Min wayn? – Min Maliziya!

“Min aina anta?” tanya pensyarah yang berasal dari Mesir padaku.
“Min wayn akhuy?” seorang pelajar Kuwaiti bertanya padaku ketika kami duduk bersebelahan di kelas.
“Min wain sodiq?” tanya petugas Bangladesh yang menyediakan makanan di kafeteria hostelku.
“Min ayyi baladin anta ya akhi?” aku bertanya kepada seorang pelajar baru dari benua Afrika yang sedang duduk di lobi hostel, menunggu kawan agaknya.
“Shou jinsiyyeh ?” tanya pak cik yang berasal daripada Syria itu padaku ketika melawat bandar Damascus dahulu.
“Dari mana kamu?” tanya pak Arab Saudi yang menjual jubah dekat dengan kawasan Bukit Marwah di Mekah padaku, dengan pelat Indon lagi!
“Where are you from , sir?” tanya wanita berasal dari Filipina di kedai itu.
“Anta min Maliziya soh?” tanya seorang pegawai di pejabat kebajikan di Rawdah itu.
——
Semua jawapan yang diberi, sama ada olehku atau orang yang ku tanya itu akan disertakan dengan senyuman , bangga dengan negara atau tanah air masing-masing.

Apa tidaknya, sebagai contoh apabila aku jawab sahaja “min Maliziya” yakni ‘Dari Malaysia’ , orang yang bertanya pasti memuji negaraku , dan secara tak langsung memberikan satu tanggapan baik dan terhormat buatku ketika itu.

Selalunya, jika yang bertanya itu Arab, lebih-lebih lagi Arab Kuwait , pasti mereka akan menyambung lagi pertanyaan mereka dengan soalan-soalan yang agak pening kadang-kadang bagiku untuk menjawab, seolah berminat tentang Malaysia.

Seperti juga kawanku dari Afrika tadi, dia sempat bergurau dengan menyatakan yang dia datang dari Abu Dunia , yakni ‘Bapa Dunia’ iaitu Nigeria, merujuk kepada gelaran popular yang diberikan oleh orang-orang Arab pada negara Mesir dengan nama : Ummu Dunia , yakni Ibu Dunia, ibu ketamadunan dunia sejak dahulu kala lagi.

Secara amnya, si pemuda Afrika , aku yang dari Malaysia, orang-orang Mesir dan hampir semua warga negara masing-masing di dunia ini akan berbangga dan menunjukkan rasa cinta pada negara sendiri apabila orang lain bertanya tentang asal usul masing-masing.

Itu jika di peringkat antarabangsa, bagaimana pula di peringkat domestik? (macam dalam airport pula) Adakah manusia juga berasa taksub ataupun bangga dengan negeri tempat lahir mereka? Atau daerah tempat mereka tinggal? Atau kampung yang telah menjadi tanah air mereka?

Kita lihat sahaja semangat cintakan tanah air di Malaysia, seperti anak Melaka, Kelantan – gomo kelate gomo! – , Johor, Kedah, Perak – kejor yob kejor! – , Sabah dan negeri-negeri lain, secara lazimnya mereka akan berbangga dengan negeri masing-masing.

Jika dipuji negeri mereka dengan kemajuan , keindahan dan lain-lain, itu sudah cukup bermakna buat mereka, sudah cukup untuk menyejukkan hati dan memberikan kebanggaan buat anak negeri itu, dan sebaliknya, jika kita mengutuk atau menghina mahupun memberi gambaran buruk tentang negeri mereka, nescaya selalunya kita akan merasai aura panas kemarahan dan menilik rasa tidak senang hati  pada mereka, kerana bagi sesetengah pihak, mengutuk sesuatu negeri itu adalah sama dengan mengutuk anak negeri itu sendiri…
Benar kan? Kenapa ye?

Mungkin faktor utama perasaan bangga dan yang berkaitan dengannya timbul ialah kerana negeri mereka itu telah dibina – dengan izin dan kekuasaan Allah – oleh mereka sendiri, – kadang-kadang tidak juga – atau dengan cetusan idea dan sumbangan keringat bakti mereka sendiri bagi membantu negeri mereka ‘hidup dan subur’ di muka bumi ini?

Jika berfaktorkan perkara tadi, apabila negeri mereka diburuk-burukkan dari apa-apa segi, ekonomi, pembangunan, malah warga negeri sendiri, maka itu adalah seolah-olah menghina dan merendahkan hasil usaha keras mereka itu, yang mana secara tidak langsungnya mencetus perasaan kurang senang atau dengan kata lain ‘marah’ terhadap pihak yang memburukkan negeri mereka itu.

