Laman Blog Qafmimra

Blog Qafmimra… be yourself…

Arkib bagi Kategori ‘Karya’

Cerpen : Baju Baru – Part 4

DIkirim oleh qafmimra di Januari 16, 2009

Tiba-tiba, pada suatu malam….

Kring…. kring…..

Tertera “No number” pada skrin telefon Hamdi.
Siapa yang telefon malam-malam ni? Mesti dari luar. Malaysia kah?
Kalau dari Malaysia, takkan isteriku belum tidur lagi?

“Hello….” Hamdi menjawab panggilan…

“Assalamualaikum.. abang…. isk isk…..” kedengaran suara seorang wanita… serak… berselang esakan dan tangisan….

“Ayah…..”

Hamdi bingung….. “Ayah? Kenapa ni Midah? “

“Van ayah kena langgar dengan kereta lain petang tadi… ayah masuk wad…! Abang, balik lah bang…..! Isk…” Hamidah menerangkan secara ringkas, mengangis, bahkan, suaranya bagai mendesak Hamdi pulang segera ke Malaysia!

“Inna lillahi wa inna ilaihi roji’un… bila lagi tu Midah? Ayah macamana sekarang?” Hamdi bertarji’.

“Abang ni, ayah hidup lagi dah kata inna lillah….”

“Midah, ucapan tu untuk ingatkan kita dengan Allah bila ada musibah… Dah dah… jangan menangis.. doa banyak-banyak… bukan wad ICU kan?” Hamdi cuba memujuk.

“Bukan.. tapi doktor belum beritahu lagi bagaimana keadaan ayah sekarang… ” suaranya masih bergetaran.. sedih, kaget, takut, risau, bingung… segala macam perasaan dirasainya… jelas “didengari” pada suaranya….

“Ye? Ye doktor? Macamana ayah saya?” kedengaran suara Hamidah, agak jauh dari corong suara telefonnya.

Hamdi hanya memicing telinga…. menghela nafas panjang….

“Ayah…. mak kata nanti mak call semula….” anak lelakinya memberitahu, agaknya gagang telefon diserahkan padanya oleh Hamidah.

“Baiklah… Udin tengok-tengokkan juga mak dan adik ye… apa-apa hal ayah jugak akan call semula… assalamualaikum…” Hamdi bersedia menghentikan panggilan.

“Waalaikumussalam…… ok ayah…. sayang ayah…..” ucapan anak yang benar-benar rindu pada ayah yang merantau jauh…

“Err.. ye.. ayah sayang kamu juga….” sempat lagi dia membalas… ucapan anaknya itu benar-benar dirasakan keikhlasannya…

Apakah ada anak yang tak ikhlas sayang pada ibu dan bapanya? Bagaimana pula dengan ibu bapa?
Bahkan ibu dan bapa sanggup lakukan apa sahaja untuk anak mereka.. malah nyawa mungkin…

Hamdi bersandar di kerusi malasnya di ruang tamu apartmentnya. Sesekali memejam mata, seakan memikirkan apa yang patut dibuatnya.

Majlis perkahwinannya akan berlangsung minggu hadapan. Jika dia pulang ke Malaysia, apa akan terjadi?
“Hmm… perlukah aku balik? Lagipun itu ayah mertuaku, bukan ayahku…”

“Tetapi… berbuat baik pada ayah mertua juga seolah berbuat baik pada ayah kita sendiri…” Hamdi gumam sendirian.

Biarlah sebentar. Moga Allah memberiku ilham kelak.. apa yang patut ku buat.. ya allah…

Hamdi mencapai remote lalu menekan punat ON untuk menghidupkan televisyen LCD Wansa 21 inchi itu. Televisyen itu digantungnya di dinding, untuk menjimatkan ruang.

Dia suka menonton channel Al-Jazeera yang berbahasa Arab dan juga Inggeris. Tetapi yang berbahasa Arab lebih kerap menjadi pilihannya selama ini.

“Kumpulan al-Qassam : Kami berjaya membedil 2 kereta kebal milik Israel. Seramai lima orang askar Yahudi terbunuh.”
Kelihatan sebaris ayat mengandungi berita terpampang di kaca tv. Pembaca berita itu sedang berinteraksi dengan salah seorang wakil kumpulan pejuang Kata-ib Sheikh ‘Izzuddin al-Qassam.
Kelihatan pula di sebelah penjuru kiri tv, tertera nombor 15, selepas tertulis di atasnya : Al-Harbu ‘ala Ghazzah , atau Perang ke atas Gaza.

Sudah 15 hari Gaza diserang negara tak diiktiraf itu, Israel, tanpa belas kasihan mahupun unsur-unsur kemanusiaan. Walaupun PBB dan masyarakat dunia mengecam dan mendesak agar askar Yahudi berundur dan menghentikan peperangan, namun askar-askar Yahudi itu tidak endah akan semua itu. Bahkan makin hari makin bertambah bilangan syuhada’ dan mangsa cedera parah.

1003 orang syahid. 4032 orang cedera.

Hamdi menggeleng kepala. Lalu meraup mukanya.
“Apa nak jadi umat Islam sekarang?! Orang Arab pun sama jek. Dah 15 hari baru nak mesyuarat!” terasa geram membuak di dadanya.

Dia memang benar-benar prihatin akan isu Palestin, bahkan dia pernah menyertai beberapa program yang dianjurkan Aman Palestin dan ABIM, semasa di Malaysia dahulu, berkaitan dengan isu tersebut.

Bahkan, anak lelakinya, Udin atau nama sebenarnya Izzuddin al-Qassam itu dinamakan sempena Sheikh ‘Izzuddin al-Qassam, salah seorang pejuang, pendidik dan pelopor perjuangan menentang Yahudi dan membebaskan Palestin, sehingga anak-anak didikannya menamakan kumpulan mereka dengan Kata-ib al-Qassam, sempena gelarannya. Lebih-lebih lagi perjuangan 1935-1936, seperti yang tertulis di lembaran sejarah.

“Patutkah aku kahwin dengan Sarah? Orang lain sibuk berperang, dan diperangi, aku sibuk, asyik dengan khayalanku, ingin memiliki anak gadis Arab Syam itu?” Hamdi tiba-tiba terasa tidak kena.

Dan tangannya terasa amat ringan dan pantas mencari nombor Sarah, untuk menghubunginya. Ingin menerangkan sesuatu…

Namun fikiran Hamdi masih melayang… walaupun panggilan sudah bersahut..
Kedengaran suara di corong handphonenya.

“Helo… Helo sayang… Hamdi.. kenapa ni? Kenapa senyap je?” suara lembut Sarah menyedarkan Hamdi kembali.

Hamdi baru kembali ke alam nyata! Terus melihat paparan skrin handphonenya.
Sarah sudah di talian! Namun dia belum menyusun katanya..

“Ye ye.. Sarah.. maaf.. tadi saya.. aa.. saya termenung sejenak.. awak apa khabar? Tak tidur lagi ke?” Hamdi cuba memaniskan kata-kata.

“Eh.. awak… sekarang baru pukul 9 malam. Tanyalah dah makan ke, tengok tv ke, apa ke.. mana ada orang tidur masa ni lah…” Sarah ketawa, merengek manja. Memang dia gemar berlagak manja dengan Hamdi yang dirasakannya romantis itu.

“Oh.. sorry my dear… tak perasan saya tadi.. maaf mengganggu awak malam-malam begini… tentu sibuk kan? Ye lah, majlis dah dekat ni…” Hamdi pula ketawa. Menyembunyikan kebuntuannya, yang mana sebenarnya menjadi sebab mengapa dia menghubungi Sarah tadi.

“Awak ni… mestilah sibuk.. Kan awak yang akan jadi suami saya nanti? atau awak dah tak sudi? ada pilihan lain? atau isteri panggil pulang? atau…” Sarah pula yang sengaja berlakon merajuk.

Eh.. bila pulak aku beritahu dia pasal isteri aku ni.

“Ish Sarah ni.. tak baik cakap begitu.. awak nak saya buat begitu pula ke?”

“Tak tak…. saya gurau je lah awak… jangan lah marah…. ala awak ni… gurau pun tak boleh…” kini Sarah pula yang memujuk, setelah terasakan sedikit kelainan pada nada Hamdi malam ini.

“Apa-apa je lah Sarah… hmm… saya tengok tv tadi, pasal Gaza.. kasihan diorang.. negara-negara lain tak macam nak tolong pun…” Hamdi mula berbicara.

“Ye lah. Saya pun kasihan. Lagipun Palestin tu jiran kami juga. Saya ada dua pupu berada di Tebing Barat. Dia duduk di sana. Dia kata, kami pun nak bantu, tetapi kerajaan talam dua muka itu asyik-asyik kata kita kena guna cara aman. Jangan berperang. Tak ada guna lawan Israel. Diorang tu kuat. Apa-apa saja lah yang dikatakan diorang tu.”

“Itu yang masalahnya Sarah. Dah lebih dua minggu dah ni, syuhada dah lebih 1000. Itu belum masuk yang cedera, dah lebih 4000. Sampai bila diorang nak mesyuarat?” Hamdi mempersoalkan permasalahan dan pertelingkahan sesama Arab, tentang apa yang perlu dibuat?

Hamdi menyambung : “Adakah diorang nak tunggu sampai Palestin lenyap terus dari bumi, Masjid al-Aqsa diroboh, penduduk di situ dilenyapkan sehabisnya, baru nak melawan?”

“Memang itu masalah Arab sekarang, Hamdi. Malah, masalah umat Islam seluruhnya.. yang mampu diorang buat, cuma berdemonstrasi, tunjuk perasaan. Lemahnya kita sekarang.” Sarah melayan rentak perbualan.

“Saya tak tahulah apa akan terjadi nanti jika Palestin diambil sepenuhnya dek Yahudi nanti, na’uzubillah..” Hamdi mengendurkan suara.

Dalam pada itu, Sarah teringat ingin bertanya apa tujuan sebenar Hamdi menghubunginya tadi. Kerana jarang dia menghubunginya pada waktu begini. Takkan untuk berbincang tentang Gaza?

“Hmm.. Hamdi.. maaf jika saya keluar tajuk sedikit.. Cuma, saya tadi terasa macam ada sesuatu yang tidak kena pada awak.. suara bernada lain.. bahkan, tiba-tiba pula Hamdi bercerita tentang Gaza pada saya? atau Hamdi ada maksud sebenar?” Sarah bertanya.

Hamdi menghela nafas dalam-dalam, panjang.

“Hmm.. baiklah.. pandai awak membaca hati saya…” Hamdi akhirnya berterus terang.

Sarah masih menunggu.

“Begini Sarah. Saya perlu pulang ke Malaysia esok atau lusa. Ayah kawan saya kemalangan. Dan keluarga saya di sana mendesak agar saya pulang segera.. Saya..”

“Jadi Hamdi mahu tinggalkan saya? Minggu hadapan kita akan berkahwin kan? Dan awak kata, awak akan bawa saya ke Malaysia juga nanti untuk berbulan madu?” Sarah tiba-tiba memotong percakapan. Seperti tidak puas hati.

“Bertenang Sarah. Dengar dahulu saya bercerita ye.”
“Okay… saya dengar ni…”

“Baiklah. Jadi, saya akan pulang, kemungkinan besar lusa kot, sebab nak buat macam-macam urusan. Dan saya akan pulang dengan seorang pelajar Malaysia juga, Mikraj, sebab dia anak saudara mangsa kemalangan itu. Insya allah, saya akan pulang semula ke sini lepas dua hari di sana.. sempat lah saya bersiap untuk majlis itu nanti kan…” panjang lebar Hamdi menerangkan.

