Cerpen : Baju Baru – Part 6 – Final

Tiba-tiba Nurul menyampuk : “Ayah.. mak selalu kata, baju baru tak semestinya selesa kan.. kadang-kadang baju lama lagi baik…”

Hamdi terdiam..
Hamidah melihat wajah Nurul, seraya menggeleng…

Amirudin sedang nyenyak tidur di ruang tamu. Sejak mereka sampai di rumah, Amirudin , Amirul, atau Udin – nama gelaran yang lebih disukainya – terus merebahkan diri di atas kerusi empuk buatan Itali itu. Kerusi yang dibeli oleh Hamidah, diimport khas dari negara nun jauh di Eropah itu.

Selesai solat asar, Hamdi turun ke bawah, menuju ke dapur. Isterinya sedang sibuk menggoreng sesuatu.

Hamdi menghidu dengan penuh kepuasan. Goreng pisang! Kegemarannya sejak kecil lagi.

Lalu dia pergi menyelinap di belakang isterinya itu, lalu memeluknya erat-erat.

“Ish.. abang ni… nasib baik saya tak tergoreng dengan abang sekali tadi…”
Mereka berdua ketawa. Mengimbau keadaan semasa baharu kahwin dahulu.
Hamdi masih memeluk Hamidah. Rindu dicurah pada isterinya.
Agak romantis gayanya, namun salah tempat…
Ini romantis, akhirnya itu hangus…

“Midah makin kurus ye sekarang..?” Hamdi meleraikan pelukannya dari Hamidah.

“Eh. Ye ke bang… Midah rasa biasa jek.. hari-hari makan.. tak ada pula rasa perbezaan..” Hamidah menafikan. Meneguk liur sendiri. Tidak perlu diceritakan kisahnya.

“Hm… entah lah.. mungkin abang dah lama agaknya tinggalkan Malaysia.. lama tak jumpa Midah… okay lah.. abang pergi ke depan, nak kejutkan Amirul, suruh diorang bersiap untuk lawat ayah nanti. Kita bertolak jam 5.10 petang tau…” Hamdi menyentuh lembut bahu isterinya..

“Baiklah bang.. karang Midah pun nak bersiap. Dah pukul 4.50 petang ni.. Sebelum pergi, kita makan dulu goreng pisang ye…”

“Okay… zein!” Hamdi mengangkat ibu jari, sambil bercakap loghat Arab yang bermaksud : Bagus!

Hamidah senyum..

Kelihatan Hamdi sudahpun berada di ruang tamu, menggerakkan Amirul.

Midah terlalu rindukan abang. Midah perlukan abang di sisi. Kadang-kadang, Midah rasa nak sahaja minta abang terus pulang ke tanah air, kerja di Malaysia.
Tetapi abang juga punya karier, bahkan abang juga yang menanggung kami.
Midah hanya buat apa yang mampu untuk mendidik anak-anak.

Hamidah berbisik pada hatinya sendiri. Tidak mahu menzahirkan keperitan yang menimpa, tatkala suaminya tiada di sisi. Yang penting baginya, ialah melihat suaminya gembira dan tidak berduka.

————–

“Ayah.. cepatlah… ayah ni lambatlah… macam kura-kura…. tadi ayah yang kata nak cepat pergi tengok atuk…..” Amirul menempik, sudah pun berada dalam kereta yang sedang dibiarkan enjinnya memanas.

Hamidah menjeling pada Amirul, terkejut mendengar kata-kata anak bongsunya itu pada Hamdi. Kurang beradab. Serta-merta Amirul terdiam.

Hamdi hanya tersenyum dan menggeleng kepala beberapa kali.
“Sayang benar pada atuknya tu…” Hamdi meleretkan senyuman simpul pada Hamidah.

“Bukan apa, bang. Kan tak sopan berkata macam tu pada seorang ayah.. Hiyy… budak-budak ni…” Hamidah masih tidak setuju dengan reaksi Hamdi yang selamba, walaupun anak berlaku kurang sopan padanya.

“Dah dah… jom… pintu dapur sudah kunci kan.. Midah masuk dalam kereta dulu. Nurul, tolong kunci pagar ye… Ayah nak bawa keluar kereta..”

Nurul mencebik, dari tingkap kiri bahagian belakang kereta itu.
“Ala ayah ni.. ayah je la yang tutup.. Nurul malas lah nak turun pulak..” Nurul enggan turun dari kereta, enggan menuruti permintaan ayahnya.

Hamdi hanya senyum. Sekali lagi dia menggeleng kepala, kali ini hanya dua kali.

“Okay..” Hamdi selamba menjawab.
Hamidah hanya memicit-micit kepala. Pening memikirkan kerenah anak-anak yang tak sepatutnya itu.

——————————

Hospital Serdang
5.30pm

“Ayah apa kaba? Hamdi sentiasa doakan semoga ayah selamat, sejak dapat tahu peristiwa yang menimpa ni..” setelah memberi salam, Hamdi mengucup tangan Mahmud, ayah Hamidah, merangkap ayah mertuanya itu. Kelihatan sudah agak uzur orang tua itu.

“Alhamdulillah.. rasa sehari dua lagi boleh lah ayah keluar dari sini… rimas le… ditemani pulak nurse-nurse muda tu.. Nak jaga wudhu’ pun payah..” Mahmud meleretkan senyuman, tawar, diselaputi kedut seribu, namun keikhlasan masih tampak dalam senyumannya.

Hamdi membalas senyuman. Masih memegang tangan ayah mertuanya itu.

Mereka kata Pak Mahmud tak banyak bercakap, namun apa yang dilihatnya adalah sebaliknya. Agak ramah pula. Mungkin gembira melihat menantunya sanggup pulang dari jauh, semata-mata untuk menziarahi ayah mertua yang kemalangan ringan.

