Laman Blog Qafmimra

Blog Qafmimra… be yourself…

Arkib bagi Bulan September 2009

Baju raya : baru ke lama ? Baju ramadhan?

DIkirim oleh qafmimra di September 9, 2009

Alhamdulillah.. kita telah masuk 10 hari terakhir Ramadhan, di mana adanya Lailatul Qadar, malam yang lebih afdhal daripada seribu malam, jadi marilah kita sama-sama rebut peluang keemasan yang hanya datang setahun sekali…

Setahun… hanya sekali… mengejar malam lailatul qadar hari hari…..

Apabila sudah dekat raya ni pula, jangan pula jadi malam Lailatul Kamdar! (seperti ungkapan seorang rakan YM)

Selalu manusia hanya ingat baju raya , tak ingat baju ramadhan?

Ya.. baju ramadhan.. apa yang aku maksudkan sebenarnya? (apa yang Qamar nak merapek ni kata seseorang yang tak dikenal pasti kewujudannya… )

Baju atau pakaian kita ketika di bulan Ramadhan… adakah sudah sempurna dan cantik? Kita jahit sehari-harian, ada yang jahit satu jalur benang sahaja sehari, ada yang dua jalur , jalur gemilang, ada yang guna tangan, ada yang guna mesin jahit…

Firman Allah swt :

يَا بَنِي آدَمَ قَدْ أَنزَلْنَا عَلَيْكُمْ لِبَاسًا يُوَارِي سَوْآتِكُمْ وَرِيشًا ۖ وَلِبَاسُ التَّقْوَىٰ ذَٰلِكَ خَيْرٌ ۚ ذَٰلِكَ مِنْ آيَاتِ اللَّهِ لَعَلَّهُمْ يَذَّكَّرُونَ ﴿٢٦﴾

Bermaksud : “Hai anak Adam, sesungguhnya Kami telah menurunkan kepadamu pakaian untuk menutup auratmu dan pakaian indah untuk perhiasan. Dan pakaian takwa itulah yang paling baik. Yang demikian itu adalah sebahagian dari tanda-tanda kekuasaan Allah, mudah-mudahan mereka selalu ingat. (26)” Surah Al-A’raf

Jadi kurang 10 hari sahaja lagi untuk kita menyempurnakan baju Ramadhan kita ini. Dan hasilnya kita lihat selepas tamatnya Ramadhan nanti. Masa itulah ada yang menyesal, ada yang gembira, dan ada yang tak kisah mana… Baju Ramadhan… muhasabah sebelum, semasa dan selepas Ramadhan…

Baju raya pula?

Apa pun, aku hanya nak mencuba function Poll di WordPress ini, jadi barangsiapa yang rasa nak membantu pencubaanku ini, silalah dengan ribuan terima kasih..

Dikirim dalam Inspirasiku | Leave a Comment »

11 teka-teki fiqh

DIkirim oleh qafmimra di September 5, 2009

Teka-teki fiqh atau al-alghaz al-fiqhiyyah sebenarnya amat banyak di kalangan para fuqaha’ Islam. Bahkan kadangkala, teka-teki fiqh ini menjadi suatu tanda bahawa ahli fiqh itu peka dan berkelayakan dalam fiqh itu sendiri. Antara yang banyak membuat teka-teki fiqh ini ialah ulamak daripada mazhab Hanafi dan Syafi’ie.

Di sini ada 11 teka-teki fiqh yang ingin ku kongsikan bersama.

1. Satu ibadat, tiada orang lain di dunia ini yang boleh melakukan ibadat itu jika anda sedang melakukannya. Apa dia?

  • Mengucup hajar aswad di Kaabah.

2. Satu ibadat, pahalanya hanya Allah yang tahu. Apakah ibadat itu?

  • Puasa

3. Satu kemungkaran, haram dilakukan, tetapi tidak wajib ditegah. Pelik.. apakah gerangannya?

  • Berjalan di hadapan orang sedang solat bersutrah (penghadang). Kerana orang yang sedang solat itu, dia tidak diwajibkan menghalang si polan yang berjalan di hadapannya itu.

4. Seperti yang kita tahu, dalam solat berjemaah, makmum solat di belakang imam. Tetapi ada satu ketika, makmum solat di hadapan imam, sah dan sempurna. Bagaimana?

