Laman Blog Qafmimra

Blog Qafmimra… be yourself…

Arkib bagi Kategori ‘Inspirasiku’

Dakwah boleh di mana-mana?

DIkirim oleh qafmimra di Disember 14, 2009

Suatu petang, dalam perjalanan pulang ke hostel di Shuwaikh, menaiki bas Nissan Civilian itu, kawan-kawan yang duduk di sebelahku ber’diskusi’ tentang sesuatu. Seperti satu topik yang menarik.

Aku yang duduk di sebelah mereka hanya mendengar dengan tekun hujah-hujah mereka.

Perhatianku lebih tertarik tatkala kawanku , Musa Sana, dari Burkina Faso tiba-tiba bersuara dengan tegas : Aku masih mengatakan bahawa dakwah itu boleh disampaikan di mana-mana.

Kami duduk di bahagian belakang , dan ketika itu tempat duduk di dua baris terbelakang tersebut penuh.

Musa dihujani dengan pelbagai persoalan oleh para pelajar bersebelahannya, yang mana majoritinya ku lihat adalah negatif terhadap kata-kata yang diucapkannya sebentar tadi.

Ada yang kata : Dakwah ada tempatnya…

Ada yang kata : Dakwah tak boleh di semua tempat..

Lebih daripada itu, seorang lagi pelajar menyampuk : takkan di tandas pun kau nak berdakwah?

Musa masih bertegas dengan pendapatnya itu. Seingat aku, dia adalah pelajar major Akidah dan Dakwah, satu pengkhususan yang jarang diambil oleh para pelajar di Kuliyyah Syari’ah.

Ku fikir, mereka tidak mahu menganalisa dahulu kata-kata Musa itu, kerana masing-masing keletihan agaknya.. Petang-petang begini memang selesa untuk tidur, bagi sebahagian besar pelajar di sini. Mujurlah aku tidak tergolong dalam kelompok itu. Kalau tertidur tu, maknanya aku tidur tanpa niat. :-)

Aku yang sejak tadi hanya berdiam diri dan mendengar sahaja diskusi mereka itu, akhirnya bersuara , berfaktorkan aku ingin berkongsi pendapat dengan mereka, walaupun aku ini bukanlah pandai memberikan pendapat :

Aku setuju dengan pendapat Musa. Dakwah boleh disampaikan di mana-mana, tak kira tempat.

Semua yang di situ berpaling kepadaku, memicing telinga dan memberikan wajah-wajah hairan. Apa yang ingin disampaikan oleh budak ni?

Aku senyum, lalu memandang Musa dan berkata : Dakwah sebenarnya mempunyai skop yang luas. Sehinggakan di dalam tandas sekalipun, kita boleh berdakwah…

Kataku lagi : Jika kamu kata bahawa kita tak boleh baca atau letak apa-apa tulisan ayat al-Quran dan hadith di dalam tandas, aku setuju, tetapi kita boleh letak benda lain kan?

Berdakwah ke arah kebaikan, bukankah itu salah satu cabang dakwah? Lihat contoh tadi, kita boleh letak selain ayat al-Quran, seperti : Kebersihan itu adalah sifat seorang mu’min… dan sebagainya..

Aku ingin berhujah dengan lebih panjang, tetapi nampaknya sampai di situ sahaja diskusi kami… Bas telahpun sampai di hostel, dan itu bermakna para pelajar akan turun dari bas, lalu ke bilik masing-masing…

Apa pun, aku harap mereka faham apa yang ingin ku sampaikan… Moga mereka dapat meluaskan skop pemikiran, lebih-lebih lagi dalam bidang dakwah ini.. Aku bukanlah pandai mana dalam berdakwah, namun bak kata seorang guru : Berikanlah apa yang kamu mampu , tetapi jangan memandai-mandai pula…

————————–

Inspirasi :

Dakwah bermaksud menyeru dan memanggil.

Dakwah juga boleh didefinasikan sebagai jemputan, seperti jemputan ke kenduri kahwin, orang Arab sebut : Da’wah ilal afraah…. atau Da’wah ila walimatil ‘urs..

Selain itu, dakwah juga boleh membawa maksud : doa..  Seperti dalam doa yang berasal daripada suatu hadith :

و من دعوة لا يستجاب لها

bermaksud : ………. dan daripada doa yang tidak dimakbulkan..

Dan yang jelas, makna pertama yang ku sebut tadi adalah yang dimaksudkan di sini..

Apabila kita sebut tentang berdakwah, maka kita akan terbayang bahawa itu bermakna seruan ke jalan Allah..

Jadi destinasi terakhir bagi perjalanan dakwah ialah ke arah redha Allah, menyusuri landasan syari’ahNya , berdasarkan panduan yang diberikan oleh Rasul-Nya sallallahu ‘alaihi wasallam, dibimbing oleh para ulama’ yang sentiasa teguh dalam menegakkan Islam..