Setelah berbual-bual, bertanya itu dan ini, dan pelbagai lagi yang dikongsi bersama, untuk menghiburkan hati orang tua mereka, Hamdi dan Hamidah meminta diri. Sudah pukul 7.00 malam. Hampir maghrib. Mereka bercadang nak pulang ke rumah untuk solat maghrib nanti. Mereka bersalaman dan terus menuju ke pintu keluar.

Mahmud dan ayah Mikraj , Mahfuz melambai cucu-cucu, sambil tersenyum melihat mereka, sehinggalah tidak kelihatan di mata.

“Hamdi tu budak baik. Sanggup pulang kerana abang masuk hospital, bukan sakit teruk pun..” Mahmud memuji pekerti Hamdi, menantunya yang bekerja di Kuwait itu.
Sejuk hatinya.

“Betul tu bang.. bahkan, dia tak pernah lupa kirim salam pada abang, pada saya pun sama. Duit belanja setiap bulan juga tak pernah putus diberinya pada Midah.. beruntung isteri yang punya suami sepertinya…” Mahfuz mengiyakan pujian abangnya itu.
Mikraj hanya senyum dan memandang ke tingkap.
Beruntung isteri abang Hamdi.. Isteri tua dan bakal……

Ibu mikraj tinggal di rumah. Sedang menyiapkan makan malam untuk keluarga.
Juga menjaga adik-adik Mikraj yang masih bersekolah. Ada yang semakin hampir menghadapi peperiksaan akhir tahun.

——————–

Bukit Mahkota, Kuala Lumpur

“Mikraj. Kamu bila balik semula ke Kuwait? Ke duduk di rumah lama lagi ni? Boleh ibu masak sedap-sedap, makanan kegemaran kamu, ikan cencaru goreng sambal kelapa, ayam pedas berempah…” Hafizah menyenduk nasi tambahan buat Mikraj. Mikraj tak menolak, lagipun sudah lama tidak makan masakan ibunya.

“Insya allah along balik 5 hari lagi ni… nak kena balik segera..”

“Hmm.. sekejap je ye kamu balik… kenapa kena tergesa-gesa…? Katanya pensyarah-pensyarah kamu pun bukan tegas sangat tentang kehadiran kan…? Atau abang Hamdi kamu yang ada hal?” Mahfuz terus menyuap nasi berbaki dalam pinggan. Memulakan topik perbualan.

“A’ah.. minggu depan dia dah nak nika….” Mikraj tersasul. Terus buat-buat tersedak. Lalu minum air 100 plus yang dibelinya di stesen Petronas dalam perjalanan pulang tadi.

“Nak nikah?” terangkat kening ayahnya mendengar perkataan tersebut dari mulut Mikraj. “Kamu biar betul Mikraj?”

“Eh… buk.. bukan bukan.. along yang nak nikah.. eh eh…. along nak exam final minggu depan yah.. bab nikah… bab-bab berkaitan hukum hakam nikah… jadi kena balik segera juga. Lagipun buku rujukan semuanya along tinggalkan di sana..” dia cuba menutup semula rahsianya dengan Hamdi itu. Biar pecah di perut, jangan pecah di mulut!

“Ai.. tadi dengar kamu kata Hamdi nak nikah. Kemudian kamu pula nak nikah. Lepas tu pensyarah kamu pula nak nikah?” kelihatan Mahfuz tersenyum sinis, seolah dapat menjangkakan sesuatu yang dirahsiakan.

Mikraj menelan liur. Terasa seperti menelan sebiji zaitun pula. Perit. Terasa seperti dahinya akan melepaskan bahan kumuh yang jernih nan sejuk itu.

“Takde lah ayah… betul, along ada exam tentang bab nikah.. Siapa pula nak nikah ni… Tak ada lah…” Mikraj mencapai tisu di sebelahnya lalu mengesat peluh di dahi yang mula ‘membasahi’ .

“Hmm.. berpeluh-peluh pula ni… betul ke Mikraj… okaylah… nanti ayah tanya sendiri abang Hamdi kamu tu..” Mahfuz mencapai kendi untuk air basuhan tangan di sebelah kirinya. Matanya masih memandang wajah anak mudanya itu. Lalu menggeleng kepala dua kali dan senyum tawar. Mahfuz bingkas bangun menuju ruang tamu, menonton siaran berita TV3 yang masih di udara.

Hafizah hanya memerhati anak sulungya itu. Kalau Mikraj yang mahu menikah pun, memang akan dihalang sedayanya. Kerja dahulu, baru kahwin. Itulah prinsip dan peraturan keluarganya sejak turun-temurun lagi.

“Ibu.. along ada hadiah untuk ibu.. karang lepas solat isya’ , along tunjukkan ye…”

“Hadiah apa tu Mikraj? Kamu ni… asal balik je mesti ada hadiah untuk ibu…”

“Ada la….”

————————

Surau As-Solihin

Selepas solat Isya’ , penghuni taman perumahan as-Solihin itu di’hidangi’ dengan sedikit tazkirah oleh seorang ustaz, yang juga penghuni di situ. Ustaz Soleh memang selalu memberi ceramah ataupun tazkirah kepada penghuni taman itu, sekadar mengisi masa yang terluang. Malam itu, dia memberi tazkirah tentang tanggungjawab pada isteri.
Kelihatan pelbagai generasi daripada kalangan lelaki berumur di situ tersenyum-senyum dan terangguk-angguk. Angguk-angguk geleng-geleng, entah faham sahaja atau memang bersetuju…. Hamdi turut ada di situ.

“Mari kita lihat dalam khutbah wada’ Rasulullah s.a.w , yang begitu padat dengan nasihat , panduan dan hukum-hakam. Pelbagai aspek kehidupan seorang muslim telah baginda s.a.w sebut semasa berkhutbah di hadapan para sahabat pada waktu itu…”

“Seperti yang saya sebut tadi, Rasulullah s.a.w telah bersabda : Wahai manusia! Sesungguhnya bagi kaum wanita (isteri kalian) itu ada hak-hak yang harus kalian penuhi, dan bagi kalian juga ada hak-hak yang harus dipenuhi isteri itu. Iaitu, mereka tidak boleh sekali-kali membawa orang lain ke tempat tidur selain kalian sendiri, dan mereka tak boleh membawa orang lain yang tidak kalian sukai ke rumah kalian, kecuali setelah mendapat izin dari kalian terlebih dahulu.”