“Kenapa Hamdi kena pulang juga? Biarlah Mikraj atau si polan itu sahaja yang pulang. Apa kena mengena Hamdi pula dalam perkara ini?” Sarah masih belum puas hati.

Terkedu Hamdi. Kalau dia beritahu karang, mahu gamat dibuatnya. Hancur segalanya. Dia berdehem, sambil memicit-micit kepalanya. Pening, tak pasti apa yang patut dijadikan jawapan.

“Hamdi? Awak masih di sana? Kenapa diam?”

“Keluarga saya dan keluarga ayah saudara Mikraj itu memang amat rapat, ’seperti’ punya ikatan kekeluargaan sebenar. Malah, saya sudah kata tadi, keluarga saya sangat berharap dan mendesak agar saya pulang juga. Saya perlu juga jaga hubungan antara semua pihak kan, Sarah. Jangan bimbang. Sampai di Malaysia, saya akan hubungi awak juga. Saya janji.” Hamdi cuba meredakan perasaan Sarah.

“Hm.. baiklah Hamdi. Esok di pejabat, kita bicarakan semula ye. Ayah saya panggil tu..” Sarah seolah ingin lari daripada meneruskan perbualan itu.

“Em.. okay.. insya allah, esok saya terangkan semula. Jumpa lagi… Ma’assalamah… Love you…”

“Ilal liqa’.. love you too my dear… Assalamualaikum…” Sarah menekan punat merah di handphonenya. Begitu juga Hamdi.

Ya Allah.. tunjukkan aku jalan. Berikan ku ilham dan petunjuk. Apa yang harus aku buat?

Baik aku hubungi Mikraj…

——————

Pagi itu juga, Mikraj terus pergi ke meja mushrif , atau warden bangunan asramanya itu, untuk menyerahkan dokumen yang diperlukan untuk memohon surat kebenaran keluar dari Kuwait.
Semua pelajar di Kuwait perlu memperolehi surat tersebut untuk keluar dari Kuwait, kerana di imigresen lapangan terbang Kuwait nanti, mereka akan meminta surat itu terlebih dahulu, bagi memastikan bahawa pelajar itu telah dibenarkan keluar oleh pihak yang menanggung mereka seperti Kuwait University dan lain-lain.

“Berapa hari kamu akan berada di Malaysia, Mikraj?” ustaz Abdul Rauf bertanya, berbasa-basi, sementara menunggu Mikraj mengisi borang permohonan untuk surat tersebut.

“Mungkin lima hingga enam hari ustaz.. Saya pulang ni pun atas permintaan keluarga juga. Bahkan, peperiksaan akhir untuk semester ini akan bermula minggu hadapan, dan saya perlu pulang segera juga kan..” Mikraj menjawab, panjang lebar, tak perlu disoal lebih lanjut. Lagipun, dia ingin segera menuju ke kawasan bas diparkir, untuk ke kampus Kaifan. Masih ada satu kelas yang belum tamat, kerana pensyarahnya terlambat menghabiskan sukatan pelajaran.

Pukul 10.10 am. Mikraj melihat pada jam tangannya.

Setelah selesai mengisi borang, Mikraj terus menuju ke kawasan di mana ada bas menunggunya.

Ketika sampai di pintu bas, dan ingin melangkah masuk, tergamam Mikraj apabila ada seorang gadis, yang dikenalinya, duduk di hadapannya, di hadapan pintu masuk bas. Lailatul Israk!

Israk tertoleh ke kanan apabila merasakan diperhati dari pintu masuk bas itu. Tanpa melahirkan rasa apa-apa, dia senyum dan mengangguk, lantas mengalihkan perhatiannya pada buku yang dipegangnya untuk bacaan. Sekadar mengisi masa menunggu bas bergerak. Mungkin ada urusan visa agaknya di pejabat tingkat satu, bangunan 4 di asrama lelaki itu.

Mikraj yang masih di pintu tadi menyedari bahawa kawan-kawannya di dalam bas sedang berbisik-bisik, bahkan ada yang berdehem-dehem, lantas terus mengangguk laju dan terus mencari tempat duduk di bahagian belakang. Malu agaknya dengan Israk.

“Ehem.. Mikraj, kamu ni, kalau ye pun nak mengorat, jangan lah kat dalam bas ni…” Tijan berbisik perlahan, ingin berseloroh dengan Mikraj. Kawan-kawannya yang bersebelahan ketawa terbahak-bahak.

Mikraj menutup muka, malu pun ada. Dia bukan sengaja nak berdiri tercegat di pintu masuk tadi.

“Korang ni.. jangan lah kecoh-kecoh.. aku terkejut jek tadi.. tak ada apa-apa pun..” Mikraj cuba menyembunyikan rasa malu daripada mereka.

“Alah.. biasa la tu.. lelaki, mana-mana pun sama jek..” tiba-tiba Amado menyampuk, dia duduk betul-betul di hadapan Mikraj, membelakangkannya.

Mikraj terus meletakkan dua tapak tangannya di tengkuk Amado dan menggoncangkan badannya, perlahan. Bergurau.
Amado terus mengangkat tangan..
“Aduh kau ni.. rileks la.. gurau pun tak boleh….” semua yang duduk bersebelahan Amado dan Mikraj ketawa lagi.

Tiba-tiba, nada deringan sms Mikraj berbunyi. Semua terdiam, melihat Mikraj. Sekali lagi handphonenya berbunyi.

Bas pula mula bergerak. Sudah pukul 10.15am. Tepat pada waktu. Di Kuwait University, bas disediakan untuk ke kampus setiap 15 minit, contohnya pukul 10, 10.15, 10.30 dan seterusnya.

Mikraj membuka Inbox dalam handphonenya. Dua mesej. Satu tertera nama Hamdi, dan satu lagi hanya nombor yang dilihat.

Dia membuka dahulu mesej daripada Hamdi: [ Assalamualaikum.. Mikraj, kamu dah selesaikan ke surat kebenaran keluar tu? Kita punya flight akan bertolak esok, pukul 10.50 malam. Harap bersedia. ]

Mikraj membalas mesej tersebut.

Kemudian, dia membuka pula mesej yang tidak diketahui penghantarnya itu : [ Assalamualaikum... abg Mikraj.. maaf td buat abg malu dpn kwn-kwn. Cuma sy nk ucpkn slmt jln utk esk, smga slmt prgi n slmt plng. Smga ayh saudara abg cpt smbuh.insya Allah. - Lailatul Israk ]

Eh.. Israk? Mana dia tahu nombor aku ni? Siapa yang beri pada dia ni? Mana dia tahu aku akan pulang esok ni?
Abang Hamdi kot yang beritahu? Takkanlah..

Mikraj membalas : [ Waalaikumussalam... trima ksih. insya Allah smua brjln lncr. maaf, cm sy nk tau, dr mn israk dpt no. sy? ] Mikraj terus menekan Send.

Handphonenya berbunyi lagi. Terlupa nak letak silent mode.

Disangkakan Israk, rupanya kawannya Faris. Dia terus membuka mesej itu. : [ Mikraj. Tolong call aku sekarang. Aku tak ada banyak kredit ni. Urgent! ]

Urgent? Kecemasan? Apa hal pula ni…

Bersambung…

Dikirim dalam Karya | Tagged: , | Leave a Comment »

Cerpen : Baju Baru – Part 3

DIkirim oleh qafmimra di Disember 15, 2008

Tengah hari itu…

“Kamu benar-benar mahu berkahwin dengan Hamdi, Sarah?” kata CEO syarikat yang bertapak di bangunan setinggi 10 tingkat itu….

Soalan yang agak merimaskan bakal pengantin yang tak lama lagi akan memulakan ikatan halal itu… Sudah hampir melangkah ke alam baru…

“Ye ayah… saya sangat-sangat nak kahwin dengan Hamdi… dia jujur.. baik… pandai ambil hati saya….” Sarah senyum, yakin dengan apa yang dikatakannya..

“Dan pekerja yang rajin? Romantis? Penghibur hati? Apa lagi yang kamu nampak pada dia?” kata Encik Uthman, ingin mengusik anak tunggalnya itu. Dialah segala-galanya untuk Uthman..

“Ayah ni… kenapa tanya saya soalan macam ni?” Sarah merangkul bahu ayahnya, merengek manja… macam kanak-kanak..

“Iye la Sarah. Ayah bukannya apa.. Ayah cuma nak ingatkan kamu, lelaki memang mula-mula begitu, lemah lembut, baik, setia. Nanti bila dah bosan, lain jadinya pula..” Uthman ingin menduga kesetiaan Sarah.

“Ayah… saya dah kenal dia beberapa tahun lalu lagi.. Bahkan, Hamdi seorang yang taat pada agamanya juga.. ayah mesti nak orang macam dia kan, orang yang akan jaga Sarah,” hatinya sudah tertawan pada lelaki bernama Hamdi itu.

“Pernah kamu tanya dia, dah kahwin ke belum, dah ada anak ke, sanggup ke keluarganya di Malaysia menerima kamu nanti.. ini masa depan kamu Sarah… dan secara langsungnya masa depan kita semua juga….” Uthman masih menduga.

Sarah termenung seketika. Tidak pernah pula terlintas di hatinya untuk menyoal Hamdi tentang semua itu.

Betul juga kata ayahnya. Ini masa depannya. Dia akan bersama seorang lelaki sepanjang hayatnya. Lelaki asing yang akan menjadi temannya, setiap masa.

“Baiklah ayah… tapi… saya..”
Tiba-tiba pintu bilik ayahnya diketuk.

“Tafaddhal….! Sila masuk…!” bersuara Uthman, dengan nada sederhana.

“Assalamualaikum. En. Uthman.. maaf mengganggu..” Hamdi yang dibicarakan mereka tadi muncul!

“Waalaikumussalam warahmatullah… oh Hamdi.. ada apa-apa boleh saya bantu?” Uthman berbasa-basi, terkejut pun ada apabila orang yang mereka bincangkan tadi telah hadir, malah Sarah yang sedang berbicara tadi terus terdiam, lantas mengambil senaskhah majalah di atas meja tetamu bilik ayahnya itu.

“Maaf En Uthman.. Sarah.. saya cuma nak tanya, tuan pergi kan ke perkuburan Sulaibikhat asar nanti? Kalau nak, saya boleh bawa kalian berdua bersama, dengan kereta saya..” Hamdi menawarkan khidmat.

Sarah memandang ayahnya, lantas mengangguk perlahan-lahan.
Melihat anaknya menyatakan persetujuan, Uthman berkata : “Baiklah… insya allah lepas solat asar nanti, kita terus bertolak ke sana. Orang Arab Kuwait tak menunggu lama untuk pengebumian jenazah… Terima kasih Hamdi..”

“Sama-sama… Saya minta diri dulu, En Uthman, Sarah… Assalamualaikum….” pintu bilik yang diperbuat daripada kayu jati itu pun ditutup kembali.

Sarah menarik nafas lega. Bimbang jika Hamdi terdengar perbualan mereka tadi. Hamdi agak mahir dalam bahasa Arab, itupun atas usahanya sendiri dalam mempelajari bahasa itu.

“Saya minta diri dulu ayah… nak jumpa Hamdi sekejap..” lantas dia bangun sambil meleretkan senyuman pada ayahnya..

Uthman hanya mengangkat kening dan mengangguk beberapa kali, melihat lagak anak gadis tunggalnya itu.
Pintu itu sekali lagi dikuak dan ditutup perlahan.

