Cerpen : Baju Baru – Part 4

Tiba-tiba, pada suatu malam….

Kring…. kring…..

Tertera “No number” pada skrin telefon Hamdi.
Siapa yang telefon malam-malam ni? Mesti dari luar. Malaysia kah?
Kalau dari Malaysia, takkan isteriku belum tidur lagi?

“Hello….” Hamdi menjawab panggilan…

“Assalamualaikum.. abang…. isk isk…..” kedengaran suara seorang wanita… serak… berselang esakan dan tangisan….

“Ayah…..”

Hamdi bingung….. “Ayah? Kenapa ni Midah? ”

“Van ayah kena langgar dengan kereta lain petang tadi… ayah masuk wad…! Abang, balik lah bang…..! Isk…” Hamidah menerangkan secara ringkas, mengangis, bahkan, suaranya bagai mendesak Hamdi pulang segera ke Malaysia!

“Inna lillahi wa inna ilaihi roji’un… bila lagi tu Midah? Ayah macamana sekarang?” Hamdi bertarji’.

“Abang ni, ayah hidup lagi dah kata inna lillah….”

“Midah, ucapan tu untuk ingatkan kita dengan Allah bila ada musibah… Dah dah… jangan menangis.. doa banyak-banyak… bukan wad ICU kan?” Hamdi cuba memujuk.

“Bukan.. tapi doktor belum beritahu lagi bagaimana keadaan ayah sekarang… ” suaranya masih bergetaran.. sedih, kaget, takut, risau, bingung… segala macam perasaan dirasainya… jelas “didengari” pada suaranya….

“Ye? Ye doktor? Macamana ayah saya?” kedengaran suara Hamidah, agak jauh dari corong suara telefonnya.

Hamdi hanya memicing telinga…. menghela nafas panjang….

“Ayah…. mak kata nanti mak call semula….” anak lelakinya memberitahu, agaknya gagang telefon diserahkan padanya oleh Hamidah.

“Baiklah… Udin tengok-tengokkan juga mak dan adik ye… apa-apa hal ayah jugak akan call semula… assalamualaikum…” Hamdi bersedia menghentikan panggilan.

“Waalaikumussalam…… ok ayah…. sayang ayah…..” ucapan anak yang benar-benar rindu pada ayah yang merantau jauh…

“Err.. ye.. ayah sayang kamu juga….” sempat lagi dia membalas… ucapan anaknya itu benar-benar dirasakan keikhlasannya…

Apakah ada anak yang tak ikhlas sayang pada ibu dan bapanya? Bagaimana pula dengan ibu bapa?
Bahkan ibu dan bapa sanggup lakukan apa sahaja untuk anak mereka.. malah nyawa mungkin…

Hamdi bersandar di kerusi malasnya di ruang tamu apartmentnya. Sesekali memejam mata, seakan memikirkan apa yang patut dibuatnya.

Majlis perkahwinannya akan berlangsung minggu hadapan. Jika dia pulang ke Malaysia, apa akan terjadi?
“Hmm… perlukah aku balik? Lagipun itu ayah mertuaku, bukan ayahku…”

“Tetapi… berbuat baik pada ayah mertua juga seolah berbuat baik pada ayah kita sendiri…” Hamdi gumam sendirian.

Biarlah sebentar. Moga Allah memberiku ilham kelak.. apa yang patut ku buat.. ya allah…

Hamdi mencapai remote lalu menekan punat ON untuk menghidupkan televisyen LCD Wansa 21 inchi itu. Televisyen itu digantungnya di dinding, untuk menjimatkan ruang.

Dia suka menonton channel Al-Jazeera yang berbahasa Arab dan juga Inggeris. Tetapi yang berbahasa Arab lebih kerap menjadi pilihannya selama ini.

“Kumpulan al-Qassam : Kami berjaya membedil 2 kereta kebal milik Israel. Seramai lima orang askar Yahudi terbunuh.”
Kelihatan sebaris ayat mengandungi berita terpampang di kaca tv. Pembaca berita itu sedang berinteraksi dengan salah seorang wakil kumpulan pejuang Kata-ib Sheikh ‘Izzuddin al-Qassam.
Kelihatan pula di sebelah penjuru kiri tv, tertera nombor 15, selepas tertulis di atasnya : Al-Harbu ‘ala Ghazzah , atau Perang ke atas Gaza.

Sudah 15 hari Gaza diserang negara tak diiktiraf itu, Israel, tanpa belas kasihan mahupun unsur-unsur kemanusiaan. Walaupun PBB dan masyarakat dunia mengecam dan mendesak agar askar Yahudi berundur dan menghentikan peperangan, namun askar-askar Yahudi itu tidak endah akan semua itu. Bahkan makin hari makin bertambah bilangan syuhada’ dan mangsa cedera parah.

