Umrah 1430 H

Alhamdulillah, Ahad 29 Mac, malam Isnin, lebih kurang jam 6.40pm, aku dan kawan-kawanku tiba di lapangan terbang antarabangsa Kuwait, dari Jeddah, menaiki flight KU 786 pada pukul 5.00pm.

Aku menyertai rombongan yang terdiri daripada 23 pelajar lain dari pelbagai negara, yang mana semuanya masih belajar di Kuwait University. Kami diiringi 2 orang pegawai dari pejabat pengurusan asrama , Dr Issa al-Zufairy dan Ust Jasim ad-Dakheel yang kedua-duanya berasal dari Kuwait, dan 3 orang lagi warden asrama yang semuanya dari Mesir.

Pelajar melayu hanya 3 orang, aku, abang Ansoree dan abang Anwar Wado yang mana kedua-duanya dari Thailand. Manakala kebanyakan pelajar lain yang menyertai rombongan umrah bertema : Umratun Nur ini adalah berasal dari Bahrain dan negara-negara Afrika seperti Burkina Faso, Mali, Nigeria, Niger, Mesir dan lain-lain.

Ini adalah kali kedua aku pergi umrah menaiki kapal terbang, yang mana kali pertama aku pergi, aku masih di Maahad Dini, tingkatan 4 Thanawi. Pakej umrah ini ditaja sepenuhnya oleh Kementerian Awqaf dan Students Dormitory Department.

Kami diberi beg kargo, beg sandang, kain ihram, selipar, beg kecil, dan alat-alat perapian diri (pisau cukur, sikat dan lain-lain dalam satu kotak kecil) dengan percuma, malah diberi pula wang saku sebanyak KD40 yang nilainya jika ditukar di Mekah = SR 504 , = lebih kurang RM 505.

Alhamdulillah, segalanya berjalan dengan lancar, bermula daripada check-in sehinggalah boarding , hotel, sehingga kami pulang. Tiada apa-apa masalah yang berlaku.

Check-in di Kuwait

Di kawasan check-in Kuwait Airways di Kuwait Int'l Airport

Di kawasan check-in Kuwait Airways di Kuwait Int'l Airport

11.05am , 26.03.2009 Khamis
Kami check-in sebagai satu kumpulan di kaunter Kuwait Airways. Yang menariknya, mereka langsung tidak menimbang beg-beg kami, sebaliknya terus mengira bilangan beg-beg tersebut dan terus meletakkan tag bagasi pada setiap beg kargo yang ada, dengar-dengarnya hampir 27 beg kesemuanya, termasuk beg-beg para pegawai dan warden. Mungkin sebab yang menguruskan check-in itu ialah Dr Issa sendiri, dan kami pula semua pelajar Kuwait University, yang mana biasanya pelajar universiti di sini dihormati, termasuk yang bukan Kuwaiti.

Kebanyakan pelajar membawa satu beg kargo, yang rata-rata dilihat agak ‘kosong’ dan ringan kerana ada yang akan membeli sedikit barangan di Mekah seperti buku dan pakaian untuk dijadikan hadiah dan kenangan, maka beg sengaja dikurangkan barang di dalamnya.

Menuju ke pintu no. 2

Di hadapan gate no. 2

Di hadapan gate no. 2

11.35am 26/3
Selesai sahaja urusan check-in, kami terus menuju ke kaunter Passport Control, untuk masuk ke kawasan perlepasan antarabangsa itu.
Yang aku agak hairan ialah semua pegawai yang memeriksa pasport itu adalah wanita… jarang sungguh aku lihat perkara sebegini di Kuwait Airport sejak tahun 2001 dahulu lagi.

Apa pun, setelah solat Zohor di kawasan perlepasan, aku dan beberapa rakanku menukar pakaian dan mengenakan kain ihram. Ada yang sejak melepasi kastam lagi sudah menukar, bagiku, tukar selepas solat lebih mudah.

Dalam flight

1.40 pm

Aku duduk sebelah seorang lelaki Mesir, yang memakai kain ihram juga. Sejak bermula penerbangan sehinggalah nak keluar, dia sedaya upaya nak cakap denganku dengan bahasa Inggeris – dengan pelat Arab – , tetapi akhirnya aku faham kata-katanya dalam bahasa Arab juga. Satu je yang aku tak ingat nak buat ialah : berkenalan…

Tepat jam 2.00pm, barulah kapal terbang berlepas ke udara, bermakna sejak daripada jam 1.45 hinggalah 2.00pm, kapal terbang itu hanya menghabiskan masa ‘bersiar-siar’ menuju landasan khas untuk berlepas ke udara.