قُلْ هَٰذِهِ سَبِيلِي أَدْعُو إِلَى اللَّهِ ۚ عَلَىٰ بَصِيرَةٍ أَنَا وَمَنِ اتَّبَعَنِي ۖ وَسُبْحَانَ اللَّهِ وَمَا أَنَا مِنَ الْمُشْرِكِينَ

Maksudnya : Katakanlah: “Inilah jalan (agama)ku, aku dan orang-orang yang mengikutiku mengajak (kamu) kepada Allah dengan hujjah yang nyata, Maha Suci Allah, dan aku tiada termasuk orang-orang yang musyrik”. (108)

Surah Yusuf ayat 108

Sudah semestinya berdakwah ke arah mentauhidkan Allah dan membenarkan Rasulullah s.a.w itu adalah skop paling utama dalam berdakwah. Tetapi tidak pula kita lupa bahawa menyeru ke arah kebaikan dan menegah daripada segala kemungkaran juga adalah sebahagian daripada subjek dalam berdakwah. Tidakkah al-Amr bil ma’ruf dan an-Nahyu ‘anil munkar itu semuanya tidak lain hanya untuk membawa manusia ke jalan Allah?

Jika demikian, setiap orang Mu’min boleh melaksanakan dakwah mengikut kemampuannya, serta mengikut kreativitinya sendiri. Yang penting, tujuannya satu, walaupun pelbagai cara dan bidang.

Selain itu, dakwah , sepertimana yang ku sebut sebelum ini, boleh disampaikan di mana-mana. Bukan hanya di masjid atau surau sahaja.

Sebagai mengulangi contoh tadi, katakan di tandas, apakah yang boleh kita lakukan untuk berdakwah?

Sudah tentu membaca al-Quran bukan sesuatu yang sesuai di situ. Jadi kita gantikan dengan menampal sticker kecil di pintu tandas, atau di sinki, dengan kata-kata seperti : Kebersihan itu sifat orang beriman, atau membazir air itu sifat yang dikeji, atau syukurilah atas segala nikmat yang kita dapat, dan sebagainya.

Anda mesti pernah mendengar suatu kisah yang rasanya amat masyhur – walaupun tidak diketahui kesahihannya – , di mana suatu ketika dahulu, di sebuah negara, kemungkinan Eropah, seorang guru di sebuah pusat pengajian , selalu memperlekehkan seorang pelajar Muslim yang ada dalam kelasnya, kerana pelajar itu seorang Muslim. Pada suatu hari, guru tersebut masuk ke tandas, lalu mendapati pelajar itu sedang membasuh kaki di sinki, yang bagi guru itu, itu satu perbuatan yang akan mencemarkan tempat basuhan muka di tandas itu.

Guru itu bertanya : Apa yang kamu buat ini? Kenapa kamu basuh kaki kamu? Kan ini akan mengotorkan sinki tersebut?

Pelajar itu menjawab : Saya berwuduk , tuan.. Lima kali sehari saya akan berwudhuk. Boleh saya tanya, berapa kalikah masyarakat di sini membasuh muka sehari?

Guru itu menjawab : Mereka basuh muka sekali sahaja setiap hari. Mengapa?

Pelajar itu menjawab : Kami orang Muslim membasuh kaki lima kali sehari, ini bermakna kaki kami lebih bersih daripada muka mereka…

Guru itu terpegun dengan hujah yang diberi, dan dikatakan bahawa guru itu telah memeluk agama Islam, selepas peristiwa di tandas itu.

Itu salah satu contoh berdakwah di tandas, betul tak?

Di bawah ini, ku ingin berkongsi idea dengan para pelawat blog ini, tentang idea-idea berdakwah di pelbagai tempat yang jarang dijadikan tempat berdakwah, dan boleh dipraktikkan juga di negara-negara yang bukan majoritinya adalah Muslim :

1- dalam LRT / MRT / SkyTrain / Metro dan lain-lain : memberi orang tua duduk, tak kira dia Muslim atau tidak; menjauhi daripada duduk bersebelahan dengan wanita bukan muhrim, lebih-lebih lagi yang berpakaian menjolok mata; membaca buku-buku ilmiah atau al-Quran (jika mampu mengelak daripada riya’); berzikir perlahan-lahan; menegur dengan baik jika ada individu yang berkelakuan tidak senonoh (bergantung kepada situasi);

2- di supermarket : tidak memotong baris , dan orang lain ketahui bahawa anda adalah Muslim; sabar jika ada sebarang perkara yang tidak disenangi, lebih-lebih lagi di kaunter pembayaran; mengelak daripada tangan bersentuhan dengan individu berjantina lain, seperti semasa mengambil baki bayaran dll;

3 – di restoran , tak kira berseorangan atau bersama kawan-kawan : membaca doa sebelum makan, dan jika beramai-ramai, lebih efektif; tidak melakukan pembaziran pada makanan dan minuman;

4 – di taman rekreasi untuk berjoging atau picnic : memakai pakaian yang sopan dan menutup aurat, serta minum air dengan keadaan duduk; jika tiba waktu solat, segera menunaikannya jika badan dirasakan bersih, serta ada surau atau masjid yang berdekatan, di samping mengajak rakan-rakan solat berjemaah;