Kita lihat juga sebagai contoh orang-orang Mesir, – aku ambil contoh daripada pengalaman sendiri, lebih mudah – , di kalangan mereka sendiri ada perasaan dan semangat sebegini juga, dan apa yang aku lihat, orang-orang so’idy (orang-orang kampung) di Mesir amat berbangga dengan kampung mereka, orang-orang Kaherah amat berbangga dengan bandar sesak mereka yang dikatakan memuatkan lebih 1 juta penduduk dalamnya itu, dan begitulah juga penduduk yang lain.

Begitu juga dengan orang-orang Arab Kuwait, Saudi, Bahrain dan lain-lain, masing-masing berbangga dengan nama tempat mereka sendiri, malah jika dilihat daripada banyak gelaran orang Arab sejak dahulu lagi, mereka menyambung nama mereka dengan gelaran bertemakan nama tempat asal mereka – biasanya- seperti al-Tirmizy, al-Bukhary, al-Tantawy, al-Razy dan lain-lain. Aku tidaklah pula mengatakan bahawa mereka semua meletakkan gelaran di hujung nama mereka kerana ‘semangat’ yang aku sebut tadi, tetapi secara amnya bolehlah dikatakan demikian kerana kita tidak tahu APA KATA HATI masing-masing.

Adakah ini satu fitrah semulajadi manusia? Setiap manusia akan , tidak dapat tidak mesti berperasaan sebegitu? Lumrah kehidupan? Bingkisan naluri kenegerian? Bukan taasub? ……

Dan bumi ini milik siapa? Manusia? Bukan… Jin? Bukan juga..

Jadi milik siapa?

Ya.. Bumi ini adalah milik Allah subhanahu wa ta’ala sepenuhnya, seadanya sebelum dan selepas manusia dijadikan. Bersalahlah jika seseorang itu mengatakan bahawa bumi ini milik bersama antara Allah dan manusia, bahkan ia boleh menjadi derhaka yang boleh membawa kepada kekufuran jika tidak kembali kepada kebenaran.

Wajarkah manusia berbangga atau bersedih atas apa yang tidak dimilikinya? Seperti pengemis sedih atas kehilangan harta seseorang yang bukan dia kenal. Atau apa-apa misalan yang lebih layak dibuat…

Namun , mengapa manusia bergaduh, berbalah, berperang-perangan kerana harta yang bukan miliknya pun? Dan lebih-lebih lagi apabila berebut tanah dan tempat tinggal?

Persoalan ini sebenarnya mungkin dipergunakan oleh puak Zionis yang menjajah bumi Palestin, lebih 60 tahun yang lalu. Perkara ini juga boleh dijadikan benteng pertahanan halus oleh pihak-pihak penjajah durjana, yang hanya melakukan kerosakan di muka bumi ini…

Kita lihat sahaja Palestin sekarang. Bagaimana tanah air tercinta mereka telah diambil alih oleh suatu kaum yang tiada sedikit pun disebut dalam sejarah bahawa nenek moyang mereka dahulu kala telah menduduki kawasan itu, malahan mengatakan bahawa Kota Sulaiman ‘yang diperkatakan’ mereka itu adalah betul-betul terletak di bawah tapak Masjid Al-Aqsa yang diberkati Allah itu!!

Ya. Benar, bumi ini milik Allah, dan tiada bagiNya sekutu dalam memiliki segala sesuatu di dunia ini.

Firman Allah swt , dalam surah Ali ‘Imran :

(Dan kepunyaan Allah lah kerajaan langit dan bumi; dan Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu) – Ayat 189

Dan Allah telah menjadikan manusia di muka bumi ini sebagai khalifah yang akan memakmurkan tanah, air dan udara di bumi ini, firman Allah lagi dalam surah Al-Baqarah :

(Dan -ingatlah- ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat : Sesungguhnya Aku hendak menjadikan khalifah di muka bumi”…..) ayat 30.

Maka dengan yang demikian, sebenarnya Allah telah memberi keizinan kepada manusia untuk memakmurkan bumi ini dengan segala kekayaan dan khazanah yang ada itu, dan mereka diberikan hak milik sementara atau secara zahir sahaja, atau dengan kata yang lebih mudah lagi : beri pinjam pada manusia segala yang ada di bumi ini untuk memudahkan urusan kehidupan mereka nanti.

Allah me’minjam’kan mereka pokok-pokok, air, angin, tanah , api, dan apa sahaja yang ada di muka bumi ini, dan meletakkan suatu label hak milik bagi setiap orang pada sesetengah barang atau perkara yang di’pinjam’kanNya itu.

Allah bahkan melantik Rasul-RasulNya bagi memimpin umat di dunia ini agar menjadi sebenar-benar khalifah, yang mengabdikan sepenuh jiwa dan raga untuk Allah semata-mata.

