Cerpen : Baju Baru – Part 2

Malam itu…

“Sheikh… saya ada satu soalan…” Mikraj memulakan bicara setelah semua sahabatnya yang mengikuti kelas pengajian Feqah itu telah beredar.

“Ya.. apakah soalannya Mikraj?” Sheikh Ali bertanya pula, dia sudah biasa dengan perilaku anak-anak muridnya, jika ada soalan peribadi, mereka akan menunggu kawan-kawan yang lain beredar dahulu.

“Bolehkah seorang lelaki muslim itu nikah dengan niat talaq? Maksud saya, bolehkah lelaki itu kahwin dengan seorang perempuan yang halal baginya, dengan berniat akan menceraikannya selepas suatu tempoh yang ditetapkannya sendiri?” panjang lebar Mikraj menyusun ayat soalannya tadi, tertulis di atas kertas,  itupun setelah diperbetulkan berkali-kali semasa di kafeteria selepas maghrib tadi oleh rakannya.

“Ya.. boleh..” Sheikh Ali menjawab, ringkas. “Bahkan jika dia nak akad nikah dengan 4 orang satu hari, dengan niat akan diceraikannya keesokan harinya pun boleh..” agak ringkas namun penuh seribu kebuntuan dan kecurigaan bagi sesetengah pihak jika mendengar tanpa mengetahui sebab dan hukum sebenar masalah ini.

Mikraj agak terkejut, namun dia menyembunyikan perasaannya dengan menambah sedikit lagi elemen soalannya yang panjang tadi : ” Tidakkah itu seperti nikah mut’ah , atau nikah kontrak? Yang mana nikah tersebut diletakkan tempoh tamat ‘sahlaku’nya kepada sekian waktu? Ramai yang menyebut tentang perkara ini sheikh.. Tidak mungkin semudah itu kita meletakkan hukum?” lembut Mikraj mempersoalkan fatwa sheikhnya tadi.

Secara rasional dan logiknya perkara ini seolah-olah sama, namun sebenarnya tidak di sisi kebanyakan ulamak Islam.

“Tidak Mikraj. Begini. Nikah mut’ah ialah nikah yang diletakkan tempoh atau had bagi pasangan itu sebagai suami isteri yang sah, namun jika telah tamat tempoh, maka mereka tidak akan bergelar suami isteri lagi. Dan nikah mut’ah itu jika dilihat pada akadnya juga telah disebut padanya secara zahir bahawa nikah itu akan berakhir selepas sekian-sekian waktu. Dan ini adalah tidak sah di sisi Ahli Sunnah wal Jama’ah, sah di sisi puak Syi’ah.”
“Adapun nikah dengan niat talaq tadi, terang-terang lagi dah disebut ‘niat’ talaq, maksudnya walaupun suami itu tahu selepas sekian waktu, dia akan menceraikan isterinya, namun ketika akadnya, dia tidak menyatakan niatnya itu pula, jadi nikah itu sah, dan niatnya hanya antara dia dan Allah swt sahaja. Jadi tidaklah menjadi kesalahan secara dasarnya jika dia ingin berbuat demikian, namun jika dilihat dari aspek kekeluargaan dan hubungan manusia, perbuatan nikah dengan niat talaq ini memang tak digalakkan, kerana dikhuatiri akan menjejaskan sistem kekeluargaan yang dah dibina….” panjang lebar Sheikh Ali berhujah.
“Maksudnya, lelaki itu tidak boleh menyatakan niatnya untuk ceraikan isterinya ketika akad nikah dijalankan? Jadi jika dia menyatakan niatnya pula bagaimana?” Mikraj masih sedikit keliru.

“Ya. Jika dia menyatakan bahawa dia akan menceraikan isterinya selepas sekian waktu, maka itu adalah menyerupai nikah mut’ah , dan kamu tahu kan antara syarat-syarat sah nikah itu ialah berterusannya akad itu tanpa tempoh yang dihadkan…” mudah sahaja Sheikh Ali menjawab.