5- dalam kapal terbang : menjaga solat , tidak sanggup meninggalkan solat walaupun keadaan tidak mengizinkan; membaca al-Quran atau buku-buku berfaedah;

6- di rumah sendiri : meletakkan ayat-ayat al-Quran di dinding rumah, serta terjemahannya jika boleh; mengajak tetamu solat di rumah, jika masuk waktu solat; mengelakkan daripada mengumpat orang lain di rumah anda, kerana sesiapa yang mengumpat, dan seorang lagi mendengarnya tanpa menegahnya, seolah-olah orang itu juga mengumpat.. ; memasang tirai bagi menutup bahagian-bahagian rumah yang boleh mendedahkan aurat atau aib penghuni rumah itu;

Cukuplah setakat ini untuk ku kongsikan. Banyak lagi tempat yang boleh disampaikan dakwah , serta banyak lagi cara untuk berdakwah di tempat-tempat yang ku sebut tadi. Jangan lupa, pastikan niat kita adalah betul dalam berdakwah, bukannya untuk menunjuk-nunjuk pula.

Mungkin anda lihat perkara yang ku sebut tadi hanya seperti perkara kecil sahaja, namun kadangkala dengan sekecil-kecil perkara pun ada yang mampu memberi kesan.

Dan method atau usluub yang ku sebut di atas tadi adalah : berdakwah dengan qudwah. (berdakwah dengan teladan)

Kata seorang cendekiawan : Perbuatan seseorang di hadapan seribu orang, lebih berkesan daripada kata-kata seribu orang terhadap seseorang itu…

Aku bukanlah seorang yang bijak berdakwah, tetapi cuma ingin meluahkan idea semata-mata. Wallahu a’lam..

Jika ada salah atau tersilap bahasa, atau kurang tepat dalam penggunaan kata, mohon teguran dan panduan… Terima kasih…

—-

p/s : ada juga aku terbaca dalam satu blog, tentang usaha sebahagian pendakwah yang ingin berdakwah di pusat hiburan seperti disko. Mencabar tu. Perlukan lebih kajian dalam method berdakwah di situ. Tak dapat nak ku komen lebih-lebih, kerana masing-masing ada awlawiyyat dalam pemahamannya. (Fiqh Awlawiyyat = Feqah Keutamaan)

p/s 2 : Antara buku yang bagus untuk dijadikan sumber rujukan : Kitab Ihya’ Ulumid din , bahagian Al-Amr bil Ma’ruf, oleh Imam Abu Hamid Al-Ghazali; Fiqh Awlawiyyat oleh Sheikh Yusuf Al-Qardhawi ; Usulud da’wah oleh Sheikh Abdul Karim Zaidan; dan banyak lagi… wallahu a’lam…

Dikirim dalam Inspirasiku | Leave a Comment »

Selamat hari raya aidiladha 1430H

DIkirim oleh qafmimra di November 26, 2009

Sempena Hari Raya Aidiladha 1430H ini, ku ucapkan :

Selamat Hari Raya Aidiladha, Maaf zahir dan batin…

عيدكم مبارك و كل عام و أنتم بخير

Terimalah video ringkas ucapan hari raya dariku… (Arabic and Malay)

Ini mungkin tahun terakhir bagiku untuk beraya di Kuwait.. Setiap detik amat berharga… Dapat lihat sahabat-sahabat seperjuangan beraya bersama…

Dikirim dalam Inspirasiku | 2 Komen »

Selesai bukan bermakna tamat segalanya…

DIkirim oleh qafmimra di November 24, 2009

Alhamdulillah… pada 20 November 2009 yang lalu, Nadi Sadaqah atau The Students Friendship Club telah mengadakan majlis penutupan program bagi tahun 2008-2009 , atau dalam bahasa Arabnya : al-Haflul Khitami, serta pilihanraya presiden bagi tahun 2009-2011.

Seramai lebih 200 orang telah hadir, termasuk tetamu-tetamu kehormat dan para pelajar dari pelbagai negara , pelbagai hostel dan ‘pelbagai’ jantina. Satu kejutan buat kami, tetapi kami bersyukur kerana penerimaan para pelajar terhadap Nadi Sadaqah amat menggalakkan pada tahun ini, berbanding dengan tahun lepas.

Apapun, dengan selesainya hafl khitami dan pilihanraya, maka aku pun akan dapat berehat lebih, kerana sebelum ini, tugas-tugas dalam Nadi Sadaqah amat banyak dan memenatkan.. Alhamdulillah atas segalanya..