Semua ini membuktikan bahawa hak ‘milik’ bumi atau tanah, ataupun suatu kawasan itu adalah wujud, walaupun tidak secara mutlak. Bahkan dengan hadirnya era pembahagian tanah dan kawasan atas dasar politik dan kekuasaan, terciptalah hudud atau garisan sempadan antara negara di seluruh pelusuk dunia ini, yang mana secara tidak langsung meletakkan suatu kawasan itu di bawah ‘hak milik’ sesuatu kuasa pemerintahan.

Firman Allah lagi dalam surah al-Hadid :

(Berimanlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya dan nafkahkanlah sebahagian daripada hartamu yang Allah telah jadikan kamu MENGUASAINYA…) ayat 7

Firman Allah lagi dalam surah al-Nur :

(Dan Allah telah berjanji dengan orang-orang yang beriman di antara kamu dan mengerjakan amal-amal soleh bahawa Dia sungguh-sungguh akan menjadikan mereka berkuasa di bumi, sepertimana Dia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka berkuasa….) ayat 55

Banyak lagi ayat-ayat dan hadis yang menunjukkan bahawa manusia diberikan kuasa atas muka bumi ini bagi sesuatu kawasan itu.

Aku tak mahu mengulas panjang kerana jika diulas lebih, akan menjadi lebih panjanglah perbincangan tentang perkara ini yang melibatkan secara langsung kesan politik dunia dan penguasaan oleh sebarang organisasi atau penguasa yang ada. Tetapi aku ingin menyentuh sedikit tentang Palestin, bumi tercinta bagi semua umat Islam sejak dahulu hingga kini, dan selama-lamanya.

Sejarah membuktikan bahawa bumi Palestin sejak dahulu lagi telah didiami oleh pelbagai kaum dan bangsa. Bahkan nama-nama tempat di Palestin juga banyak yang dikatakan ‘nama lama’ yang dibiarkan berkekalan selamanya.

Adapun pendudukan orang-orang Islam di Palestin, atau Arab Palestin secara amnya juga adalah berkait rapat dengan sejarah peluasan empayar Islam semenjak zaman Nabi s.a.w , dan para khalifah baginda yang empat dan khalifah-khalifah yang lain.

Dan apabila sejarah menggariskan di atas tanah subur Palestin itu bahawa penduduk di situ mempunyai ‘hak’ ke atas tanah yang mereka diami sejak dahulu lagi, maka secara langsungnya di situlah tanah air mereka yang patut mereka pertahankan jika cuba dijajah pihak luar.

Apakah puak Yahudi atau Zionis dapat menafikan hak tersebut atau tidak, bolehlah dirujuk pada dasar perlakuan terkutuk mereka terhadap penduduk Palestin , lebih-lebih lagi pada zaman penghijrahan mereka ke bumi anbiya’ Palestin itu.

Tentu sedih jika tanah air yang kita cintai dijajah orang. Tentu derita jika kita pula yang dipaksa pindah, keluar daripada tanah air yang kita diami. Tentu membuak kemarahan kita apabila bumi yang kita jadikan alas kehidupan sejak kita lahir , tanah tumpah darah ibu yang melahirkan kita, ditusuk dengan kuku -kuku tajam mencengkam dari tangan sang Zionis durjana.

Tentu meranalah kita jika kita pula diajak berdamai dengan si penjajah yang senang-senang merampas tanah hak kita, atau berkongsi kuasa, tetapi segala hak kerakyatan dan kesejahteraan hidup diselaputi kelambu hitam hasad dan tamak haloba, ketaasuban pada kuasa…

Bagi yang punya tanah air, yang bebas merdeka, yang punya keharmonian, walau secubit secebis, sekangkang kera, aku harap hargailah tanah air itu…
Sejarah mungkin berulang, kembali menjajah ufuk kehidupan , jika manusia sendiri yang tidak endah apa itu sejarah..

Palestin tetap bumi umat Islam sedunia….

Cintai tanah air kita… Tak perlu menukar tanah dengan tanah lain jika hendak menabur benih baru….
Tak perlu bakar pohon rendang jika ingin mengambil akarnya…

Sekian… luahan sang perantau…

p/s : Maaf jika anda tidak faham atau pelik dengan hasil tulisanku ini… Maaf jika ada tersentuh apa-apa yang melanggar hukum fitrah pemikiran manusia….
Maaf jika tulisanku tak seberapa… Maaf jika hatiku enggan meluahkan katanya setulus jiwa….. Maaf jika lidahku tidak menutur baris kata manis untuk dinikmati sang telinga….

Maaf jika tanganku sudah penat menaip….

Wallahu a’lam…
Astaghfirullaha min kulli zanb….

Advertisements
This entry was posted in Ideologi and tagged , , . Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s