Dalam flight kami dihidangkan dengan makanan tengahari , sajian masakan Arab, ayam masak apa entah, pelik sikit namanya. Sedap juga rupanya. Alhamdulillah.

Kemudian lebih kurang setengah jam kemudian, kapten kapal terbang mengumumkan bahawa apabila tinggal lagi sejam untuk melalui miqat, dia akan memberi pengumuman.

Suka aku nak menyebut bahawa ada penumpang yang tersilap faham, lalu menunggu sehingga kapal terbang melalui kawasan miqat baru berniat ihram. Kerana kapal terbang jika dikatakan ‘melalui’ kawasan atau tempat miqat, yang zahirnya dalam peta yang ku lihat di skrin tempat duduk dalam flight itu ialah miqat penduduk Madinah, iaitu miqat Zulhulaifah atau Abyar ‘Ali atau Bi’r ‘Ali , sudah pastilah kapal terbang akan melepasi tempat tersebut saat pengumuman kapten itu. Bayangkan berapa kilometerkah sesaat dilalui kapal terbang itu?

Oleh yang demikian, seeloknya penumpang berniat paling kurang pun 10 minit sebelum itu bagi mengelakkan terlepas miqat.

Apa yang membuatkan aku menyebut perkara ini ialah apabila kapten mengumumkan bahawa sekarang kapal terbang merentasi miqat, barulah aku dengar laungan talbiyah oleh para penumpang yang berihram… bukankah sebaik sahaja kita berniat ihram, kita disunatkan bertalbiyah : LabbaykALLAHumma labbayk…. dan kita melaungkannya sehinggalah kita tiba di Mekah, atau melihat Masjidil Haram, atau melihat Ka’bah (atas mazhab masing-masing).

Walau bagaimanapun, lebih baik bersangka baik daripada tersalah hukum.. mungkin mereka baru teringat nak bertalbiyah agaknya. Wallahu a’lam..

Semasa kapalterbang hampir mendarat, aku sempat mengambil gambar bandar Jeddah dari atas.

Pemandangan Jeddah dari atas kapal terbang

Pemandangan Jeddah dari atas kapal terbang

Sampai di Jeddah

4.00pm 26.9

Kami sampai di Jeddah lalu terus turun menaiki bas ke terminal. Aku lihat ramai juga jemaah dari Malaysia dan Indonesia di situ. Aku ternampak ada bendera Malaysia di salah satu beg kecil seorang lelaki berumur. Nak ditegur, jauh pula, dan kami perlu sentiasa bersama dalam jemaah, agar tidak menimbulkan masalah yang lain.

Selepas keluar dari kawasan tuntutan bagasi

Selepas keluar dari kawasan tuntutan bagasi

Ini kali kelima aku di sini. Tetapi kali ini adalah yang paling aku ingat, kerana kami tunggu di lapangan terbang Jeddah agak lama, lebih 1 jam, sebelum menaiki bas khas kepunyaan Syarikat Mashaer itu. Aku sempat mengambil beberapa gambar di Jeddah, sebagai tanda kenangan.

Sedang menunggu bas. (kelihatan seorang lelaki memakai jubah di kiri gambar, jual SIM Card! )

Sedang menunggu bas. (kelihatan seorang lelaki memakai jubah di kiri gambar, jual SIM Card! )

Kami bergerak ke Mekah lebih kurang jam 5.20pm.

Tiba di Tanah Suci Mekah

7.30pm Mekah – Hotel Intercontinental Dar al-Tawhid

Di pintu masuk Hotel Dar At-Tawhid

Di pintu masuk Hotel Dar At-Tawhid

Alhamdulillah, kami tiba di Mekah selepas maghrib, dan hampir masuk waktu ‘Isya’. Kami niat jama’ ta’khir kerana bimbang tidak sempat solat maghrib.

Aku ditempatkan sebilik dengan rakanku, Musa Sana, dari Burkina Faso, di bilik 843. Bilik yang menghadap Hotel Hilton, sebelah hotel ini, dan Masjidil Haram dapat dilihat bucu bangunannya sahaja dari bilikku itu.

Kami terus bersiap sebaik sampai di hotel untuk solat Isya. Tak sempat rehat. Kami lihat para jemaah telah berpusu-pusu menuju ke ruang solat Masjidil Haram.

Bilikku. Lupa nak alih kain ihram dari katil.

Bilikku. Lupa nak alih kain ihram dari katil.

-bersambung…

Advertisements
This entry was posted in Inspirasiku and tagged . Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s