Dalam Nadi Sadaqah, yang diasaskan pada tahun 2002 , yang berobjektifkan kesediaan untuk memberi khidmat pada para pelajar di sini, terdapat 30 persatuan pelajar, di mana semua program Nadi mempunyai skop agak luas kerana perlu memberi ruang kepada semua ahli persatuan tersebut untuk turut serta dalamnya. Jadi tidak hairanlah mengapa setiap kali ada program, kami akan menggaru kepala kerana pening memikirkan perbelanjaan, pengurusan, komunikasi dan lain untuk menjayakannya, dan sukacitanya aku ingin sebut bahawa semua Exco Nadi Sadaqah amat bekerjasama dalam memberikan buah fikiran untuk menyelesaikan sebarang masalah.

Seronok bekerja dengan pelajar dari pelbagai negara dan bangsa, cuma kadang-kadang jika sudah berbeza negara, maka budaya dan cara pemikiran juga berbeza, yang kadang kala meletihkan sebahagian pihak untuk menuju ke titik persefahaman antara mereka. Namun berkat usaha dan kerjasama semua, alhamdulillah segala program kami berjalan dengan lancar, termasuk majlis penutupan itu.

Apa pun, yang pasti, selesai tugas dalam Nadi Sadaqah ini tidak bermakna tamatlah perjuangan dalam berkhidmat untuk pelajar, dan untuk umat Islam semuanya, bahkan ini adalah salah satu daripada bab kehidupan seorang hamba Allah di dunia ini. Selagi hayat dikandung badan, selagi itulah agama Allah didukung dan diagungkan, umat Islam masih perlu dibela dan digerakkan daripada tidur agar sentiasa bersedia berkhidmat untuk agama Islam tercinta.

Perjuangan belum selesai… hanya itulah yang ku ingin ungkapkan setelah tamat ‘kontrak’ ku dengan Nadi Sadaqah.

Apabila terlihat video dan gambar-gambar semasa program yang Nadi Sadaqah pernah adakan, timbul rasa terharu dan sebak tatkala terkenang kesusahan para Exco Nadi Sadaqah dalam penyediaan setiap program. Kadangkala, mesyuarat diadakan beberapa kali dalam seminggu kerana terlalu banyak perkara perlu dibincangkan, dan masa amat suntuk. (Mungkin boleh dikatakan tidak patut bermesyuarat berulang kali kerana membuang masa , namun seperti yang ku katakan tadi, perbezaan pemikiran kadangkala menyebabkan sebahagian agenda tergendala…)

Aku sertakan di sini video montaj yang ku buat khas untuk majlis penutupan malam itu, tidaklah canggih dan kreatif, namun boleh mengimbau kembali kenangan bersama exco Nadi Sadaqah 2008-2009.

Semoga terhibur…

p/s : Maaf kerana video tersebut dalam bahasa Arab sepenuhnya….

Dikirim dalam Inspirasiku | Leave a Comment »

Inspirasi dan pengalaman baru

DIkirim oleh qafmimra di November 7, 2009

Inspirasi memberikanku motivasi. Pengalaman memberikanku pengertian.
Inspirasi membawaku ke alam fikiran lebih baik. Pengalaman mematangkan pemikiran…

Kedatangan mereka ke mari bukan sia-sia. Datangnya mereka memberikanku pengalaman. Duduk bersama mereka mengajarku pelbagai erti. Pulangnya mereka meninggalkan inspirasi buatku.

Pada Rabu, 28 Oktober yang lepas, tiga orang Profesor dari Universiti Kebangsaan Malaysia telah tiba di Kuwait. Aku , Shahril, Abg Sufillah dan Che Ameir menyambut mereka di airport. Alhamdulillah segalanya berjalan lancar.

Pihak Kuwait University telah memberitahuku bahawa mereka akan menerima ketiga-tiga Prof UKM tersebut sebagai tetamu universiti, dan ini bermakna mereka akan diberi layanan istimewa serta diberi pelbagai kemudahan, termasuk ‘driver’.

Pengalaman 1 – Mengurus kedatangan tetamu akademik

Pengalaman baru bagi aku. Rasanya ini pertama kali aku urus kedatangan tetamu ke Kuwait. Bermula daripada email, fax, panggilan telefon hinggalah berjumpa sendiri dengan Sekretari Dekan Kuliyyah Syari’ah.

Inspirasi : Dapat mempelajari serba sedikit bagaimana mengurus tetamu akademik, dan jika di tanah Arab, seperti Kuwait ini, kita perlu selalu follow-up dengan mereka, agar mereka ambil berat tentang perkara itu.

Pengalaman 2 – Menyambut tetamu di airport

Alhamdulillah, pendek cerita, mereka pun tiba pada 28 Oktober di Kuwait. Mujurlah ada wakil dari Kuwait University juga, kerana mereka yang menyediakan pengangkutan. En Zufli dari Kedutaan Malaysia pun ada membantu dalam urusan visa. Mereka ialah Prof Dr Mohd Nasran Mohamad, Dekan Fakulti Pengajian Islam UKM, Prof Zakaria Stapa, mantan Dekan FPI UKM, dan Prof Madya Dr Zamri Arifin, Ketua Jabatan Pengajian Arab dan Tamadun Islam. Semasa mereka keluar, Dr Zamri awal-awal lagi sudah senyum padaku kerana kami sudah bertemu di UKM tempoh hari. Aku datang dengan Shahril, Abg Sufillah dan Che Ameir.

