Bas ke arah perubahan….

“Ali… jom kita duduk di bahagian depan bas ni… biar pelajar-pelajar perempuan yang duduk di belakang… nanti bolehlah jauhkan daripada fitnah….”

“Molek juga tu… lagipun hari ni tak ramai pelajar lelaki yang naik sekali ni…” kawanku menyokong cadanganku.

Kemudian naik lagi beberapa pelajar lelaki, Khalid, Daud dan lain-lain.

“Syabab, mari kita tukar peraturan dalam bas nak? Kita semua duduk di bahagian hadapan bas… takde lah kita tengok pelajar-pelajar perempuan dari belakang nanti…” aku mengajak mereka mencuba teori perubahan aku itu.

Mereka semua setuju, lagipun tak ramai yang naik bersama kami pada pagi itu, ke kuliah.

Bas sudah pun bergerak, dan melalui jalan sepanjang hampir 500 meter itu, lalu menyusur masuk ke kawasan P4 ( Parking 4 ) , untuk mengambil pula pelajar-pelajar perempuan di sana. Kami bertolak tadi dari hostel.

Biasanya, sudah menjadi adat bagi warga Kuwait ini, untuk menempatkan wanita di bahagian hadapan tempat duduk dalam mana-mana bas.

Di Kuwait University juga begitu, namun bas Nissan Civilian berwarna putih dan biru ini hanya mampu memuatkan 22 orang penumpang sahaja. Kadang-kadang tidak muat pula untuk membawa semua pelajar yang ingin ke kuliah di Kaifan,  pada satu-satu waktu itu.

Maka apabila pelajar perempuan naik, secara automatik, sesiapa sahaja pelajar lelaki yang duduk di bahagian hadapan akan berpindah ke bahagian belakang, untuk memberi ruang untuk pelajar perempuan itu duduk, di bahagian hadapan.

Aku kadang-kadang kurang senang dengan perkara ini, kerana apabila ingin memandang ke hadapan, pasti terpandang dahulu bahagian belakang kepala atau badan pelajar-pelajar perempuan di situ. Kadang-kadang, semasa mereka naik, aku lihat sebahagian syabab menumpukan perhatian pada gadis itu, yang secara tak langsung, BOLEH membawa fitnah. ( kata-kata ini atas dasar kebarangkalian)

Yang penting, hari itu aku berjaya mencuba untuk membuat perubahan dalam bas itu. Malah, pada pendapatku, para pelajar perempuan Kuwait itu juga menyenangi perkara ini.

Namun, perkara ini hanya berlaku sekali sahaja. Aku tidak sempat untuk mengajak para pelajar lelaki , atau aku ringkaskan dengan perkataan : syabab , duduk di bahagian hadapan.

Ada pula pelajar yang apabila aku suarakan cadangan ini, mereka menolak terus, seraya mengatakan bahawa jika dia duduk di hadapan, dia rasa kurang selesa kerana perlu menjaga ‘kesopanan’ dan ‘gaya’nya di hadapan pelajar-pelajar perempuan itu pula. Macam-macam.

Apa bezanya jaga kesopanan dan gaya jika duduk di bahagian belakang?

———————————————————-

Inspirasi :

Perubahan boleh dilakukan oleh sesiapa sahaja. Tak kira ramai atau seorang.

“Together we CHANGE.”

Banyak slogan yang dilaungkan oleh para ahli politik mahupun orang biasa, berbaur seruan ke arah perubahan.

Firman Allah Ta’ala : (yang antara maksudnya)
“Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum itu melainkan mereka sendiri yang mengubahnya…”

Namun perubahan boleh dilakukan untuk kebaikan dan keburukan.

Apa yang ingin ku sampaikan ialah untuk mengubah sesuatu itu, kadang kala tidak memerlukan tenaga dan individu yang ramai. Malah seorang diri juga mampu melakukan perubahan.

Malah jika kita lihat contoh paling dekat, nabi junjungan kita , Nabi Muhammad s.a.w sendiri telah berupaya membawa perubahan kepada dunia ini.

Baginda bermula seorang diri, dan dengan bantuan Allah Ta’ala, seorang demi seorang telah beriman dengannya, dan semakin hari semakin ramai pengikut baginda, semakin ramai yang memeluk Islam, sehingga ke hari ini.

Dengan kedatangan Islam, gaya hidup manusia berubah.
Sistem pemerintahan, pemikiran, ketenteraan, kemanusiaan, segalanya berubah, bermula dengan seorang Nabi agung, selawat dan salam buat baginda.

Bahkan, jika kita lihat juga khalifah-khalifah selepas baginda, pemimpin-pemimpin Islam, seperti yang tertulis dalam buku-buku sejarah, mereka semua mampu membuat perubahan, bermula daripada seorang atau sekumpulan kecil.

Jalan menuju perubahan pula, tidak dapat diukur, adakalanya sukar, adakalanya amat mudah.

Kesan perubahan juga begitu, kadang kala kesannya meluas ke serata tempat, sekumpulan besar manusia, dan kadangkala kesannya hanya dilihat pada seorang dua sahaja!

Itu semua tidak penting. Mudah-mudahan dengan seorang sahaja yang berubah, pada permulaan, akan bertambah lagi seorang bermula dari yang seorang itu.

Sabda Nabi s.a.w :
” Perihal disebabkan olehmu, Allah memberi hidayah pada seorang lelaki, lebih baik daripada semua nikmat ”

Mafhumnya, jika dengan disebabkan oleh kita, seseorang itu diberi hidayah oleh Allah , ( bukanlah maksudnya kita PENYEBAB , bahkan digambarkan sebagai SEBAB semata ) , maka itu adalah lebih baik dan berharga daripada sekalian yang ada di muka bumi ini, daripada nikmat-nikmat dan kesenangan.

Untuk mengubah, diri perlu juga berubah.

Jika diri sendiri tidak mampu berubah, maka sukarlah untuk membuat perubahan pada individu yang di luar zon peribadi kita. (Manusia punya zon-zon mengikut peringkat, mengelilinginya, bermula dengan zon dalam dirinya, kemudian orang yang paling dekat dengannya, kemudian yang hampir dekat, agak jauh, orang awam dan lain-lain)

Aku ingin berubah, dan ingin mengubah. Ingin membuat perubahan, walaupun sedikit.

Dengan tulisan, kata-kata, idea dan perbuatan…

Bagiku, dengan perbuatan sahaja juga mampu membuat perubahan. Al-Qudwatul Hasanah.

Kata seorang cendikiawan : Perbuatan seseorang di hadapan seribu orang lebih berkesan daripada kata-kata seribu orang pada seseorang.

Apa pun, jika mampu, berubahlah kita, hijrah, atau mengubah, daripada buruk kepada baik, daripada baik kepada lebih baik…

– Qafmimra
16 Zulhijjah 1429H / 14 Disember 2008M
Kuwait University

( aku sedang cuba mengubah gaya bahasa, tetapi masih belum mampu… yang pasti, aku akan sentiasa mencuba.. untuk berubah! )

Advertisements
This entry was posted in Inspirasiku and tagged . Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s