“Kerana itu, sekiranya kaum wanita itu melanggar ketentuan-ketentuan demikian, sesungguhnya Allah telah mengizinkan kalian untuk meninggalkan mereka, dan kalian boleh memukul ringan terhadap diri mereka yang berdosa itu. Tetapi , jika mereka berhenti dan tunduk kepada kalian, menjadi kewajipan kalianlah untuk memberi nafkah dan pakaian mereka dengan sebaik-baiknya.”

“Ingatlah, kaum hawa adalah makhluk yang lemah di samping kalian. Mereka tidak berkuasa. Kalian telah membawa mereka dengan suatu amanah dari Tuhan dan kalian telah halalkan kehormatan mereka dengan kalimat Allah. Kerana itu, bertakwalah kepada Allah tentang urusan wanita dan terimalah wasiat ini untuk bergaul baik dengan mereka….”

Ustaz Soleh mengulas sedikit.
“Jadi tuan-tuan dan puan-puan yang dirahmati Allah. Suami ada hak dan kewajipannya terhadap isteri. Begitu juga isteri punya hak dan kewajipan ke atas suami. Inilah yang telah diwasiatkan oleh baginda s.a.w . Jika semua pasangan di dunia ini, ikut seperti mana yang baginda s.a.w berpesan, nescaya tiadalah huru-hara mahupun porak-peranda dalam rumah tangga mereka.”

“Sebagai contoh, si suami ada hak menghalang isterinya berpuasa sunat, punya hak untuk menghalang isterinya daripada keluar dari rumah untuk sebarang hajat. Isteri pula, punya hak untuk mendapat layanan baik daripada suami, punya hak mendapat nafkah yang memang wajib ke atasnya. Begitu lah seterusnya..”

Tiba-tiba, seorang lelaki daripada kalangan jemaah di situ mengangkat tangan.
“Dan ustaz, isteri tak ada hak untuk halang suami daripada nikah seorang lagi, bahkan suami kahwin diam-diam, rahsiakan dari isteri tu pun tak salah… betul tak?” kelihatan giginya tersusun rapi setelah senyumannya mencecah telinga.

Para jemaah lelaki ketawa, hiruk-pikuk suasana di surau itu.
Ustaz Soleh hanya tersenyum.

Seorang daripada jemaah wanita wanita membalas. Kemungkinan isteri lelaki yang bersuara tadi.
“Memang la encik yang di sana, tetapi, tidakkah si isteri berhak mengetahui perkara itu dulu? Bahkan apabila suami rahsiakan, seolah-olah suami itu tak jujur…”

“Baik baik.. sudah tuan-tuan dan puan-puan… Ini satu lagi contoh. Saya tujukan buat para suami di sini… kadang kala, suami merahsiakan sesuatu daripada isterinya, kerana bimbang isterinya tak setuju, lalu terus merahsiakan daripada pengetahuan isteri, lebih-lebih lagi kalau bab kahwin lagi satu ini.. Apa salah bincang dengan isteri… Hmm.. Nasib baik orang rumah saya datang sekali hari ini… hehe.. gurau sahaja yang…”

Kedengaran suara berdehem dari pihak wanita di sebalik tirai.
Jemaah lelaki ketawa perlahan dek perbuatan tadi.

Mesra juga penduduk di kawasan ini, bisik hati Hamdi. Tajuk hari ini pula memang tepat kena padanya. Dia masih membisu dan cuba memahami apa yang cuba disampaikan oleh ustaz itu.

Tiba-tiba..
“Itu bukan tak jujur ustaz.. bahkan si suami cuma tidak mahu hancurkan hati isterinya tatkala tahu bahawa dia kahwin lagi… saya tahu isteri berhak tahu, dan suami pula berhak kahwin lain, tetapi untuk mengatakan suami itu tak jujur hanya kerana dia kahwin lain. Dia kahwin mungkin ada sebabnya…” Hamdi akhirnya bersuara.
Semua mata jemaah lelaki memandangnya, penuh kagum!
“Betul tu.. saya setuju… setuju sangat..”
“Mantap lah.. pembela kaum lelaki…”
Kedengaran tawa dalam halkum bergema lagi di surau ini.. kaum lelaki jika diusik tentang kahwin lain, amat suka dan bersemangat.

“Saya minta tuan-tuan bacalah sirah Nabi Muhammad s.a.w , dan bacalah juga kisah Nabi Ibrahim a.s. dan Sarah… banyak pengajaran..”
Ustaz Soleh menyambung..
“Saya tahu, bukan semua isteri boleh dibawa berbincang perkara ini.. tetapi si suami perlu ingat , bahawa isteri mereka itu adalah anugerah Allah yang amat agung. Bahkan Allah telah berfirman : “Miithaqan ghaliza..” , yang bermaksud : suatu ikatan yang amat kukuh. Allah telah menerangkan bahawa ikatan suami isteri itu sebenarnya adalah ikatan rabbani, yakni ikatan yang diagungkan oleh Allah swt sendiri… isterilah tempat berkasih, mencari ketenangan, bahkan tempat berbincang.. kalau orang lain boleh dibawa berbincang, inikan pula isteri yang hidup sebumbung dengan kita!…”

Semua jemaah lelaki terdiam. Bagai tiada hujah..

—————–

Semasa berjalan kaki pulang ke rumah dari surau, tiba-tiba telefon bimbit Hamdi bergetar. Di skrin tertera : 1 new message.
Rupanya mesej dari bakal isteri keduanya.
Sarah bertanya khabarnya dan ‘pakcik kawannya’ itu.
Hamdi membalas semula. Sekali lagi Sarah menghantar mesej. Kali ini lebih menarik isinya.