1003 orang syahid. 4032 orang cedera.

Hamdi menggeleng kepala. Lalu meraup mukanya.
“Apa nak jadi umat Islam sekarang?! Orang Arab pun sama jek. Dah 15 hari baru nak mesyuarat!” terasa geram membuak di dadanya.

Dia memang benar-benar prihatin akan isu Palestin, bahkan dia pernah menyertai beberapa program yang dianjurkan Aman Palestin dan ABIM, semasa di Malaysia dahulu, berkaitan dengan isu tersebut.

Bahkan, anak lelakinya, Udin atau nama sebenarnya Izzuddin al-Qassam itu dinamakan sempena Sheikh ‘Izzuddin al-Qassam, salah seorang pejuang, pendidik dan pelopor perjuangan menentang Yahudi dan membebaskan Palestin, sehingga anak-anak didikannya menamakan kumpulan mereka dengan Kata-ib al-Qassam, sempena gelarannya. Lebih-lebih lagi perjuangan 1935-1936, seperti yang tertulis di lembaran sejarah.

“Patutkah aku kahwin dengan Sarah? Orang lain sibuk berperang, dan diperangi, aku sibuk, asyik dengan khayalanku, ingin memiliki anak gadis Arab Syam itu?” Hamdi tiba-tiba terasa tidak kena.

Dan tangannya terasa amat ringan dan pantas mencari nombor Sarah, untuk menghubunginya. Ingin menerangkan sesuatu…

Namun fikiran Hamdi masih melayang… walaupun panggilan sudah bersahut..
Kedengaran suara di corong handphonenya.

“Helo… Helo sayang… Hamdi.. kenapa ni? Kenapa senyap je?” suara lembut Sarah menyedarkan Hamdi kembali.

Hamdi baru kembali ke alam nyata! Terus melihat paparan skrin handphonenya.
Sarah sudah di talian! Namun dia belum menyusun katanya..

“Ye ye.. Sarah.. maaf.. tadi saya.. aa.. saya termenung sejenak.. awak apa khabar? Tak tidur lagi ke?” Hamdi cuba memaniskan kata-kata.

“Eh.. awak… sekarang baru pukul 9 malam. Tanyalah dah makan ke, tengok tv ke, apa ke.. mana ada orang tidur masa ni lah…” Sarah ketawa, merengek manja. Memang dia gemar berlagak manja dengan Hamdi yang dirasakannya romantis itu.

“Oh.. sorry my dear… tak perasan saya tadi.. maaf mengganggu awak malam-malam begini… tentu sibuk kan? Ye lah, majlis dah dekat ni…” Hamdi pula ketawa. Menyembunyikan kebuntuannya, yang mana sebenarnya menjadi sebab mengapa dia menghubungi Sarah tadi.

“Awak ni… mestilah sibuk.. Kan awak yang akan jadi suami saya nanti? atau awak dah tak sudi? ada pilihan lain? atau isteri panggil pulang? atau…” Sarah pula yang sengaja berlakon merajuk.

Eh.. bila pulak aku beritahu dia pasal isteri aku ni.

“Ish Sarah ni.. tak baik cakap begitu.. awak nak saya buat begitu pula ke?”

“Tak tak…. saya gurau je lah awak… jangan lah marah…. ala awak ni… gurau pun tak boleh…” kini Sarah pula yang memujuk, setelah terasakan sedikit kelainan pada nada Hamdi malam ini.

“Apa-apa je lah Sarah… hmm… saya tengok tv tadi, pasal Gaza.. kasihan diorang.. negara-negara lain tak macam nak tolong pun…” Hamdi mula berbicara.

“Ye lah. Saya pun kasihan. Lagipun Palestin tu jiran kami juga. Saya ada dua pupu berada di Tebing Barat. Dia duduk di sana. Dia kata, kami pun nak bantu, tetapi kerajaan talam dua muka itu asyik-asyik kata kita kena guna cara aman. Jangan berperang. Tak ada guna lawan Israel. Diorang tu kuat. Apa-apa saja lah yang dikatakan diorang tu.”

“Itu yang masalahnya Sarah. Dah lebih dua minggu dah ni, syuhada dah lebih 1000. Itu belum masuk yang cedera, dah lebih 4000. Sampai bila diorang nak mesyuarat?” Hamdi mempersoalkan permasalahan dan pertelingkahan sesama Arab, tentang apa yang perlu dibuat?

Hamdi menyambung : “Adakah diorang nak tunggu sampai Palestin lenyap terus dari bumi, Masjid al-Aqsa diroboh, penduduk di situ dilenyapkan sehabisnya, baru nak melawan?”