Inspirasi : Perasaan berdebar pasti ada jika kita ada dalam situasi begini, tetapi aku buat selamba sahaja. Untuk menghormati mereka, aku telah memakai pakaian yg kemas dan segak, agar memberikan ‘first impression’ baik tentang kami semua.

Pengalaman 3 : Menjadi ‘guide’ Prof UKM di Kuliyyah Syari’ah

Pada 29 Oktober, pagi Khamis, mereka telah melawat Kuliyyah Syari’ah di Kaifan. Aku jugalah yang seolah-olah menjadi pemandu arah dan juga jurufoto mereka. Mujurlah hari itu pensyarahku tidak dapat menyampaikan kuliah atas urusan tertentu, senanglah untuk aku mengikut ke mana mereka pergi. Mereka melawat pejabat Kuliyyah , kemudian pejabat Dekan, bilik-bilik para pensyarah yang ada pada pagi itu, makmal komputer Aayan, bilik kuliah ‘distance learning’ yang ada skrin besar dan kamera menghubungkan bilik itu dengan bilik di bangunan khas untuk pelajar perempuan, dan akhirnya ke Maktabah/Perpustakaan Kuliyyah Syari’ah.

Bilik Dekan Kuliyyah Syari'ah

Pelbagai pengalaman aku dapat semasa mengikuti mereka melawat. Semasa di pejabat Dekan, aku dapat mendengar bagaimana dua pihak akademik berbual dan berkenalan di samping menerangkan tentang universiti masing-masing, sungguh profesional. Semasa di perpustakaan, aku dapat lihat bahawa prof2 tersebut minat benar dengan buku, lebih-lebih lagi Prof Zakaria, kerana ku lihat dia meneliti dekat-dekat setiap buku di rak yang dilalui, tetapi sayangnya masa tidak mengizinkan.

Inspirasi : Minat pada buku amat penting dalam pengajian. Jika tak minat, susahlah untuk pegang buku itu untuk belajar. Silap-silap, buku terlepas dari tangan, kerana buka sahaja buku, mata mengantuk, lalu terlelap! Kebetulan, kedatangan mereka di Kuwait tidak sia-sia juga, kerana di Mishref, ada Pameran Antarabangsa Buku Arab yang ke-33 sedang berlangsung, maka aku minta Shahril bawa mereka pada petang itu, selepas berbincang dengan ‘driver’ kereta.

Pengalaman 4 : Menerima kunjungan tetamu akademik di majlis PPMK

Jumaat 30 Oktober pula, Persatuan Pelajar Melayu Kuwait mengadakan Haflah Istiqbal Pelajar-pelajar Baru. Jadi kebetulan pula profesor-profesor tersebut ingin bertemu dengan pelajar Malaysia dan lain-lain, maka aku dan Shahril telah membawa mereka ke majlis tersebut, selepas solat maghrib di Masjid al-Sanad di Qortubah.

Antara pengalaman yang paling mendebarkan aku ialah ketika prof-prof tersebut sedang berucap, timbul pelbagai persoalan di benak fikiranku, antaranya : Nak hantar mereka terus balik ke? Atau nak ajak diorang makan sekali ke? Ada hadiah saguhati ke untuk mereka? dan banyak lagi , yang menyebabkan ku rasa wajahku yang ceria ini sedikit pucat. Kaget! Tambahan pula Shahril dan beberapa rakan lain asyik memanggilku dan bertanya apa perlu dibuat selepas ini. Ini kali pertama kami menjemput tetamu istimewa sebegini, Prof dari UKM…

Prof Mohd Nasran sedang memberikan ucapan

Alhamdulillah, mujurlah Shahril dapat menyelesaikan perkara tersebut – sahabatku seorang ini memang banyak kali dapat menyelesaikan masalah mengejut sebegini, thanks sheikh! – . Aku sungguh kesal kerana tidak teringat langsung untuk memikirkan soal santapan buat tetamu yang ada. Akhirnya, Shahril dan adik-adik yang sedang menyiapkan hidangan makan malam untuk majlis itu berjaya menyiapkan bilik dan hidangan khas untuk para tetamu itu.

Inspirasi : Daripada pengalaman hari itu, aku telah pelajari perkara penting, iaitu apabila ada tetamu dijemput ke majlis sebegini, fikirkan tentang jamuan dan hadiah buat mereka… Dan jangan kaget apabila timbul apa-apa masalah yang luar daripada jangkaan benak fikiran!

Pengalaman 5 : Mengurus lawatan mereka ke hostel Shuwaikh

Alhamdulillah, para pelajar di sini banyak memberi kerjasama padaku, lebih-lebih lagi apabila mereka mendengar bahawa Dekan dari sebuah universiti di Malaysia akan datang. Maka pada petang Sabtu, 31 Oktober itu, Shahril telah membantuku membawa para tetamu akademik tersebut ke surau hostel Shuwaikh, manakala aku menguruskan perkara lain seperti kerusi, iklan tentang perjumpaan itu dan air minuman.