“Hamdi. Biasa baca kisah Sarah, isteri Nabi Ibrahim alaihissalam kan? Harap Hamdi dapat baca ye. Saya harap saya dapat menjadi isteri yang mencontohi akhlak Sarah..”

Eh.. kebetulan.. tadi baru ustaz Soleh sebut..

Hamdi membalas : ” Apa yang menarik benar tu sampai Sarah minta saya baca ni? Boleh saya tahu dari konteks mana yang awak ingin saya lihat pada diri awak nanti?”

1 new message

“Ketabahan, ketaqwaannya , juga kasih sayang dan kesetiaannya pada Nabi Ibrahim. Bagaimana dia menempuh hidup, meninggalkan keluarganya yang kaya raya yang sesat, untuk mengikut pengembaraan Khalilullah berdakwah..”

Hamdi membalas :
“Baiklah.. insya allah.. nanti saya akan cari buku dan baca mengenai kisahnya ye.. dah asar kan? ok… selamat solat asar.. nanti saya sms lagi… terima kasih .. wassalam…”

Setelah pulang, Hamdi mencari-cari buku kisah para nabi dan rasul.. Mencari kisah Nabi Ibrahim dan Sarah. Dia ingin melihat sendiri apa yang sebenarnya Sarah inginkannya fahami daripada kisah agung itu.

Hamdi membelek, sehelai demi sehelai.

“Ketika Ibrahim alaihissalam bermukim di Mesir, berlakulah suatu peristiwa yang benar-benar menguji dan menyerlahkan keimanan Sarah, isterinya , serta kesuciannya sebagai seorang wanita solehah, isteri seorang rasul..”

“Pada waktu itu, seorang raja yang zalim dan bongkak memerintah Mesir. Maka tatkala Ibrahim a.s tiba di sana, pengikut-pengikut si raja itu telah mengkhabarkan padanya tentang kehadiran seorang lelaki yang dihormati, bersamanya seorang wanita yang amat jelita. Maka si raja itu ingin memiliki wanita tersebut, iaitu Sarah!”

Hamdi masih khusyuk, membaca kisah tersebut. Sehinggalah kisah Sarah dibawa ke istana..

“Sarah dibawa ke suatu bilik beradu. Raja itu sedang menunggu masa untuk melaksanakan niat jahatnya. Sarah, wanita solehah itu hanya berdoa dan bertawakkal pada Allah, Tuhan Maha Melindungi…”

“Sarah solat dan momohon perlindungan dari Yang Esa. Ketika raja zalim itu ingin mendekatinya, tiba-tiba tangannya keras dan seolah lumpuh, dan dia merasakan sakit yang amat memeritkan. Menyedari hal itu, dia meminta Sarah berdoa : Kau doa pada tuhanmu – Allah – agar melepaskanku daripada kesakitan ini, dan aku tidak akan mengapa-apakanmu…”

“Si raja telah melihat sendiri nur ketaqwaan pada wajah wanita itu. Tetapi nafsu mengabui matanya. Dia kesal. Maka Sarah berdoa, lalu kembalilah tangannya pulih seperti sediakala…”

“Apabila nafsu dipuja, syaitan pula menjaja, tidak lama selepas itu, si raja itu kembali ingin melaksanakan niat jahatnya itu. Tetapi , perlindungan Allah lebih kukuh. Tangannya kembali lumpuh, bahkan kali ini lebih dahsyat dan pedih pula. Maka kembalilah dia memohon agar Sarah mendoakannya moga disembuhkan semula….”

“Tidak serik, sekali lagi syaitan berjaya memukau si raja durjana. Dan dia telah nekad, akan menerkam dengan seluruh tenaganya. Maka Allah terus menghukumnya dengan kesakitan yang lebih berat! Amat menyeksakan….”

“Setelah memujuk, memohon lagi agar Sarah mendoakannya pulih, akhirnya si raja kembali pulih. Benarlah, nafsu jika diikut, lesu. Jika dipuja, bencana. Jika dilawan dan ditundukkan, patuhlah ia…”

“Si raja akhirnya menyesal, amat menyesali atas perbuatannya, dan niat buruknya terhadap wanita solehah itu. Setelah itu, dia ingin menebus kesilapannya, lalu menghantar Sarah pulang semula ke Ibrahim a.s , dan menghadiahkannya seorang hamba abdi, bernama Hajar…”

Hamidah menyapa suaminya yang khusyuk membaca. Sambil membawa secawan teh untuknya.
“Abang baca buku apa tu? Khusyuknya..”

“Sarah.. eh.. kisah Nabi Ibrahim a.s dan isterinya Sarah. Sungguh menarik. Isteri yang solehah, cantik dan amat bertaqwa…”

“Oo… masya allah… kenapa tiba-tiba baca buku kisah Sarah?”

Hamdi mengangkat kening. Cuba mengatur ayat. Tidak berbohong.
“Ni abang baru pulang dari surau , lepas kuliah pendek oleh ustaz Soleh tadi. Dia ada lah sebut tentang kisah ini juga… tu yang abang tertarik nak membacanya…”

“Wah bagus ye bang.. Midah harap, dapat jadi isteri solehah, yang taat pada suami, dan bersama dengannya ketika susah dan senang.. macam Sarah…”

Hamdi senyum.. Mengangguk… “Insya allah.. you are my heart, my dear…”
Hamdi mencubit pipi Hamidah.

Hamidah menepuk bahu Hamdi, perlahan. Perlahan-lahan juga, seukir senyuman pada bibir terzahir…

————————

Di hospital, 2 hari kemudian. 2 hari lagi Hamdi dan Mikraj akan pulang.

“Ayah mahu jumpa saya? Ada perkara benar-benar penting ke ayah?”
Hamdi bertanya setelah semua yang ada beredar, atas permintaan ayah mertuanya itu.

“Hamdi… ayah minta maaf kerana menyusahkan Hamdi, untuk pulang semata-mata untuk melihat ayah di sini..”

Hamdi memegang lengan orang tua itu. Senyum.
“Tak apa ayah.. ayah kan ayah saya juga. Besar pahala berbuat baik pada ibu dan ayah kita kan.. Ayah tak salah apa-apa..”

