Cerpen : Baju Baru – Part 3

Tengah hari itu…

“Kamu benar-benar mahu berkahwin dengan Hamdi, Sarah?” kata CEO syarikat yang bertapak di bangunan setinggi 10 tingkat itu….

Soalan yang agak merimaskan bakal pengantin yang tak lama lagi akan memulakan ikatan halal itu… Sudah hampir melangkah ke alam baru…

“Ye ayah… saya sangat-sangat nak kahwin dengan Hamdi… dia jujur.. baik… pandai ambil hati saya….” Sarah senyum, yakin dengan apa yang dikatakannya..

“Dan pekerja yang rajin? Romantis? Penghibur hati? Apa lagi yang kamu nampak pada dia?” kata Encik Uthman, ingin mengusik anak tunggalnya itu. Dialah segala-galanya untuk Uthman..

“Ayah ni… kenapa tanya saya soalan macam ni?” Sarah merangkul bahu ayahnya, merengek manja… macam kanak-kanak..

“Iye la Sarah. Ayah bukannya apa.. Ayah cuma nak ingatkan kamu, lelaki memang mula-mula begitu, lemah lembut, baik, setia. Nanti bila dah bosan, lain jadinya pula..” Uthman ingin menduga kesetiaan Sarah.

“Ayah… saya dah kenal dia beberapa tahun lalu lagi.. Bahkan, Hamdi seorang yang taat pada agamanya juga.. ayah mesti nak orang macam dia kan, orang yang akan jaga Sarah,” hatinya sudah tertawan pada lelaki bernama Hamdi itu.

“Pernah kamu tanya dia, dah kahwin ke belum, dah ada anak ke, sanggup ke keluarganya di Malaysia menerima kamu nanti.. ini masa depan kamu Sarah… dan secara langsungnya masa depan kita semua juga….” Uthman masih menduga.

Sarah termenung seketika. Tidak pernah pula terlintas di hatinya untuk menyoal Hamdi tentang semua itu.

Betul juga kata ayahnya. Ini masa depannya. Dia akan bersama seorang lelaki sepanjang hayatnya. Lelaki asing yang akan menjadi temannya, setiap masa.

“Baiklah ayah… tapi… saya..”
Tiba-tiba pintu bilik ayahnya diketuk.

“Tafaddhal….! Sila masuk…!” bersuara Uthman, dengan nada sederhana.

“Assalamualaikum. En. Uthman.. maaf mengganggu..” Hamdi yang dibicarakan mereka tadi muncul!

“Waalaikumussalam warahmatullah… oh Hamdi.. ada apa-apa boleh saya bantu?” Uthman berbasa-basi, terkejut pun ada apabila orang yang mereka bincangkan tadi telah hadir, malah Sarah yang sedang berbicara tadi terus terdiam, lantas mengambil senaskhah majalah di atas meja tetamu bilik ayahnya itu.

“Maaf En Uthman.. Sarah.. saya cuma nak tanya, tuan pergi kan ke perkuburan Sulaibikhat asar nanti? Kalau nak, saya boleh bawa kalian berdua bersama, dengan kereta saya..” Hamdi menawarkan khidmat.

Sarah memandang ayahnya, lantas mengangguk perlahan-lahan.
Melihat anaknya menyatakan persetujuan, Uthman berkata : “Baiklah… insya allah lepas solat asar nanti, kita terus bertolak ke sana. Orang Arab Kuwait tak menunggu lama untuk pengebumian jenazah… Terima kasih Hamdi..”

“Sama-sama… Saya minta diri dulu, En Uthman, Sarah… Assalamualaikum….” pintu bilik yang diperbuat daripada kayu jati itu pun ditutup kembali.

Sarah menarik nafas lega. Bimbang jika Hamdi terdengar perbualan mereka tadi. Hamdi agak mahir dalam bahasa Arab, itupun atas usahanya sendiri dalam mempelajari bahasa itu.

“Saya minta diri dulu ayah… nak jumpa Hamdi sekejap..” lantas dia bangun sambil meleretkan senyuman pada ayahnya..

Uthman hanya mengangkat kening dan mengangguk beberapa kali, melihat lagak anak gadis tunggalnya itu.
Pintu itu sekali lagi dikuak dan ditutup perlahan.

———————————————————————————–

Petang itu, selesailah pengebumian jenazah isteri Encik Ahmad. Hampir 100 orang telah menghadiri solat jenazah dan pengebumian itu.

Hamdi melihat raut wajah Ahmad, tenang, satu garis kesedihan pun tidak ditunjukkannya.
Inna lillah.. dia akur pada takdir Allah.. Segala yang hidup pasti akan mati, kecuali Allah subhanahu wa ta’ala.