Secara langsungnya, selepas solat maghrib, para tetamu dijemput memberikan ucapan dan nasihat pada para pelajar. Dan sekali lagi aku kesal kerana terlupa hendak beritahu pada para pelajar bahawa ada ucapan yang akan disampaikan dalam bahasa Inggeris kemudian akan diterjemahkan olehku secara spontan ke bahasa Arab. Aku kesal pun kerana aku lihat seorang demi seorang pelajar di surau tersebut keluar dari situ, kerana tidak faham apa yang diucapkan oleh para Profesor itu.

Untuk pengetahuan pembaca blog ini, kebanyakan pelajar yang ada di surau ketika itu ialah pelajar Afrika, di mana hanya sebahagian daripada mereka yang faham bahasa Inggeris, sedangkan yang lain hanya faham bahasa Perancis.

Prof Mohd Nasran dan Prof Zakaria bertutur dengan fasih dalam bahasa Inggeris, kemudian aku terjemahkan seberapa yang boleh ke bahasa Arab. Manakala Dr Zamri pula bertutur dalam bahasa Arab.

Banyak juga soalan yang diajukan oleh para pelajar di situ tentang pengajian di Malaysia, ada yang bertanya tentang biasiswa, tempat tinggal, pengajian, bahasa , kos sara hidup dan lain-lain. Mereka nampaknya amat berminat untuk menyambung pengajian di Malaysia. Aku sebagai rakyat Malaysia amat berbangga kerana pelajar-pelajar di sini sentiasa memuji Malaysia.

Selepas solat isyak, Shahril menjemput para tetamu ke biliknya, untuk sedikit jamuan ringan. Mujurlah aku sempat mencari adik-adikku dari Malaysia dan Singapura untuk turut serta dalam perjumpaan ringkas itu. Kami sempat bergambar di ruang lapang tingkat bilik Shahril, dan inilah kali pertama aku bergambar dengan Prof-prof tersebut semenjak menguruskan lawatan mereka!

Bergambar di ruang legar tingkat bilik Shahril

Kemudian Shahril membawa mereka bersiar-siar di bandar Kuwait City, kemudian membawa mereka bertemu dengan Presiden Persatuan Rakyat Malaysia di Kuwait (MAK) , abang Sukri Husin.

Inspirasi : Aku tak lupa bahkan sentiasa peka dan beringat, bahawa yang datang ke Kuwait ini bukan calang-calang orang, jadi mereka akan membuat inferens dan pemerhatian tentang segala aspek di sini, termasuk kami selaku pelajar-pelajar di sini. Jadi aku dapat satu lagi inspirasi bahawa kita perlu sentiasa memberikan ‘impression’ yang baik tentang diri kita pada orang lain, agar pada masa depan, orang itu akan bersangka baik dengan kita.

Pengalaman 6 : Menguruskan lawatan mereka ke Diwaniyah Sheikh Abd Latif al-Munaifi dan Pejabat Jam’iyah Abdullah an-Nouri

Pada pagi Ahad, 1 November, aku membawa mereka ke Diwaniyah Sheikh Abd Latif al-Munaifi, Pengarah Lajnah al-Bu’uth at-Tullabiyyah (Overseas Students Committee) . Seronok mendengar orang-orang hebat seperti mereka semua berbual. Aku hanya menjadi jurufoto dan pengiring mereka di situ. Tidak banyak yang ku bualkan dengan mereka, kerana tidak banyak perkara yang berkaitan denganku.

Apa pun, aku lihat Prof2 tersebut sedikit bingung kerana tidak begitu faham kenapa mereka dibawa ke situ, tetapi sekurang-kurangnya, mereka telah melawat Diwaniyah seorang jutawan Kuwaiti yang amat pemurah seperti Sheikh Abd Latif itu, dan sebenarnya aku juga kurang mengerti apabila pihak Lajnah itu memintaku membawa mereka ke situ, kemudian ke pejabat mereka di daerah al-Qadisiyah.

Mujurlah ada juga sedikit persefahaman yang timbul antara mereka, kerana menurut Dr Mohd Nasran, Jam’iyah/Society tersebut sebenarnya pernah memberi sumbangan pada Fakulti Pengajian Islam di UKM itu, lebih kurang 20 tahun yang lalu, seperti van pengangkutan yang ada lambang Jam’iyah itu, bahkan katanya, Sheikh Abdullah an-Nouri sendiri pernah datang ke situ. Maka mereka ingin kembali memperkukuhkan hubungan antara Jam’iyah dan pihak Fakulti itu dengan adanya lawatan seperti ini.

Akhirnya , kami tiba juga di pejabat Jam’iyah Abdullah an-Nouri itu. Perbualan yang ku dengar di bilik Mudir itu adalah hampir sama dengan yang ku dengar di Diwaniyah Al-Munaifi tadi.