Mikraj mengangguk perlahan. Kerutan di dahinya belum terpadam. Masih lagi tidak dapat menerima sepenuhnya pendapat sheikhnya itu.

Sheikh Ali tersenyum melihat Mikraj sedemikian, seraya menyambung lagi , “Sudah banyak kali saya dengar tentang adanya beberapa pemuda atau lelaki berkerjaya , yang pergi belajar atau bekerja di luar negara , jauh dari tanah air mereka, yang bernikah dengan niat talaq, atau untuk sementara dia masih berada di sana, bagi mengelakkan berlakunya perkara yang haram atau yang tidak sepatutnya. Dan apabila kerjanya telah selesai, maka dia akan menceraikan isterinya, jika mahu, dan pulang ke tanah airnya kembali.”

Terangkat kening Mikraj ketika mendengar perkara itu keluar dari mulut sheikhnya itu, seolah-olah telah dibaca olehnya tentang sebab sebenar Mikraj bertanyakan hal itu.
“Itulah hal sebenar yang saya ingin tanyakan wahai sheikh.. ada seorang lelaki, berasal dari Malaysia, suami sepupu saya, ingin berkahwin dengan seorang wanita Lubnan di sini, atas alasan dia khuatir tidak mampu untuk menghalang dirinya daripada terjebak ke kancah maksiat jika tidak berbuat demikian.”
“Lagipun, isterinya pula tidak dibenarkan masuk ke Kuwait atas sebab-sebab tertentu. Saya sudah sarankan padanya agar berpuasa, kerana puasa kan pendinding diri, tetapi dia tetap dengan pendiriannya seandainya perkara tentang nikah dengan niat talaq ini dibolehkan dalam syarak, maka dia akan melangsungkan perkahwinannya di sini, secepat mungkin. Dan dia akan menyembunyikan perkara ini daripada pengetahuan isteri dan anak-anaknya di Malaysia….” Mikraj menerangkan tentang keinginan abang Hamdi itu.

Sheikh Ali mengangguk-angguk perlahan, sambil memegang hujung janggutnya yang semakin memutih itu. Sheikh Ali berasal dari keluarga berkelahiran Syria, tetapi beliau telah dilahirkan dan dibesarkan di Kuwait.

“Masya Allah.. Lubnan.. Jodohnya mungkin… Beginilah Mikraj. Kamu beritahu kawan kamu, atau saudara kamu tadi, fikirlah sewajarnya, dan jangan bertindak mengikut hawa nafsu semata-mata. Tidak semestinya keinginannya itu boleh menjamin kebahagiaan semua pihak. Sebaiknya dia beristikharah dahulu seminggu dua ini… kemudian bertawakkallah moga-moga Allah memberikannya jalan terbaik untuk disusuri.”

“Begitulah yang saya sarankan padanya tempoh hari,  sheikh… Baiklah.. saya amat berterima kasih kepada sheikh atas jawapan yang bagi saya sudah cukup untuk menghilangkan sedikit kegusaran yang melanda saya sendiri dek masalah si lelaki tadi… Insya allah jika ada apa-apa , saya akan bertanya lagi pada tuan sheikh, jika tidak keberatan, pada ketika yang lain pula… kerana bagi saya sheikh amat tinggi ilmunya dalam bidang Feqah ini…”

“Astaghfirullah…. sesungguhnya segala yang berlaku adalah datangnya daripada kehalusan cara urusan Allah swt pada sekalian makhluk di muka bumi ini.. Dan ilmu itu juga datangnya daripada Allah, maka sebaiknya kita isnadkan ilmu itu juga ke hadrat Allah swt, agar kita tidak lupa siapa diri kita sebenarnya…” Sheikh Ali merendah diri.

“Terima kasih sheikh.. Saya minta diri dahulu… Assalamualaikum…” Mikraj meminta diri sambil menghulurkan tangan tanda hormat pada sheikhnya.

“Waalaikumussalam warahmatullah… Ahsanta ya Mikraj…” Sheikh Ali menyambut salam tadi dan terus beredar menuju ke kereta merahnya di sebelah sana.

