Cerpen : Baju Baru – Part 1

“Bolehkan Mikraj?” Hamdi bertanyakan kepastian. Ditenungnya mata anak muda itu. Mikraj hanya kelihatan tenang, walaupun jauh di sudut hatinya dia agak bercelaru kerana sedang berusaha memikirkan penyelesaian perkara itu.

Setelah agak lama mendiamkan diri, Mikraj akhirnya mengangguk perlahan, tidak lemah tetapi seolah berhati-hati, takut salah hukum!
“Kak Midah dah tahu ke hal ni abang Di?” Mikraj cuba memancing isu. Dia masih berat hendak mengatakan “Ya” atau “Boleh” pada suami sepupunya itu. Mereka telah berumahtangga sejak 5 tahun yang lalu.

“Belum Mikraj. Abg Di tak mahu dia tahu, kalau tak, mahunya dia datang cari abang kat Kuwait ni! Abang sayangkan dia lagi. Tetapi abang juga takut diri abang terjebak dengan perkara yang tak sepatutnya berlaku nanti. Maklumlah. Lelaki tetap lelaki. Ada kemahuan dan keinginan kan?” mudah Hamdi menjawab. Berbaur keyakinan dalam keikhlasan.

“Betul juga tu abg Di. Tetapi saya masih berat nak mengatakan hukum sebenar dalam hal ini. Kenapa abang tak bawa saja kak Hamidah tinggal di Kuwait ni, kan lebih mudah? Itu yang lebih molek pada pendapat saya. Saya bukan nak jadi batu penghalang daripada niat abang tu..”

“Jadi kamu tak setujulah ni Mikraj?” Hamdi meningkah, lembut. Kelihatan sedikit kerutan pada dahi Hamdi yang tercetus daripada keserabutan fikirannya sekarang ini.

“Bukan begitu. Saya kasihan juga pada Kak Midah tu. Anak-anak abang juga tentu rindukan abang selalu. Kita perlu memikirkan kesan baik buruk perkara ini bang. Bagi saya, dalam hukum feqah, jika terdapat dua perkara yang bertembung, kita digalakkan memilih yang lebih mudah dan rasional..” Mikraj masih cuba memujuk Hamdi agar memikirkan kembali keinginannya itu. Benarlah niat itu suci, tetapi walaupun suci di sini namun jika di sana merana , tidaklah berbaloi jika niatnya ditunaikan.

“Baiklah Mikraj. Abang akan fikirkan semula. Tetapi secara realitinya, abang sebenarnya sudah banyak kali ajak kak Midah kau tu datang tinggal dengan abang. Macam-macam alasan yang diberi. Bahkan, dia kata dahulu dia telah dihalang daripada masuk ke kawasan Teluk Arab ini, atas sebab-sebab keselamatannya.” Hamdi menceritakan keadaan sebenar.

Mikraj agak terkejut mendengar penjelasan oleh Hamdi tadi.

“Bagaimana perkara tu boleh berlaku bang? Ini pertama kali saya dengar tentang  perkara ini. Saya tahu kak Midah pernah kerja di Arab Saudi setahun sebelum abang berkahwin dengannya, tetapi tidak pula saya tahu tentang hal ini.. Apa yang berlaku?” Mikraj tertarik hendak mengetahui keadaan sebenar, yang juga antara lain menjadi pendorong niat Hamdi.

“Kamu ingat tak 6 bulan sebelum kami bernikah, Hamidah pulang ke tanah air. Dia sebenarnya dihalau keluar dari Arab Saudi, bukan atas kesalahan yang dia lakukan, tetapi kecuaian daripada syarikat yang dia bekerja ketika itu. Kerana nyamuk, kelambu dibakar… Keldai yang buat salah, kuda yang kena halau..! Heboh juga kisah ini  di kalangan penduduk Malaysia di sana, lebih-lebih lagi di Kedutaan Malaysia di Arab Saudi.”

“Nasib baik diperintah keluar , jika ditahan dan tidak dibenarkan keluar dari sana mungkin masalah akan menjadi lebih rumit ye,” Mikraj melayan rentak perbualan.

“Ya. Alhamdulillah, syukur juga dia diarah keluar. Tetapi sebelum keluar itu pun memang banyak benar halangan dan rintangan yang dihadapinya. Sampaikan ahli politik di sana pun turut terlibat. Kamu faham lah kan, ‘asobiyah atau politik qabilah yang diamalkan di tanah Arab ni. Penjenayah besar pun boleh bebas kalau ada ahli Parlimen mereka yang dari satu qabilah yang sama dengan penjenayah tu.”