———————————————————————————–

Petang itu, selesailah pengebumian jenazah isteri Encik Ahmad. Hampir 100 orang telah menghadiri solat jenazah dan pengebumian itu.

Hamdi melihat raut wajah Ahmad, tenang, satu garis kesedihan pun tidak ditunjukkannya.
Inna lillah.. dia akur pada takdir Allah.. Segala yang hidup pasti akan mati, kecuali Allah subhanahu wa ta’ala.

Sesekali, Hamdi terbayangkan jika jenazah yang di depan mereka itu adalah isterinya!
Isteri tercinta, dijemput menghadap Allah… menunggu perbicaraan… meninggalkan orang-orang yang tersayang…
Namun, Allah lebih menyayanginya….

“Man ahabba liqa-Allahi , ahabbAllahu liqa-ah…” salah seorang sheikh yang menguruskan jenazah itu sempat mengingatkan para jemaah yang hadir di situ..

Maksud hadith itu : “Barangsiapa yang suka bertemu dengan Allah, nescaya Allah jua suka ingin bertemu dengannya…”.

————————————————————————————-

Malam itu juga, setelah selesai solat maghrib, Hamdi menghubungi isterinya di rumah, menggunakan khidmat Yahoo! Voice yang dibelinya tempoh hari. Itu pun dengan tunjuk ajar Mikraj.

Kedengaran suara rindu isterinya di corong speaker laptopnya. Ternyata kedua-dua insan yang berjauhan itu masih dekat di hati, umpama darah dan daging, tak mampu dipisahkan.

Anak-anaknya juga turut sama gembira mendapat panggilan daripada ayah mereka.

“Hamidah… insya allah, dalam beberapa bulan lagi, abang akan balik Malaysia juga tau…”

“Iye bang? Syukur alhamdulillah… tak sabar rasanya saya nak tunggu abang balik.. kami rindukan abang…” Hamidah meluahkan rasa.

“Abang pun rindukan Midah.. anak-anak abang pun.. insya allah, nanti bila dah dekat tarikh abang pulang, abang akan beritahu semula ye…” Hamdi berjanji.

“Baik bang… kami setia menunggumu….” kedengaran tawa anak-anaknya, mendengar ungkapan ibu mereka itu.
Hamidah turut ketawa perlahan.. kerenah anak-anaknya itu kadang kala mencuit hati juga…

“Hehehe… baiklah Midah.. nanti abang call lagi ye…. kirim salam pada Nurul dan Amirul…. Assalamualaikum…”

“Waalaikumussalam warahmatullah…. bye abang….” Hamidah menekan butang merah pada telefon bimbitnya.

Rindu pada suaminya terubat apabila mendengar suara Hamdi tadi. Kasihan abang Hamdi, getus hati kecilnya.
Seorang diri hidup di perantauan. Tiada siapa yang menjaga kebajikannya, melainkan dirinya sendiri jua. Alangkah bagusnya jika dia ada bersama di sana, namun apa kan daya, halangan tetap ada.

Namun, hakikatnya , Hamdi pula semakin hari semakin gembira. Apatah lagi apabila majlis pernikahannya dengan Sarah tak lama lagi akan berlangsung.

Apakah yang akan terjadi jika Hamidah mengetahui?

———————————————————————–

Beberapa hari kemudian….

“Hamdi… jom main bola pagi Jumaat ni!” kedengaran suara Radhi, dalam corong telefon, mengajak Hamdi, tiba-tiba, pada pagi itu.

“Eh kau ni… bagi salam pun tidak, tiba-tiba ajak aku main..” Hamdi mengerutkan dahi.

“Haha…. ye la ye la…. Assalamualaikum en Hamdi….. sudikah anda bermain bola sepak dengan kami pada pagi Jumaat ini, wahai encik Hamdi?” Radhi ketawa lagi, kali ini lebih kuat, sakit telinga Hamdi dibuatnya.

“Waalaikumussalam….. apa salahnya, kenapa tidak wahai encik Radhi. Saya benar-benar sudi, tapi di mana kita akan bermain encik Radhi bin Ismail al-Maghriby?” kali ini Hamdi pula bermain bicara. Tau takpe!

“Hahahaha…. bila masa pulak ayah aku ada gelaran ni.. dah dah… aku nak ajak kau main kat padang Kuwait University nanti. Aku dah minta Mikraj tempahkan padang itu, atas nama pelajar-pelajar Malaysia. Benda-benda lain jangan risau.. Aku dah setelkan semuanya… sarapan pun ada.. kau datang jek… jangan lupa kasut bola sudah la…” sempat Radhi berseloroh.

“Okay bos… no problemo! aku mesti datang punya….”

“All right! okay Hamdi, aku pun nak buat kerja lagi ni… karang nampak dek bos aku, naya pulak karang, curi tulang… huhu” Radhi mengintai-intai, khuatir bosnya nampak.

“Hah.. tau takpe! baik… jumpa di sana insya allah…” Hamdi juga sudah bersedia menghentikan perbualan.

“Assalamualaikum….”

“Waalaikumussalam warahmatullah…..” Hamdi meletak gagang telefonnya kembali di tempatnya, di penjuru mejanya.

Bagus juga ni… boleh aku bincang sikit dengan Mikraj nanti.. Hamdi berfikir sejenak…

———————————————————————————-

Setelah selesai perlawanan pagi Jumaat itu…

“Mikraj, abang nak minta tolong sikit boleh tak?” Hamdi memulakan bicara.

“Tolong apa tu bang? Kalau saya mampu, saya bantu seadanya… insya allah…”

“Kamu jadi salah seorang saksi untuk abang boleh? Untuk majlis akad nikah awal bulan November ni..” Hamdi sudah pun berbincang perkara ini dengan keluarga Sarah. Mereka juga bersetuju, malah, makin cepat lebih baik.

“Oo.. boleh je tu.. nak ajak kawan-kawan yang lain juga ke? Orang-orang Malaysia di sini tahu ke abang nak…. ehem…..” Mikraj berdehem tatkala Radhi menghampiri mereka.

Hamdi meneguk air Vimto yang disediakan Faris untuk pagi itu.. siap dibotolkan lagi…

Radhi menyapa : “Wah.. rancak berbual….. Eh Mikraj…. kamu tak ada baju lain ke? Asyik baju belang-belang Malaysia ni je kamu pakai… Kalau nak, kamu minta je dengan abang Hamdi ni, dia pun bukan tak mampu nak beli baju baru!” seraya dia ketawa.

Puh…. Tersedak Hamdi dibuatnya… mendengar frasa BAJU BARU… Mikraj juga terkejut mendengar perkataan itu keluar dari mulut Radhi.. seperti sudah tahu apa yang Hamdi akan ‘beli’ tak lama lagi..

“Eh… yang kau ni, apa hal tersedak macam tak cukup nafas jek….. takkan baju baru untuk adik sepupu kamu pun berkira kot…” Radhi melebarkan senyuman, menyerlahkan gigi putihnya, seraya menepuk-nepuk belakang Hamdi.

“Mesti la boleh…. uhuk uhuk… nanti aku belikan untuk Mikraj…. kalau kau nak jugak pun, aku boleh belikan!” Hamdi pula ketawa…. namun ketawanya tersekat-sekat dek batuk yang terhasil selepas tersedak tadi.

Mikraj senyum. “Apa-apa je lah abang Hamdi.. Abang Radhi… saya malas nak beli baju sebenarnya.. berlambak dalam kotak saya dekat bilik tu. Takut membazir pulak nanti…”
Mujur berpindah tajuk, getus hatinya.

“Haha… saje jek gurau dengan kamu la Mikraj… jangan terasa eh..” Radhi memegang bahu Mikraj.

“Takde la bang…. saya bukan sensitif pada benda-benda macam ni pun. Takde punya saya terasa la…”

“Baiklah… abang nak balik dah ni… lagi sejam lebih je dah solat Jumaat. Dah la khutbah mula lepas masuk je waktu solat, kat Kuwait ni…karang tak sempat pula..  Jumpa lagi Mikraj, Hamdi…. Assalamualaikum…” Radhi menghulurkan tangan , lalu menuju ke sekumpulan pelajar pula tidak jauh dari situ…

“Qortubah.. Qortubah… siapa nak balik Qortubah!! Mari abang hantar…. tapi 4 orang je lah yek….” Radhi menawarkan khidmatnya pada pelajar-pelajar Maahad Dini. Mereka semua tinggal di hostel dekat daerah Qortubah.
Mikraj dan kawan-kawannya yang belajar di universiti pula tinggal di Shuwaikh.

“Terima kasih bang…” beberapa pelajar bangun setelah berbincang siapakah yang akan pulang dengan Radhi…

———————————————————————-

Tiba-tiba, pada suatu malam….

Kring…. kring…..

Tertera “No number” pada skrin telefon Hamdi.
Siapa yang telefon malam-malam ni? Mesti dari luar. Malaysia kah?
Kalau dari Malaysia, takkan isteriku belum tidur lagi?

“Hello….” Hamdi menjawab panggilan…

“Assalamualaikum.. abang…. isk isk…..” kedengaran suara seorang wanita… serak… berselang esakan dan tangisan….

“Ayah…..”

Hamdi bingung….. “Ayah? Kenapa ni Midah? “

bersambung……

Dikirim dalam Karya | Tagged: | Leave a Comment »

Cerpen : Baju Baru – Part 2

DIkirim oleh qafmimra di Oktober 28, 2008

Malam itu…

“Sheikh… saya ada satu soalan…” Mikraj memulakan bicara setelah semua sahabatnya yang mengikuti kelas pengajian Feqah itu telah beredar.

“Ya.. apakah soalannya Mikraj?” Sheikh Ali bertanya pula, dia sudah biasa dengan perilaku anak-anak muridnya, jika ada soalan peribadi, mereka akan menunggu kawan-kawan yang lain beredar dahulu.

“Bolehkah seorang lelaki muslim itu nikah dengan niat talaq? Maksud saya, bolehkah lelaki itu kahwin dengan seorang perempuan yang halal baginya, dengan berniat akan menceraikannya selepas suatu tempoh yang ditetapkannya sendiri?” panjang lebar Mikraj menyusun ayat soalannya tadi, tertulis di atas kertas,  itupun setelah diperbetulkan berkali-kali semasa di kafeteria selepas maghrib tadi oleh rakannya.

“Ya.. boleh..” Sheikh Ali menjawab, ringkas. “Bahkan jika dia nak akad nikah dengan 4 orang satu hari, dengan niat akan diceraikannya keesokan harinya pun boleh..” agak ringkas namun penuh seribu kebuntuan dan kecurigaan bagi sesetengah pihak jika mendengar tanpa mengetahui sebab dan hukum sebenar masalah ini.

Mikraj agak terkejut, namun dia menyembunyikan perasaannya dengan menambah sedikit lagi elemen soalannya yang panjang tadi : ” Tidakkah itu seperti nikah mut’ah , atau nikah kontrak? Yang mana nikah tersebut diletakkan tempoh tamat ’sahlaku’nya kepada sekian waktu? Ramai yang menyebut tentang perkara ini sheikh.. Tidak mungkin semudah itu kita meletakkan hukum?” lembut Mikraj mempersoalkan fatwa sheikhnya tadi.

Secara rasional dan logiknya perkara ini seolah-olah sama, namun sebenarnya tidak di sisi kebanyakan ulamak Islam.