Mikraj melihat jam di tangan. Sudah pukul 10.30 malam! Agak lama rupanya dia berbicara dengan sheikhnya tadi.

Semasa ingin menekan butang lif di lobi hostelnya yang bertingkat sepuluh itu, bahunya disapa sahabat karibnya, Syukri , sambil tersenyum-senyum di belakangnya bersama beberapa sahabatnya lagi.

“Ye? Antum tak naik lagi?” Mikraj agak terkejut melihat sahabat-sahabatnya sepengajian tadi masih ada di lobi, seakan menunggunya pulang!

“Kami tunggu anta la Mikraj. Lama bukan main berbicara dengan sheikh tadi ye? Apa cerita?” Syukri memprovok dengan soalan yang ditujukannya itu.

“Ye la.. lama betul.. ingatkan sekejap jek… anta tanya pasal nak kahwin ke Mikraj?” Faris pula menyampuk. Seraya mereka yang ada di situ ketawa!

“Eh.. mana ada.. tadi.. aa.. ana tadi.. itu…” Mikraj terkejut lagi kerana seolah mereka mendengar perbualan tadi.. sampai tergagap-gagap dibuatnya.

“Ha..tengok , baru tanya sikit dah tergagap… baik anta cakap betul-betul Mikraj. Bila kendurinya? Nak ana jadi pengapit, no problem!!” Hamzah pula yang mengusik. Keempat-empat kawannya yang berada di situ ketawa lagi, tak tahan melihat gelagat Mikraj tadi.

“Takde la.. apa lah antum ni. Sikit-sikit pasal ana kahwin lah, itu lah, ini lah. Ana lambat lagilah nak kahwin. Tadi ada la tanya soalan Feqah pada sheikh tadi..” Mikraj menyembunyikan juga perkara sebenar yang dia tanya. Dia tidak berbohong sebenarnya, cuma berhelah. Dia sebenarnya bertanya untuk suami sepupunya itu.

“O.. Feqah yek.. ye la.. tak nak bagitau takpe lah kan syabab…” Syukri mencebik , bergurau, “baiklah.. ana nak balik bilik jugak ni. Dah lewat dah ni, karang tidur lewat takut tak terjaga untuk solat Subuh pula..”
Syukri meminta diri dahulu.. Dia memang selalu begitu. Baginya, tidur perlu benar-benar cukup, baru badan sihat.
Tidak bagi sahabat-sahabatnya yang lain itu. Mereka selalu tidur lewat, kadang-kadang tidak tidur langsung, sehingga menjelang Subuh. Kemudian akan ‘qadha’ tidur mereka selepas itu.. Macam-macam ada!

“Mikraj. Jom kita ber’diwaniyah’ jap di bilik Faris. Minum teh ke, makan kuih raya dia ke… hehe..” Hamzah mengajak Mikraj bertandang ke bilik Faris. Seolah bilik itu dia yang punya.

“Ana boleh jek.. kena tanya Faris la dulu, anta ni… Camana sheikh? Ada peluang?” Mikraj menampakkan barisan giginya apabila melebarkan senyumannya pada Faris.

Faris membalas senyuman, lalu menjawab : ” Boleh jek.. meh.. sila la ke bilik ana.. buat macam bilik sendiri…” sinis pula jawapannya pemuda ini..

Mikraj dan Hamzah ketawa lalu menepuk-nepuk bahu Faris.. Pintu lif tertutup. Mereka menuju ke tingkat di mana Faris tinggal.

———————————————-

“Abang Di betul ke nak kahwin ni… saya rasa abang Di cubalah pertimbangkan dahulu perkara ni, baik buruknya, apa yang wajib, apa yang harus, apa yang perlu dibuat sebelum dan selepas perkahwinan ni nanti…” Mikraj menanggalkan kopiah hitamnya lalu meletakkannya di atas meja di sudut biliknya itu.

Kedengaran dengusan kecil dari corong kecil handphone Mikraj itu. Nama yang tertera di skrin handphonenya itu kerap kali menghubunginya sejak beberapa hari yang lalu. Terlalu kuat keinginannya untuk meneruskan niatnya itu.