  • Makmum solat di Masjidil Haram

5. Solat sunat lebih afdhal jika dikerjakan di rumah. Tetapi solat ini, lebih afdhal dikerjakan di masjid, dan solat ini bukan solat Eid, Istisqa’ mahupun tarawih. Apakah gerangannya?

  • Solat sunat tawaf, selepas selesai tawaf keliling Kaabah

6. Suami sepatutnya menjadi imam kepada isteri. Tetapi si isteri pula yang menjadi imam bagi suami, dan suami adalah seorang alim. Bagaimana?

  • Sujud tilawah. Kerana si isteri sedang membaca al-Qur’an, dan tatkala sampai kepada ayat Sajdah, dia sujud, maka si suami yang mendengar bacaan itu juga turut sujud. Tetapi bukan dalam solat.

7. Seorang wanita yang diceraikan suaminya, maka dia ber’iddah 7 bulan, dan dia bukan hamil. Kenapa?

  • Wanita ini diceraikan suaminya maka ‘iddahnya adalah 3 bulan. Kemudian sebelum ‘iddahnya hampir tamat, suaminya tadi meninggal dunia. Maka wanita itu ber’iddah lagi 4 bulan. Jadilah 7 bulan.

8. Bilakah ini berlaku : tiga hari berturut-turut, hari pertama wajib berpuasa, hari kedua haram berpuasa, dan hari ketiga harus/boleh berpuasa?

  • Hari pertama adalah hari terakhir Ramadhan, sama ada 29 atau 30, hari kedua adalah 1 Syawal iaitu hari raya aidilfitri, dan hari ketiga ialah 2 Syawal, yang mana boleh berpuasa pada hari tersebut.

9. Dalam fiqh, najis jika terkena ke atas pakaian atau badan kita, wajib disucikan. Tetapi , kali ini suatu benda suci dan bersih, terkena pada badan atau pakaian seseorang itu, maka diwajibkan ke atasnya membersihkan sekadar termampu. Bagaimana?

  • Minyak wangi terkena pada badan seorang yang berihram Umrah atau Haji.

10. Seorang lelaki, bersolat dengan 4 tasyahhud. Ada ke?

  • Lelaki ini adalah masbuq ketika masuk solat Maghrib dengan jemaah, tatkala masuk, jemaah sedang bertasyahhud awwal (rakaat kedua). Maka setelah imam memberi salam pada rakaat ketiga, si lelaki tadi bangun dan menghabiskan dua rakaat lagi, iaitu rakaat kedua dan ketiga baginya, maka jadilah 4 tasyahhud.

11. Dalam solat fardhu, ada dua jenis : solat sirriyyah (bacaan perlahan seperti Zohor) dan solat jahriyyah (bacaan kuat seperti solat Subuh) . Apakah dia satu solat sirriyyah yang adanya di antara 2 solat jahriyyah?

  • Solat Asar pada hari Jumaat. Kerana sebelumnya adalah solat Jumaat, jahriyyah, dan selepasnya adalah solat Maghrib , jahriyyah.

Sumber : buku Ad-durarul Bahiyyah fil Alghazil Fiqhiyyah karangan Sheikh Dr Muhammad al-’Arifi dan sumber lisan dari guru fiqhku.

Dikirim dalam Fiqh | Tagged: | 2 Komen »

Melawat UKM dan UIA

DIkirim oleh qafmimra di September 4, 2009

Pada Rabu, 2 September yang lalu, aku telah mengadakan lawatan sambil bertanya ke Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA). Pada mulanya aku ingin pergi sendirian, tetapi ayahku ingin menghantarku dengan kereta bersama ibuku.

Yang penting, ini adalah sebahagian daripada agendaku untuk mendapatkan maklumat terperinci tentang program Master di sana. Insya allah aku akan melawat pula UM , dan barangkali juga USIM.

Lebih kurang jam 10.30 am , aku tiba di perkarangan UKM, dari Bukit Mahkota , rumah abangku Amin. Alhamdulillah, UKM dekat sahaja dari situ, lebih kurang 10 ke 15 minit sahaja rasanya.