“Memang itu masalah Arab sekarang, Hamdi. Malah, masalah umat Islam seluruhnya.. yang mampu diorang buat, cuma berdemonstrasi, tunjuk perasaan. Lemahnya kita sekarang.” Sarah melayan rentak perbualan.

“Saya tak tahulah apa akan terjadi nanti jika Palestin diambil sepenuhnya dek Yahudi nanti, na’uzubillah..” Hamdi mengendurkan suara.

Dalam pada itu, Sarah teringat ingin bertanya apa tujuan sebenar Hamdi menghubunginya tadi. Kerana jarang dia menghubunginya pada waktu begini. Takkan untuk berbincang tentang Gaza?

“Hmm.. Hamdi.. maaf jika saya keluar tajuk sedikit.. Cuma, saya tadi terasa macam ada sesuatu yang tidak kena pada awak.. suara bernada lain.. bahkan, tiba-tiba pula Hamdi bercerita tentang Gaza pada saya? atau Hamdi ada maksud sebenar?” Sarah bertanya.

Hamdi menghela nafas dalam-dalam, panjang.

“Hmm.. baiklah.. pandai awak membaca hati saya…” Hamdi akhirnya berterus terang.

Sarah masih menunggu.

“Begini Sarah. Saya perlu pulang ke Malaysia esok atau lusa. Ayah kawan saya kemalangan. Dan keluarga saya di sana mendesak agar saya pulang segera.. Saya..”

“Jadi Hamdi mahu tinggalkan saya? Minggu hadapan kita akan berkahwin kan? Dan awak kata, awak akan bawa saya ke Malaysia juga nanti untuk berbulan madu?” Sarah tiba-tiba memotong percakapan. Seperti tidak puas hati.

“Bertenang Sarah. Dengar dahulu saya bercerita ye.”
“Okay… saya dengar ni…”

“Baiklah. Jadi, saya akan pulang, kemungkinan besar lusa kot, sebab nak buat macam-macam urusan. Dan saya akan pulang dengan seorang pelajar Malaysia juga, Mikraj, sebab dia anak saudara mangsa kemalangan itu. Insya allah, saya akan pulang semula ke sini lepas dua hari di sana.. sempat lah saya bersiap untuk majlis itu nanti kan…” panjang lebar Hamdi menerangkan.

“Kenapa Hamdi kena pulang juga? Biarlah Mikraj atau si polan itu sahaja yang pulang. Apa kena mengena Hamdi pula dalam perkara ini?” Sarah masih belum puas hati.

Terkedu Hamdi. Kalau dia beritahu karang, mahu gamat dibuatnya. Hancur segalanya. Dia berdehem, sambil memicit-micit kepalanya. Pening, tak pasti apa yang patut dijadikan jawapan.

“Hamdi? Awak masih di sana? Kenapa diam?”

“Keluarga saya dan keluarga ayah saudara Mikraj itu memang amat rapat, ‘seperti’ punya ikatan kekeluargaan sebenar. Malah, saya sudah kata tadi, keluarga saya sangat berharap dan mendesak agar saya pulang juga. Saya perlu juga jaga hubungan antara semua pihak kan, Sarah. Jangan bimbang. Sampai di Malaysia, saya akan hubungi awak juga. Saya janji.” Hamdi cuba meredakan perasaan Sarah.

“Hm.. baiklah Hamdi. Esok di pejabat, kita bicarakan semula ye. Ayah saya panggil tu..” Sarah seolah ingin lari daripada meneruskan perbualan itu.

“Em.. okay.. insya allah, esok saya terangkan semula. Jumpa lagi… Ma’assalamah… Love you…”

“Ilal liqa’.. love you too my dear… Assalamualaikum…” Sarah menekan punat merah di handphonenya. Begitu juga Hamdi.

Ya Allah.. tunjukkan aku jalan. Berikan ku ilham dan petunjuk. Apa yang harus aku buat?

Baik aku hubungi Mikraj…

——————

Pagi itu juga, Mikraj terus pergi ke meja mushrif , atau warden bangunan asramanya itu, untuk menyerahkan dokumen yang diperlukan untuk memohon surat kebenaran keluar dari Kuwait.
Semua pelajar di Kuwait perlu memperolehi surat tersebut untuk keluar dari Kuwait, kerana di imigresen lapangan terbang Kuwait nanti, mereka akan meminta surat itu terlebih dahulu, bagi memastikan bahawa pelajar itu telah dibenarkan keluar oleh pihak yang menanggung mereka seperti Kuwait University dan lain-lain.

“Berapa hari kamu akan berada di Malaysia, Mikraj?” ustaz Abdul Rauf bertanya, berbasa-basi, sementara menunggu Mikraj mengisi borang permohonan untuk surat tersebut.