Uhuk uhuk.. Pak Mahmud terbatuk, lalu Hamdi menghulurkan segelas air.

“Begini Hamdi. Ayah ada 2 perkara ingin dibincangkan dengan kamu..”

“Ye ayah.. saya sedia..”

“Baiklah.. ayah amat berterima kasih pada kamu kerana telah menjaga Hamidah dengan sebaiknya.. kamulah teman hidupnya.. ayah tahu, Hamidah amat sayang pada kamu.. Kamu juga sudah tentu sayangkannya..”

Hamdi mengangguk, penuh keyakinan.

“Wanita, perlukan lelaki. Lelaki juga perlukan wanita. Jika pasangannya tiada di sisi, terasa kekosongan pada dirinya.. kadangkala, memakan diri tatkala rindu membuai.. puitis lah pulak.. hehehe…”

Hamdi masih mendengar. Lain bunyinya.

“Hamidah perlukan kamu di sisi, Hamdi.. ayah harap kamu faham.. ayah lihat, semakin hari, semakin kurus Midah. Mungkin orang tak sedar, tetapi ayah dapat melihatnya. Rasanya, kamu juga sedar perkara ini kan?”

Hamdi tunduk. Akur.

“Jadi , ayah harap, kamu cubalah fikirkan tentang perkara ini ye.. katanya, Midah tak dapat masuk kawasan Teluk Arab? Sampai begitu sekali?”

“Ye ayah. Kerana syarikat punya angkara, Midah jadi mangsa… kasihan Midah.. baiklah ayah.. saya akan fikirkan perkara tersebut.. saya janji.. dan.. apa pula perkara yang kedua itu, boleh saya tahu?”

“Baiklah.. ayah harap kamu jawab dengan jujur..” Mahmud merapatkan belakangnya pada hujung katil itu, dan meletak bantal antaranya. Dia ingin duduk. Hamdi membantu, dan membatu… berdebar apabila mendengar kata-kata itu.

“Kamu nak kahwin lagi satu di sana ke Hamdi?”

Mata Hamdi terbeliak! Dari mana ayah mertuanya tahu? Mikraj?

“Hamdi?” Pak Mahmud masih menunggu jawapannya.

“Ayah tahu dari mana? Maaf saya bertanya…”

“Ayah Mikraj.. dia pun tak pasti. Cuma yang penting, Mikraj ada tersasul menyebut kamu ingin menikah lagi minggu depan.. betul ke Hamdi? Ayah nak kamu jawab, dengan jujur.. be gentleman….!”

Hamdi tidak dapat berdalih. Berbohong bukan prinsipnya. Bukan cara untuk menyelesai.

Setelah menarik nafas dalam-dalam…
“Ye ayah.. saya akan berkahwin lagi. Selepas saya pulang ke Kuwait nanti, beberapa hari kemudian saya akan bernikah. Kami buat majlis biasa sahaja..”

“Orang mana tu Hamdi? Dari mana? Apa namanya?”

“Orang Lubnan ayah.. Sarah namanya..”

“Masya allah… Midah dah tahu?” Kali ini Pak Mahmud mengaitkan Hamidah dengan perkara ini.

Hamdi menggeleng kepala. Mahmud beristighfar..

“Saya tak mahu dia tahu, agar dia tak kecewa nanti.. lagipun, saya juga takut akan terjebak melakukan dosa besar ayah… jadi saya nekad akan berkahwin dengan gadis itu.. anak bos saya sendiri…” Hamdi berterus terang.

“Hmm.. kamu tak patut begitu Hamdi. Siapa Midah di sisi kamu? Bukankah dia isteri kamu, dan dia mesti ingin tahu perkara sebegini, tambahan apabila dia akan dimadukan.. Kamu buat begini, akan menambah lagi kekecewaan dia tahu tak?”

Hamdi memandang mata Mahmud, lalu mengalih pandangannya ke bawah. Malu.

“Kan bagus jika kamu bincang dahulu dengan Hamidah? Ayah tahu, kamu bukan budak-budak, kamu punya akal. Dan ini rumah tangga kamu. Cuma, jangan lupa, Hamidah anak ayah. Ayah tidak mahu dia dikecewakan.. Kamu juga tak mahu dia kecewa kan..”

Hamdi meraup mukanya sekali. Bagaikan ada debu di mukanya. Mungkin debu lutsinar yang terhasil daripada panahan kata-kata ayah mertuanya itu.

“Apa saya patut buat ayah? Saya rasa itu sahaja jalan yang paling baik, untuk semua..”

“Kamu fikirkanlah 2 perkara ini Hamdi. Lambat laun, moga-moga Allah bukakan pintu hikmahnya pada kamu. Solatlah istikharah. Ayah tak menghalang kamu kahwin lain, atas dasar bahawa itu hak kamu. Tetapi baik buruk perkara ini perlu ditimbangi…”

Mahmud menyambung lagi. “Fikirkanlah juga tentang anak-anak kamu. Mereka memerlukan kasih sayang dan didikan seorang ayah juga. Didik mereka selagi mereka masih kecil. Melentur buluh biar dari rebungnya..”

“Baiklah ayah.. saya fikirkan perkara ini dengan sepenuh hemat saya…”

“Jangan terburu-buru pula membuat keputusan ye Hamdi.. terburu-buru amalan syaitan..”

“Baik ayah.. terima kasih atas nasihat… saya nak minta diri dahulu ni.. mereka pun dah tunggu di luar.. kasihan pula..”

Mahmud mengangguk , Hamdi menghulurkan tangan untuk bersalaman.. Mereka berpisah di situ..

Mereka yang lain masuk kembali. Hamdi pula yang di luar. Kali ini Hamidah dan anak-anaknya masuk.

“Hamidah. Esok pagi, ayah nak kamu datang lawat ayah boleh? Ada perkara yang ingin ayah bicarakan nanti…” Mahmud berbisik pada Hamidah.
Anak-anaknya berpandangan.