Apa pun, Mudir pejabat itu, Khalid al-Badr berjanji akan menghubungi mereka melalui aku jika beliau ingin ke Malaysia nanti, untuk memantapkan lagi persefahaman yang sedang dibina.

Inspirasi : Semasa dalam Pajero menuju ke pejabat Jam’iyah tersebut, Dr Zamri ada berpesan pada Dr Mohd Nasran , bahawa orang Arab amat gemar memuji dan dipuji ketika berbual, lebih-lebih lagi jika ingin mencapai persefahaman. Bagiku, ada betulnya perkara tersebut, bahkan orang Arab (lebih-lebih lagi orang Kuwait) akan sentiasa ingat kebaikan yang kita buat pada mereka suatu ketika dahulu. Tak hairanlah apabila ada kawan lama mereka datang dari negara lain, mereka akan sambut dengan begitu meriah…

Pengalaman 7 : Menghantar Profesor-profesor itu di airport

Pada Ahad malam Isnin, 1 November itu , mereka berangkat ke Malaysia. Pendek cerita, sesampai di airport, mereka masuk ke dalam kawasan check-in Kuwait Airways (kawasan tertutup dan terhad untuk ‘travellers’ sahaja). Sudah pasti mereka akan keluar cepat kerana mereka punyai tiket Business Class.

Aku yang kelaparan ini terus menuju ke tingkat bawah, membeli Burger Zinger KFC, untuk alas perut sementara menunggu mereka siap check-in. Belum sempat aku habis separuh burger, aku tiba-tiba khuatir jikalau mereka sedang menunggu aku. Benar. Mereka sedang menunggu aku di atas, di hadapan pintu keluar kawasan check-in! Malu aku dibuatnya apabila salah seorang daripada mereka mengatakan mereka sudah menunggu lebih kurang 10 minit!

Aku dengan rasa malu dan bersalah, mengajak mereka duduk berehat sebentar di tingkat bawah di mana ada restoran-restoran makanan segera di situ, bersebelahan dengan Balai Ketibaan.

Kami sedang menunggu kawan-kawanku yang lain, yang sedang dalam perjalanan ke situ, untuk menghantar para tetamu pulang. Aku ingat lagi kata-kataku pada prof2 tersebut : kami dah sambut prof hari itu, maka baik juga jika kami menghantar kalian pulang di airport … Aku tak pasti apa reaksi mereka, tetapi yang pastinya mereka tidak berkata apa-apa, kerana sebelum itu mereka kata tak perlu hantar, kerana menyusahkan kami sahaja.

Sementara menunggu kawan-kawanku yang lain, kami duduk di meja makan kawasan medan selera itu. Meja empat segi, maka masing-masing akan menghadap yang di hadapannya. Aku menghadap Prof Zakaria Stapa, profesor yang ku lihat banyak memerhati sekitarnya, tak hairan juga kerana beliau pakar dalam pemikiran dan falsafah. Dr Zamri menghadap Prof Mohd Nasran. Aku sedaya upaya cuba mencari topik yang sesuai untuk dibualkan dengan mereka, dan situasi aku itu tak ubah seperti sedang di’interview’ oleh mereka. Semua memandang padaku tatkala aku bersuara. Hm… berdobar jantung den!

Akhirnya kawan-kawanku tiba juga lebih kurang 20 minit kemudian. Anda bayangkanlah sendiri selama masa tersebut, apa agaknya yang ku bualkan dengan mereka. Sekurang-kurangnya ketibaan kawan-kawanku di situ melegakan hatiku serta wajahku yang ku rasa sejak tadi seperti ditekup ‘facial mask’, lagak bersahaja.

Lebih kurang jam 8.20pm, kami semua naik semula ke balai perlepasan, dan aku mengucapkan selamat jalan buat mereka, serta meminta maaf sekiranya ada kekurangan semasa mereka berada di Kuwait ini. Aku ketika itu memang terasa amat hampa dan bersalah kerana tidak dapat memberikan khidmat yang terbaik, namun Dr Zamri menenangkanku dan tidak menyalahkanku sekiranya ada kekurangan.

Di Kuwait International Airport - aku tak sempat menukar kasut..hehe

Profesor-profesor UKM itu memeluk aku , Shahril dan beberapa kawanku yang lain tanda berpisah. Terasa aliran ukhuwwah dan kebapaan tatkala memeluk mereka, lebih daripada hubungan seorang guru dan pelajar. Alhamdulillah, selesai sudah tugasku menguruskan lawatan mereka di sini. Terima kasih kepada Shahril dan semua yang membantu.

Inspirasi : Terima kasih buat profesor-profesor yang melawat ke Kuwait. Kalian banyak memberikanku pengajaran dan inspirasi. Di samping mengajarku berfikir sebagai seorang mahasiswa secara lebih matang. Corak pemikiran pelajar-pelajar yang belajar di Kuwait University seperti kami mungkin sedikit berbeza, kerana perbezaan suasana dan ‘cuaca’, serta mungkin terkesan dengan pemikiran orang Arab.