Hamdi menyambung, ” akhirnya nama kak Midah kau telah disenaraihitamkan daripada memasuki Arab Saudi, dan silap-silap kak Midah kau kata di Kuwait dan seluruh kawasan Teluk Arab ni pun dia tak boleh masuk. Syarikat Malaysia tu ada cawangan kat setiap negara Teluk Arab ni jugak. Di Kuwait ni pun ada. Kesian dia. Orang lain buat salah, dia yang kena.” kekesalan terukir di wajah Hamdi ketika ini, manakala matanya pula merenung mata Mikraj penuh pengharapan agar dia faham pokok pangkal kisah dan rasional keinginannya itu.

Mikraj faham perasaan Hamdi ketika ini. Maju tak kena, mundur pun tak kena. Dia terbayang jika dia yang menghadapi situasi ini, apakah yang akan dilakukannya. Lagipun abang Hamdi terikat dengan kontrak tanpa had dengan syarikat di Kuwait ini, bermakna selagi bosnya tidak menukarkan atau memberhentikannya , maka selamanya dia akan duduk di Kuwait ini berkhidmat untuk syarikatnya.

“Susah juga situasi ni ye bang. Dan susah juga kerja di Kuwait ni. Pelbagai dugaan mendatang. Saya doakan abang tabah dan sabar dalam mencari penyelesaian nanti. Insya allah, ada penyelesaian yang terbaik.” suara Mikraj mengendur.

“Jadi apa kata kamu Mikraj?” Hamdi masih belum mendapat jawapan daripada Mikraj, semenjak tadi, bahkan telah diheret untuk menceritakan perkara sebenar-benarnya yang mendorongnya untuk meneruskan niat memperisterikan anak gadis kelahiran Lubnan itu.

“Beginilah abang Hamdi. Abang Hamdi buat solat istikharah dahulu, dan harap bersabar seminggu ni , boleh tak bang? Biar saya kaji lebih terperinci perkara ini , dan jika perlu juga saya akan rujuk pada sheikh kami nanti malam ini. Moga-moga niat suci abang akan diberi ganjaran oleh Allah subhanahu wa ta’ala hendaknya.” Mikraj akhirnya memberi saranan sebagai penangguh bicara hari ini.
“Lagipun sekejap lagi saya ada 2 lagi kelas untuk diikuti.”

“Baiklah Mikraj. Kamu makanlah dulu ye. Abang pun nak balik ke pejabat ni. Mungkin bos pun tercari-cari mana bakal menantu dia ni..” Hamdi akhirnya senyum juga setelah semenjak tadi bermuram bak pungguk rindukan bulan.

“Ha? Bakal isteri abang tu anak bos abang? O… Patutlah abang pun serba salah ye? Makin rumit ni bang…” Mikraj berseloroh. “Muka pun tadi masam mencuka, sekarang macam pengemis dapat berlian!” Mikraj ketawa perlahan.

Hamdi ketawa sambil menutup mukanya. “Khair insya Allah. Mata biru Mikraj. Kulit putih melepak. Pandang tak jemu. Tutur kata lemah lembut. Bibirnya..” mata Hamdi berkaca tatkala menyebut tentang bakal isterinya itu.
“Dah dah.. saya tak mahu dengar dah bang. Karang saya pulak yang telan liur je dengar benda-benda ni. Semoga Allah tunjukkan kita jalan yang paling baik untuk semua…” Mikraj memotong percakapan Hamdi tadi. Nak tergelak pun ada melihat kesungguhan Hamdi bercerita tentang wanita itu.

“Ha ha. Baiklah Mikraj. Kamu memang faham naluri lelaki. Hehe.. Kamu bila pulak Mikraj?”

Terkedu sejenak Mikraj dibuatnya. Serta-merta teringat wajah Israk tersenyum manis di hadapannya. Dia menggeleng , memadam gambaran di ingatannya tadi. “Saya lambat lah lagi bang. Saya nak tumpukan perhatian pada pelajaran dahulu. Nanti dah selesai baru fikir..” Mikraj menjawab, selamba, menyembunyikan keinginannya pula.