Sesekali, Hamdi terbayangkan jika jenazah yang di depan mereka itu adalah isterinya!
Isteri tercinta, dijemput menghadap Allah… menunggu perbicaraan… meninggalkan orang-orang yang tersayang…
Namun, Allah lebih menyayanginya….

“Man ahabba liqa-Allahi , ahabbAllahu liqa-ah…” salah seorang sheikh yang menguruskan jenazah itu sempat mengingatkan para jemaah yang hadir di situ..

Maksud hadith itu : “Barangsiapa yang suka bertemu dengan Allah, nescaya Allah jua suka ingin bertemu dengannya…”.

————————————————————————————-

Malam itu juga, setelah selesai solat maghrib, Hamdi menghubungi isterinya di rumah, menggunakan khidmat Yahoo! Voice yang dibelinya tempoh hari. Itu pun dengan tunjuk ajar Mikraj.

Kedengaran suara rindu isterinya di corong speaker laptopnya. Ternyata kedua-dua insan yang berjauhan itu masih dekat di hati, umpama darah dan daging, tak mampu dipisahkan.

Anak-anaknya juga turut sama gembira mendapat panggilan daripada ayah mereka.

“Hamidah… insya allah, dalam beberapa bulan lagi, abang akan balik Malaysia juga tau…”

“Iye bang? Syukur alhamdulillah… tak sabar rasanya saya nak tunggu abang balik.. kami rindukan abang…” Hamidah meluahkan rasa.

“Abang pun rindukan Midah.. anak-anak abang pun.. insya allah, nanti bila dah dekat tarikh abang pulang, abang akan beritahu semula ye…” Hamdi berjanji.

“Baik bang… kami setia menunggumu….” kedengaran tawa anak-anaknya, mendengar ungkapan ibu mereka itu.
Hamidah turut ketawa perlahan.. kerenah anak-anaknya itu kadang kala mencuit hati juga…

“Hehehe… baiklah Midah.. nanti abang call lagi ye…. kirim salam pada Nurul dan Amirul…. Assalamualaikum…”

“Waalaikumussalam warahmatullah…. bye abang….” Hamidah menekan butang merah pada telefon bimbitnya.

Rindu pada suaminya terubat apabila mendengar suara Hamdi tadi. Kasihan abang Hamdi, getus hati kecilnya.
Seorang diri hidup di perantauan. Tiada siapa yang menjaga kebajikannya, melainkan dirinya sendiri jua. Alangkah bagusnya jika dia ada bersama di sana, namun apa kan daya, halangan tetap ada.

Namun, hakikatnya , Hamdi pula semakin hari semakin gembira. Apatah lagi apabila majlis pernikahannya dengan Sarah tak lama lagi akan berlangsung.

Apakah yang akan terjadi jika Hamidah mengetahui?

———————————————————————–

Beberapa hari kemudian….

“Hamdi… jom main bola pagi Jumaat ni!” kedengaran suara Radhi, dalam corong telefon, mengajak Hamdi, tiba-tiba, pada pagi itu.

“Eh kau ni… bagi salam pun tidak, tiba-tiba ajak aku main..” Hamdi mengerutkan dahi.

“Haha…. ye la ye la…. Assalamualaikum en Hamdi….. sudikah anda bermain bola sepak dengan kami pada pagi Jumaat ini, wahai encik Hamdi?” Radhi ketawa lagi, kali ini lebih kuat, sakit telinga Hamdi dibuatnya.

“Waalaikumussalam….. apa salahnya, kenapa tidak wahai encik Radhi. Saya benar-benar sudi, tapi di mana kita akan bermain encik Radhi bin Ismail al-Maghriby?” kali ini Hamdi pula bermain bicara. Tau takpe!

“Hahahaha…. bila masa pulak ayah aku ada gelaran ni.. dah dah… aku nak ajak kau main kat padang Kuwait University nanti. Aku dah minta Mikraj tempahkan padang itu, atas nama pelajar-pelajar Malaysia. Benda-benda lain jangan risau.. Aku dah setelkan semuanya… sarapan pun ada.. kau datang jek… jangan lupa kasut bola sudah la…” sempat Radhi berseloroh.

“Okay bos… no problemo! aku mesti datang punya….”

“All right! okay Hamdi, aku pun nak buat kerja lagi ni… karang nampak dek bos aku, naya pulak karang, curi tulang… huhu” Radhi mengintai-intai, khuatir bosnya nampak.