Apa pun, manusia boleh belajar, diajar dan mengajar. Manusia boleh belajar melalui pengalaman, pengamatan, pemahaman , serta kesalahan yang dilakukan juga. Semoga kita semua sentiasa mempelajari sesuatu yang mengajar kita untuk mengenal diri sendiri, mengenal agama, dan mengenal Allah dan Rasul-Nya.

p/s : Aku tak banyak mengambil gambar mereka dengan kameraku, kerana mereka telah memintaku menggunakan kamera milik mereka. Jadi maaflah jika tak banyak gambar yang ku tunjuk di sini.

Dikirim dalam Inspirasiku | 2 Komen »

Yang pertama untuk yang terakhir

DIkirim oleh qafmimra di Oktober 5, 2009

Alhamdulillah.. pada pagi Jumaat lepas, aku dan 6 lagi sahabat-sahabatku telah tiba di Kuwait International Airport.

Kami tiba 5.30am, tetapi bas hostel ambil kami 9.45am… sungguh kasihan… tak payah cerita rasanya…

Seronok bertemu kembali rakan-rakan dari pelbagai negara dan bangsa.. ada yang dari tanah Arab, seperti Bahrain, Jordan, Mesir; ada yang dari Afrika seperti Benin, Mali, Nigeria, Niger, Burkina Faso, Ivory Coast dll… tak banyak rakan yang dari Eropah, yang ada pun dari Macedonia dan Bosnia…

Maksud : Katakan TIDAK pada 'berpelukan' dan 'berkucupan'.. lain jek bunyinya bila diterjemah... hehe

Maksud : Katakan TIDAK pada 'berpelukan' dan 'berkucupan'.. lain jek bunyinya bila diterjemah... hehe

Walaupun di setiap tempat tertampal poster : No hugging, no kissing , no no no.. untuk mengelak H1N1 merebak, namun rata-rata pelajar yang ku jumpa ku dapati semuanya berpelukan dan ber’laga-pipi’ (adat orang Arab) dan mengucapkan : “Alhamdulillah ‘alas salaamah” yang bermaksud : Alhamdulillah atas keselamatan kamu…

Mereka seperti tidak endahkan perkara tersebut. Di lobi hostel pula ada satu meja khas, dipenuhi dengan risalah-risalah berkenaan H1N1 , topeng muka, dan hand-sanitizer. Namun nampaknya seperti tidak diusik langsung!

Apa pun, yang pasti, inilah tahun akhirku insya allah di Kuwait University.. Banyak perubahan yang berlaku pada bumi Kuwait ini… pembangunan, infrastrukstur, sistem , manusia , dan macam-macam lagi sejak aku menjejakkan kaki di sini September 2001 dahulu…

Aku? juga banyak perubahan… daripada belasan tahun , menjadi 2 dekad.. daripada ringan jadi berat dll….

4 Oktober, iaitu semalam aku telah memulakan kelas pertamaku bagi semester pertama ini. Akulah orang pertama yang bawa kamera ke Kuliah (rasanya) pada hari itu, akulah orang kedua yang naik bas pagi itu, akulah pelajar asing pertama yang bayar di kaunter kafeteria di Kaifan setelah dibuka pada hari pertama itu…

Aku dengan penuh semangat melangkah ke dewan kuliah selepas bersarapan. Dalam hati ada satu perasaan yang agak lain… ye lah kan, dah final year.. azam dan semangat agak berlainan kali ini… segala yang berlaku di hadapan mataku menjadi iktibar dan kenangan….

Kenangan itu tidak banyak gunanya jika tidak diambil iktibar daripadanya… itu prinsip yang ku pegang kali ini juga…

Aku ada 4 kelas pada hari pertama, iaitu Ahad, juga hari Selasa dan Khamis. Adapun hari Isnin dan Rabu aku hanya ada dua subjek / kelas untuk dihadiri.. jadi jumlah subjek yang ku ambil pada semester ini ialah 6 subjek. Moga-moga dapatlah ku habiskan lagi 4 subjek berbaki pada semester kedua nanti.

Banyak lagi yang ingin ku tulis, namun ilham tak datang.. jadi bersambung di lain hari….

Insya allah akan ku siapkan artikel tentang Kuwait University… dengan gambar sekali…

———————————————————

p/s : hari pertamaku di bilik , sudah ku jumpa beberapa ekor lipas melintas di hadapanku.. tak bagi salam pun! Sempat ku ambil gambar lipas kedua yang ku temui.. hehe

Lipas kedua yang ku lihat - untuk pengetahuan, lipas di sini kecil-kecil sahaja.. mengikut pemerhatianku, kemungkinan spesis ini berasal dari Jerman..

Lipas kedua yang ku lihat - untuk pengetahuan, lipas di sini kecil-kecil sahaja.. mengikut pemerhatianku, kemungkinan spesis ini berasal dari Jerman..

Sabar je lah…

Dikirim dalam Inspirasiku | 2 Komen »