“Baik ayah…” Hamidah agak pelik, namun dibiarkan perasaan itu. Tunggu esok untuk mengetahuinya.

———————————–

Pagi hari kepulangan Hamdi dan Mikraj.

Malam ini mereka akan menaiki penerbangan ke Kuwait.
Hamdi sedang termenung sendirian, di halaman kecil rumah semi-d miliknya itu.

Hatinya berbisik. Seolah berbual dengan seseorang.
“Patutkah aku beritahu Hamidah tentang perkara ini? Mahu ke dia terima?”
“Anak-anakku juga perlukan aku. Betul kata ayah mertuaku. Ku lihat, mereka seolah tidak terdidik dengan adab pada orang tua. Mungkin bukan salah Midah..”
“Bagaimana pula Sarah? Aku sayangkannya juga. Jika aku tinggalkannya di sana, tidakkah aku akan mengecewakannya pula?”
“Hamidah.. Sarah.. ah… pening kepalaku…”

Hamdi memicit-micit kepalanya.
“Aku sayang Hamidah. Aku juga sayangkan Sarah. Seperti sayang dan kasih Nabi Ibrahim a.s. pada Sarah…”
“Tetapi Sarah isteri nabi itu adalah isteri pertama.. adapun Sarah di Kuwait itu akan jadi isteri kedua! Apa yang telah aku buat? Dia mahu jadi seperti Sarah, wanita solehah idaman lelaki. Mungkin boleh, kecuali satu. Dia tidak akan menjadi isteri pertamaku…”
“Apa yang perlu ku buat, Ya Allah…”

Tidak berapa lama kemudian, anaknya Amirudin datang, memanggilnya masuk, untuk bersarapan.
“Ayah.. mak panggil makan sarapan…”
“OK…”

—————–

Petang itu, di biliknya…

“Bang.. Midah ada sedikit buah tangan untuk abang ni. Harap abang terima ye.. Dengan satu syarat…” Hamidah menunjukkan isyarat dengan jari telunjuknya.

“Apa syaratnya tu? Siap bersyarat-syarat lagi ni…”

“Dengan syarat, abang tak buka bungkusan ini kecuali setelah tiba di rumah abang di Kuwait.. ok?”

“Baiklah Midah sayang… abang janji tak buka kecuali bila tiba di rumah.. I promise..” Hamdi mengangkat tangan seperti orang berikrar.

Hamidah tersenyum, agak tawar. Hamdi sedar, namun difikirkannya, Hamidah sedih kerana dia akan meninggalkannya semula.

Hamidah minta diri ke dapur.

Semasa di dapur, tatkala dia memotong buah mangga untuk dimakan petang itu, terlimpah jua air jernih dari kelopak matanya. Sedih akan pemergian suaminya, meninggalkannya , sekali lagi. Atau ada sebab lain?

—————-

“Saya dah ada di airport. Nanti saya sampai di Kuwait , saya sms lagi.. ma’assalamah…”
Hamdi menekan SEND. Mesej ringkas itu buat Sarah di Kuwait.

Ding ding ding ding… Panggilan untuk penumpang-penumpang pesawat ……
Corong suara pengumuman di KLIA itu telah berbunyi. Ternyata ada kaitan dengan Hamdi dan Mikraj. Pesawat yang mereka akan naiki sudah ‘boarding’.

Ibu dan ayah Mikraj, ayah Hamidah, dan lain-lain turut ada di situ.
Hamdi mengucapkan selamat tinggal pada semua.
Hamidah memeluk erat suaminya. Hamdi terharu dan sebak. Hampir-hampir menitiskan air mata, namun sempat ditahannya.
Mikraj juga mengucapkan selamat tinggal pada ibu bapanya.

“Abang buka di sana ye.. ingat tau…” Hamidah sempat berpesan.
“Baiklah… ok.. semua.. kami pergi dahulu. Doakan keselamatan kami ye.. Ma’assalamah… Assalamualaikum…”

———–

Dalam pesawat

Mikraj duduk di sebelah Hamdi. Dia ingin bertanya sesuatu.
“Muram je bang? Tak gembira ke dah nak nikah ni?” Mikraj mengusik.

“Kamu beritahu ayah kamu ke Mikraj? Tentang abang nak kahwin lagi?” suara Hamdi mendatar. Tidak bernada kemarahan.

Mikraj menggaru-garu kepala. Payah untuk dijelaskan.
“Tidak bang.. maksud saya, saya tak beritahu pun. Tersasul je. Itu pun tak habis sebut ‘nikah’ pun lagi. Ayah dah syak. Aduh.. Saya minta maaf banyak-banyak dari abang… Ampun bang Hamdi…” Mikraj menyusun sepuluh jari.

“Tak apa. Yang penting, abang harap kak Midah kau tak tahu lagi perkara ini..”

“Khair insya allah..”

—————–

Di rumah Hamdi.

Hamdi membuka bungkusan yang diberikan oleh isterinya.

Kelihatan dua baju kurung, satu kelihatan baru, dan satu lagi seperti sudah agak lama!
Terselit juga sehelai kertas, bertulisan tangan. Daripada isterinya sendiri.

“Abang.. ampunkan Midah atas segala salah dan silap Midah pada abang.. Midah tak bermaksud apa-apa yang tidak baik dengan pemberian ini…”

“Baju yang lama itu adalah baju kurung Midah. Harap-harap dapat jadi pengubat rindu buat abang, jika teringatkan Midah..”

“Baju yang baru itu….”
Hamdi mengambil baju kurung baru itu.

“Baju yang baru itu, Midah mohon abang hadiahkan pada Sarah, bakal isteri abang nanti, bakal madu Midah… Midah redha… ” !!

