Doktor angkat tangan?

Petang itu aku akan mengikuti kelas di bangunan 11 di sebelah kanan bangunan Kuliyyah Syari’ah. Ketika aku keluar melalui pintu sebelah kanan bangunan itu, untuk menuju ke Bangunan 11 itu, aku ternampak seorang pensyarahku, merangkap Dekan Hal Ehwal Pelajar di kuliahku itu, beberapa langkah sebelum naik anak tangga bangunan yg disediakan di luar itu , menuju ke pejabatnya.

Tatkala itu juga, mataku bertembung dengan matanya, dan kebiasaannya aku akan memberi salam dan mengangguk apabila terserempak dengan mana-mana pensyarah, dan biasanya aku yang akan memulakan dahulu komunikasi tanda hormat itu sebelum mereka, dan biasanya aku akan berbuat demikian tatkala aku menghampiri mereka beberapa langkah lagi.

Tetapi pada hari itu aku terasa amat teruja, atau terkejut mungkin, apabila pensyarahku yang ku sebut tadi , atau Doktor itu mengangkat tangan padaku dahulu, tanda mengganti ucapan salam seperti yang dilakukan kawan-kawanku di hostel, bahkan disertai dengan senyuman leret tanda hormat.
Aku yang terpinga-pinga terus menyambut lambaian ringkas dek tangan Dr ku itu.
Kemudian dia terus menaiki tangga menuju ke pintu masuk pejabatnya di atas sana.
Untuk pengetahuan semua, lambaiannya itu dibuatnya lebih 10 meter jauhnya dariku!

Aku cuba ringkaskan apa yang ingin ku sampaikan di sini dalam bentuk nombor:

1.    Ini adalah kali pertama aku diberi hormat sedemikian rupa daripada seorang pensyarah, berasal dari Kuwait, yang telah menyelesaikan tesis PhDnya di Britain. Sebenarnya ini amat ganjil kerana kebanyakan pensyarah di sini tidak akan memulakan dahulu komunikasi dengan pelajar, demi menjaga martabat mereka selaku pendidik, namun tidak bagi Dr ini, dia telah menyebabkanku lapang dada dan senang hati semasa mengikuti kelas-kelas berbaki petang itu.

2.    Adakah ini hanya lakonan semata? Aku amat menghormati Dr itu, sejak pertama kali aku bersua muka dengannya di pejabatnya. Ketika itu aku ingin membantu seniorku dari Singapura yang ada sedikit masalah dengan pendaftaran subjek yang dilakukannya. Apa yang penting, tanpa ada rasa kekok atau megah diri dia berdiri dan datang padaku yang sedang membawa kertas kecil dan menulis sesuatu di kertas itu, dan dia ku lihat amat ramah dengan semua orang, tak kira warganegara mahupun pangkat.

3.    Berbeza dengan pensyarah-pensyarah lain, biasanya seorang pensyarah di sini walaupun ternampak anak didikannya dari jauh, akan berlalu selamba dan tidak menghiraukan mereka kecuali jika benar-benar rapat, seperti jiran atau kaum kerabat.[ Ini adalah yang aku lihat, bukan ingin menghukum ke atas setiap pensyarah di sini. ]

4.    Mungkin antara faktor yang juga menyebabkan Dr tadi berbuat demikian ialah kerana dia mengenaliku ketika aku ambil subjek Ahwal Syakhsiah 2 atau Undang-undang Kekeluargaan Islam 2 dengannya pada semester lepas.

5.    Ada sesetengah pensyarah, jangankan ingin memandang sejenak, salam yang diberi pun tidak dijawabnya! Ada pula yang agak menjaga ‘haibah’ atau martabatnya selaku seorang pensyarah.

Inspirasi :

Benar Firman Allah dalam petikan ayat 11 surah al-Mujadalah yang bermaksud :
“Allah swt mengangkat darjat (martabat) orang-orang yang beriman di kalangan kamu dan yang berilmu…”

Adakah itu bermakna seorang alim perlu berlagak seolah dia telah sampai ke satu martabat yang mana dia boleh menjadi seorang yang disanjung tinggi dan perlu diberi perhatian dan penghormatan yang terlampau berlebih-lebihan sehingga orang-orang di sekelilingnya yang agak rendah ilmunya disisih atau dipandang rendah?

“Resmi padi, semakin berisi semakin tunduk ke bumi…” – kata pujangga Melayu. (lebih kurang lafaznya yang ku ingat)

Seorang yang berilmu sepatutnya semakin bertambah ilmunya semakin merendah diri, takut pada Allah swt bahawa ilmunya itu dituntut olehnya kerana selain Allah.
Ilmu itu adalah milik Allah, dan Allah jualah yang Maha Mengetahui, segala sesuatu.

Ulamak pula adalah waris-waris para Nabi dan Rasul, kerana merekalah yang menyambung tugas para Nabi dalam menyampaikan wahyu dan dakwah kepada seluruh umat di muka bumi ini.

Ulamak atau orang-orang alim dan berilmu memang sewajarnya mendapat penghormatan yang tinggi daripada semua warga, kerana martabat mereka itu telah diakui oleh Allah swt dan Rasulullah s.a.w sendiri.

Kita lihat akhlak-akhlak Rasulullah s.a.w sendiri, baginda tidak pernah sekali pun menyisih atau memandang rendah pada sahabat-sahabatnya, dan orang-orang yang di sekelilingnya. Baginda amat menitik beratkan soal penghormatan bagi setiap manusia, bahkan pada orang kafir dan munafiq juga.

Kita lihat akhlak para sahabat Rasulullah s.a.w juga, seperti yang dinukilkan dalam kitab-kitab sejarah Islam, amat terpuji dan kita lihat betapa rendah dirinya mereka di depan sahabat dan yang di sekeliling mereka.

Kita lihat para alim dan ulamak dahulu kala, dan antara alim yang kita amat kenali seperti Imam Malik, Imam Abu Hanifah, Imam Syafi’ie dan Imam Ahmad , jika dilihat dalam sirah mereka juga, kita dapati betapa luhur peribadi mereka sesama anak-anak didikan mereka, bahkan orang-orang awam di sekeliling mereka.

Ramai lagi jika kita ingin kaji akhlak seorang yang berilmu dengan orang selainnya, sejak 1400 tahun yang lalu hingga kini.

Jadi apakah gelaran Dr itu telah meletakkan batu pemisah antaranya dan pelajar atau orang awam?

Jika demikian, maka sesungguhnya dia belum benar-benar mencapai martabat seorang yang berilmu….

Wallahu a’lam…

p/s: ini hanya luahanku semata, bukan untuk dibuat panduan atau pegangan.. dan aku sebenarnya sedang berlatih menulis, jadi maaflah jika isi kandung dan teknik olahan bahasa amat hambar dan tidak relevan selaku seorang ‘pelajar’ atau ‘penuntut ilmu’.

-Qafmimra, Kuliyyah Syari’ah, Kuwait University
1.30pm , 26 Okt 2008

Advertisements
This entry was posted in Inspirasiku. Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s