanyalah satu simbol pengabdian wanita!
(sumber : majalah al-Mujtama’ , isu no. 1871 3-9 October 2009 Year 40)

Di Kazakhstan, baru-baru ini ada pihak berkuasa yang mengesyorkan undang-undang menghalang hijab di sekolah patut dilaksanakan, kerana bagi mereka, hijab membezakan antara seorang pelajar dengan yang lain, sedangkan falsafah pendidikan di sekolah ialah kesamarataan setiap pelajar!
(sumber : majalah al-Mujtama’ , isu no. 1872 10-16 October 2009 Year 40)

Banyak lagi kes seperti ini berlaku di serata dunia, ada yang kita tahu, ada yang tidak, jangan pula ambil tak tahu…
Di luar sana, para wanita muslimah yang berhijab sedaya upaya mempertahankan haknya dan kewajipannya memakai hijab, sedangkan sesetengah orang atau pihak di sekitar kita pula cuba sedaya upaya untuk mencabut hijab dari kepada muslimah!

p/s : sumber yang ku guna semuanya daripada majalah al-Mujtama’, itupun dah banyak sebut tentang isu hijab ini. Tak tahu jika aku ambil dari pelbagai sumber lain… lagi banyak! Wallahu a’lam…

Advertisements
This entry was posted in Ideologi. Bookmark the permalink.

2 Responses to Hijab menangis…

  1. shah berkata:

    salam ustaz…

    Pantun seloka yang menarik… ringan tapi padat..tahniah..

    • qafmimra berkata:

      waalaikumussalam.. terima kasih sheikh…
      ana tertinggal tntang Marwa al-Syarbini….
      moga Allah merahmati rohnya….

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s