“Adapun kata-kata anak kita tempoh hari, bahawa saya selalu kata baju lama lebih baik dan selesa, itu agar saya dapat ajar mereka bersyukur dan berpada dengan apa yang ada.. serta menghargai barang-barang yang ada. Jika masih boleh digunakan, buat apa beli baru kan….”
“Jadi masa itu saya lihat abang terdiam.. saya dapat rasakan sesuatu.. naluri kewanitaan saya akhirnya menemui jawapannya tatkala ayah memberitahu tentang perkara ini…”

“Midah harap.. abang jadilah suami yang terbaik untuk Sarah. Dan tak perlu risaukan kami di sini. Insya allah, Allah Maha Pemberi Rezeki, dan Maha Melindungi…”

“Kirim salam pada Sarah ye bang. Katakan, ‘saudara’ abang yang kirim salam…”

“Akhir kata.. semoga perkahwinan kalian dirahmati Allah.. saya tumpang gembira juga… Sekian dahulu buat kali ini… Wassalam….”

“Yang jauh…. Isterimu…..”

Jauh di mata, namun dekat di hati.. Hamdi tidak dapat berkata apa-apa. Rupanya Hamidah sudah tahu.
Bahkan, dia redha? Subhanallah… kalaulah dia memberitahu isterinya dahulu lagi….
Kasihan Hamidah. Baju lamanya menjadi pengganti, pengubat rindu?

———————-

Ya Allah.. Patutkah aku meneruskan niatku ini? Andai kata gerak hatiku menyatakan keputusannya, maka kau jadikanlah keputusan itu suatu yang tepat dan betul.. Ya Allah…
Hamdi berdoa seadanya. Hampir setiap hari dia solat istikharah dan berdoa pada Allah, agar dipermudahkan segala urusannya, biar apa pun keputusan yang akan dibuatnya.
Istikharah ialah memohon agar pilihan yang dibuat itu benar-benar ada kebaikan pada diri kita. Itu tafsiran para ulamak. Ada pula yang menerangkan bahawa istikharah ialah minta dibuat pilihan, namun tafsiran yang ini tidak begitu tepat.

Saban hari dan malam, Hamdi asyik termenung sendirian. Wajarkah? Patutkah?
Ah. Isterinya juga sudah tahu, dan redha. Apa yang dia perlu risaukan? Mungkin hatinya masih terkesan dengan pemberian Hamidah tempoh hari. Kini dia lebih faham apa erti baju lama pada baju baru.
Walaupun buruk, namun baju lama itulah yang melindungi sejak dahulu, bahkan memberi lebih keselesaan.

———————————

Kali ini, Hamdi nekad. Dia sudah membuat keputusan. Walaupun majlis nikahnya sudah tinggal dua hari sahaja lagi. Mengapa ingin mengecewakan suatu pihak jika boleh menyenangkan kedua-duanya?
Hamidah sudah beri lampu hijau. Sarah sudah pasti akan menerimanya sebagai suami. Mungkin masa sahaja yang akan menentukan bilakah Sarah akan tahu hal sebenarnya….

——————————-

“Sarah.. benarkah awak bersedia berkahwin dengan saya?” Hamdi bertanya pada Sarah, secara bersemuka. Serius.

“Ye Hamdi. Saya impikan kita akan jadi pasangan yang bahagia, dan awak dapat mendidik saya menuju keredhaan Allah , berada di sisi saya, hingga ke akhir hayat…”

Hamdi berkata lagi : ” Insya allah.. kalau itu yang Sarah impikan, saya berjanji akan tunaikan impian Sarah.. saya akan bahagiakan Sarah.. hingga ke akhir hayat…selama-lamanya…”

“Ini ada baju kurung, dari Malaysia, ada ‘saudara’ saya hadiahkan untuk awak.. harap awak memakainya pada malam akad nikah nanti ye…”

“Wah.. cantiknya… insya allah.. saya akan pakai nanti…” Sarah tersenyum lebar.

“Mari kita pergi ‘lunch’ dahulu. Mungkin ini ‘date’ terakhir bagi kita, sebelum kita sah suami isteri kan Hamdi?”

Hamdi pula senyum. “Mari… kita jumpa di Paradise Restaurant, dekat dengan Muthanna Complex tu ye?”
Hamdi mengambil kunci keretanya, dan menunggu Sarah mengambil beg tangannya. Mereka akan membawa kereta masing-masing ke sana.

————————————-

Malam akad nikah di rumah Sarah

Para hadirin lelaki baru selesai solat maghrib berjemaah di situ. Majlis ringkas itu diadakan di rumah Sarah, tempat tinggalnya bersama ayah tersayang. Sungguh luas.

Lalu masing-masing bersiap sedia untuk mengatur majlis akad nikah, dan kelihatan seorang sheikh memakai serban putih sedang berbisik-bisik dengan ayah Sarah, Uthman.

“Kamu sudah bersediakah Hamdi?” En. Uthman, bakal mertuanya bertanya.
Hamdi hanya mengangguk dan tersenyum ceria. Uthman juga senyum.
Tidak lama selepas itu, Hamdi sudah bersedia menghadap En. Uthman, untuk melafazkan akad nikah…

—————————

Sarah masih di bilik. Mereka yang di luar sana akan memulakan akad nikah. Dia memakai baju kurung hadiah daripada Hamdi itu. Tidak diketahuinya bahawa itu adalah daripada bakal madunya..

Dia belum solat maghrib lagi. Hatinya sebenarnya resah semenjak tadi. Saudara mara perempuannya sejak sebelum maghrib lagi sudah mengerumuninya, di samping mengenakan solekan pada wajahnya. Sarah hingga terlupa mengambil wudhuk dahulu.
“Sarah. Kamu qadha’lah solat maghrib nanti. Kan kamu sudah pakai ‘make-up’ tu. Kalau berwuduk karang, tanggal pula nanti..” ibu saudara Sarah, Mariah menghalang Sarah daripada solat maghrib! Kerana takut ‘make-up’ akan tertanggal dan rosak, maka perlu disolek semula…

“Tidak makcik.. Solat kan kewajipan kita sebagai seorang muslim. Saya pun tak kisah sangat dengan solekan yang warna-warni ini. Kalau tinggal solat, kan berdosa makcik!” Sarah berpegang teguh pada agamanya. Taqwa dan iman menyerlah.