“Tidak Mikraj. Begini. Nikah mut’ah ialah nikah yang diletakkan tempoh atau had bagi pasangan itu sebagai suami isteri yang sah, namun jika telah tamat tempoh, maka mereka tidak akan bergelar suami isteri lagi. Dan nikah mut’ah itu jika dilihat pada akadnya juga telah disebut padanya secara zahir bahawa nikah itu akan berakhir selepas sekian-sekian waktu. Dan ini adalah tidak sah di sisi Ahli Sunnah wal Jama’ah, sah di sisi puak Syi’ah.”
“Adapun nikah dengan niat talaq tadi, terang-terang lagi dah disebut ‘niat’ talaq, maksudnya walaupun suami itu tahu selepas sekian waktu, dia akan menceraikan isterinya, namun ketika akadnya, dia tidak menyatakan niatnya itu pula, jadi nikah itu sah, dan niatnya hanya antara dia dan Allah swt sahaja. Jadi tidaklah menjadi kesalahan secara dasarnya jika dia ingin berbuat demikian, namun jika dilihat dari aspek kekeluargaan dan hubungan manusia, perbuatan nikah dengan niat talaq ini memang tak digalakkan, kerana dikhuatiri akan menjejaskan sistem kekeluargaan yang dah dibina….” panjang lebar Sheikh Ali berhujah.
“Maksudnya, lelaki itu tidak boleh menyatakan niatnya untuk ceraikan isterinya ketika akad nikah dijalankan? Jadi jika dia menyatakan niatnya pula bagaimana?” Mikraj masih sedikit keliru.

“Ya. Jika dia menyatakan bahawa dia akan menceraikan isterinya selepas sekian waktu, maka itu adalah menyerupai nikah mut’ah , dan kamu tahu kan antara syarat-syarat sah nikah itu ialah berterusannya akad itu tanpa tempoh yang dihadkan…” mudah sahaja Sheikh Ali menjawab.

Mikraj mengangguk perlahan. Kerutan di dahinya belum terpadam. Masih lagi tidak dapat menerima sepenuhnya pendapat sheikhnya itu.

Sheikh Ali tersenyum melihat Mikraj sedemikian, seraya menyambung lagi , “Sudah banyak kali saya dengar tentang adanya beberapa pemuda atau lelaki berkerjaya , yang pergi belajar atau bekerja di luar negara , jauh dari tanah air mereka, yang bernikah dengan niat talaq, atau untuk sementara dia masih berada di sana, bagi mengelakkan berlakunya perkara yang haram atau yang tidak sepatutnya. Dan apabila kerjanya telah selesai, maka dia akan menceraikan isterinya, jika mahu, dan pulang ke tanah airnya kembali.”

Terangkat kening Mikraj ketika mendengar perkara itu keluar dari mulut sheikhnya itu, seolah-olah telah dibaca olehnya tentang sebab sebenar Mikraj bertanyakan hal itu.
“Itulah hal sebenar yang saya ingin tanyakan wahai sheikh.. ada seorang lelaki, berasal dari Malaysia, suami sepupu saya, ingin berkahwin dengan seorang wanita Lubnan di sini, atas alasan dia khuatir tidak mampu untuk menghalang dirinya daripada terjebak ke kancah maksiat jika tidak berbuat demikian.”
“Lagipun, isterinya pula tidak dibenarkan masuk ke Kuwait atas sebab-sebab tertentu. Saya sudah sarankan padanya agar berpuasa, kerana puasa kan pendinding diri, tetapi dia tetap dengan pendiriannya seandainya perkara tentang nikah dengan niat talaq ini dibolehkan dalam syarak, maka dia akan melangsungkan perkahwinannya di sini, secepat mungkin. Dan dia akan menyembunyikan perkara ini daripada pengetahuan isteri dan anak-anaknya di Malaysia….” Mikraj menerangkan tentang keinginan abang Hamdi itu.

Sheikh Ali mengangguk-angguk perlahan, sambil memegang hujung janggutnya yang semakin memutih itu. Sheikh Ali berasal dari keluarga berkelahiran Syria, tetapi beliau telah dilahirkan dan dibesarkan di Kuwait.

“Masya Allah.. Lubnan.. Jodohnya mungkin… Beginilah Mikraj. Kamu beritahu kawan kamu, atau saudara kamu tadi, fikirlah sewajarnya, dan jangan bertindak mengikut hawa nafsu semata-mata. Tidak semestinya keinginannya itu boleh menjamin kebahagiaan semua pihak. Sebaiknya dia beristikharah dahulu seminggu dua ini… kemudian bertawakkallah moga-moga Allah memberikannya jalan terbaik untuk disusuri.”

“Begitulah yang saya sarankan padanya tempoh hari,  sheikh… Baiklah.. saya amat berterima kasih kepada sheikh atas jawapan yang bagi saya sudah cukup untuk menghilangkan sedikit kegusaran yang melanda saya sendiri dek masalah si lelaki tadi… Insya allah jika ada apa-apa , saya akan bertanya lagi pada tuan sheikh, jika tidak keberatan, pada ketika yang lain pula… kerana bagi saya sheikh amat tinggi ilmunya dalam bidang Feqah ini…”

“Astaghfirullah…. sesungguhnya segala yang berlaku adalah datangnya daripada kehalusan cara urusan Allah swt pada sekalian makhluk di muka bumi ini.. Dan ilmu itu juga datangnya daripada Allah, maka sebaiknya kita isnadkan ilmu itu juga ke hadrat Allah swt, agar kita tidak lupa siapa diri kita sebenarnya…” Sheikh Ali merendah diri.

“Terima kasih sheikh.. Saya minta diri dahulu… Assalamualaikum…” Mikraj meminta diri sambil menghulurkan tangan tanda hormat pada sheikhnya.

“Waalaikumussalam warahmatullah… Ahsanta ya Mikraj…” Sheikh Ali menyambut salam tadi dan terus beredar menuju ke kereta merahnya di sebelah sana.

Mikraj melihat jam di tangan. Sudah pukul 10.30 malam! Agak lama rupanya dia berbicara dengan sheikhnya tadi.

Semasa ingin menekan butang lif di lobi hostelnya yang bertingkat sepuluh itu, bahunya disapa sahabat karibnya, Syukri , sambil tersenyum-senyum di belakangnya bersama beberapa sahabatnya lagi.

“Ye? Antum tak naik lagi?” Mikraj agak terkejut melihat sahabat-sahabatnya sepengajian tadi masih ada di lobi, seakan menunggunya pulang!

“Kami tunggu anta la Mikraj. Lama bukan main berbicara dengan sheikh tadi ye? Apa cerita?” Syukri memprovok dengan soalan yang ditujukannya itu.

“Ye la.. lama betul.. ingatkan sekejap jek… anta tanya pasal nak kahwin ke Mikraj?” Faris pula menyampuk. Seraya mereka yang ada di situ ketawa!

“Eh.. mana ada.. tadi.. aa.. ana tadi.. itu…” Mikraj terkejut lagi kerana seolah mereka mendengar perbualan tadi.. sampai tergagap-gagap dibuatnya.

“Ha..tengok , baru tanya sikit dah tergagap… baik anta cakap betul-betul Mikraj. Bila kendurinya? Nak ana jadi pengapit, no problem!!” Hamzah pula yang mengusik. Keempat-empat kawannya yang berada di situ ketawa lagi, tak tahan melihat gelagat Mikraj tadi.

“Takde la.. apa lah antum ni. Sikit-sikit pasal ana kahwin lah, itu lah, ini lah. Ana lambat lagilah nak kahwin. Tadi ada la tanya soalan Feqah pada sheikh tadi..” Mikraj menyembunyikan juga perkara sebenar yang dia tanya. Dia tidak berbohong sebenarnya, cuma berhelah. Dia sebenarnya bertanya untuk suami sepupunya itu.

“O.. Feqah yek.. ye la.. tak nak bagitau takpe lah kan syabab…” Syukri mencebik , bergurau, “baiklah.. ana nak balik bilik jugak ni. Dah lewat dah ni, karang tidur lewat takut tak terjaga untuk solat Subuh pula..”
Syukri meminta diri dahulu.. Dia memang selalu begitu. Baginya, tidur perlu benar-benar cukup, baru badan sihat.
Tidak bagi sahabat-sahabatnya yang lain itu. Mereka selalu tidur lewat, kadang-kadang tidak tidur langsung, sehingga menjelang Subuh. Kemudian akan ‘qadha’ tidur mereka selepas itu.. Macam-macam ada!

“Mikraj. Jom kita ber’diwaniyah’ jap di bilik Faris. Minum teh ke, makan kuih raya dia ke… hehe..” Hamzah mengajak Mikraj bertandang ke bilik Faris. Seolah bilik itu dia yang punya.

“Ana boleh jek.. kena tanya Faris la dulu, anta ni… Camana sheikh? Ada peluang?” Mikraj menampakkan barisan giginya apabila melebarkan senyumannya pada Faris.

Faris membalas senyuman, lalu menjawab : ” Boleh jek.. meh.. sila la ke bilik ana.. buat macam bilik sendiri…” sinis pula jawapannya pemuda ini..

Mikraj dan Hamzah ketawa lalu menepuk-nepuk bahu Faris.. Pintu lif tertutup. Mereka menuju ke tingkat di mana Faris tinggal.

———————————————-

“Abang Di betul ke nak kahwin ni… saya rasa abang Di cubalah pertimbangkan dahulu perkara ni, baik buruknya, apa yang wajib, apa yang harus, apa yang perlu dibuat sebelum dan selepas perkahwinan ni nanti…” Mikraj menanggalkan kopiah hitamnya lalu meletakkannya di atas meja di sudut biliknya itu.

Kedengaran dengusan kecil dari corong kecil handphone Mikraj itu. Nama yang tertera di skrin handphonenya itu kerap kali menghubunginya sejak beberapa hari yang lalu. Terlalu kuat keinginannya untuk meneruskan niatnya itu.

“Hmm.. Ye lah, kamu pun kata sheikh kamu kata tak salah pun abang kahwin dengan niat nak ceraikan isteri abang ni nanti bila abang dah tamat kontrak kerja di sini kan… jadi apa yang kamu risaukan sangat Mikraj… Abang akan berlaku adil, insya Allah.. bahkan kak Midah kamu bukannya tahu pun hal ini.. jadi seolah-olah abang hanya ada satu isteri sahaja kat setiap negara, separate!” Hamdi meningkah kembali saranan Mikraj padanya.

Bagi Hamdi, perkahwinan ini pun seolah menjadi satu jalan keluar baginya untuk mengelakkan dirinya terjebak dengan perkara yang haram. Tidak terlintas sedikit pun dalam hatinya untuk membiarkan isterinya Hamidah itu sendirian tanpa suami di sisi, cuma dia sudah merancang akan pulang juga beberapa bulan sekali nanti, agar rindu terubat.

Tetapi adakah semudah itu dia membuat keputusan, kerana memang pada dasarnya perkahwinan amat mudah, hanya perlu ada mas kahwin, wali si isteri, dua saksi dan pasangan suami isteri. Itu sahaja. Mengapa perlu bersusah payah untuk memikirkan hal-hal seperti ini. Namun jika dilihat pada makna sebenar perkahwinan itu sendiri, ia bukanlah suatu urusan seperti berjual-beli atau sewa-menyewa, mahupun ‘pakai buang’ .

Perkahwinan adalah satu ikatan suci dan murni yang Allah swt ciptakan bagi hamba-hambaNya untuk bersatu, untuk mencipta suatu institusi kekeluargaan yang menuju ke alam bahagia. Perkahwinan itulah juga yang menjadi benteng iman kedua-dua pasangan itu sendiri.