“Mungkin lima hingga enam hari ustaz.. Saya pulang ni pun atas permintaan keluarga juga. Bahkan, peperiksaan akhir untuk semester ini akan bermula minggu hadapan, dan saya perlu pulang segera juga kan..” Mikraj menjawab, panjang lebar, tak perlu disoal lebih lanjut. Lagipun, dia ingin segera menuju ke kawasan bas diparkir, untuk ke kampus Kaifan. Masih ada satu kelas yang belum tamat, kerana pensyarahnya terlambat menghabiskan sukatan pelajaran.

Pukul 10.10 am. Mikraj melihat pada jam tangannya.

Setelah selesai mengisi borang, Mikraj terus menuju ke kawasan di mana ada bas menunggunya.

Ketika sampai di pintu bas, dan ingin melangkah masuk, tergamam Mikraj apabila ada seorang gadis, yang dikenalinya, duduk di hadapannya, di hadapan pintu masuk bas. Lailatul Israk!

Israk tertoleh ke kanan apabila merasakan diperhati dari pintu masuk bas itu. Tanpa melahirkan rasa apa-apa, dia senyum dan mengangguk, lantas mengalihkan perhatiannya pada buku yang dipegangnya untuk bacaan. Sekadar mengisi masa menunggu bas bergerak. Mungkin ada urusan visa agaknya di pejabat tingkat satu, bangunan 4 di asrama lelaki itu.

Mikraj yang masih di pintu tadi menyedari bahawa kawan-kawannya di dalam bas sedang berbisik-bisik, bahkan ada yang berdehem-dehem, lantas terus mengangguk laju dan terus mencari tempat duduk di bahagian belakang. Malu agaknya dengan Israk.

“Ehem.. Mikraj, kamu ni, kalau ye pun nak mengorat, jangan lah kat dalam bas ni…” Tijan berbisik perlahan, ingin berseloroh dengan Mikraj. Kawan-kawannya yang bersebelahan ketawa terbahak-bahak.

Mikraj menutup muka, malu pun ada. Dia bukan sengaja nak berdiri tercegat di pintu masuk tadi.

“Korang ni.. jangan lah kecoh-kecoh.. aku terkejut jek tadi.. tak ada apa-apa pun..” Mikraj cuba menyembunyikan rasa malu daripada mereka.

“Alah.. biasa la tu.. lelaki, mana-mana pun sama jek..” tiba-tiba Amado menyampuk, dia duduk betul-betul di hadapan Mikraj, membelakangkannya.

Mikraj terus meletakkan dua tapak tangannya di tengkuk Amado dan menggoncangkan badannya, perlahan. Bergurau.
Amado terus mengangkat tangan..
“Aduh kau ni.. rileks la.. gurau pun tak boleh….” semua yang duduk bersebelahan Amado dan Mikraj ketawa lagi.

Tiba-tiba, nada deringan sms Mikraj berbunyi. Semua terdiam, melihat Mikraj. Sekali lagi handphonenya berbunyi.

Bas pula mula bergerak. Sudah pukul 10.15am. Tepat pada waktu. Di Kuwait University, bas disediakan untuk ke kampus setiap 15 minit, contohnya pukul 10, 10.15, 10.30 dan seterusnya.

Mikraj membuka Inbox dalam handphonenya. Dua mesej. Satu tertera nama Hamdi, dan satu lagi hanya nombor yang dilihat.

Dia membuka dahulu mesej daripada Hamdi: [ Assalamualaikum.. Mikraj, kamu dah selesaikan ke surat kebenaran keluar tu? Kita punya flight akan bertolak esok, pukul 10.50 malam. Harap bersedia. ]

Mikraj membalas mesej tersebut.

Kemudian, dia membuka pula mesej yang tidak diketahui penghantarnya itu : [ Assalamualaikum… abg Mikraj.. maaf td buat abg malu dpn kwn-kwn. Cuma sy nk ucpkn slmt jln utk esk, smga slmt prgi n slmt plng. Smga ayh saudara abg cpt smbuh.insya Allah. – Lailatul Israk ]

Eh.. Israk? Mana dia tahu nombor aku ni? Siapa yang beri pada dia ni? Mana dia tahu aku akan pulang esok ni?
Abang Hamdi kot yang beritahu? Takkanlah..

Mikraj membalas : [ Waalaikumussalam… trima ksih. insya Allah smua brjln lncr. maaf, cm sy nk tau, dr mn israk dpt no. sy? ] Mikraj terus menekan Send.

Handphonenya berbunyi lagi. Terlupa nak letak silent mode.

Disangkakan Israk, rupanya kawannya Faris. Dia terus membuka mesej itu. : [ Mikraj. Tolong call aku sekarang. Aku tak ada banyak kredit ni. Urgent! ]

Urgent? Kecemasan? Apa hal pula ni…

Bersambung…

Advertisements
This entry was posted in Karya and tagged , . Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s