“Tidak… makcik tak benarkan…” Mariah masih berkeras.

“Makcik.. saya tetap nak solat. Makcik tak benarkan saya melakukan apa yang diperintah oleh Allah?”
Sarah menanggalkan hijabnya, lalu berjalan ke bilik air, untuk berwudhuk. Terlupa nak berwudhuk sebelum itu.

Solekan di mukanya tanggal. Makciknya menggeleng kepala. Menggeleng kerana seseorang yang ingin taat pada perintah Tuhannya….

“Semoga Hamdi lancar melafazkan akad..” Sarah berbisik dalam hati, sebelum melangkah keluar dari bilik air selepas berwudhuk. Hatinya amat gembira hari ini. Hamdi kesayangan akan jadi suaminya yang sah malam ini.
Sebentar lagi dia bergelar isteri..

“Lihat.. kamu ni Sarah…” Mariah masih tidak puas hati. Makciknya payah benar mematuhi suruhan agama. Itu tak kena, ini tak patut, itu berat. Sarah sentiasa berdoa agar makciknya diberi hidayah daripada Allah.

Tidak lama kemudian, Sarah sudah pun bersedia untuk solat.

—————————————

“Aku terima nikahnya Sarah binti Uthman..”

Lancar sekali Hamdi mengucapkan lafaz akad itu tadi, penuh keyakinan.
Mikraj pun ada di situ. Sebagai salah seorang saksi. Ramai juga ahli keluarga Sarah yang datang daripada kalangan lelaki. Mereka semua mengucapkan syukur sebaik lafaz akad nikah selamat dan sempurna  diucapkan.

“Alhamdulillah.. kamu sudah menjadi ahli keluarga kami, Hamdi.”
En. Uthman memeluk erat Hamdi, sambil menepuk-nepuk belakangnya.
Hamdi terharu.

“Nanti, bolehlah kamu jumpa isteri kamu di dalam ye.. ayah harap kamu menjadi seorang suami yang boleh menjaga anak ayah.. mendidiknya.. bersama dengannya.. selama-lamanya…”

“Insya allah.. saya harap ayah merestui perkahwinan ini. Redha seorang ayah amat bermakna bagi sesuatu perkahwinan… saya akan menjaga Sarah bagai menatang minyak yang penuh… bi iznillah…” Hamdi berjanji.

“Alhamdulillah.. tercapai juga hasrat ayah nak lihat Sarah berumahtangga, sebelum ayah pergi nanti..”

“Moga Allah memanjangkan umur ayah dengan amalan yang diredhai-Nya.. aamiin.” Hamdi meleraikan pelukan ayahnya.

“Mari.. ayah bawa kamu jumpa Sarah. Ayah akan menyerahkannya padamu… Dia di bawah tanggunganmu kini Hamdi….” Uthman bersedia untuk bangun. Tiba-tiba…

Terdengar laungan suara seorang wanita dari bilik Sarah. Agak kuat dan bernada menggemparkan suasana di rumah itu.
Makciknya keluar, bergegas ke arah Uthman. Berlari dalam berjubah hitam.

“Uthman.. Sarah… Sarah…” suara Mariah tersekat-sekat. Air matanya membanjiri pipinya. Sesuatu yang buruk seperti telah berlaku!

“Kenapa ni Mariah? Apa yang berlaku? Sarah mana?” Uthman bingung. “Hamdi. Kamu lihat apa yang berlaku.. cepat!” Uthman menenangkan adiknya Mariah itu. Hamdi bergegas ke bilik Sarah. Dikuaknya pintu perlahan.

Hamdi terduduk apabila melihat sekujur tubuh terbaring di atas sejadah, di penjuru bilik itu. Ternyata isterinya yang sedang terbaring di situ. Berseri wajahnya, bagai disolek. Hamdi menghampiri jasad kaku itu. Mulutnya terkunci. Matanya masih tidak dialihkan daripada melihat tubuh itu… Allahu akbar.

Inna lillahi wa inna ilaihi roji’uun..

Akad nikah telah selesai sebelum dia solat lagi. Sarah meninggal ketika sedang sujud. Dalam baju baru…… Sarah telah menemui Rabbnya, dalam keadaan bersujud. Semasa sujudlah, seorang hamba itu paling hampir dengan Allah… Hikmah Allah amat agung…Ternyata Allah lebih menyayanginya.

Hamdi tidak dapat menahan sebak. Manik-manik jernih tercurah perlahan-lahan dari kelopak mata Hamdi.

Dia memegang tangan Sarah yang sejuk itu, lalu mengucupnya penuh syahdu. Dia baru dapat mengucup tangan isterinya setelah nyawa berpisah dari jasad. Subhanallah.. Maha suci Allah..

Hamdi masih belum berganjak dari sisi tubuh Sarah. Wajahnya amat bercahaya dan berseri. Tatkala beribadat, nyawa dicabut malaikat.

Dia pun mengusap lembut pipi arwah isterinya, sejuk dan bersih. Lalu berbisik perlahan : “Perkahwinan kita, hingga ke akhir hayatmu, Sarah….”

p/s : Sekian… wallahu a’lam.. Nantikan ulasan oleh diriku sendiri utk cerpen ini..

Advertisements
This entry was posted in Karya. Bookmark the permalink.

4 Responses to Cerpen : Baju Baru – Part 6 – Final

  1. yanz berkata:

    hehehhehe..k.yan baru baca sikit2 je dulu…adik nk anto kt mana ni, anto laa kt publisher buku Ayat2 cinta tu..

  2. qafmimra berkata:

    aloh… awat ke publisher ayat2 cinta lak?
    buat syarikat sendiri jek.. huhu

  3. ayubalqishah berkata:

    assalammualaikum
    cite yg menarik
    pengakhiran yg mengejutkan!

  4. buku anak muslim berkata:

    cerita yang sangat manrik dan mengejutkan.
    terima kasih sharingnya

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s