Bukan hanya berpaksikan nafsu dan keinginan untuk memuaskan diri semata.

“Baiklah abang Di. Terserahlah pada abang. Saya bukan nak masuk campur hal abang, cuma memberi nasihat atau pandangan sebagai seorang lelaki juga. Abang ingat ketika saya pernah sebut di Kedutaan dahulu, tentang sebenarnya isteri itu adalah ibarat baju kita, seperti firman Allah swt :
(Mereka adalah pakaian bagi kamu, dan kamu adalah pakaian bagi mereka)
Maksudnya lengkap melengkapkan. Tetapi bukan ‘pakai buang’ pula kan… jadi jika abang masih dapat membahagikan kasih sayang antara dua ‘baju’ abang nanti, tanpa ada ketidakseimbangan atau tak adil, abang Di teruskanlah niat abang itu…” Mikraj mengalah.

“Maafkan abang tadi ye Mikraj. Abang bukan marah Mikraj, cuma mungkin bagai orang kata berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Kalau Mikraj di tempat abang pun, mungkin begini juga yang akan kamu buat… demi menjaga diri kamu juga…” Hamdi pula memohon maaf. Terasa bersalah apabila agak tinggi suaranya tadi meningkah saranan Mikraj itu.

“Baiklah abang Di.. satu sahaja saya nak pesan, abang kena tanya pihak kedutaan juga tau, kalau abang kahwin, perlu ke daftar perkahwinan itu di kedutaan, sebab setahu saya dalam undang-undang keluarga Islam di Malaysia , saya ada terbaca yang Melaka punya, katanya semua perkahwinan rakyat Malaysia di luar negara perlu didaftarkan di kedutaan atau konsulat di negara itu… ye lah.. mana tahu kena daftar, mesti diorang akan sampaikan maklumat ni ke pihak berkenaan di Malaysia, jadi status abang mesti diperiksa juga nanti kan….” Mikraj teringat tentang perkara tersebut tadi, ketika menyemak dan merujuk buku enakmen undang-undang keluarga Islam negeri Melaka yang dibelinya tempoh hari di pejabat Jabatan Agama Islam Melaka itu.
Dia beli buku itu pun kerana ingin cuba membuat perbandingan antara undang-undang keluarga Islam di Malaysia dengan yang ada di Kuwait dan Mesir.

“Betul juga cakap kamu tu.. insya Allah nanti abang rujuk kat Kedutaan semula. Sebab hari tu encik Zakaria tak ada pula sebut tentang perkara ini semasa abang sebut tentang niat abang nak kahwin ni. Dia punya terkejut dengar abang nak kahwin dengan orang Lubnan. Sempat dia bergurau dan kata kalau dapat, carikan seorang untuknya juga.. ha ha ha.. macam-macam…”.

—————————————————————-

Keesokan harinya…

Pagi itu, suasana di pejabatnya agak suram. Kelihatan garis-garis resah dan sedih menghiasi wajah-wajah para pekerja di pejabatnya.

“Assalamualaikum Fahad, kenapa semua muram pagi-pagi begini?” Hamdi kehairanan.

“Isteri Naib CEO kita meninggal dunia malam tadi. Kami semua turut terkejut apabila baru dapat tahu tentang perkara ini pagi tadi.. bahkan, semua yang ada di pejabat hanya mendiamkan diri masing-masing.. mungkin terasa juga kehilangannya…” Fahad menjawab, menjelaskan sebab keadaan suram itu.

Isteri Naib CEO, adalah seorang yang amat baik dan peramah. Kedua-dua pasangan ini amat memahami nasib dan perihal anak-anak pejabat mereka, bahkan kedua-duanya adalah pasangan berasal dari Kuwait sendiri. Encik Ahmad al-Ghanim dan Puan Fatimah al-’Anazy sudah lama dikenali dalam syarikat ini. Saban hari, Puan Fatimah selalu juga mengunjungi pejabat untuk berkenal-kenalan dengan para pekerja di sini.

Sikapnya yang amat prihatin itu juga telah menambat hati para pekerja di pejabat setinggi 10 tingkat ini. Jarang benar seorang Kuwaiti yang boleh bergaul dengan bukan Kuwaiti, dengan amat baik dan mesra, pada pandangan mereka.
Sikap ramai warga Kuwait yang agak sombong dan mementingkan martabat mereka itulah yang menjadikan kebanyakan, atau semua yang datang dari luar ke Kuwait ini agak kekok dan putus asa untuk mencari kenalan rapat dari kalangan Kuwaiti sendiri.

“Inna lillahi wa inna ilaihi roji’un…. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan maghfirah Allah Ta’ala….. Bila jasadnya akan dikebumikan, Fahad?” Hamdi pula beransur sedih dan muram tatkala mendengar perkara itu.

“Insya allah petang ini, selepas Asar, dekat perkuburan Sulaibikhat.. Encik Ahmad ada letak iklan di papan notis tentang pengebumian itu juga.. Jumpa di sana nanti….” Fahad meminta diri kemudian berlalu menuju ke arah lif. Ada hal agaknya.

Kasihan Encik Ahmad, getus hati kecil Hamdi.
Isteri yang disayangi telah pergi. Isteri yang telah hidup bersama sejak mula berkahwin. Sama-sama susah dan senang. Memahami hati suaminya, menenangkan suaminya tatkala berduka.
Melahirkan zuriat untuk dinasabkan pada si suami. Menjaga dan mengasuh mereka tanpa kenal erti penat dan lelah…
Hamdi terdiam seketika tatkala sedang melayan getus hatinya tadi. Teringat pula isteri di rumah.

“Semoga isteri dan anak-anakku berada dalam keadaan sihat sejahtera hendaknya…” Hamdi berbisik perlahan, seolah bercakap dengan dirinya sendiri. Kemudian dia terus menuju ke mejanya, melihat barangkali ada apa-apa kerja yang perlu diselesaikan pagi itu….

————————————————————-

Tengah hari itu…

“Kamu benar-benar mahu berkahwin dengan Hamdi, Sarah?” kata CEO syarikat yang bertapak di bangunan setinggi 10 tingkat itu….

Dikirim dalam Karya | Tagged: , | Leave a Comment »

Cerpen : Baju Baru – Part 1

DIkirim oleh qafmimra di Oktober 13, 2008

“Bolehkan Mikraj?” Hamdi bertanyakan kepastian. Ditenungnya mata anak muda itu. Mikraj hanya kelihatan tenang, walaupun jauh di sudut hatinya dia agak bercelaru kerana sedang berusaha memikirkan penyelesaian perkara itu.

Setelah agak lama mendiamkan diri, Mikraj akhirnya mengangguk perlahan, tidak lemah tetapi seolah berhati-hati, takut salah hukum!
“Kak Midah dah tahu ke hal ni abang Di?” Mikraj cuba memancing isu. Dia masih berat hendak mengatakan “Ya” atau “Boleh” pada suami sepupunya itu. Mereka telah berumahtangga sejak 5 tahun yang lalu.

“Belum Mikraj. Abg Di tak mahu dia tahu, kalau tak, mahunya dia datang cari abang kat Kuwait ni! Abang sayangkan dia lagi. Tetapi abang juga takut diri abang terjebak dengan perkara yang tak sepatutnya berlaku nanti. Maklumlah. Lelaki tetap lelaki. Ada kemahuan dan keinginan kan?” mudah Hamdi menjawab. Berbaur keyakinan dalam keikhlasan.

“Betul juga tu abg Di. Tetapi saya masih berat nak mengatakan hukum sebenar dalam hal ini. Kenapa abang tak bawa saja kak Hamidah tinggal di Kuwait ni, kan lebih mudah? Itu yang lebih molek pada pendapat saya. Saya bukan nak jadi batu penghalang daripada niat abang tu..”

“Jadi kamu tak setujulah ni Mikraj?” Hamdi meningkah, lembut. Kelihatan sedikit kerutan pada dahi Hamdi yang tercetus daripada keserabutan fikirannya sekarang ini.

“Bukan begitu. Saya kasihan juga pada Kak Midah tu. Anak-anak abang juga tentu rindukan abang selalu. Kita perlu memikirkan kesan baik buruk perkara ini bang. Bagi saya, dalam hukum feqah, jika terdapat dua perkara yang bertembung, kita digalakkan memilih yang lebih mudah dan rasional..” Mikraj masih cuba memujuk Hamdi agar memikirkan kembali keinginannya itu. Benarlah niat itu suci, tetapi walaupun suci di sini namun jika di sana merana , tidaklah berbaloi jika niatnya ditunaikan.

“Baiklah Mikraj. Abang akan fikirkan semula. Tetapi secara realitinya, abang sebenarnya sudah banyak kali ajak kak Midah kau tu datang tinggal dengan abang. Macam-macam alasan yang diberi. Bahkan, dia kata dahulu dia telah dihalang daripada masuk ke kawasan Teluk Arab ini, atas sebab-sebab keselamatannya.” Hamdi menceritakan keadaan sebenar.

Mikraj agak terkejut mendengar penjelasan oleh Hamdi tadi.

“Bagaimana perkara tu boleh berlaku bang? Ini pertama kali saya dengar tentang  perkara ini. Saya tahu kak Midah pernah kerja di Arab Saudi setahun sebelum abang berkahwin dengannya, tetapi tidak pula saya tahu tentang hal ini.. Apa yang berlaku?” Mikraj tertarik hendak mengetahui keadaan sebenar, yang juga antara lain menjadi pendorong niat Hamdi.

“Kamu ingat tak 6 bulan sebelum kami bernikah, Hamidah pulang ke tanah air. Dia sebenarnya dihalau keluar dari Arab Saudi, bukan atas kesalahan yang dia lakukan, tetapi kecuaian daripada syarikat yang dia bekerja ketika itu. Kerana nyamuk, kelambu dibakar… Keldai yang buat salah, kuda yang kena halau..! Heboh juga kisah ini  di kalangan penduduk Malaysia di sana, lebih-lebih lagi di Kedutaan Malaysia di Arab Saudi.”

“Nasib baik diperintah keluar , jika ditahan dan tidak dibenarkan keluar dari sana mungkin masalah akan menjadi lebih rumit ye,” Mikraj melayan rentak perbualan.

“Ya. Alhamdulillah, syukur juga dia diarah keluar. Tetapi sebelum keluar itu pun memang banyak benar halangan dan rintangan yang dihadapinya. Sampaikan ahli politik di sana pun turut terlibat. Kamu faham lah kan, ‘asobiyah atau politik qabilah yang diamalkan di tanah Arab ni. Penjenayah besar pun boleh bebas kalau ada ahli Parlimen mereka yang dari satu qabilah yang sama dengan penjenayah tu.”

Hamdi menyambung, ” akhirnya nama kak Midah kau telah disenaraihitamkan daripada memasuki Arab Saudi, dan silap-silap kak Midah kau kata di Kuwait dan seluruh kawasan Teluk Arab ni pun dia tak boleh masuk. Syarikat Malaysia tu ada cawangan kat setiap negara Teluk Arab ni jugak. Di Kuwait ni pun ada. Kesian dia. Orang lain buat salah, dia yang kena.” kekesalan terukir di wajah Hamdi ketika ini, manakala matanya pula merenung mata Mikraj penuh pengharapan agar dia faham pokok pangkal kisah dan rasional keinginannya itu.