Sebelum ini juga, seorang pensyarah UKM, Prof Madya Dr Zamri Arifin telah menghubungiku dan menyatakan bahawa beliau dan beberapa rakan lain akan melawat Kuwait University pada hujung Oktober ini insya allah. Jadi beliau ingin berjumpa denganku. Alang-alang ke sana, baik juga aku singgah di pejabatnya.

Bangunan di tengah itu ialah Fakulti Pengajian Islam UKM

Bangunan di tengah itu ialah Fakulti Pengajian Islam UKM

Memasuki kawasan UKM di Bangi ini mudah sahaja, kerana tidak ada pengawalan yang terlalu ketat, mereka hanya meminta aku menyerahkan kad lesen atau kad pengenalan kepada mereka, dan memberiku satu kad bertulis : Pelawat. Sempat juga aku bertanya di manakah Pusat Pengurusan Siswazah dengan pak guard itu, dengan penuh dedikasi, dia memberikanku sehelai kertas memaparkan peta UKM, dan menunjukkan arah yang patut aku lalui untuk ke sana.

Belakang : Dewan Canselor Tunku Abdul Rahman

Belakang : Dewan Canselor Tunku Abdul Rahman

Ini adalah kali pertama aku pergi ke UKM juga. Jadi aku, ayah dan emakku pada mulanya agak kekok dengan kawasan itu, namun alhamdulillah, berbekalkan peta yang diberi dan sedikit kemahiran yang ku perolehi semasa bermain ‘treasure hunt’ di Kelantan dahulu, akhirnya kami menemui bangunan itu.

Pendek cerita , aku telah bertanya akak yang menjaga kaunter itu dan meminta padanya brochure dan apa-apa yang boleh diminta. Bahkan aku meminta untuk melihat borang untuk permohonan masuk. Ku lihat akak itu agak penat menjawab soalan-soalanku, banyak juga, kerana bagiku inilah peluang untuk mendapat sebanyak info yang boleh. Jika tidak, sia-sialah aku ke mari. Rupanya UKM tidak mensyaratkan IELTS atau TOEFL bagi rakyat Malaysia, namun kemungkinan 60% aku akan menduduki peperiksaan untuk IELTS nanti di Kuwait, bagi memudahkanku apply untuk mana-mana institusi.

Kemudian, aku pergi menemui Dr Zamri, dan sebelum itu aku menghubunginya dan bertanya di manakah letaknya pejabat beliau, bangunan Fakulti Pengajian Islam.
Masya allah, bangunan besar, tetapi luarannya agak kelihatan lama atau buruk sedikit, maaf jika pernyataan ini mengguris pihak UKM. Yang pastinya, aku bersyukur seadanya dengan penerimaanku untuk belajar di Kuwait University, kerana jika dibandingkan bangunan dan fasiliti yang ada, Kuwait Univ. lebih canggih dan cantik. Mungkin atas faktor kewangan? Wallahu a’lam. Jadi ingatlah adik-adikku yang belajar di K.Univ itu, syukurilah dengan peluang yang ada di sana, belajarlah sebaik yang boleh.

Aku pun masuk bangunan FPI, menuju ke biliknya,di aras 3, Jabatan Pengajian Arab dan Tamadun Islam. Sesampai di biliknya, ada rakannya di situ, jadi aku menunggu sebentar dan kemudian aku pun ketuklah pintunya.
Aku disambut dengan penuh keramahan, dan tiba-tiba dia memanggil Dr Maheram yang berada di seberang biliknya. Apa yang special?
Dia kata, inilah pelajar Kuwait!

Rupanya, Dr Zamri dan Dr Maheram adalah bekas pelajar Kuwait! Baru ku tahu! Aku pun terus ditemu ramah oleh mereka berdua, sekejap Dr Zamri, sekejap Dr Maheram. Masing-masing mengenang kembali zaman ketika mereka di sana. Kaifan, Shuwaikh, Souk Jum’ah dan lain-lain. Kedua-dua mereka belajar di Kuliyyah Adab (Sastera). Aku begitu gembira dan teruja kerana dapat berjumpa senior-seniorku yang memang selama ini aku tercari-cari. Katanya, dahulu kala, kebanyakan pelajar adalah dari Kelantan. Sekarang juga demikian sebenarnya kataku. Akulah satu-satunya anak Melaka yang belajar di K.Univ.