“Ala.. Israk tu pun pasti tunggu kamulah Mikraj. Tengok kamu ni sama padan, ha. Tinggi sama lampai, muka sama cerah.. Memang padan punyalah” Hamdi pula yang berseloroh. Kemudian dia ketawa panjang.

Merah muka Mikraj apabila nama Israk disebut tadi. Semacam dapat dibaca dek abang Hamdi seketika tadi.
“Apa-apa je la bang Di. Hm.. Kata nak ke pejabat, karang sesak di jalan raya baru tahu,” Mikraj mencebik, sengaja bagi memadam senyuman yang sepatutnya diukir di wajah.

“Ye la , ye la. Abang nak gi lah ni. Okay Mikraj. Nanti apa-apa hal bagitau abang tau?” sambil menghulurkan tangan, meminta diri, sambil tersenyum simpul pada anak muda itu.

“Insya allah bang. Baik-baik jalan tu. Karang seronok sangat sampai tak nampak tiang!” Mikraj membalas senyuman.

“He he. Ada ada je kamu ni Mikraj. Baik. Assalamualaikum…”

“Waalaikumussalam warahmatullah…”

Hamdi keluar dari kafeteria Kuliyyah Tarbiyah yang terletak di tengah kawasan kampus Kaifan itu, lalu menuju ke pintu pagar terdekat untuk pergi ke kawasan letak keretanya di luar sana.

Mikraj hanya memerhatikan Hamdi dari arah belakang, sambil mulutnya mengunyah roti shawarma yang hampir sejuk itu. Hanya tinggal sedikit sahaja lagi untuk dihabiskannya.

Jam di tangan dilihatnya. Sudah pukul 1.55pm ! Kelam kabut dibuatnya tatkala mengetahui yang dia akan terlewat jika masih leka di kafeteria yang baru dinaiktaraf itu. Kelas yang akan dihadiri pun akan diadakan di bangunan Kuliyyah Adab di belakang sana. Kalau lewat karang, tak semena-mena senarai putih kehadirannya dicemari dengan pangkah dek pensyarah nanti.

Setelah air jus nenas dalam kotak itu dihabiskan, dia terus pergi ke sinki di hujung kafeteria itu untuk membersihkan tangan, lalu terus ke meja mencapai beg sandangnya dan terus memacu laju kakinya, menuju ke kelas tersebut.

Kasihan juga abang Hamdi tu. Kak Midah pun kasihan juga, lagi-lagi kalau tahu suaminya kahwin lain. Pening aku. YA ALLAH, kau tunjukkan jalan penyelesaian bagi masalah ini. HambaMu ini amat lemah… Ya Allah…

Mikraj berkata dalam hati. Dia takut untuk melakukan sesuatu yang tak sama adil untuk dua pihak. Seolah-olah neraca yang sedang dipegangnya tidak sama imbang.

“Assalamualaikum…” Mikraj menguak pintu kelas itu setelah sampai di situ.
“Waalaikumussalam warahmatullah.. ahlan Mikraj… awal hari ni ye?” Dr. Husin Abbas memerlinya sambil tersenyum sinis. Semua yang ada dalam kelas turut ketawa perlahan, melihat gurauan pensyarah itu. Sudah pukul 2.03pm !

Tergamam Mikraj dibuatnya. Habislah rekod bersih aku!

—————————————————-

“Tak apa Mikraj. Saya maafkan kamu kali ini. Tak pernah lagi kamu lewat semenjak kita mula kelas minggu lepas kan.” Dr Husin mengkhabarkan berita gembira buat Mikraj.

“Terima kasih doktor. Insya allah saya tidak akan lewat lagi walau seminit pun. Saya akan cuba makan tengah hari awal juga nanti” Mikraj membalas dan berterima kasih pada pensyarahnya yang berasal dari Mesir itu. Baik orangnya malah amat disenangi apabila diajak berbual atau ditujukan soalan kepadanya.

“Baiklah. Kalau ada apa-apa silalah ke pejabat saya nanti. Tengoklah senarai waktu pejabat saya yang ditampal di pintu bilik itu. Saya minta diri dulu. Assalamualaikum… ” Dr Husin meminta diri.

“Waalaikumussalam warahmatullah… terima kasih doktor..” Mikraj mengangguk tanda hormat.

————————————————————

Malam itu…
“Sheikh… saya ada satu soalan…” Mikraj memulakan bicara setelah semua sahabatnya yang mengikuti kelas pengajian Feqah itu telah beredar….

Advertisements
This entry was posted in Karya and tagged . Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s