“Hah.. tau takpe! baik… jumpa di sana insya allah…” Hamdi juga sudah bersedia menghentikan perbualan.

“Assalamualaikum….”

“Waalaikumussalam warahmatullah…..” Hamdi meletak gagang telefonnya kembali di tempatnya, di penjuru mejanya.

Bagus juga ni… boleh aku bincang sikit dengan Mikraj nanti.. Hamdi berfikir sejenak…

———————————————————————————-

Setelah selesai perlawanan pagi Jumaat itu…

“Mikraj, abang nak minta tolong sikit boleh tak?” Hamdi memulakan bicara.

“Tolong apa tu bang? Kalau saya mampu, saya bantu seadanya… insya allah…”

“Kamu jadi salah seorang saksi untuk abang boleh? Untuk majlis akad nikah awal bulan November ni..” Hamdi sudah pun berbincang perkara ini dengan keluarga Sarah. Mereka juga bersetuju, malah, makin cepat lebih baik.

“Oo.. boleh je tu.. nak ajak kawan-kawan yang lain juga ke? Orang-orang Malaysia di sini tahu ke abang nak…. ehem…..” Mikraj berdehem tatkala Radhi menghampiri mereka.

Hamdi meneguk air Vimto yang disediakan Faris untuk pagi itu.. siap dibotolkan lagi…

Radhi menyapa : “Wah.. rancak berbual….. Eh Mikraj…. kamu tak ada baju lain ke? Asyik baju belang-belang Malaysia ni je kamu pakai… Kalau nak, kamu minta je dengan abang Hamdi ni, dia pun bukan tak mampu nak beli baju baru!” seraya dia ketawa.

Puh…. Tersedak Hamdi dibuatnya… mendengar frasa BAJU BARU… Mikraj juga terkejut mendengar perkataan itu keluar dari mulut Radhi.. seperti sudah tahu apa yang Hamdi akan ‘beli’ tak lama lagi..

“Eh… yang kau ni, apa hal tersedak macam tak cukup nafas jek….. takkan baju baru untuk adik sepupu kamu pun berkira kot…” Radhi melebarkan senyuman, menyerlahkan gigi putihnya, seraya menepuk-nepuk belakang Hamdi.

“Mesti la boleh…. uhuk uhuk… nanti aku belikan untuk Mikraj…. kalau kau nak jugak pun, aku boleh belikan!” Hamdi pula ketawa…. namun ketawanya tersekat-sekat dek batuk yang terhasil selepas tersedak tadi.

Mikraj senyum. “Apa-apa je lah abang Hamdi.. Abang Radhi… saya malas nak beli baju sebenarnya.. berlambak dalam kotak saya dekat bilik tu. Takut membazir pulak nanti…”
Mujur berpindah tajuk, getus hatinya.

“Haha… saje jek gurau dengan kamu la Mikraj… jangan terasa eh..” Radhi memegang bahu Mikraj.

“Takde la bang…. saya bukan sensitif pada benda-benda macam ni pun. Takde punya saya terasa la…”

“Baiklah… abang nak balik dah ni… lagi sejam lebih je dah solat Jumaat. Dah la khutbah mula lepas masuk je waktu solat, kat Kuwait ni…karang tak sempat pula..  Jumpa lagi Mikraj, Hamdi…. Assalamualaikum…” Radhi menghulurkan tangan , lalu menuju ke sekumpulan pelajar pula tidak jauh dari situ…

“Qortubah.. Qortubah… siapa nak balik Qortubah!! Mari abang hantar…. tapi 4 orang je lah yek….” Radhi menawarkan khidmatnya pada pelajar-pelajar Maahad Dini. Mereka semua tinggal di hostel dekat daerah Qortubah.
Mikraj dan kawan-kawannya yang belajar di universiti pula tinggal di Shuwaikh.

“Terima kasih bang…” beberapa pelajar bangun setelah berbincang siapakah yang akan pulang dengan Radhi…

———————————————————————-

Tiba-tiba, pada suatu malam….

Kring…. kring…..

Tertera “No number” pada skrin telefon Hamdi.
Siapa yang telefon malam-malam ni? Mesti dari luar. Malaysia kah?
Kalau dari Malaysia, takkan isteriku belum tidur lagi?

“Hello….” Hamdi menjawab panggilan…

“Assalamualaikum.. abang…. isk isk…..” kedengaran suara seorang wanita… serak… berselang esakan dan tangisan….

“Ayah…..”

Hamdi bingung….. “Ayah? Kenapa ni Midah? ”

bersambung……

Advertisements
This entry was posted in Karya and tagged . Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s