Pendek cerita, aku sempat bertanya juga tentang program MA di UKM, dan aku juga telah bawa bersamaku beberapa buku sebagai rujukan tentang K.Univ. dan sedikit cenderemata.

Kata Dr Zamri, semua lepasan Kuwait diiktiraf kredibiliti dan keilmuannya di Malaysia , seperti Dr M Daud Bakar, Dr Abd Rahman Chik dan lain-lain, dan dia harap aku dan kawan-kawanku juga demikian. Insya allah..

Yang menariknya, Dr Zamri berkata, jika sebuah universiti itu ada lepasan Kuwait, lebih mudah proses untuk apply nanti kerana boleh aku minta bantuan daripada mereka. Di UIA ada, di UM ada. Di UKM seorang lagi lepasan Kuwait ialah Dr Md Zain. Sayangnya aku tak sempat berjumpa dengannya, dan sayang sekali aku terlupa bawak kamera dalam poket!

Setelah dipendekkan cerita lagi, bolehlah ku kata, alhamdulillah, dan insya allah, moga mudahlah urusanku nanti jika ingin buat MA. Setelah lebih kurang setengah jam di pejabatnya, aku teringat ayah dan emakku sedang menunggu di tempat parkir kereta. Aku pun meminta diri dan beliau sempat memberiku sebuah buku berjudul : Prosiding Simposium Tamadun Islam – Abad Pertengahan 2 , susunan beliau dan seorang rakan.

Kemudian, aku menuju ke UIA Gombak, dan mujurlah aku teringat bahawa aku menyimpan nombor telefon Dr Abd Rahman Chik, Timbalan Dekan Kuliyyah of IRK, yang juga lepasan Kuwait University. Mujur dia ada di pejabat.

Belakang : Tak tahu nama bangunan apa...

Belakang : Tak tahu nama bangunan apa...

Pendek cerita juga, aku sebenarnya dah jumpa Dr Abd Rahman Chik di Kuwait, semasa perhimpunan alumni Kuwait dua tahun lepas di Masjid al-Kabir , yang diberi nama : Multaqasy Syu’ub ad-Dauli . Jadi tidaklah aku begitu kekok dengannya.

UIA juga bagiku sukar untuk dicari tempat yang dituju di kawasan itu, kerana sign-board tak banyak dan kecil sahaja. Pihak UIA mungkin sedar hal ini. Bahkan Dr Abd Rahman Chik sendiri mula-mula agak pening dengan tempat-tempat di sini, katanya. Bangunan-bangungannya cantik, berprestij juga. Tetapi masih tidak dapat menandingi bangunan di Kuwait University (hehe.. mungkin? nanti aku cerita pasal K.Univ pula di blog ini).

Bergambar di depan pintu masuk UIA.. jadilah...

Bergambar di depan pintu masuk UIA.. jadilah...

Jadi tidak banyak yang ku bualkan dengannya, lebih banyak bertanya khabar dan bagaimana pembelajaranku yang kini di tahun 4 ini. Beliau berkata, biasanya untuk mengetahui program yang ada, pelajar jumpa dengan Dekan Kuliyyah IRK sendiri, tetapi ketika itu Dekan tersebut ada kuliah untuk disampaikan.

Kenangan....

Kenangan....

Kesimpulannya, UIA perlukan IELTS atau TOEFL , international standard; UKM tak perlu bagi rakyat Malaysia. Tentang yuran, akan ku usahakan seadanya, insya allah tak kurangRM5000 dan tak lebih RM10000 .

Seronok melawat universiti-universiti di Malaysia.
Trip seterusnya ialah : UM .. sedang mencari kontek. Atau kontek terus pensyarah lepasan Kuwait di sana…

Wallahu a’lam…

p/s : sayang terlupa nak ambil gambar masa pertemuan dengan mereka… pintu gerbang UKM ada betul-betul depan simpang empat, dengan lampu trafik dan kenderaan yang lalu-lalang.. Tak dapek nak ambil gambar..

Dikirim dalam Kembara | Tagged: , , | 3 Komen »