“Hmm.. Ye lah, kamu pun kata sheikh kamu kata tak salah pun abang kahwin dengan niat nak ceraikan isteri abang ni nanti bila abang dah tamat kontrak kerja di sini kan… jadi apa yang kamu risaukan sangat Mikraj… Abang akan berlaku adil, insya Allah.. bahkan kak Midah kamu bukannya tahu pun hal ini.. jadi seolah-olah abang hanya ada satu isteri sahaja kat setiap negara, separate!” Hamdi meningkah kembali saranan Mikraj padanya.

Bagi Hamdi, perkahwinan ini pun seolah menjadi satu jalan keluar baginya untuk mengelakkan dirinya terjebak dengan perkara yang haram. Tidak terlintas sedikit pun dalam hatinya untuk membiarkan isterinya Hamidah itu sendirian tanpa suami di sisi, cuma dia sudah merancang akan pulang juga beberapa bulan sekali nanti, agar rindu terubat.

Tetapi adakah semudah itu dia membuat keputusan, kerana memang pada dasarnya perkahwinan amat mudah, hanya perlu ada mas kahwin, wali si isteri, dua saksi dan pasangan suami isteri. Itu sahaja. Mengapa perlu bersusah payah untuk memikirkan hal-hal seperti ini. Namun jika dilihat pada makna sebenar perkahwinan itu sendiri, ia bukanlah suatu urusan seperti berjual-beli atau sewa-menyewa, mahupun ‘pakai buang’ .

Perkahwinan adalah satu ikatan suci dan murni yang Allah swt ciptakan bagi hamba-hambaNya untuk bersatu, untuk mencipta suatu institusi kekeluargaan yang menuju ke alam bahagia. Perkahwinan itulah juga yang menjadi benteng iman kedua-dua pasangan itu sendiri.

Bukan hanya berpaksikan nafsu dan keinginan untuk memuaskan diri semata.

“Baiklah abang Di. Terserahlah pada abang. Saya bukan nak masuk campur hal abang, cuma memberi nasihat atau pandangan sebagai seorang lelaki juga. Abang ingat ketika saya pernah sebut di Kedutaan dahulu, tentang sebenarnya isteri itu adalah ibarat baju kita, seperti firman Allah swt :
(Mereka adalah pakaian bagi kamu, dan kamu adalah pakaian bagi mereka)
Maksudnya lengkap melengkapkan. Tetapi bukan ‘pakai buang’ pula kan… jadi jika abang masih dapat membahagikan kasih sayang antara dua ‘baju’ abang nanti, tanpa ada ketidakseimbangan atau tak adil, abang Di teruskanlah niat abang itu…” Mikraj mengalah.

“Maafkan abang tadi ye Mikraj. Abang bukan marah Mikraj, cuma mungkin bagai orang kata berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Kalau Mikraj di tempat abang pun, mungkin begini juga yang akan kamu buat… demi menjaga diri kamu juga…” Hamdi pula memohon maaf. Terasa bersalah apabila agak tinggi suaranya tadi meningkah saranan Mikraj itu.

“Baiklah abang Di.. satu sahaja saya nak pesan, abang kena tanya pihak kedutaan juga tau, kalau abang kahwin, perlu ke daftar perkahwinan itu di kedutaan, sebab setahu saya dalam undang-undang keluarga Islam di Malaysia , saya ada terbaca yang Melaka punya, katanya semua perkahwinan rakyat Malaysia di luar negara perlu didaftarkan di kedutaan atau konsulat di negara itu… ye lah.. mana tahu kena daftar, mesti diorang akan sampaikan maklumat ni ke pihak berkenaan di Malaysia, jadi status abang mesti diperiksa juga nanti kan….” Mikraj teringat tentang perkara tersebut tadi, ketika menyemak dan merujuk buku enakmen undang-undang keluarga Islam negeri Melaka yang dibelinya tempoh hari di pejabat Jabatan Agama Islam Melaka itu.
Dia beli buku itu pun kerana ingin cuba membuat perbandingan antara undang-undang keluarga Islam di Malaysia dengan yang ada di Kuwait dan Mesir.