Mikraj faham perasaan Hamdi ketika ini. Maju tak kena, mundur pun tak kena. Dia terbayang jika dia yang menghadapi situasi ini, apakah yang akan dilakukannya. Lagipun abang Hamdi terikat dengan kontrak tanpa had dengan syarikat di Kuwait ini, bermakna selagi bosnya tidak menukarkan atau memberhentikannya , maka selamanya dia akan duduk di Kuwait ini berkhidmat untuk syarikatnya.

“Susah juga situasi ni ye bang. Dan susah juga kerja di Kuwait ni. Pelbagai dugaan mendatang. Saya doakan abang tabah dan sabar dalam mencari penyelesaian nanti. Insya allah, ada penyelesaian yang terbaik.” suara Mikraj mengendur.

“Jadi apa kata kamu Mikraj?” Hamdi masih belum mendapat jawapan daripada Mikraj, semenjak tadi, bahkan telah diheret untuk menceritakan perkara sebenar-benarnya yang mendorongnya untuk meneruskan niat memperisterikan anak gadis kelahiran Lubnan itu.

“Beginilah abang Hamdi. Abang Hamdi buat solat istikharah dahulu, dan harap bersabar seminggu ni , boleh tak bang? Biar saya kaji lebih terperinci perkara ini , dan jika perlu juga saya akan rujuk pada sheikh kami nanti malam ini. Moga-moga niat suci abang akan diberi ganjaran oleh Allah subhanahu wa ta’ala hendaknya.” Mikraj akhirnya memberi saranan sebagai penangguh bicara hari ini.
“Lagipun sekejap lagi saya ada 2 lagi kelas untuk diikuti.”

“Baiklah Mikraj. Kamu makanlah dulu ye. Abang pun nak balik ke pejabat ni. Mungkin bos pun tercari-cari mana bakal menantu dia ni..” Hamdi akhirnya senyum juga setelah semenjak tadi bermuram bak pungguk rindukan bulan.

“Ha? Bakal isteri abang tu anak bos abang? O… Patutlah abang pun serba salah ye? Makin rumit ni bang…” Mikraj berseloroh. “Muka pun tadi masam mencuka, sekarang macam pengemis dapat berlian!” Mikraj ketawa perlahan.

Hamdi ketawa sambil menutup mukanya. “Khair insya Allah. Mata biru Mikraj. Kulit putih melepak. Pandang tak jemu. Tutur kata lemah lembut. Bibirnya..” mata Hamdi berkaca tatkala menyebut tentang bakal isterinya itu.
“Dah dah.. saya tak mahu dengar dah bang. Karang saya pulak yang telan liur je dengar benda-benda ni. Semoga Allah tunjukkan kita jalan yang paling baik untuk semua…” Mikraj memotong percakapan Hamdi tadi. Nak tergelak pun ada melihat kesungguhan Hamdi bercerita tentang wanita itu.

“Ha ha. Baiklah Mikraj. Kamu memang faham naluri lelaki. Hehe.. Kamu bila pulak Mikraj?”

Terkedu sejenak Mikraj dibuatnya. Serta-merta teringat wajah Israk tersenyum manis di hadapannya. Dia menggeleng , memadam gambaran di ingatannya tadi. “Saya lambat lah lagi bang. Saya nak tumpukan perhatian pada pelajaran dahulu. Nanti dah selesai baru fikir..” Mikraj menjawab, selamba, menyembunyikan keinginannya pula.

“Ala.. Israk tu pun pasti tunggu kamulah Mikraj. Tengok kamu ni sama padan, ha. Tinggi sama lampai, muka sama cerah.. Memang padan punyalah” Hamdi pula yang berseloroh. Kemudian dia ketawa panjang.

Merah muka Mikraj apabila nama Israk disebut tadi. Semacam dapat dibaca dek abang Hamdi seketika tadi.
“Apa-apa je la bang Di. Hm.. Kata nak ke pejabat, karang sesak di jalan raya baru tahu,” Mikraj mencebik, sengaja bagi memadam senyuman yang sepatutnya diukir di wajah.

“Ye la , ye la. Abang nak gi lah ni. Okay Mikraj. Nanti apa-apa hal bagitau abang tau?” sambil menghulurkan tangan, meminta diri, sambil tersenyum simpul pada anak muda itu.

“Insya allah bang. Baik-baik jalan tu. Karang seronok sangat sampai tak nampak tiang!” Mikraj membalas senyuman.

“He he. Ada ada je kamu ni Mikraj. Baik. Assalamualaikum…”

“Waalaikumussalam warahmatullah…”

Hamdi keluar dari kafeteria Kuliyyah Tarbiyah yang terletak di tengah kawasan kampus Kaifan itu, lalu menuju ke pintu pagar terdekat untuk pergi ke kawasan letak keretanya di luar sana.

Mikraj hanya memerhatikan Hamdi dari arah belakang, sambil mulutnya mengunyah roti shawarma yang hampir sejuk itu. Hanya tinggal sedikit sahaja lagi untuk dihabiskannya.

Jam di tangan dilihatnya. Sudah pukul 1.55pm ! Kelam kabut dibuatnya tatkala mengetahui yang dia akan terlewat jika masih leka di kafeteria yang baru dinaiktaraf itu. Kelas yang akan dihadiri pun akan diadakan di bangunan Kuliyyah Adab di belakang sana. Kalau lewat karang, tak semena-mena senarai putih kehadirannya dicemari dengan pangkah dek pensyarah nanti.

Setelah air jus nenas dalam kotak itu dihabiskan, dia terus pergi ke sinki di hujung kafeteria itu untuk membersihkan tangan, lalu terus ke meja mencapai beg sandangnya dan terus memacu laju kakinya, menuju ke kelas tersebut.

Kasihan juga abang Hamdi tu. Kak Midah pun kasihan juga, lagi-lagi kalau tahu suaminya kahwin lain. Pening aku. YA ALLAH, kau tunjukkan jalan penyelesaian bagi masalah ini. HambaMu ini amat lemah… Ya Allah…

Mikraj berkata dalam hati. Dia takut untuk melakukan sesuatu yang tak sama adil untuk dua pihak. Seolah-olah neraca yang sedang dipegangnya tidak sama imbang.

“Assalamualaikum…” Mikraj menguak pintu kelas itu setelah sampai di situ.
“Waalaikumussalam warahmatullah.. ahlan Mikraj… awal hari ni ye?” Dr. Husin Abbas memerlinya sambil tersenyum sinis. Semua yang ada dalam kelas turut ketawa perlahan, melihat gurauan pensyarah itu. Sudah pukul 2.03pm !

Tergamam Mikraj dibuatnya. Habislah rekod bersih aku!

—————————————————-

“Tak apa Mikraj. Saya maafkan kamu kali ini. Tak pernah lagi kamu lewat semenjak kita mula kelas minggu lepas kan.” Dr Husin mengkhabarkan berita gembira buat Mikraj.

“Terima kasih doktor. Insya allah saya tidak akan lewat lagi walau seminit pun. Saya akan cuba makan tengah hari awal juga nanti” Mikraj membalas dan berterima kasih pada pensyarahnya yang berasal dari Mesir itu. Baik orangnya malah amat disenangi apabila diajak berbual atau ditujukan soalan kepadanya.

“Baiklah. Kalau ada apa-apa silalah ke pejabat saya nanti. Tengoklah senarai waktu pejabat saya yang ditampal di pintu bilik itu. Saya minta diri dulu. Assalamualaikum… ” Dr Husin meminta diri.

“Waalaikumussalam warahmatullah… terima kasih doktor..” Mikraj mengangguk tanda hormat.

————————————————————

Malam itu…
“Sheikh… saya ada satu soalan…” Mikraj memulakan bicara setelah semua sahabatnya yang mengikuti kelas pengajian Feqah itu telah beredar….

Dikirim dalam Karya | Tagged: | Leave a Comment »

Cerpen : Malam Israk dan Mikraj

DIkirim oleh qafmimra di September 9, 2008

You have 1 unread e-mail..”

Mikraj membuka peti e-melnya sebaik mendapat mesej tadi.

Apa agaknya e-mel tengah-tengah malam ni? Getus hati kecilnya. Pelik kerana jarang benar rakan-rakan e-melnya menghantar sesuatu pada tengah-tengah malam begini.

——-

12.02 am

27/07/2008

From : ikhwahsejati@yahoo.com

To : mikraj_hakim@myemail.com

Subject : Majlis sambutan Israk dan Mikraj 1429H

Assalamualaikum warahmatullah.

Akhi Mikraj. Apa khabar? Maaf ana tak sempat nak hantar e-mail ni siang tadi.

Berkenaan dengan tajuk e-mel ni, ana sukacitanya nak menjemput anta jadi penceramah utk majlis tersebut, memandangkan anta pun dah banyak pengalaman dlm bidang ceramah-menceramah ni.

Program tu dijangka akan dibuat pada 30 Julai ni, kat dewan serbaguna rumah duta kita, tempat biasa kita buat pogram utk org2 malaysia di sini..

Harap positif. -)

Wassalam..

Akhuka,

Salim.

——-

Aduh.. selalu aku juga yg kena bagi ceramah, macam tak ada orang lain lagi.

Eh. Memang tak ramai dah pun sekarang, maklumlah, summer course yg panas macam ni siapa lah yang tahan, tetapi inilah tahun paling ramai pelajar-pelajar melayu daftar utk semester ini!

Takpelah. Buat yg terbaik, ikhlaskan hati, cari bahan utk ceramah, masa pun dah suntuk, tinggal 3 hari lagi utk mencari bahan.

Ikhlaskan hati? Hm.. Pernahkah aku ikhlas dalam sesuatu perkara itu?

Berserahlah pada Allah.. Sesungguhnya Dia Maha Mengetahui segala isi hati setiap insan

———–

Mikraj menguap beberapa kali , lalu melihat jam di skrin LCD laptopnya. Pukul 12.30am . Mengantuk agaknya.

Tanpa berfikir panjang, dia bangun dari kerusi berodanya itu lalu terus merebahkan diri di atas katil empuk nan enak itu. Ditambah pula dengan selimut tebal dan pendingin hawa yg senantiasa dihidupkan 24 jam tanpa henti, tanpa rungutan dan keluhan didengari!

Tatkala dia berbaring, menghadap ke siling biliknya, terngiang-ngiang suara ayahnya sewaktu menerangkan padanya tentang Israk dan Mikraj semasa dia masih kecil, bersekolah rendah.

Ayah. Along tengok ramai kawan-kawan along di sekolah tu, semuanya ada israk mikraj, Afif ada, Firdaus ada, Intan ada. Semua diorang tanya pada along, tak mau israk mikraj ke? Ayah belikan along israk mikraj satu boleh?” Mikraj merayu pada ayahnya, sambil mimicit-micit lengan ayahnya, bodek!

Ayahnya ketawa dan mengangguk-anggukkan kepalanya. Ternyata anaknya belum memahami apa itu Israk dan Mikraj.

Mikraj, kawan-kawan along tu bukan ada Israk Mikraj, diorang sambut malam Israk Mikraj. Israk dan mikraj bukan sesuatu yg kita boleh beli, malah kalau dibayar berjuta ringgit sekalipun, kita tak akan mampu mendapat peluang utk Israk dan Mikraj pula.” Ayahnya menerangkan, sebagai mukadimah. Mikraj mengerutkan dahi sambil mendengar dengan khusyu’ penerangan oleh ayahnya tadi.

Israk dan mikraj adalah satu perisitiwa di mana Nabi junjungan kita, Nabi Muhammad sallAllahu ‘alaihi wasallam dijemput oleh Jibril alaihis salam utk naik ke langit. Nabi s.a.w bertolak dari Masjidil Haram di Mekah, menaiki sejenis haiwan tunggangan yg diberi nama Buraq, lalu dibawa sehingga ke Masjidil Aqsa di Palestin, nun jauh di sana. Kemudian dibawa naik ke langit yg tujuh itu.”

Oo.. bukanlah barang mainan atau makanan ye ayah? Tapi apa makna Israk dan Mikraj tu? Nama along pun Mikraj kan.

Israk bermaksud berjalan malam. Mikraj bermaksud tangga, atau naik ke langit. Jadi perjalanan Nabi s.a.w ke Masjidil Aqsa diberi nama Israk kerana berlaku pada waktu malam, manakala perjalanan Nabi s.a.w naik ke langit pula diberi nama Mikraj. Jadi nama along pun samalah maknanya dengan Mikraj yg ayah sebut tadi.” Ayahnya menghuraikan serba sedikit tentang peristiwa agung itu

Mikraj tersenyum sendirian mengenang peristiwa petang itu bersama ayahnya. Ayahnya memang seorang yg berpengetahuan tinggi dalam bidang agama, walaupun berkerjaya sebagai arkitek di syarikat besar di Malaysia itu.

Hmm… jika ingin berceramah tentang sesuatu, kita perlulah menerangkan definasinya dahulu. Jadi aku akan menerangkan dahulu apa itu Israk dan Mikraj nanti semasa mukadimah ceramahku malam itu..

———–

Sedang Mikraj tidur di atas katilnya, tiba-tiba tingkap biliknya terbuka dengan sendiri. Mikraj tergamam seketika tatkala melihat suatu lembaga putih sedang terapung-apung di luar biliknya itu. Namun rupanya tidak menakutkan, malah tatkala melihatnya, Mikraj berfikir, malaikatkah ini?

Kelihatan seekor binatang yg hampir sama dgn keldai dan baghal di sebelah lembaga putih itu. Buraqkah itu? getus hati Mikraj.

Lalu lembaga itu berkata: “Wahai Mikraj, marilah turutiku ke Palestin. Ini tungganganmu malam ini. Kelengkapan berperang di sana nanti akan diberi padamu sebaik kamu sampai. Marilah wahai pemuda. Berjuanglah di jalan Allah…”

Siapa kamu? Bagaimana kamu mengenaliku, sedangkan kita tak pernah bersua walau sekali. Dan adakah itu Buraq di sebelahmua? Apakah ada peperangan di Palestin sekarang? Jihad?

Ya wahai pemuda. Inilah Buraq. Tidakkah kamu mahu tegakkan agama Allah di muka bumi ini? Ayuh kita pergi berjuang di Palestin. Saudara-saudara seagamamu sedang berperang dengan askar-askar Yahudi di sana. Tidakkah kamu tahu bahawa peperangan ini telah berlanjutan sejak 60 tahun yg lalu? Tunaikan kewajipanmu Mikraj. Selama ini kamu hanya bercakap dan melaungkan Jihad untuk keamanan di Palestin, kini peluang terbuka buatmu utk melaksanakan kata-katamu itu. Ayuh anak muda!” lembaga itu berkata lagi.

Terkedu dengan sindirannya, Mikraj tanpa berfikir panjang terus mendekati tingkap lalu melompat ke atas Buraq yg tersedia di awangan.

Tatkala tangannya baru hendak menyentuh leher buraq itu, tiba-tiba buraq itu mengerang seperti sedang kesakitan, lalu berpusing-pusing dan songsang ke bawah. Mikraj yg terkejut itu telah tergelincir dari belakang buraq lalu menjunam ke bawah, melepasi 5 tingkat bangunan asramanya itu!

Aah… tolong aku…. aku tak mahu mati…!!!!” laung Mikraj sekuat hati.. Lembaga putih itu hanya diam dan tidak mengendahkannya..

Tidaaak…”

Tidak..!!!” Mikraj terjaga daripada tidurnya. Astaghfirullah. Mimpi rupanya. Ini pertama kali dia bermimpi sebegitu aneh.

Mikraj melihat jam tangan yg diletakkan disisinya, pukul 3.10 pagi. Subuh sudah masuk ni. Lalu dia bergegas ke sinki biliknya utk membasuh muka dan berwudhuk.

————-

Pagi itu dia masih membisu. Hanya mendengar syarahan yg diberi. Sesekali matanya berkalih pada jam di tangan. Pukul 9.14am, lagi seminit kuliah yg ini akan habis. Kemudian dia akan ke perpustakaan Kuliyyah Syari’ah di sebelah bangunan kuliah itu sendiri.

Peristiwa yg aneh dalam mimpinya malam tadi memang memeranjatkan. Malah baginya seolah-olah mimpi itu ingin menegur dan memberinya pengajaran. Sampai kini dia masih terasa seakan lembaga putih itu sedang memerhatikannya, perasaan cuma.

Setakat ini dahulu kelas kita pada pagi ini. Insya allah kita akan sambung lagi Rabu ini. Wallahua ‘lam. Assalamualaikum warahmatullah…” pensyarahnya yg berasal dari Kuwait itu menutup syarahan.

Waalaikumussalam warahmatullahi wabarokatuh,” serentak pelajar-pelajar di kelas itu menjawab, seperti dirancang!

Mikraj terus menuju ke arah perpustakaan di sebelah bangunan itu. Sebaik dia masuk, terus dia ke rak kecil berisi indeks buku-buku yg ada di perpustakaan ini. Dicarinya nama-nama buku yg menyentuh tentang sirah Nabi s.a.w .

Matanya terhenti pada nama satu buku bertajuk “Fiqh Sirah” oleh Dr. Muhammad Sa’id Ramadan Al-Buti itu.

Selepas menghafal nombor indeks buku tersebut, dia terus mencarinya di rak-rak buku setinggi 2 meter itu, di bahagian buku-buku sirah nabawiyah.

Tatkala dia ingin masuk, dia terserempak dengan Israk, anak gadis Duta Besar Malaysia di Kuwait itu. Serta-merta Mikraj mengelak utk masuk di lorong buku-buku itu, memang di situlah buku yg dicarinya sebenarnya!

Israk terpegun sejenak tatkala matanya terhenti pada anak mata Mikraj. Mata bertaut, nanti hati pula bertaut… Segera Israk melarikan anak matanya ke arah buku-buku di situ.

Mikraj pula terus tunduk dan tidak jadi masuk ke lorong itu apabila mengetahui ada perempuan di situ, memang itu tradisi pelajar-pelajar di Kuliyyah Syari’ah Kuwait University ini. Memang itu juga yang selari dengan kehendak syarak yg mana tidak menggalakkan lelaki berada dekat dengan perempuan di suatu tempat yg tertutup. Tempat yg terbuka pun sama!

Israk yg menyedari bahawa Mikraj ingin masuk, segera melangkah keluar dari lorong antara rak-rak buku itu. Tatkala sebelum melepasi Mikraj, sempat dia bertanya : “Cari buku sirah kah abang Mikraj?”

Mikraj yg terkedu ditanya itu mengangguk sementara matanya ke arah rak yg di sebelah, lalu menjawab : “Ya.. Untuk cari bahan buat ceramah Israk dan Mikraj di kedutaan nanti..” bersahaja dia menjawab, walaupun ternyata degupan jantungnya semakin laju!

Oo.. ok bang Mikraj. Saya minta diri dulu.. Assalamualaikum…” lembut dia memberi salam. Lalu terus berlalu ke rak-rak yg lain. “Waalaikumussalam warahmatullah…” Mikraj menjawab.

Huh.. Astaghfirullah..

Selamat aku tak cakap panjang dengan anak gadis duta itu. Kalau tak, mau rebah aku!

Mikraj menarik nafas lega kerana semenjak tadi dia berdebar-debar tatkala ditegur Lailatul Israk, pelajar Kuliyyah Syari’ah tahun satu itu. Dialah satu-satunya anak rakyat Malaysia yg menetap di Kuwait, yang menyambung pengajian dalam bidang agama, di Kuwait University ini.

———–

Mikraj menyelak sehelai demi sehelai buku Fiqh Sirah yg dipinjamnya tadi. Amat berinformasi dan jitu dalam hujah-hujah yg diberikan untuk meningkah serangan-serangan orientalis terhadap Nabi s.a.w dan agama Islam sendiri. Buku itu antara buku huraian pemahaman sirah nabawiyah yg terbaik sepanjang pengetahuannya. Dia sengaja meminjam buku itu berbanding buku sirah yg lain. Buku-buku lain lebih banyak bercerita tentang peristiwa yg berlaku di zaman Nabi s.a.w tetapi tidak banyak mengupas hikmah dan hukum hakam yg terdapat dalam satu-satu peristiwa itu, dan dia telah banyak menelaah buku-buku sebegitu sebelum ini. Tekun Mikraj membaca buku itu di mejanya setelah pulang dari surau tadi utk solat Maghrib.

Pukul 6.45pm , kafeteria telah dibuka sejak 6 petang tadi, tetapi memandangkan maghrib juga agak lewat hampir sama dengan waktu bukanya kafe itu, maka kebanyakan pelajar bersolat maghrib dahulu kemudian barulah menuju ke kafeteria tingkat atas itu. Surau pula berada di bawah kafe tersebut.

Mikraj meletakkan penanda buku pada muka surat yg dia baca lalu menutup buku itu. Kemudian terus mengambil kupon makan dan keluar lalu turun ke bawah menuju ke kafeteria utk makan malam.

Beri saya susu dua kotak, satu kotak jus oren,” Gustavo memberi kupon makanan kepada lelaki yg menjaga bahagian air minuman di kafeteria itu. Lelaki itu mengangguk lalu terus memberinya seperti apa yg diminta. Di kafeteria ini, kupon makanan boleh ditukar dengan air kotak juga jika tidak mahu makan.

Wah. Anta ambil susu ye Gustavo. Baguslah, itu adalah fitrah manusia, sejak kecil kita minum susu.. ” Mikraj mengusik kawan rapatnya yg berasal dari Rusia itu.

Gustavo tersenyum lalu membalas : “Hehe. Susu kan bagus utk kesihatan, Mikraj. Ana tunggu anta di meja di sebelah sana ye,” dia menunjukkan ke arah sebuah meja di tengah-tengah kafe itu. Mikraj mengangguk.

Hm.. Gustavo. Aku memang rapat dengannya. Dia ini walaupun bukan Islam, namun pengetahuannya tentang agama Islam agak baik. Mungkin dia ini orientalis rasanya.

Nabi orang Islam suka minum susu kan Mikraj?” Gustavo bertanya.

Ya. Kan baik untuk kesihatan, dan baginda Nabi s.a.w memang menjaga kesihatannya. Selain bijak mengurus negara, Nabi s.a.w juga bijak dalam hal-hal lain seperti kesihatan dan berniaga,” jawab Mikraj.

Hmm.. seperti yg ana baca, memang Nabi Muhammad adalah insan yg serba-serbi bijak, dan dia juga adalah seorang yg strategis dan berkepimpinan hebat. Kami di Rusia amat mengagumi kehebatannya,” kata Gustavo.

Tahukah anta, suatu hari, ketika Nabi s.a.w Israk dan Mikraj, sebelum naik ke langit, malaikat Jibril memberi baginda s.a.w pilihan dua gelas berisi air : satu gelas berisi arak, dan satu lagi berisi susu. Nabi s.a.w memilih susu lalu meminumnya. Jibril memuji baginda kerana memilih susu, melambangkan bahawa itulah fitrah manusia, agama Islam adalah fitrah manusia sebenarnya, adapun jika baginda s.a.w memilih arak, nescaya runtuhlah umat ini kelak.” Panjang lebar Mikraj menerangkan pada Gustavo.