“Betul juga cakap kamu tu.. insya Allah nanti abang rujuk kat Kedutaan semula. Sebab hari tu encik Zakaria tak ada pula sebut tentang perkara ini semasa abang sebut tentang niat abang nak kahwin ni. Dia punya terkejut dengar abang nak kahwin dengan orang Lubnan. Sempat dia bergurau dan kata kalau dapat, carikan seorang untuknya juga.. ha ha ha.. macam-macam…”.

—————————————————————-

Keesokan harinya…

Pagi itu, suasana di pejabatnya agak suram. Kelihatan garis-garis resah dan sedih menghiasi wajah-wajah para pekerja di pejabatnya.

“Assalamualaikum Fahad, kenapa semua muram pagi-pagi begini?” Hamdi kehairanan.

“Isteri Naib CEO kita meninggal dunia malam tadi. Kami semua turut terkejut apabila baru dapat tahu tentang perkara ini pagi tadi.. bahkan, semua yang ada di pejabat hanya mendiamkan diri masing-masing.. mungkin terasa juga kehilangannya…” Fahad menjawab, menjelaskan sebab keadaan suram itu.

Isteri Naib CEO, adalah seorang yang amat baik dan peramah. Kedua-dua pasangan ini amat memahami nasib dan perihal anak-anak pejabat mereka, bahkan kedua-duanya adalah pasangan berasal dari Kuwait sendiri. Encik Ahmad al-Ghanim dan Puan Fatimah al-‘Anazy sudah lama dikenali dalam syarikat ini. Saban hari, Puan Fatimah selalu juga mengunjungi pejabat untuk berkenal-kenalan dengan para pekerja di sini.

Sikapnya yang amat prihatin itu juga telah menambat hati para pekerja di pejabat setinggi 10 tingkat ini. Jarang benar seorang Kuwaiti yang boleh bergaul dengan bukan Kuwaiti, dengan amat baik dan mesra, pada pandangan mereka.
Sikap ramai warga Kuwait yang agak sombong dan mementingkan martabat mereka itulah yang menjadikan kebanyakan, atau semua yang datang dari luar ke Kuwait ini agak kekok dan putus asa untuk mencari kenalan rapat dari kalangan Kuwaiti sendiri.

“Inna lillahi wa inna ilaihi roji’un…. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan maghfirah Allah Ta’ala….. Bila jasadnya akan dikebumikan, Fahad?” Hamdi pula beransur sedih dan muram tatkala mendengar perkara itu.

“Insya allah petang ini, selepas Asar, dekat perkuburan Sulaibikhat.. Encik Ahmad ada letak iklan di papan notis tentang pengebumian itu juga.. Jumpa di sana nanti….” Fahad meminta diri kemudian berlalu menuju ke arah lif. Ada hal agaknya.

Kasihan Encik Ahmad, getus hati kecil Hamdi.
Isteri yang disayangi telah pergi. Isteri yang telah hidup bersama sejak mula berkahwin. Sama-sama susah dan senang. Memahami hati suaminya, menenangkan suaminya tatkala berduka.
Melahirkan zuriat untuk dinasabkan pada si suami. Menjaga dan mengasuh mereka tanpa kenal erti penat dan lelah…
Hamdi terdiam seketika tatkala sedang melayan getus hatinya tadi. Teringat pula isteri di rumah.

“Semoga isteri dan anak-anakku berada dalam keadaan sihat sejahtera hendaknya…” Hamdi berbisik perlahan, seolah bercakap dengan dirinya sendiri. Kemudian dia terus menuju ke mejanya, melihat barangkali ada apa-apa kerja yang perlu diselesaikan pagi itu….

————————————————————-

Tengah hari itu…

“Kamu benar-benar mahu berkahwin dengan Hamdi, Sarah?” kata CEO syarikat yang bertapak di bangunan setinggi 10 tingkat itu….

Advertisements
This entry was posted in Karya and tagged , . Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s