Gustavo mengangguk lalu berkata , ” yang kami tahu ialah Muhammad adalah manusia hebat, namun tidak pula ana mendengar tentang Israk atau apa yg berkaitan tentang itu.” Satu pegangan oleh sesetengah orientalis, getus hati Mikraj.

Pada hakikatnya, puak-puak orientalis sebenarnya ada agenda tersendiri apabila bercerita tentang kehebatan Nabi Muhammad s.a.w sebagai pemimpin, pejuang, guru dan suami. Mereka tidak pula selalu menyentuh tentang kenabian dan kerasulan Baginda s.a.w yg mana itu adalah pangkal segala kehebatan dan keagungan Baginda yg berasaskan wahyu dari Allah subhanahu wa Ta’ala. Ini kerana mereka mahu manusia melupakan tentang perihal kenabian, kerasulan mahupun mukjizat-mukjizat yg diceritakan dalam hadis-hadis sohih, berdasarkan fahaman mereka yg tidak mahu beriman kepada kenabian dan kerasulan Baginda s.a.w . Jika tidak , tentu sudah ramai yg masuk Islam.

Mikraj senyum dan mencapai sudu lalu menyuap nasi ke mulutnya. Sedap juga nasi goreng yg dimasak tukang masak berasal dari Filipina itu.

Gustavo. Anta mungkin perlu juga baca sejarah kerasulan Nabi Muhammad s.a.w utk mengetahui mengapa agama Islam boleh berkembang dan terus ada di hati orang-orang Islam. Bukan hanya memandang baginda dari sudut akal dan kaca mata Barat semata-mata. Nanti ana akan beri pada anta satu buku sirah nabawiyah oleh Ibnu Hisham, yg mana banyak disebutkan tentang peristiwa-peristiwa yg berlaku ke atas Nabi s.a.w yg menunjukkan bahawa baginda bukan sekadar manusia biasa yg punyai kebijaksanaan dalam pelbagai bidang, malah membuktikan kenabian dan kerasulan baginda sendiri. Israk dan Mikraj yg ana sebutkan tadi juga adalah satu mukjizat besar yg tiada didapati oleh nabi-nabi sebelumnya.” panjang lebar juga Mikraj bercerita, dengan harapan memberi keterbukaan minda buat Gustavo dan menambah keinginannya utk mendalami ilmu agama Islam, moga-moga diberi hidayah oleh Allah..

Gustavo mengangguk lalu berkata : “Insya allah.. nanti ana datang ke bilik anta bila ana free ye..” dia tersenyum lalu menyuap lagi makanan ke mulutnya.

Memang kebanyakan pelajar bukan Islam yg belajar di Pusat Bahasa di universiti ini telah sering kali menggunakan perkataan : Insya allah bagi menandakan yg mereka akan buat jika mampu, seperti yg dipelajari mereka di kelas-kelas bahasa Arab di sana. Mungkin agak mengejutkan jika orang bukan Islam melafazkan kalimah itu jika di Malaysia, namun di Kuwait sudah menjadi percakapan biasa bagi penduduk di sini, yg Islam atau tidak.

———————

Bid’ah tu. Itu semua bid’ah lah. Nabi s.a.w mana ada menyambut Israk dan Mikraj. Sahabat-sahabat baginda s.a.w pun tak buat semua itu. Tak perlu lah kita sambut pula Mikraj,” Ibrahim menegah apabila mendengar bahawa kawannya itu akan mengadakan sambutan Israk dan Mikraj nanti di kedutaan.

Ya rabbi.. apa yg anta faham tentang bid’ah tu Ibrahim. Sepatutnya anta jaga adab anta apabila berkata tentang perkara ini. Lebih-lebih lagi tentang Maulid dan Israk Mikraj ini. Memang betul Nabi s.a.w tidak menyambut, kerana baginda yg melalui peristiwa itu, sahabat-sahabat pula tidak menyambut kerana pada ketika itu mereka sudah dapat menyelami peristiwa itu daripada Nabi s.a.w sendiri,” jelas Mikraj.

Ye lah. Apabila baginda s.a.w tak buat, dan kita buat, itu tandanya kita mengada-adakan sesuatu yg bukan daripada sunnahnya, dan secara langsungnya kita buat perkara bid’ah. Dan setiap perkara yg bid’ah itu adalah sesat, dan setiap kesesatan itu membawa ke neraka! Tak perlulah anta susah payah Mikraj!.”

Begini Ibrahim. Apa yg kami buat di kedutaan nanti bukan ada melanggar sunnah, malah memberi nasihat dlm agama adalah wajib, dan berpesan-pesan dengan kebenaran juga adalah wajib. Anta tahu semua itu kan. Janganlah terlampau berfikiran sempit. Salahkah kami namakan majlis nasihat dan ceramah sempena Israk dan Mikraj itu dengan nama Israk dan Mikraj sendiri? Jika anta tak mahu ikut, terpulanglah. Kalau buat majlis utk sambut kelahiran orang-orang kenamaan negara anta tidak pula anta menegah? Anta kata bukan berkaitan dengan agama? Berfikirlah secara terbuka sedikit Ibrahim. Baik. Jika apa yg kami akan buat itu berdosa, sekarang jugak ana nak anta beritahu dan terangkan pada ana.” Mikraj menjawab panjang lebar.

Ibrahim hanya membisu. Kesal pun ada kerana menegah perkara yg tak sepatutnya ditegah dengan cara yg tadi.

Ternyata hujah Mikraj ada betulnya.

Baiklah Mikraj. Anta buatlah seperti apa yg anta inginkan. Cuma ana tak akan pergi ke majlis yg anta jemput itu, bukan sebab benda ni tau. Ana ada exam esok tu, jadi tak dapat nak sertai. Harap anta maafkan ana ye.” pemuda berasal dari Nigeria itu meminta maaf.

Tak ada masalah. Insya allah kita semua akan menegakkan Islam sedaya yg boleh, dan melaksanakan Amar Makruf dan Nahi Munkar di mana jua dengan apa cara yg dibolehkan. Ana faham pandangan anta tadi. Baiklah, ana pun ada kelas pukul 2 petang karang. Nak makan sekejap di kafe kuliyah sebelah sana. Nak ikut serta?.”

Tak apa Mikraj. Ana baru sahaja makan tadi. Baik. Ana minta diri dulu ke perpustakaan. Kelas ni pun dah kosong. Lama jugak kita bincang selepas pensyarah keluar tadi ye. Hehe.. Assalamualaikum.. ” Ibrahim bangun dan meninggalkan kelas.

Waalaikumussalam warahmatullah…” sambil tersenyum Mikraj menjawab.

Hm.. Ini juga boleh aku jadikan bahan utk ceramah nanti. Perbincangan malam tadi pun boleh dibuat bahan ceramah..

———–

Mimpi yg melandanya tempoh hari juga banyak memberinya pengajaran. Dia terbayang bagaimanakah perasaan dan keadaannya jika berada di bumi Palestin yg kian hari kian berdarah ditikam dan dilontar dengan bom-bom berlabelkan zionis itu. Mungkin dia juga tidak mampu bertahan.

Hanya bercakap sahaja tidak dapat membuktikan seseorang itu mampu melakukannya. Cakap biar serupa bikin. Kalau tak boleh bikin jangan cakap! Kata-kata itu terngiang di telinganya tatkala mendengar adik seperjuangannya bercerita di biliknya tempoh hari.

—————-

Peristiwa Israk dan Mikraj juga sepatutnya dihayati sepenuhnya semenjak sebelum peristiwa itu, semasa dan selepasnya. Kesabaran Nabi s.a.w menempuh pelbagai dugaan, antaranya juga kematian bapa saudaranya Abu Talib, isterinya Khadijah, tohmahan dan ancaman kaumnya sendiri. Solat lima waktu juga telah difardhukan semasa baginda melalui peristiwa agung itu…”

Selain itu, peristiwa Israk pula menunjukkan bahawa Masjid al-Aqsa bukan sebarang masjid, kerana di situlah tempat para anbiya’ sebelum baginda s.a.w solat menurut sejarah, dan masjid tersebut terletak di bumi Palestin pula, menambahkan lagi makna bahawa Palestin adalah bumi orang Islam, yg patut dipertahankan….”

Peristiwa Mikraj pula telah menunjukkan ketinggian martabat baginda s.a.w yg mana Nabi s.a.w dijemput dengan kenderaan khas, oleh ketua segala malaikat, Jibril, dan diberi layanan istimewa sepanjang perjalanan naik ke langit.”

Dan yang amat penting juga, Israk dan Mikraj itu sendiri adalah antara mukjizat terbesar Nabi Muhammad s.a.w . ” “Kita tidak boleh lupa perkara tersebut, kerana beriman pada mukjizat adalah termasuk dalam perihal beriman kepada kerasulan Baginda s.a.w . Saya mengingatkan diri saya dan hadirin sekalian bahawa puak-puak orientalis sedang berusaha utk menjauhkan pemikiran manusia utk berfikir tentang kenabian dan kerasulan Nabi kita s.a.w , dengan mengetengahkan tentang kehebatan Baginda s.a.w , sebagai pemimpin, suami, pejuang dan manusia biasa, yg jika dilihat dari sudut tersebut, secara halusnya mereka melupakan tentang perihal kenabian dan kerasulan itu sendiri.”

Seusai ceramah, Salim selaku pengerusi majlis membuka peluang bagi para hadirin utk pertanyaan. Beberapa soalan diajukan, dijawab semampunya oleh Mikraj.

Setelah segalanya selesai, Salim tanpa berlengah, terus menutup program Malam Israk dan Mikraj itu dengan tasbih kaffarah dan surah al-Asr.

Duta Besar menepuk-nepuk bahu Mikraj dan memujinya atas ceramah yang amat berkesan tadi.

Israk hanya sesekali memandang wajah Mikraj, dia amat menghormati pemuda itu, dan seakan ada menyimpan perasaan terhadapnya.

Dato’ Raziq tiba-tiba berseloroh dengan suara yg agak kuat di meja makan: “Hmm.. Malam ini malam Israk dan jugak Mikraj rupanya. Hehe…” seraya memandang wajah anak gadisnya Israk.

Para hadirin riuh rendah ketawa dan semua mata memandang ke arah Mikraj dan Israk.

Merah padam muka Israk ketika itu.

Mikraj hanya tunduk dan tersenyum simpul dengan gurauan yg mengejutkan itu.

Oh ye. Mikraj. Kamu bila akan israk dan mikraj ke Malaysia?” tanya En. Zakaria, Timbalan Duta 1, bergurau, dengan fakta betul.

Eh. Bagaimana pula tu En. Zakaria?” tanya Mikraj tercengang.

La. Israk tu berjalan malam, dan mikraj tu naik ke langit. Kamu yang terangkan tadi. Ok. Pakcik tukar cara soalan. Bila kamu terbang ke Malaysia?” terang En. Zakaria.

Oo.. insya allah 6 Ogos, Rabu malam Khamis ni..” tersenyum lebar dengan gurauan tadi. Terkena!

Hadirin yg ada di meja yg sama turut ketawa.

Oleh : Qafmimra , 17 Julai 2008 – Melaka

Dikirim dalam Karya | Tagged: | Leave a Comment »